Karangan

Faedah Menyertai Kerja Amal Dan Sukarelawan

Para pelajar sebenarnya mempunyai kelebihan sekiranya tajuk soalan atau tema bagi karangan penulisan yang dipilih berkait dengan hidup anda sebagai seorang pelajar. Hal ini kerana pelbagai idea atau isi-isi penting dapat disenaraikan dan seterusnya dihuraikan dengan contoh-contoh terbaik. Oleh itu, memilih tajuk atau tema yang mudah memberi kelebihan kepada pelajar untuk menulis karangan yang cemerlang. Berikut dikongsikan contoh karangan Kebaikan Kerja Amal/ Sukarela (Faedah) untuk rujukan semua.

Kerja amal atau sukarelawan adalah satu aktiviti yang melibatkan masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan. Pelajar boleh memberikan contoh seperti aktiviti bergotong-royong atau menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa banjir misalnya. Tambahan pula, anda pasti dapat menghuraikan nilai-nilai yang diperoleh apabila menyertai aktiviti-aktiviti sukarela ataupun kerja amal.

peta minda faedah kerja amal kebaikan menyertai aktiviti sukarelawan Faedah Menyertai Kerja Amal Dan Sukarelawan

Kebaikan Kerja Amal/ Sukarela (Faedah)

Isi-isi penting

  1. Memberikan kesedaran tentang kesusahan yang dihadapi oleh sebahagian masyarakat
  2. Membentuk keperibadian dan nilai-nilai murni yang baik
  3. Mengisi masa terluang dengan perkara yang berfaedah
  4. Mewujudkan masyarakat yang penyayang dan bersatu padu
  5. Memupuk perpaduan antara masyarakat
  6. Melahirkan individu yang bersikap empati

Contoh Karangan Faedah Menyertai Kerja Amal Dan Sukarelawan (Kebaikan)

Pendahuluan

“Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan”. Peribahasa Melayu ini bermaksud orang yang mengharapkan bantuan pasti akan berasa gembira jika ada insan yang ikhlas membantunya. Ungkapan tersebut sejajar dengan kerja amal atau kesukarelawan yang lazimnya dianjurkan untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik. Contohnya apabila musim banjir melanda bahagian pantai timur negara ini, ramai individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan menjalankan aktiviti sukarelawan bagi menyampaikan bantuan. Sebagai masyarakat yang prihatin, kita bertuah kerana ramai di antara kita yang suka rela untuk menyertai kerja-kerja amal apabila berkesempatan khususnya golongan belia. Hal ini kerana pelbagai kebaikan dan faedah yang mampu mereka peroleh sekiranya menyertai aktiviti ini. Wajar untuk kita bincang dan huraikan apakah kebaikan yang diperoleh sesorang sekiranya menyertai atau menjalankan aktiviti kesukarelawan.

Isi 1

Antara kebaikan utama menyertai kerja amal adalah ia dapat memberikan kesedaran tentang kesusahan yang dihadapi oleh sebahagian masyarakat kepada mereka yang lebih bernasib baik. Misalnya, kejadian banjir yang melanda kawasan perkampungan banyak memusnahkan atau merosakkan kebajikan penduduk kampung seperti perkakas rumah dan pakaian. Oleh itu, sukarelawan yang datang membantu dapat menyumbang kepada kebajikan penduduk terjejas agar mereka dapat meneruskan kehidupan mereka dengan selesa. Secara tidak langsung, situasi ini akan membuka mata pelbagai pihak khususnya peserta aktiviti dalam memahami keadaan yang sukar terhadap mangsa. Ia juga dapat mengelakkan masyarakat daripada menjadi seperti katak di bawah tempurung. Jelasnya, faedah kerja amal atau aktiviti sukarelawan dapat membantu meluaskan kesedaran terhadap kesusahan atau masalah yang dialami oleh sebahagian masyarakat.

Isi 2

Manfaat lain aktiviti sukarelawan adalah membentuk keperibadian dan nilai-nilai murni yang baik. Apabila kita menyertai aktiviti sukarelawan, pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang akan diperoleh. Seseorang individu akan didedahkan kepada cara untuk berkomunikasi dengan lebih empati, menguruskan logistik dan sebagainya. Mereka akan terlibat dengan organisasi yang mempunyai ketua untuk menurut arahan, golongan penerima yang akan mendapat bantuan dan rakan sukarelawan yang memerlukan kerjasama antara satu sama lain. Persis kata mutiara, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Dengan menyelami kesusahan dan dugaan yang dihadapi oleh penerima bantuan, ia akan membentuk kita untuk menjadi insan yang lebih baik. Tegasnya, penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan ini dapat membentuk ketrampilan diri yang baik.

Isi 3

Selain itu, kerja amal dan sukarelawan dapat membantu kita untuk mengisi masa terluang dengan perkara-perkara yang berfaedah. Sejak kebelakangan ini, banyak laporan di dada akhbar dan televisyen yang memaparkan ahli masyarakat yang terjebak dengan gejala negatif seperti dadah dan gangsterisme. Perkara ini seharusnya dibendung agar masyarakat yang bermutu dan negara yang maju dapat dicapai. Oleh itu, dengan menganjurkan aktiviti sukarelawan atau kerja amal dan memastikan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian mampu memenuhkan masa mereka dengan aktiviti yang lebih berfaedah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kita perlu menggalakkan generasi muda pada hari ini untuk menyertai aktiviti sukarelawan atau kerja amal agar sikap tanggungjawab dan merendah diri dapat dipupuk. Izharnya golongan muda perlu lebih aktif dalam aktiviti sukarelawan untuk membendung gejala negatif berkembang dalam masyarakat.

Isi 4

Akhir sekali, kebaikan melaksanakan kerja amal adalah mewujudkan masyarakat yang penyayang dan bersatu padu. Setelah kita melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan seperti menjalankan gotong-royong untuk mangsa banjir, kita pasti akan disayangi dan dihargai oleh mangsa yang terjejas. Bantuan yang diterima daripada orang yang tidak dikenali pasti akan melahirkan hubungan persaudaraan yang lebih baik. Semangat bermasyarakat dan bersatu padu tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat akan terjalin. Situasi ini penting agar mereka yang tidak bernasib baik dapat manfaat untuk meneruskan hidup manakala yang membantu dapat mengambil iktibar. Kita tidak mahu menjadi masyarakat yang bersikap sepertiĀ anak di pangkuan kelaparan, kera di hutan disusukan. Tuntasnya, masyarakat yang menyertai kerja amal adalah masyarakat yang cakna dan harmoni.

Penutup

Kesimpulannya, banyak kebaikan yang diperoleh sekiranya kita melibatkan diri atau menganjurkan kerja-kerja amal untuk membantu mereka yang dalam kesusahan. Setiap di antara kita seharusnya mencari peluang untuk menyertai aktiviti seperti ini sekurang-kurangnya sekali untuk merasai pengalaman dan tidak buta hati. Golongan berkuasa dan barisan pemimpin masyarakat sepatutnya menghabiskan lebih masa dalam aktiviti seperti ini agar masyarakat yang lebih baik dapat dilahirkan. Ahli falsafah tersohor, Samuel Johnson pernah mengungĀ­kapkan “Masa depan dibeli oleh masa sekarang”. Ungkapan tersebut jelas mengatakan bahawa jika kita ingin mendapatkan manfaat kerja amal atau sukarela, kita perlu bertindak sekarang agar masa hadapan kita dan generasi akan datang terjamin. Seterusnya dapat menjadi contoh atau model kepada masyarakat antarabangsa dalam menjadi prihatin serta penyayang antara satu sama lain.

Related : rakyat malaysia, orang orang, menjadi sukarelawan, untuk mendapatkan, terlibat dengan aktiviti, untuk membuat, anggota masyarakat, salah satu, ditimpa musibah,