Karangan

PKP Mendisiplinkan Rakyat Malaysia (Contoh Karangan)

Penulisan karangan Bahasa Melayu selalunya akan memberikan pilihan soalan yang berkaitan dengan isu semasa. Pelajar bukan sahaja perlu menguasai penggunaan Bahasa Melayu tetapi juga mempunyai pengetahuan am supaya dapat menjawab soalan yang memerlukan fakta yang betul dan tepat. Oleh yang demikian, berikut dikongsikan contoh karangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mendisiplinkan Rakyat Malaysia untuk rujukan semua.

Umum mengetahui bahawa seluruh rakyat Malaysia terpaksa duduk di rumah bagi memutuskan rangkaian penularan COVID-19 di dalam negara. Kerajaan telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menutup pelbagai sektor dalam negara sehingga menyebabkan ekonomi negara terjejas teruk. Oleh itu, pastinya terdapat perbincangan atau karangan yang boleh diolah pelajar bagi menghasilkan penulisan karangan yang cemerlang.

peta minda contoh karangan pkp mendisiplinkan rakyat malaysia PKP Mendisiplinkan Rakyat Malaysia (Contoh Karangan)

Karangan PKP : Disiplin Rakyat Antara Faktor Penting Pandemik COVID-19

Isi-isi Penting

  • Masyarakat lebih peka terhadap penjagaan kebersihan diri dan persekitaran
  • Pematuhan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa
  • Kecaknaan menjaga keselamatan diri di semua tempat khususnya kawasan-kawasan awam
  • Masyarakat mula mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih
  • Kesihatan kendiri menjadi keutamaan masyarakat

Baca juga: Kesan Buruk Ketagih Kepada Media Sosial

Contoh Karangan PKP Mendisiplinkan Rakyat Malaysia

Pendahuluan

Peribahasa malang tidak berbau amat sesuai untuk digunakan dengan peristiwa yang berlaku pada tahun 2020. Umum mengetahui bahawa berlaku penularan wabak yang diberi nama COVID-19 bukan sahaja di negara kita malah di seluruh Dunia. Seperti yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, wabak yang menyebabkan ratusan malah ribuan nyawa terkorban telah diisytiharkan sebagai pandemik yang melanda dunia. Penghasilan ubat atau vaksin akan memakan masa yang lama kerana perlu melalui pelbagai fasa dan peringkat. Justeru, hampir keseluruhan negara mengambil tindakan untuk mengarahkan masayarakat berkuarantin di rumah dalam tempoh masa tertentu. Di Malaysia, Majlis Keselamatan Negara telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac hingga 9 Jun bagi membendung penularan wabak ini. Hasilnya, lengkung penularan COVID-19 dalam negara dapat dikendurkan dan dikawal hasil usaha masyarakat dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Persoalannya, adakah PKP telah mendisiplinkan rakyat Malaysia?

Isi 1

Pada hemat saya, PKP menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia mampu berdisiplin apabila menghadapi situasi seperti pandemik yang mengancam kesihatan dan juga nyawa masing-masing. Masyarakat awam dilihat lebih peka terhadap penjagaan kebersihan diri dan persekitaran mereka. Misalnya, budaya mencuci tangan dengan sabun atau pembersih alkohol yang disyorkan berjaya diamalkan sekaligus mencegah penularan wabak tersebut yang sukar dilihat dengan mata kasar seorang manusia. Berbekalkan ilmu sains yang dipelajari di sekolah, ramai dalam kalangan masyarakat peka bahawa cara untuk membendung wabak ini daripada merebak dalah dengan menjaga kebersihan. Tambahan pula, perkongsian informasi daripada pihak berkuasa dan golongan professional menguatkan lagi kesedaran masyarakat supaya berdisiplin menjaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling kita. Apabila kebersihan menjadi tunjang masyarakat, pastinya pelbagai penyakit-penyakit berjangkit yang berpunca daripada kebersihan dapat dibanteras dan melahirkan masyarakat yang sihat serta persekitaran yang kondusif. Tuntasnya menjaga kebersihan dalam kalangan rakyat menjadi disiplin baru yang semakin dipandang serius kerana kita tidak mahu bersikap seperti sudah terhantuk baru terngadah.

Isi 2

Sebagai langkah membentuk masyarakat berminda kelas pertama, kita dapat lihat bahawa pematuhan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa oleh ahli masyarakat wajar dipuji. Walaupun terdapat segelintir yang ingkar dengan arahan yang dikeluarkan namun, lebih ramai yang patuh dan akur dengan perintah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Kadar pematuhan masyarakat untuk duduk di rumah dan mematuhi prosedur yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakkan fizikal serta merekodkan kehadiran di sesuatu tempat adalah baik. Jika dibandingkan dengan masyarakat di negara seperti Indonesia serta Amerika Syarikat bersikap seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri, masyarakat di negara kita sedar akan kepentingan mendengar arahan pihak berkuasa. Hasilnya, penularan wabak dapat dibendung dan kes positif COVID-19 khususnya kes tempatan dapat dikurangkan. Peribahasa Melayu berkata, hanya jauhari mengenal manikam yang bermaksud kita perlu percaya dan berharap kepada pakar dan golongan professional dalam membendung penularan wabak COVID-19 ini. Izharnya, mematuhi arahan bukanlah perkara baharu dalam masyarakat kita tetapi apabila menghadapi bencana yang melibatkan seluruh negara, ia adalah mustahak supaya penyelarasan prosedur pencegahan dapat berlaku dengan baik.

Isi 3

Kecaknaan menjaga keselamatan diri di semua tempat khususnya kawasan-kawasan awam seperti pasaraya dan restoran menjadi bukti kepada tahap disiplin oleh rakyat Malaysia. KKM telah pun mengeluarkan garis panduan kepada setiap pihak untuk ikuti norma baharu yang diwar warkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contoh, pembelajaran secara maya dan budaya bekerja dari rumah yang semakin digalakkan oleh organisasi dan syarikat daripada pelbagai industri. Langkah ini secara langsung membataskan pergaulan ahli masyarakat serta memutuskan rangkaian penularan COVID-19 yang mudah merebak di kawasan tertutup serta melibatkan orang ramai. Tambahan pula, sikap berani ahli masyarakat melaporkan kepada pihak berkuasa terhadap mereka yang melanggar arahan KKM untuk berkuarantin tetapi keluar dan berada di kawasan awam adalah baik. Hal ini kerana terdapat mereka yang kurang cakna dan memakai gelang pemerhatian KKM didapati positif COVID-19 dan menyebabkan kluster atau rantaian penularan yang baru. Kesannya, ramai yang terjejas dan menerima mudarat kerana tidak dapat bekerja dan mencari rezeki untuk diri sendiri dan ahli keluarga dalam tempoh ekonomi yang serba mencabar ini.

Isi 4

Bukti lain yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menjadi lebih berdisiplin setelah menghadapi PKP adalah ramai di antara mereka mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih. Kepantasan perkongsian maklumat hari ini telah memberikan kesan yang baik dan buruk. Kesan buruknya dalah penyebaran berita palsu yang boleh menyebabkan fitnah serta panik timbul dalam kalangan masyarakat. Tetapi kesan yang baik adalah masyarakat bersikap cakna dan lebih peka untuk menghadapi sesuatu perkara atau bencana seperti pandemik ini. Apa yang dapat dilihat adalah ahli masyarakat akan menunggu pengumuman dan berita yang dikeluarkan oleh jabatan atau agensi kerajaan bagi mendapatkan info terkini mengenai COVID-19 dan juga bantuan kerajaan yang ditawarkan. Ini menunjukkan bahawa rakyat sudah bijak untuk membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Persis slogan yang dimasyhurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini iaitu jika tidak pasti, jangan kongsi.

Penutup

Kesimpulannya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diarahkan berjaya mengubah dan membentuk disiplin rakyat Malaysia. Dalam usaha memerangi musuh yang tidak dilihat secara zahir dan mampu memakan nyawa kita, masyarakat menjadi lebih bertanggungjawab dan mendapat kesedaran yang baharu. Usaha dan peranan yang dijalankan setiap pihak bagi membendung penularan wabak COVID-19 harus dihargai dengan terus mematuhi arahan dan panduan KKM sehingga penawar atau vaksin berjaya dihasilkan untuk semua. Sebagai rakyat yang sayang dan cinta akan negara kita hendaklah bersikap bagai aur dengan tebing membantu antara satu sama lain jika melihat ahli masyarakat yang dalam kesusahan atau memerlukan bantuan. Bak kata pepatah Melayu, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian. Semoga kesabaran kita menempuh norma baharu ini memberikan hasil yang memanfaatkan masa hadapan diri kita, masyarakt dan juga negara.

Related : kluster baharu jarak sosial prosedur operasi standard sop, kerajaan untuk memutuskan rantaian covid-19 gaya hidup tan sri zon merah pelaksanaan pkp, sumber pendapatan pelbagai aktiviti masa lapang