Karangan

Faedah Belajar Menggunakan Komputer Kepada Murid Dalam Pembelajaran

Untuk makluman pelajar, penulisan karangan Bahasa Melayu terdiri daripada pelbagai tajuk dan tema. Hal ini demikian kerana variasi tajuk dan tema dapat menguji pengetahuan am pelajar disamping menilai penguasaan Bahasa Melayu masing-masing. Justeru, pelajar seharusnya melakukan persiapan yang banyak sebelum menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya berkaitan penulisan karangan. Sebagai rujukan kepada pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan faedah-faedah belajar menggunakan komputer.

Tajuk soalan penulisan karangan berkaitan faedah atau manfaat seharusnya mudah bagi pelajar kerana ia memerlukan huraian berkaitan topik tersebut dan kesannya terhadap golongan yang dimaksudkan dalam soalan. Tambahan pula, penggunaan komputer merupakan satu kelaziman bagi masyarakat hari ini terutamanya para pelajar. Diharapkan dengan perkongsian di bawah, pelajar dapat memberikan idea yang bernas dan menghasilkan karangan yang cemerlang.

peta minda faedah belajar menggunakan komputer Faedah Belajar Menggunakan Komputer Kepada Murid Dalam Pembelajaran

Faedah-Faedah Belajar Menggunakan Komputer Kepada Murid

Isi-isi penting

  • Menarik minat dan perhatian pelajar
  • Memudahkan perkongsian dan storan maklumat
  • Meransang kreativiti dan kemahiran pelajar
  • Mendapat akses kepada Internet
  • Menggalakkan pembelajaran secara kendiri
  • Melahirkan generasi yang progresif

Baca Juga: Cara Untuk Menghargai Warga Emas/ Tua

Contoh Karangan Faedah-Faedah Belajar Menggunakan Komputer Dalam Pembelajaran

Pendahuluan

Marcapada ini, perkembangan teknologi telah mempengaruhi pelbagai sudut kehidupan manusia sehingga mengubah gaya hidup masyarakat konvensional menjadi lebih progresif dan global. Antara ciptaan teknologi yang memberi impak yang sangat besar kepada kita adalah komputer. Secara umum, komputer adalah peralatan elektronik yang menerima masuk data, mengolah data dan memberikan hasil keluaran dalam bentuk informasi berbentuk gambar, teks, suara atau video. Kini ia telah menerima inovasi sehingga tercipta pelbagai variasi komputer seperti komputer riba dan tablet. Kepelbagaian jenis komputer ini telah dicipta bagi memenuhi kehendak pengguna yang menggunakan gajet ini pada perkara yang berbeza sama ada untuk pekerjaan, permainan atau pembelajaran. Jika ditelusuri dengan mendalam, komputer telah memberi kesan yang positif terhadap penggunaannya dalam sektor pendidikan khususnya di institusi pendidikan. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan apakah faedah-faedah belajar menggunakan komputer kepada para pelajar yeng merupakan pemangkin masa hadapan negara.

Isi 1

Manfaat utama dalam mengetengahkan pembelajaran menggunakan komputer adalah kemampuannya menarik minat dan perhatian pelajar. Sebelum ini, cara pembelajaran di dalam kelas memerlukan tumpuan pelajar terhadap pengajaran atau kuliah yang diberikan oleh guru-guru. Proses pembelajaran yang pasif dan membosankan ini telah mengakibatkan pelajar kurang minat dan tercicir kerana tidak mendapat perhatian yang cukup ketika di dalam kelas. Pembelajaran menggunakan komputer dapat menarik minat pelajar kerana dalam proses pengajaran, penggunaan video dan audio dapat menangkap perhatian pelajar serta pelbagai elemen seperti animasi dapat digunakan. Pendekatan ini dapat menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas untuk lebih aktif serta mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Corak pembelajaran yang interaktif mampu melahirkan hubungan yang berkesan antara guru dan pelajar seterusnya objektif pembelajaran dapat dicapai dengan baik.

Isi 2

Di samping itu, pembelajaran menggunakan komputer dapat memudahkan perkongsian dan storan maklumat dalam kalangan pelajar serta guru. Penggunaan buku dan kertas dalam proses pembelajaran menggunakan sumber alam yang terhad serta tenaga yang banyak untuk menulis atau mencatat nota. Dengan wujudnya komputer, pelajar dan guru boleh berkongsi nota-nota penting berkenaan mata pelajaran yang dipelajari menggunakan emel atau aplikasi seperti Micrsoft Office dan Google Drive. Malahan, tugasan sekolah juga boleh dilakukan secara lebih efisien menggunakan aplikasi di komputer. Storan nota atau tugasan tidak memerlukan ruang yang besar di rumah kerana segala maklumat daripada komputer boleh disimpan dengan percuma secara maya. Walaupun kos menggunakan komputer dalam pembelajaran adalah tinggi jika dibandingkan dengan kaedah lama tetapi ia secara langsung dapat membantu memelihara sumber alam yang semakin diancam kepupusan. Izharnya, generasi muda yang celik teknologi serta prihatin terhadap alam sekitar dapat dilahirkan.

Isi 3

Faedah lain yang akan diperoleh para pelajar sekiranya menjalani pembelajaran menggunakan komputer adalah kreativiti dan kemahiran pelajar dapat diransang. Hal ini demikian kerana, pelajar merupakan kanak-kanak yang setahun jagung dan mempunyai imaginasi tanpa batasan. Oleh itu, dengan menggunakan aplikasi teknologi di komputer, pelajar dapat mengekspresi daya kreativiti mereka melalui tugasan yang diberikan oleh guru. Misalnya, tugasan yang memerlukan pelajar mencipta video mengenai bulan kemerdekaan. Pelajar dapat pendedahan dalam menggunakan teknologi lain seperti kamera dan mikrofon seterusnya aplikasi suntingan video. Situasi ini bukan sahaja meransang kreativiti para pelajar malah menambah kemahiran pelajar secara kendiri. Persis peribahasa Melayu, sambil menyelam minum air. Kaedah ini memberikan kebebasan kepada pelajar dalam mencari cara sendiri untuk menghasilkan sebuah video yang mampu menarik perhatian penonton serta menyampaikan mesej yang dikehendaki oleh guru-guru.

Isi 4

Akhir sekali, belajar menggunakan komputer dapat membantu pelajar mengakses Internet yang merupakan hub informasi dunia. Kelahiran teknologi Internet telah mengubah landskap informasi dan komunikasi secara global. Pelajar kini boleh mengakses internet untuk mendapatkan maklumat tanpa batasan masa dan waktu mengenai apa sahaja perkara dengan hanya menggunakan hujung jari. Selain itu, pelajar juga boleh berkomunikasi secara maya dengan rakan atau guru sekiranya terdapat persoalan atau perbincangan mengenai pembelajaran di sekolah. Dengan kepantasan maklumat dan komunikasi, pelajar dapat menjimatkan masa dalam melakukan tugasan sekolah dan menumpukan perhatian lebih kepada mengulang kaji pelajaran kerana masa itu emas. Intihannya, pelajar akan mempunyai pengetahuan am yang tinggi sekiranya menggunakan Internet sebagai medium pembelajaran dan secara tidak langsung membentuk generasi yang peka dan cakna terhadap isu semasa tempatan mahupun global.

Penutup

Konklusinya, pelbagai faedah yang akan diperoleh pelajar apabila menggunakan komputer dalam pembelajaran. Ia bukan sahaja memudahkan proses pembelajaran bagi pelajar malahan memudahkan urusan pengajaran oleh guru. Justeru, semua pihak terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya merencana perkembangan pendidikan negara berlandaskan teknologi yang merupakan elemen penting untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi. Persis kata peribahasa Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Semoga segala inisiatif dirancang rapi dan diselaraskan dengan baik agar setiap golongan masyarakat mendapat peluang pendidikan yang saksama. Hak untuk mendapat pendidikan adalah hak asasi setiap manusia. Dengan bantuan daripada pihak berkuasa, polisi atau dasar yang mendokong pendidikan berteraskan teknologi dan sains di samping memelihara sejarah, alam dan sosiobudaya pasti akan mewujudkan masyarakat yang inteligensia dan berkemahiran tinggi. Sekaligus negara kita akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.