Karangan

Kepentingan Mengekalkan Bangunan Bersejarah

Dalam penulisan karangan Bahasa Melayu, pelajar pelajar akan dicabar untuk berfikir secara kreatif. Pelajar perlu menghuraikan isi-isi penting dan kritis dalam memberi idea kepada isi karangan tersebut. Maka pengetahuan am dan isu terkini yang melanda masyarakat kita khususnya perlu diberi perhatian oleh para pelajar. Berikut adalah contoh karangan kepentingan memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah serta isi-isi penting yang boleh digunakan dalam penulisan karangan sebagai rujukan dan panduan.

Di Malaysia, hampir semua negeri terdapat bangunan bersejarah seperti istana yang telah diubah menjadi muzium. Maka tiada alasan untuk pelajar tidak mengunjungi bangunan bersejarah bagi mempelajari sedikit sebanyak tentang sejarahnya. Dengan mengunjungi dan mempelajari cerita di sebalik bangunan bersejarah, pelajar mampu menjawab soalan seperti di bawah dalam penulisan karangan.

Kepentingan Memelihara Dan Memulihara Bangunan Bersejarah

peta minda kepentingan mengekalkan bangunan bersejarah Kepentingan Mengekalkan Bangunan Bersejarah

Isi-isi penting

  • Mengekalkan identiti negara
  • Menjadi sumber penyelidikan dan pendidikan
  • Produk pelancongan
  • Penggunaan semula infrastruktur
  • Memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda
  • Menjadi bukti kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah

Baca juga: Cara Kira Bilangan Patah Perkataan Dalam Karangan Bahasa Melayu 

Contoh Karangan Kepentingan Memulihara Dan Mengekalkan Bangunan Bersejarah

Pendahuluan

Mutakhir ini, kerancakkan pembangunan ekonomi negara telah memesatkan kadar pertumbuhan pembinaan bangunan-bangunan komersial dan pembukaan bandar baru. Kawasan perindustrian, pusat membeli belah dan kawasan perumahan bertambah saban hari seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Rentetan itu, timbul polemik untuk meruntuhkan bangunan-bangunan lama yang mempunyai nilai sejarah yang sungguh berharga. Hal ini kerana bangunan tersebut telah lama dan tidak berfungsi dengan baik dan pihak pemaju yang berpandangan sarwa hanya menilai kepentingan lokasi tersebut tanpa melihat keunikan dan keindahan bangunan yang bersejarah kepada negara kita. Oleh itu, kepentingan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

Isi 1

Pada hemat saya, bangunan bersejarah wajar dikekalkan sebagai identiti negara. Kebanyakan bangunan-bangunan sejarah dibina berdasarkan pengaruh dan ciri-ciri pemerintahan waktu dahulu. Hanya di Malaysia kita boleh lihat bangunan atau monumen yang bercirikan Belanda, Portugis, Melayu, Cina dan India iaitu di bandaraya bersejarah Melaka. Bandar yang telah diiktiraf sebagai Bandar Warisan Dunia oleh UNESCO ini adalah merupakan identiti yang membentuk landskap masyarakat negara kita dimana kemajmukan bangsa dan agama tidak menjadi penghalang kepada permuafakatan untuk hidup aman dan sentosa dalam satu negara. Pemeliharaan bangunan-bangunan bersejarah ini akan memastikan nilai muafakat dalam diri setiap warganegara sentiasa dirai apabila mereka dapat melihat dan hidup dalam suasana seperti di bandaraya George Town, Pulau Pinang.

Isi 2

Selain itu, bangunan bersejarah juga mustahak untuk dikekalkan supaya menjadi sumber penyelidikan dan pendidikan. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Misalnya, di Lembah Bujang, Kedah dimana terdapat pihak pemaju yang tidak bertanggungjawab ingin membangunkan kawasan yang meliputi kawasan bersejarah lembah bujang namun dihalang dengan pantas oleh kerajaan negeri Kedah. Beberapa tahun selepas itu, sebuah tapak arkeologi ditemui berdekatan Lembah Bujang yang menunjukkan bukti ketamadunan awal di negara kita bertahun lama dahulu. Proses arkeologi dan penyelidikan dapat dijalankan dengan penemuan artifak-artifak lama yang bernilai dalam sejarah negara kita. Justeru, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri dan langkah pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah adalah penting untuk dikekalkan.

Isi 3

Dalam masa yang sama, bangunan bersejarah ini dapat menjadi produk pelancongan utama negara. Alangkah baiknya sekiranya kita melaburkan dana ke arah pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan-bangunan bersejarah daripada memusnahkan habitat flora dan fauna dalam membina kawasan pelancongan baharu yang bakal memberi padah di masa hadapan. Bangunan bersejarah berpotensi menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menikmati keindahan dan kekayaan alam semula jadi negara seperti pulau dan taman negara. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan boleh diubah suai menjadi muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Inisiatif ini sering dilakukan oleh negara-negara Eropah seperti  di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Usaha seperti ini bakal menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Natijahnya, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

Isi 4

Jika ditelusuri kebanyakan bangunan-bangunan bersejarah ini, ia masih gah berdiri walaupun sudah berpuluh tahun dibina dan digunakan. Hal ini kerana struktur asal bangunan tersebut masih kukuh dan mampu menahan cuaca dan bencana alam yang berlaku dalam negara kita. Maka, raasionalnya untuk kita tidak membazir sumber mentah dalam membina bangunan baru. Sebaliknya kita boleh membaik pulih dan menggunakan semula infrastruktur yang telah terbina. Baru-baru ini kita telah lihat rangkaian kedai makanan dan butik mula membuka cawangan di bangunan-bangunan lama kerana lokasi bangunan tersebut yang strategik dan menjadi tumpuan orang ramai. Kebolehan jurutera dan arkitek tempatan akan dicabar dan adalah mustahak bagi mereka untuk mengekalkan ciri-ciri lama bangunan tersebut disamping mengkomersialkan ia menjadi kedai baharu yang menarik untuk dikunjungi oleh setiap ahli masyarakat.

Penutup

Tuntasnya, pelbagai kepentingan tersirat dan tersurat yang kita boleh rungkaikan dalam mengekalkan bangunan bersejarah dalam negara kita. Pembentukan minda generasi muda negara yang menghayati warisan dan khazanah negara perlu diikhtiarkan. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Persis mutiara kata, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri yang bermaksud nilai yang terdapat di negara kita adalah tinggi sekiranya kita pandai menghargainya berbanding melihat negara lain.