Karangan

Kejayaan Negara Dalam Perindustrian Tren Laju Harapan Masa Depan

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Tajuk soalan yang mencabar bagi penulisan karangan Bahasa Melayu lazimnya akan dikeluarkan dalam peperiksaan. Oleh itu, pelajar perlu sentiasa bersedia dengan membaca pelbagai jenis karangan untuk medapat idea dan isi-isi penting. Di bawah dikongsikan contoh karangan berkenaan Kejayaan Negara Dalam Perindustrian Tren Laju Harapan Masa Depan sebagai rujukan untuk semua.

Tema berkaitan tajuk soalan di atas memerlukan pelajar untuk menulis fakta yang tepat bersama huraian yang betul. Jika anda memberikan contoh atau statistik yang membantu pembaca untuk memahami isi penting, pasti penulisan karangan anda mendapat markah yang baik. Tambahan pula, penggunaan bahasa yang menarik seperti peribahasa atau penanda wacana meningkatkan peluang anda untuk mendapat markah yang cemerlang.

peta minda kejayaan negara dalam perindustrian tren laju

Kejayaan Negara Dalam Perindustrian Tren Laju (Kepentingan Pengangkutan)

Isi-isi penting

  • Meningkatkan jaringan perhubungan
  • Membuka peluang pekerjaan
  • Merancakkan ekonomi tempatan
  • Mengurangkan pelepasan karbon
  • Meningkatkan sektor pelancongan
  • Menjadi produk untuk pasaran antarabangsa

Contoh Karangan Kejayaan Negara Dalam Perindustrian Tren Laju Harapan Masa Depan

Pendahuluan

Dalam mendepani era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi, pelbagai perkembangan yang telah dicapai oleh tamadun manusia pada hari ini. Dengan perkongsian ilmu dan kemahiran, kajian sains serta ciptaan teknologi telah banyak membantu perkembangan hidup kita. Jika dahulu manusia perlu menaiki kapal laut selama berminggu-minggu untuk melancong atau bergerak ke benua yang lain. Tetapi kini, kemudahan seperti kapal terbang dan tren laju telah memudahkan usaha seseorang untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lebih jauh. Masa perjalanan dapat disingkatkan malah keselesaan juga bertambah baik berbanding cara pengangkutan terdahulu. Di Malaysia, penggunaan tren laju masih tidak diimplementasikan kerana jumlah pengguna belum mencapai tahap yang diperlukan. Namun begitu, wajar untuk kita melihat potensi jenis pengangkutan ini kerana ia mampu memangkin kejayaan negara dalam perindustrian & pengangkutan demi masa depan Malaysia.

Isi 1

Pada hemat saya, pengangkutan tren laju mempunyai potensi yang cukup besar di negara kita kerana ia dapat meningkatkan jaringan perhubungan. Perkhidmatan tren sedia ada yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu  Berhad (KTM) memerlukan penambahbaikan bagi menampung jumlah pengguna pada masa akan datang. Kita boleh menyaksikan bahawa setiap kali musim perayaan, jalan raya ke Pantai Timur pasti akan sesak dengan kenderaan. Selain alternatif menaiki kapal terbang, penggunaan tren laju pasti dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas pada tempoh tersebut. Di luar musim perayaan pula, perkhidmatan tren laju dapat membantu industri pelancongan kerana jarak perjalanan yang jauh dapat dipendekkan masa perjalanannya. Penduduk dari negeri Selangor misalnya dapat berkunjung ke Terengganu dalam masa satu atau dua jam dan pulang pada hari yang sama. Begitu juga potensi yang boleh berlaku sekiranya Negeri Sarawak dan Sabah mempunyai satu perkhidmatan tren laju untuk penduduk dan juga pelancong memanfaatkannya.

Isi 2

Kejayaan lain yang menguntungkan negara sekiranya tren laju dilaksanakan adalah ia dapat membuka banyak peluang pekerjaan. Dari pembinaan sehinggalah ke penyelenggaraan perkhidmatan tren, ia pasti memberikan peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman dan latar belakang akademik yang berkaitan untuk bekerja di bawah infrastruktur ini. Projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah dilancarkan sebelum ini sewajarnya diberikan kepada syarikat tempatan kerana ia akan memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk berkhidmat dan mencurahkan bakti kepada negara tercinta. Sekiranya terdapat jurang pengalaman dan kemahiran, pihak yang berkenaan boleh mencari sumber atau konsultasi daripada pihak luar yang berminat untuk berkongsi kepakaran pada kos yang berpatutan. Hal ini kerana, tren laju merupakan pengangkutan untuk orang awam, menggunakan hasil daripada orang awam dan seharusnya segala manfaat dan kelebihan dinikmati oleh orang awam. Izharnya, jika syarikat tempatan mampu menghasilkan rangkaian tren laju yang terbaik untuk negara, ia pasti berpotensi untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Isi 3

Perindustrian tren laju juga dapat meningkatkan ekonomi tempatan khususnya sektor pelancongan. Seperti yang telah saya jelaskan, apabila sebuah jaringan perhubungan ditambah baik, pasti pelbagai ekonomi akan bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan. Pusat-pusat tumpuan pelancongan yang sebelum ini sukar untuk dikunjungi kerana perlu menempuh masa perjalanan yang panjang boleh dinikmati oleh semua pelancong. Jumlah inap desa, hotel, restoran pasti akan bertambah bagi menampung kedatangan pelancong domestik mahupun antarabangsa. Pihak berkuasa tempatan boleh bekerjasama dengan masyarakat tempatan untuk merancang aktiviti dan juga pembangunan yang terbaik bagi penduduk untuk mendapat manfaat daripada pembinaan tren laju dan juga stesennya yang berdekatan. Masyarakat tempatan tidak perlu lagi keluar daripada kawasan luar bandar untuk mencari rezeki kerana industri seperti pelancongan dapat dijalankan di kawasan perkampungan mereka. Inisiatif ini secara tidak langsung dapat merealisasikan wawasan kemakmuran bersama yang diwar-warkan oleh pemimpin negara.

Isi 4

Pada sudut pandang yang berlainan, perindustrian tren laju dapat mengurangkan pelepasan karbon dalam negara kita. Secara umumnya kita mengetahui jaringan pengangkutan di dalam negara kebanyakannya adalah melalui jalan raya dan diakses menggunakan kereta atau motorsikal. Pengangkutan ini menggunakan bahan api yang melepaskan karbon ke udara dan menjadikan tahap kebersihan udara tercemar. Demi memastikan anak dan cucu kita hidup dalam suasana yang sihat dan sejahtera, kita perlu bertindak sekarang untuk menyelamatkan sumber alam semula jadi daripada tercemar dan mengancam masa hadapan mereka. Dengan teknologi terkini, pembinaan tren laju yang mesra alam dapat dilaksanakan. Sebagai contoh, tren atau keretapi menggunakan elektrik sebagai bahan api dan sumbernya adalah sumber yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan hidroelektrik. Lalun trek yang akan dibina pula haruslah tidak mengganggu habitat flora dan fauna dan pastikan ia sentiasa dipelihara dengan baik tanpa menerima sebarang akibat daripada pembinaan tren laju.

Penutup

Kesimpulannya, perindustrian tren laju dalam negara bakal memberikan pelbagai kejayaan khusus buat generasi masa hadapan. Jika semua ahli masyarakat berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, pasti visi kudsi ini dapat direalisasikan bersama manfaat yang menguntungkan semua pihak. Pemimpin negara seharusnya meletakkan kehendak politik dalam memberikan infrastruktur yang terbaik untuk rakyat. Elakkanlah menabur janji dan mengaut keuntungan demi kepentingan diri sebaliknya jujur dalam melaksanakn amanah dan percaya kepada tenaga kerja tempatan untuk menghasilkan yang terbaik untuk negara yang tercinta. Jika tidak diberikan peluang, di mana hasil kerja untuk kita menilainya. Persis kata peribahasa Melayu, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Semoga segala usaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat di dalam Malaysia mencapai objektif dan kejayaan dari usaha kolektif seluruh anggota masyarakat di tanah air ini.