Karangan

Kebaikan Koperasi Sekolah (Faedah Dan Kelebihan)

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Untuk meningkatkan penguasaan pelajar terhadap Bahasa Melayu, penulisan karangan merupakan salah satu bahagian yang penting selain daripada Komponen Sastera (KOMSAS) yang menguji pemahaman pelajar. Gaya penulisan dan pengetahuan am pelajar menjadi penting untuk digunakan dalam soalan penulisan karangan. Bagi membantu pelajar bersedia menghadapi peperiksaan atau ujian, berikut dikongsikan contoh karangan kebaikan koperasi sekolah (faedah dan kepentingan) untuk rujukan semua.

Koperasi merupakan satu tempat yang dekat dengan pelajar-pelajar. Oleh itu, soalan atau tema yang berkenaan pasti dapat dihuraikan dengan baik oleh pelajar. Hal ini kerana pelajar pernah menghadapi situasi menjadi ahli koperasi ataupun membeli sesuatu daripada koperasi sekolah. Justeru, pelajar perlu berusaha untuk memberikan penulisan dan huraian serta contoh-contoh yang terbaik sesuai dengan kehendak soalan yang diberikan.

peta minda contoh karangan kebaikan koperasi sekolah

Kebaikan Koperasi Sekolah (Faedah Penubuhan)

Isi-Isi Penting

  • Mendedahkan pelajar kepada asas perniagaan
  • Menambah sumber kewangan sekolah
  • Mudah mendapat barangan dan perkhidmatan
  • Memupuk nilai-nilai murni
  • Mendapat harga barang yang lebih murah

Baca juga : Cara Daftar Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah

Contoh Karangan Kebaikan Penubuhan Koperasi Sekolah Kepada Warga Sekolah

Pendahuluan

Sebagai pelajar, kita pastinya pernah membelanjakan wang untuk membeli sesuatu barang seperti alat tulis atau buku nota di koperasi sekolah. Perkara ini menjadi bukti bahawa kewujudan koperasi sekolah adalah signifikan bagi para pelajar khususnya. Untuk makluman, koperasi sekolah menggunakan konsep sebuah syarikat usahasama yang terdiri daripada beberapa individu iaitu pelajar dan guru yang memegang saham syarikat tersebut. Oleh itu, sekiranya koperasi sekolah diuruskan dengan baik maka hasil yang baik juga akan dimanfaat oleh warga sekolah. Mari kita bincangkan kebaikan koperasi sekolah sama ada faedah dan kepentinganya dengan huraian secara terperinci demi kemaslahatan bersama.

Isi 1

Antara kebaikan penubuhan koperasi sekolah adalah ia dapat mendedahkan pelajar kepada asas perniagaan. Lazimnya, koperasi sekolah akan membuka keahlian kepada pelajar dan guru untuk bersama-sama menguruskan semua urusan jual beli, kewangan dan bermacam lagi. Dengan penglibatan daripada pelajar, mereka dapat melalui pengalaman menguruskan sebuah perniagaan daripada menempah barang jualan sehingga menjual kepada pengguna. Ini secara tidak langsung telah memberikan pelajar didikan di luar kelas yang mampu membentuk pelajar yang lebih holistik untuk diri mereka. Tambahan pula, ia dapat membuka minat pelajar untuk menceburi bidang berkaitan perniagaan seperti perakaunan atau keusahawanan yang boleh menjadi  profesion mereka setelah menjadi dewasa kelak. Situasi ini bertepatan dengan pepatah melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Izharnya, koperasi sekolah membuka peluang pelajar dalam mempelajari bidang perniagaan yang tidak boleh didapati di dalam kelas.

Isi 2

Pada masa yang sama, koperasi sekolah memberi faedah dari segi menambah sumber kewangan sekolah. Seperti yang telah saya sebutkan, jika perniagaan diuruskan dengan baik maka, keuntungannya akan berganda-ganda. Mutakhir ini, keadaan ekonomi yang tidak menentu serta kenaikan kos sara hidup sedikit sebanyak menganggu perihal kewangan pelajar dan juga guru. Sumbangan yang diterima daripada Persatuan Ibu, Bapa dan Guru (PIBG) tidak memberangsangkan dan merencat beberapa aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah. Justeru, koperasi sekolah boleh menjadi sumber alternatif daripada pihak sekolah untuk mendapatkan bantuan kewangan. Seabhagian keuntungan yang diperoleh hasil jualan daripada koperasi sekolah dapat disumbangkan kepada pihak sekolah pada setiap tahun. Pihak sekolah pula hendaklah memanfaatkan sumbangan tersebut dengan baik dimana ia boleh digunakan untuk memperbaiki atau menambah infrastruktur sekolah atau menganjurkan aktiviti yang memanfaatkan warga sekolah. Kesannya, setiap warga sekolah akan berasa selesa dan gembira apabila keuntungan pembelian mereka di koperasi sekolah digunakan untuk memanfaatkan mereka juga.

Isi 3

Kepentingan lain wujudnya koperasi di sekolah adalah ia memudahkan pelajar serta guru untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan di sekolah. Kadang kala, guru atau ibu bapa tidak mempunyai masa untuk memastikan pelajar membawa segala alat tulis yang perlu untuk digunakan di dalam kelas, maka koperasi sekolah dapat memastikan pelajar sentiasa mempunyai barang seperti alat tulis demi pembelajaran yang lebih selesa. Selain itu, perkhidmatan seperti fotostat yang diadakan di beberapa koperasi sekolah dapat membantu guru dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Malahan harga barang atau perkhidmatan yang disediakan di koperasi sekolah adalah lebih murah berbanding di luar sekolah. Hal ini secara langsung dapat membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk memiliki alat tulis atau buku nota yang sama seperti pelajar lain. Intihannya, koperasi sekolah sangat penting  untuk memudahkan urusan warga-warga sekolah.

Isi 4

Dari sudut yang lain, koperasi sekolah dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar. Hal ini kerana, pelajar yang terlibat menjadi ahli koperasi akan menghadapi pelbagai situasi yang menguji jati diri mereka. Contohnya apabila ditugaskan untuk menjaga urusan jual beli di koperasi, pelajar perlu bersifat amanah untuk menjaga urusan kewangan yang terlibat dengan memberikan jumlah pulangan baki yang tepat serta tidak mengambil wang ke dalam poket sendiri. Pelajar juga akan terdedah dengan sifat menepati masa kerana perlu menghadirkan diri pada masa yang tepat apabila bertugas menjaga koperasi sekolah masing-masing. Tegasnya, banyak nilai murni yang dapat disemat dalam diri pelajar sekiranya mereka melibatkan diri dengan koperasi sekolah. Persis peribahasa Melayu, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Penutup

Kesimpulannya, banyak manfaat dan kebaikan koperasi sekolah kepada pelajar dan guru. Sesungguhnya, aktiviti seperti menyertai koperasi sekolah oleh pelajar adalah mustahak bagi mereka untuk mempelajari sesuatu di luar bilik darjah. Pengalaman yang bakal mereka peroleh tidak menyumbang kepada akademik mereka tetapi membantu dalam membentuk diri dan kemahiran mereka untuk masa akan datang. Kita tidak mahu anak-anak muda menjadi seperti katak di bawah tempurung apabila menjadi seorang dewasa. Justeru, pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat dan juga kerajaan perlu berganding bahu dalam menyokong setiap inisiatif yang dapat meningkatkan tahap koperasi sekolah agar ia memberikan manfaat yang berganda kepada semua warga sekolah. Sekaligus dapat membentuk komuniti yang pandai berniaga dengan etika dan nilai murni yang terbaik.

Related : samping itu koperasi sekolah, ahli lembaga pengarah, pelajar dapat menjimatkan, bahawa koperasi sekolah, pasar raya, faedah kepada warga sekolah, jelaslah bahawa, berniaga di koperasi, diberikan oleh ibu bapa, membeli barangan keperluan sekolah, guru dan murid, semangat berniaga dalam kalangan, terang lagi bersuluh, menjimatkan masa, kerana koperasi, harga yang murah