Karangan

Faedah Melabur Dalam Saham Amanah (Kelebihan)

Untuk menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu, pelajar perlu mentakrif soalan yang diberikan dengan baik. Pelajar dinasihatkan untuk memilih pilihan soalan yang mampu pelajar huraikan agar tiada masalah dalam memberikan isi-isi penting yang berkaitan. Sebagai rujukan kepada pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan faedah-faedah melabur dalam saham amanah.

Bagi menghasilkan penulisan karangan yang berkaitan dengan tema atau tajuk di bawah, pelajar perlu menggunakan fakta yang tepat. Selain itu, anda juga boleh menggunakan data atau statistik yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan atau badan yang diiktiraf sebagai penyokong kepada huraian atau isi-isi penting yang diketengahkan. Sekiranya gaya bahasa dan pengolahan pelajar menarik dan bertepatan dengan yang dikehendaki oleh soalan, pastinya pelajar akan mendapat markah yang cemerlang atas penulisan karangan masing-masing.

peta minda faedah melabur dalam saham amanah Faedah Melabur Dalam Saham Amanah (Kelebihan)

Kepentingan Dan Kelebihan Melabur Dalam Unit Amanah

Isi-isi penting

  • Pelaburan yang sah dari segi undang-undang
  • Sebagai simpanan masa hadapan
  • Peluang untuk melabur dengan modal kecil
  • Mengurangkan inflasi dan meningkatkan ekonomi negara
  • Mudah untuk dicairkan atau mengeluarkan duit pelaburan
  • Pelbagai portfolio pelaburan yang ditawarkan

Baca juga: Pentingnya Semangat Kejiranan Kepada Masyarakat

Contoh Karangan Faedah-Faedah Melabur Dalam Saham Amanah

Pendahuluan

Meniti arus kemodenan dan globalisi hari ini, kewangan menjadi suatu perkara yang mustahak dalam kehidupan setiap anggota masyarakat. Beban kewangan semakin lama semakin meningkat dan sesetengah kerjaya tidak memberikan peningkatan gaji yang sejajar dengan pengunjuran ekonomi negara khususnya dan dunia amnya. Maka, langkah yang diambil bagi mengurangkan beban kewangan adalah dengan melakukan pelaburan melalui saham amanah. Berdasarkan Kamus Dewan Bahasa, melabur bermaksud membeli saham atau syer dalam sesuatu badan perniagaan untuk tujuan mendapat keuntungan atau menanam modal. Manakala, saham amanah adalah pelaburan yang dijamin oleh kerajaan dan berbeza dengan pelaburan saham terbuka seperti di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Persoalan yang timbul adalah apakah faedah-faedah melabur dalam saham amanah?

Isi 1

Manfaat yang diperoleh apabila kita melabur dalam saham amanah adalah ia merupakan pelaburan yang sah dari segi undang-undang. Seperti yang dinyatakan di atas, saham amanah mendapat jaminan daripada pihak kerajaan dan semua syarikat yang menawarkan saham amanah di dalam Malaysia dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM). Sebelum memulakan pelaburan, anda perlu mendaftar terlebih dahulu dan dokumen-dokumen yang lengkap akan ditapis oleh syarikat yang menjual unit saham amanah. Jelas bahawa pelaburan melalui unit saham amanah adalah selamat dan wang yang kita gunakan untuk melabur berada dalam pihak yang dipercayai. Namun sebelum melabur, kita perlu memahami selok-belok saham amanah dan tidak menganggap bahawa keuntungan dijamin pada peratusan yang tinggi sepanjang masa. Izharnya, pelaburan saham amanah adalah sah dan selamat di sisi undang-undang kerana ramai di antara kita yang terpedaya dengan skim cepat kaya lalu merugikan wang hasil titik peluh sendiri.

Isi 2

Sebagai pelajar berminda kelas pertama, pelaburan melalui saham amanah dapat menjamin wang simpanan demi masa hadapan. Mutakhir ini, kebanyakan di antara kita bersikap seperti tidak bertohor kaki yang bermaksud selalu sibuk bekerja. Kemudian berbelanja dan melancong tanpa mengenal hari esok dek terpengaruh dengan gaya hidup selebriti yang penuh kemewahan. Akibatnya, simpanan wang di waktu persaraan tidak mencukupi dan terpaksa bekerja atau mengharapkan wang ihsan daripada anak-anak. Kerajaan telah pun menubuhkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berperanan sebagai badan yang menjaga wang persaraan pekerja-pekerja swasta di negara ini. Oleh itu, bagi menambah jumlah wang yang akan diperoleh pada waktu persaraan atau dalam jangka masa yang panjang, melabur dalam saham amanah adalah pilihan yang boleh dimanfaatkan. Langkah ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, di mana kita mempersiapkan diri sebelum ditimpa sebarang musibah. Andainya kita diberi ujian kesihatan ataupun ingin membina rumah impian, sumber daripada pelaburan saham amanah dapat digunakan pada masa kelak.

Isi 3

Pada masa yang sama, pelaburan melalui saham amanah dapat memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk melabur dengan menggunakan modal yang kecil. Hal ini kerana modal pelaburan bagi saham amanah adalah berpatutan iaitu serendah RM100. Situasi ini dapat memberi ruang kepada sesiapa sahaja yang berkelayakan untuk mengenali dunia pelaburan. Jika dibandingkan dengan saham terbuka yang ditawarkan oleh Bursa Malaysia, modal untuk melabur di syarikat gergasi seperti Petronas, Berjaya dan Felda Global Venture adalah tinggi. Tetapi, melabur pada pasaran terbuka dan menggunakan modal yang tinggi adalah berisiko tinggi. Seyogia, pelabur yang membeli unit saham amanah boleh melabur dalam syarikat gergasi kerana wang pelaburan mereka akan digunakan bersama-sama wang pelaburan sama ada orang perseorangan atau syarikat besar yang melabur dalam unit amanah seperti syarikat yang dipilih dari pelbagai sektor termasuk sektor telekomukasi, minyak dan gas, perladangan serta teknologi maklumat. Dengan jaminan dan risiko yang rendah, jelas bahawa pelabur runcit atau yang bermodalkan nilai yang rendah mendapat peluang untuk melabur.

Isi 4

Faedah lain yang didapati sekiranya pelaburan dalam saham amanah disertai oleh masyarakat adalah mengurangkan inflasi dalam negara. Hal ini sedikit sebanyak berkaitan dengan hubungan pengguna dan harga sesebuah produk atau barang yang dijual di pasaraya. Jika permintaan pengguna tinggi maka harga barang tersebut akan ditawarkan ke harga yang lebih tinggi daripada biasa dan jika tiada permintaan maka harga barang tersebut akan menjunam. Justeru, jika kita sebagai pengguna mempunyai kuasa membeli yang tinggi, kadar inflasi dapat dikurangkan. Di sinilah kepentingan melabur di saham amanah kerana ia dapat memberikan pulangan wang yang berganda walaupun dalam tempoh masa yang lama tetapi dapat menambah wang simpanan masing-masing. Tambahan pula, pelaburan saham amanah dapat membantu meningkatkan ekonomi negara kerana wang pelaburan tersebut digunakan oleh kerajaan untuk membangunkan pelbagai sektor yang menyumbang kepada pendapatan negara. Sekaligus, manfaatnya akan diterima oleh kita dalam bentuk infrastruktur yang lengkap serta peluang pekerjaan yang baik.

Penutup

Bagi menutup perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa terdapat banyak faedah jika kita melabur melalui saham amanah. Pelaburan juga boleh dikira sebagai menabung yang merupakan amalan mulia untuk diamalkan oleh sesiapa pun. Maslahat yang diperoleh dapat memberikan individu kebebasan daripada beban kewangan yang selam ini dipikul dengan berat hati dan boleh digunakan sekiranya berlaku kecemasan. Semoga masyarakat kita cakna tentang faedah melabur melalui saham amanah dan menitik beratkan pengurusan kewangan dalam kehidupan. Pihak kerajaan pula bertanggungjawab dalam meningkatkan taraf hidup rakyat di samping menjana ekonomi negara ke arah yang progesif dan berdaya saing dengan negara lain.