Karangan

Kepentingan Semangat Kejiranan Dalam Kehidupan Bermasyarakat

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Untuk mendapatkan penulisan karangan Bahasa Melayu yang cemerlang, pelajar perlu bijak mentakrif kehendak soalan yang diberikan. Penggunaan idea atau isi-isi penting yang relevan mengikut tajuk atau tema soalan. Sebagai rujukan buat pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan semangat kejiranan kepada masyarakat.

Pelajar perlu bersikap proaktif dalam menambah pengetahuan am masing-masing supaya boleh digunakan dalam penghuraian penulisan karangan. Selain itu, memasukkan kata-kata mutiara seperti jiran sepakat, membawa berkat mampu menambah nilai kepada gaya bahasa dan pengolahan para pelajar. Hasilnya penulisan karangan anda akan tampil berbeza daripada rakan-rakan dan markah yang lebih baik dapat diperoleh.

peta minda kepentingan semangat kejiranan kepada masyarakat

Kepentingan Semangat Kejiranan Mengukuhkan Semangat Perpaduan Dalam Kalangan Penduduk

Isi-isi penting

  • Memupuk semangat perpaduan
  • Memudahkan program atau aktiviti komuniti
  • Menjamin keselamatan setempat
  • Menarik minat pelancong asing
  • Melahirkan masyarakat yang harmoni
  • Membantu ketika kesusahan melanda

Baca juga: Usaha Mengatasi Vandalisme Dalam Kalangan Remaja

Contoh Karangan Kepentingan Semangat Kejiranan Kepada Masyarakat

Pendahuluan

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah membuatkan kita terlalu sibuk bekerjaya sehingga melupakan aspek kehidupan yang penting iaitu menjalinkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga. Jika diimbau pada masa dahulu, masyarakat kita mempunyai hubungan yang baik antara jiran tetangga sehingga boleh menjalankan aktiviti keramaian seperti bergotong-royong untuk menyambut sesuatu keraian atau adat resam. Gaya hidup ibarat hidup segan mati tak mahu hendaklah dielakkan kerana terdapat pelbagai manfaat sekiranya kita menjalinkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga sehingga mewujudkan semangat kejiranan yang utuh. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan apakah kepentingan semangat kejiranan kepada masyarakat-masyarakat setempat hari ini.

Isi 1

Antara kepentingan semangat kejiranan adalah memupuk perpaduan antara setiap ahli masyarakat di negara ini. Malaysia merupakan negara yang unik kerana kita mempunyai rakyat yang berbilang bangsa, kaum dan agama. Namun, disebalik perbezaan kita berjaya mencari persamaan dan berbekalkan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati serta bertolak ansur sering menjadi amalan masyarakat. Mutakhir ini, timbul anasir-anasir yang ingin memecah belahkan perpaduan yang telah terjalin begitu lama oleh masyarakat kita. Semangat kejiranan yang mantap dapat menjadi solusi bagi melawan polemik yang semakin membarah dalam komuniti pada masa kini. Persis kata peribahasa Melayu, buang yang keruh, ambil yang jernih. Natijahnya, perpaduan yang erat antara satu sama lain akan lahir apabila semangat kejiranan timbul di kawasan yang didiami oleh kita dan menjadi suri teladan hidup berjiran. Bahawasanya sikap mengambil berat adalah antara langkah-langkah untuk mengelakkan tidak kefahaman antara satu sama lain.

Isi 2

Jika dipandang pada sudut yang berlainan, semangat kejiranan dapat memudahkan penganjuran program atau aktiviti yang berbentuk komuniti. Umum sedia maklum bahawa pihak kerajaan melalui agensinya akan melakukan aktiviti di peringkat komuniti tempatan bagi menyampaikan bantuan dan sebagainya. Seandainya, masyarakat setempat mempunyai semangat kejiranan yang baik, pastinya objektif seperti penyampaian bantuan dapat diberikan kepada mereka yang berhak mendapatkannya. Sesuatu pekerjaan dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar apabila ramai pihak menyumbangkan tenaga bagai aur dengan tebing. Selain itu, kita juga dapat menjimatkan masa yang terluang dengan melakukan aktiviti bermanfaat yang lain seperti menganjurkan majlis rumah terbuka. Intihannya, masayrakat yang memupuk semangat kejiranan dapat melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan lebih cekap dan menghasilkan sesuatu yang berfaedah untuk semua.

Isi 3

Pada masa yang sama, semangat kejiranan yang kukuh akan menjamin keselamatan diri dan ahli masyarakat setempat. Keselamatan adalah perkara yang mustahak dalam menentukan seseorang untuk memilih kawasan kediaman masing-masing. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, persatuan jiran tetangga boleh ditubuhkan bagi menjalankan tugas keslsematan seperti meronda pada waktu malam. Langkah ini dapat menimbulkan rasa selamat dikalangan penduduk. Kejadian seperti rompakan, ragut dan penculikan dapat dibanteras sekiranya terdapat mata-mata yang mengawasi kawasan perumahan kita. Penjenayah juga tidak berani untuk melakukan jenayah dalam kawasan yang mempunyai semangat kejiranan yang kukuh.  Tambahan pula, ibu dan bapa akan berasa selamat untuk membiarkan anak-anak bermain di taman permainan yang berdekatan kerana ancaman jenayah telah dikurangkan. Izharnya, kesepakatan masyarakat dalam membuat sesuatu perkara boleh meningkatkan tahap keselamatan kawasan sekitar.

Isi 4

Akhir sekali, semangat kejiranan yang utuh dapat menarik pelancong asing untuk berkunjung ke negara kita. Keunikan kehidupan masyarakat majmuk merupakan antara tarikan pelancong asing di samping keindahan pulau dan gunung-ganang yang dimiliki oleh tanah air ini. Hasil kehidupan yang berlatar belakangkan pelbagai kaum, agama dan bangsa, terdapat diversiti budaya dan tradisi yang berpotensi untuk dipersembahkan kepada pelancong. Tamsilnya, penganjuran rumah terbuka pada hari perayaan menjadi medan perpaduan antara semua rakyat Malaysia dan pelancong asing berasa kagum bagaimana kita mampu menyambut perayaan bersama-sama. Kita sebenarnya mampu menjadi egen penyatuan masyarakat antarabangsa kerana kemampuan kita tinggal di bawah satu negara yang sama sejak dahulu lagi. Kesannya, semangat kejiranan bukan sahaja memberikan imej yang baik kepada negara malah semangat kejiranan dapat meningkatkan ekonomi dengan kedatangan pelancong asing ke pusat-pusat pelancongan dalam negara.

Penutup

Sebagai menutup ruang perbincangan di atas, kita dapat simpulkan bahawa pelbagai kepentingan yang terkandung dalam semangat kejiranan sekiranya kita berjaya menyemarakkannya. Bahkan ia merupakan tradisi turun-temurun yang diamalkan oleh nenek moyang kita ketika dahulu. Ibarat petikan daripada lagu hasil artis tempatan, ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bikin muafakat. Ibu dan bapa perlu memainkan peranan dalam menjaga kepentingan semangat kejiranan. Tuntasnya, semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan dasar kepada pembinaan negara Malaysia malah sumbangannya adalah mustahak bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan mencapai kemajuan yang disasarkan secara tidak langsung. Semoga rakyat kita bersatu padu dalam menghadapi segala kemungkinan di masa hadapan dan seterusnya menjadi imej perpaduan kepada masyarakat dunia demi kebaikan manusia sejagat.