Karangan

Cara-Cara Mempopularkan Permainan Tradisional

Terdapat banyak tema dan tajuk yang berpotensi untuk dijadikan pilihan soalan karangan Bahasa Melayu. Lazimnya, soalan pilihan karangan yang akan terdiri daripada lima dimensi iaitu diri sendiri, keluarga, masyarakat atau negara, antarabangsa dan kesusasteraan. Maka, pelajar perlu bersedia dengan melakukan rujukan tambahan secara atas talian. Dibawah adalah contoh karangan langkah-langkah mempopularkan permainan tradisional untuk panduan semua.

Tema soalan karangan yang berkaitan warisan, tradisi atau budaya adalah mudah untuk dihuraikan. Pelajar hanya perlu mencari isi-isi penting yang sesuai serta mencari peribahasa atau frasa-frasa menarik bagi menghasilkan penulisan karangan yang cemerlang. Selain itu, anda boleh merujuk idea yang dikongsikan di bawah bagi memberi isi yang berbeza dan menggunakan cara penghuraian yang lebih baik.

peta minda langkah mempopularkan permainan tradisional Cara-Cara Mempopularkan Permainan Tradisional

Usaha Dan Langkah Mempopularkan Permainan Tradisional

Isi-isi penting

  • Ibu, bapa dan ahli keluarga memperkenalkan permainan tradisonal
  • Memperkasa pertandingan permainan tradisional
  • Menyalurkan dana secara konsisten kepada penggiat permainan tradisional
  • Melazimi permainan tradisional dalam media massa seperti drama dan dokumentari
  • Program pertukaran budaya dengan negara lain
  • Kempen yang lebih komprehensif

Baca juga: Jenis-Jenis Pengenalan Dalam Penulisan Karangan

Contoh Karangan Langkah-Langkah Mempopularkan Permainan Tradisional

Pendahuluan 

Era pasca perindustrian dan pasca globalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyebabkan permainan tradisional semakin dilupakan dek ditelan zaman. Masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan bangsa telah mewujudkan pelbagai budaya yang wajar untuk dikekalkan untuk manfaat generasi akan datang. Permainan tradisional merupakan salah satu budaya yang membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Mereka mengisi waktu lapang dengan bermain permainan tradisional seperti guli, congkak, wau, selambut, sepak raga dan gasing bersama-sama dengan jiran tetangga mereka. Aktiviti hiburan yang dimainkan bersama-sama telah mewujudkan perpaduan dan suasana yang harmoni dalam kehidupan masyarakat pada waktu dahulu. Apakah langkah-langlah yang boleh dilaksanakan untuk mempopularkan kembali permainan tradisional pada hari ini?

Isi 1

Langkah pertama dan yang paling utama adalah memperkenalkan permainan tradisional kepada kanak-kanak atau golongan muda. Usaha ini merupakan peranan ibu, bapa dan ahli keluarga dalam memberikan tauladan kepada generasi yang baru setahun jagung bahawa bermain permainan tradisional juga menghiburkan. Ibu atau bapa boleh menghadiahkan anak-anak permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir. Selain itu, golongan muda hari ini perlu dibawa ke muzium atau pameran permainan tradisional bagi membuka mata mereka terhadap keunikan yang dimiliki oleh masyarakat kita. Peribahasa Melayu berkata, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, setiap di antara kita perlu sedar bahawa kita adalah ejen penyampai sesuatu perkara kepada orang sekeliling kita khusunya ahli keluarga dalam usaha untuk mempopularkan semula permainan tradisional masyarakat Malaysia.

Isi 2

Seterusnya, langkah untuk mempopularkan semula permainan tradisional adalah dengan memperkasa pertandingan permainan tradisional di setiap peringkat. Selain di rumah, sekolah juga boleh memainkan peranan dalam memperkenalkan permainan tradisional kepada pelajar. Tamsilnya, sekolah mempunyai aktiviti kokurikulum di mana permainan tradisional perlu diberikan perhatian oleh guru-guru. Sebuah kelab permainan tradisional boleh diwujudkan bagi mengesan pelajar yang mempunyai bakat terpendam dalam permainan tradisional. Sebagai contoh, permainan sepak raga yang memerlukan teknik yang baik oleh pemain bagi memenangi satu pertandingan. Justeru, pihak sekolah seharusnya mengambil kesempatan yang ada untuk memupuk pelajar di sekolah tentang permainan tradisional yang wujud dan boleh dimainkan oleh mereka di waktu lapang. Tambahan pula, penganjuran kempen seperti Minggu Permainan Tradisional di peringkat sekolah, daerah mahupun negeri mampu menjadi permulaan kepada usaha menaikkan semula kemasyhuran permainan tradisional seperti waktu dahulu.

Isi 3

Di samping itu, inisiatif yang wajar untuk dilaksanakan adalah dengan memberikan dana secara konsisten kepada penggiat permainan tradisonal di seluruh negara. Perkara ini sedikit sebanyak bersangkut paut dengan autonomi yang dikawal oleh pihak berkuasa dimana kematangan dan kestabilan politik adalah penting dalam mengekalkan warisan dan tradisi sesuatu bangsa. Permainan tradisional masih lagi dimainkan oleh sekumpulan kecil masyarakat yang duduk di kampung atau desa. Maka, pihak berkuasa sewajarnya membantu penggiat yang meneruskan tradisi nenek moyang kita ini untuk kekal relevan dan diperhatikan oleh seluruh masyarakat dalam negara. Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan adalah dengan membawa penggiat permainan tradisonal ini ke sekolah-sekolah atau institusi yang melibatkan masyarakat secara amnya. Dengan cara ini, mereka dapat memperkenalkan permainan tradisional mereka dengan lebih berkesan. Contohnya, pemain gasing boleh menunjukkan jenis-jenis gasing yang ada dan menunjukkan demo atau cara untuk melawan gasing dengan rakan-rakan. Tambahan pula, peggiat permainan tradisional ini boleh menjual secara terus kepada mereka yang berminat untuk membeli dan bermain di halaman rumah masing-masing. Intihannya, pemberian sokongan yang konsisten kepada penggiat permainan tradisional dapat membantu mereka untuk kekal relevan dan menjadi popular.

Isi 4

Akhir sekali, media massa juga berperanan untuk mempopularkan semula permainan tradisional yang kian dilupakan. Stesen televisyen, media cetak dan media elektronik merupakan medium penyampai yang utama kepada masyarakat hari ini. Oleh itu, inisiatif yang boleh digarap adalah dengan memperbanyakkan dokumentasi tentang permainan tradisional. Mungkin generasi muda dewasa ini menjumpai congkak atau batu seremban apabila mereka pulang ke kampung tetapi tidak tahu bagaimana untuk bermain. Maka, mereka akan merujuk kepada media massa yang mudah dan ringkas bagi mereka untuk mempelajari dan mengetahui tentang cara permainan congkak ataupun batu seremban yang mereka jumpai. Selain itu, penggiat seni juga wajar melazimi permainan tradisional dalam segala bentuk seni yang mereka ketengahkan. Misalnya, produk animasi tempatan yang semakin mendapat perhatian masyarakat kita boleh menggunakan elemen permainan tradisional dalam jalan cerita mereka. Permainan sepeti gasing boleh menjadi senjata dan rekabentuk wau sebagai kapal terbang. Kesannya, kanak-kanak akan mempersoalkan dan berfikir akan apakah elemen menarik dalam animasi fiksyen kegemaran mereka.

Penutup

Secara tuntas, pelbagai langkah boleh direalisasikan untuk mempopularkan semula permainan tradisional dalam kalangan masyarakat hari ini. Permainan tradisional adalah salah satu warisan dan budaya bangsa yang perlu dipelihara dan diraikan agar tidak tenggelam akibat kemodenan serta kehadiran teknologi hari ini. Seperti yang dihuraikan di atas, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha yang ingin dilaksanakan. Kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usulnya dengan mengabaikan peninggalan warisan nenek moyang kita. Semoga setiap di antara kita sedar dan melakukan sesuatu bagi memastikan generasi akan datang mengetahui dan memelihara keunikan budaya dan warisan mereka tanpa ditelan arus kemajuan dunia.