Karangan

Tanggungjawab Dan Kepentingan Menjaga Harta Benda Awam

Pelajar-pelajar perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan am dan isu-isu terkini untuk menjawab soalan karangan Bahasa Melayu. Pelajar digalakkan untuk melakukan latihan tambahan supaya dapat mencari gaya penulisan terbaik untuk mendapat markah yang cemerlang dalam peperiksaan. Berikut adalah contoh karangan kepentingan menjaga harta benda awam dikongsikan untuk rujukan atau panduan para pelajar.

Penulisan karangan hendaklah mempunyai idea yang kreatif dan isi yang seimbang. Selain itu, penggunaan peribahasa dan tiada kesalahan tatabahasa akan membuatkan penulisan karangan pelajar lebih menarik untuk dibaca seterusnya berpotensi mendapat markah yang cemerlang. Untuk memastikan penuklisan karangan pelajar mencapai kehendak penanda kertas, pelajar boleh merujuk bimbingan daripada guru-guru.

Tanggungjawab Masyarakat Dan Kepentingan Menjaga Harta Benda Awam

peta minda menjaga harta benda awam 1 Tanggungjawab Dan Kepentingan Menjaga Harta Benda Awam

Isi-isi penting

  • memudahkan pengguna yang memanfaatkan kemudahan tersebut seperti telefon awam, taman permainan
  • menghargai inisiatif kerajaan untuk memberi kemudahan awam
  • merupakan pusat perkembangan masyarakat seperti sekolah
  • menjadi medium penyatuan bangsa dan kaum
  • melambangkan sikap dan budaya rakyat
  • memupuk sikap saling berkongsi dan toleransi

Baca juga: Koleksi Peribahasa Melayu Serta Maksudnya

Contoh Karangan Kepentingan Menjaga Harta Benda Awam

Pendahuluan

Dewasa ini, kes vandalisme terhadap kemudahan-kemudahan awam semakin menjadi-jadi. Antaranya adalah seperti tempat menunggu bas dirosakkan tempat duduknya dan diconteng dengan tulisan-tulisan yang tidak enak untuk dilihat. Kemudahan awam sepatutnya berfungsi untuk memudahkan urusan orang awam dalam aktiviti harian mereka. Fasiliti-fasiliti seperti tandas awam, kawasan rekreasi, pejabat pos, sekolah mahupun hospital dan rumah ibadat adalah dibangunkan dengan menggunakan hasil cukai daripada rakyat sendiri. Alangkah ruginya sekiranya kita tidak dapat manfaat daripada apa yang kita laburkan demi memakmurkan dan memajukan negara yang kita sayangi ini. Oleh itu, dalam menepis sikap apati masyarakat terhadap kemudahan awam, wajar untuk kita pelajari kepentingan menjaga harta benda awam.

Isi 1

Kepentingan utama dalam menjaga harta benda awam adalah ia akan memudahkan aktiviti ahli masyarakat yang bergantung kepada kemudahan awam tersebut. Misalnya, di kawasan bandar dan juga luar bandar pengangkutan awam adalah nadi utama yang membantu memudahkan pergerakan seseorang ke destinasi yang diingini. Jika tempat duduk atau kemudahan pengangkutan awam tersebut menjadi mangsa vandalisme, orang awam akan mengalami kesukaran untuk menggunakannya kerana tidak berasa selesa. Ini akan mengakibatkan kerugian bukan sahaja kepada orang awam malah kepada kerajaan yang menanggung kerugian. Justeru, kemudahan awam seharusnya menjadi tanggungjawab bersama semua ahli masyarakat agar kita sama-sama mendapat manfaat daripadanya. Persis peribahasa Melayu, mendapat sama berlaba, kehilangan sama merugi.

Isi 2

Seterusnya, kemudahan awam ini wajar mendapat penjagaan yang rapi dari semua pihak kerana ia menunjukkan apresiasi terhadap inisiatif pihak kerajaan dalam memudahkan rakyat. Seperti isi dan kuku, rakyat dan kerajaan saling memerlukan antara satu sama lain. Maka, segala inisiatif dalam memberi kemudahan kepada orang awam perlu disokong dan dijaga dengan hemah. Kemudahan awam seperti hospital, sekolah dan juga kawasan rekreasi menelan belanja yang besar dan jika berlaku kerosakan, kerugian yang terpaksa ditanggung adalah sia-sia. Kos yang digunakan untuk membaik pulih kerosakan kemudahan awam yang tidak sepatutnya berlaku boleh disalurkan ke arah perkara yang lebih berguna seperti mewujudkan lebih banyak hospital dan sekolah. Secara langsung, kita sebagai ahli masyarakat mendapat lebih banyak manfaat seperti peluang pekerjaan, kemudahan kesihatan dan sekolah yang selesa untuk generasi hadapan yang bakal memimpin negara ke arah kemajuan sejagat.

Isi 3

Selain itu, mustahak untuk setiap daripada kita menjaga harta benda awam bagi memastikan kelangsungan perkembangan masyarakat dalam negara kita khususnya. Sebagai contoh, sekolah adalah fasiliti ulung dalam membentuk generasi muda dalam negara supaya menjadi seseorang yang berguna kepada negara diwaktu kelak. Sekiranya sekolah tidak mempunyai suasana yang kondusif seperti kerusi dan meja pelajar yang rosak, tentu ia akan mempengaruhi pembelajaran golongan kanak-kanak dan remaja ini. Maka, semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru perlu menunjukkan tauladan terbaik kepada generasi muda yang baru setahun jagung ini dalam menghargai segala kemudahan yang diperoleh daripada hasil sumbangan kerajaan atau sesiapa pun supaya menggunakannya dengan bijak dan berhemah agar ia dapat terus digunakan oleh orang lain. kesedaran dan tunjuk ajar yang ikhlas akan membentuk jiwa remaja yang sihat dan berfikirang matang apabila melangkah ke alam dewasa nanti.

Isi 4

Akhir sekali, saya berpendapat untuk menyentuh kepentingan menjaga harta benda awam ini dari sudut dimensi lain. Kita dilahirkan di sebuah negara yang didiami pelbagai kaum, bangsa dan agama. Nenek moyang kita telah berjuang demi memerdekakan negara dan mampu bertoleransi sesama sendiri dalam memebangunkan negara tercinta iaitu Malaysia. Intihanya, perpaduan antara semua golongan masyarakat adalah tunjang utama dalam pembentukan negara Malaysia. Apa yang saya lihat adalah kemudahan awam seperti kawasan rekreasi dan sekolah terutamanya merupakan medium utama dalam mengukuhkan penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, kaum dan agama ini. Kita boleh melihat dimana golongan remaja tanpa mengira bangsa bermain bola sepak bersama-sama di padang-padang awam pada waktu petang. Situasi ini akan menyemarakkan semangat kekitaan yang jitu dan sekaligus dapat membentuk masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan menikmati kehidupan yang aman sentosa.

Penutup

Kesimpulannya, banyak manfaat yang boleh digarap sekiranya kita bersama-sama menjaga harta benda awam. Harta benda atau kemudahan awam disediakan bagi memudahkan semua lapisan masyarakat dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti tertentu. Media massa hari ini mempunyai peranan yang besar dalam memberi kesedaran kepada masyarakat akan pentingnya memelihara dan memanfaatkan kemudahan awam yang telah disediakan. Sokongan dan bantuan daripada kerajaan dalam melaksanakan dasar yang mengutamakan kemudahan untuk rakyat wajar disemarakkan dan menjadi agenda utama pihak berkuasa hari ini. Kemudahan awam yang baik akan menunujukkan kemampuan dan sikap kita kepada masyarakat dunia sekaligus membentuk imej negara yang maju, berwawasan dan beretika dalam setiap perkara. Persis kata Hamka, kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.