Karangan

Peranan Pengawas Di Sekolah (Pemimpin Pelajar)

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Kemahiran penulisan karangan Bahasa Melayu boleh ditambah baik dengan melakukan pembacaan dan latihan yang banyak. Dengan cara tersebut, pelajar akan menemui pelbagai tema, tajuk dan prosa kata yang sesuai untuk digunakan dalam penulisan masing-masing. Sebagai rujukan untuk pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan peranan pengawas di sekolah dalam tanggungjawab memastikan pelajar berdisiplin.

Seperti yang sedia maklum, pengawas merupakan pelajar yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang terbaik dalam kalangan pelajar yang lain. Justeru, ia melambangkan imej sekolah masing-masing dan mereka bertanggungjawab menjaga nama baik sekolah dan diri mereka. Tambahan pula, pelajar yang dilantik menjadi pengawas dan cemerlang dalam setiap aspek berpeluang besar dalam melanjutkan pelajaran ke sekolah atau institusi pengajian tinggi yang tersohor.

peta minda karangan peranan pengawas di sekolah

Tanggungjawab Dan Peranan Pengawas Di Sekolah

Isi-isi penting

  • Menguatkuasakan undang-undang sekolah dalam kalangan pelajar
  • Membantu guru mengawal disiplin pelajar
  • Memantau hal ehwal kebajikan pelajar dan sekolah
  • Membantu menjayakan program atau aktiviti di luar bilik darjah
  • Menjadi contoh terbaik kepada pelajar lain
  • Menjadi penghubung antara pelajar dan warga sekolah yang lain

Contoh Karangan Peranan Pengawas Di Sekolah (Pemimpin Pelajar)

Pendahuluan

Dalam mendepani zaman modenisasi pada hari ini, pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu ditempuh oleh bangsa yang kita cintai untuk berkembang maju seiring dengan negara lain. Ibarat kata mutiara, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Antara cabaran yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat pada hari ini adalah jati diri yang semakin dijajah dengan anasir negatif sehingga ada di antara pemimpin yang korup dan mengamalkan rasuah. Bagi membendung perkara ini daripada menghapuskan visi kudsi negara, pembentukan jati diri dan pemimpin hendaklah disemai sejak dari bangku sekolah lagi. Pelajar yang mempunyai nilai kepimpinan dan jati diri yang terbaik lazimnya akan dilantik menjadi pengawas. Tugas atau tanggungjawab yang diamanahkan kepada pengawas di sekolah dapat melahirkan pemimpin bagi generasi akan datang yang bakal memacu negara. Justeru, wajar untuk kita bincangkan apakah tanggungjawab pengawas di sekolah sebagai pemimpin kepada pelajar?

Isi 1

Peranan utama seorang pengawas yang dilantik di sekolah adalah untuk memastikan peraturan sekolah dipatuhi oleh para pelajar. Sebagai penerangan, jumlah pelajar lazimnya melebihi jumlah guru pada nisbah 1 guru untuk 30 orang pelajar. Nisbah ini menunjukkan bahawa guru tidak mampu untuk memerhati setiap perilaku pelajar di dalam kelas ataupun di luar bilik darjah. Maka, pelantikan pengawas dalam kalangan pelajar sendiri adalah untuk menjadi mata-mata kepada guru khususnya dalam melaksanakan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh sekolah. Sebagai contoh, pelajar yang tidak memakai pakaian seragam sekolah atau melakukan kesalahan disiplin perlu dikenakan tindakan apabila disaksikan oleh pengawas sendiri ataupun menerima aduan daripada pelajar lain. Para pengawas seharusnya tidak memandang bulu, tidak melihat rupa dalam menguatkuasakan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Izharnya, pengawas berperanan membantu warga sekolah untuk menjaga peraturan dalam kalangan pelajar supaya sahsiah terbaik dapat dilahirkan.

Isi 2

Pada masa yang sama, pengawas hendaklah memainkan peranan dalam membantu guru menjaga disiplin pelajar. Hal ini kerana, seorang pengawas yang berkaliber dan berdedikasi wajar menunjukkan ketrampilan serta disiplin terbaik. Mereka secara langsung dapat mempengaruhi pelajar lain atau menasihati pelajar lain yang melakukan kesalahan dengan cara yang lebih difahami. Misalnya, bagi membuka mata pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik, mereka perlu berdisiplin dalam mengulangkaji pelajaran serta fokus di dalam proses pengajaran serta pembelajaran. Apabila seorang pengawas mencapai kecemerlangan dalam akademik, ia dapat menjadi contoh kepada pelajar lain supaya sentiasa menerapkan disiplin terbaik untuk berjaya. Namun begitu, bimbingan dan sokongan daripada guru-guru juga mustahak dalam membentuk disiplin murid. Kita perlu elak daripada menjadi seperti pepatah Melayu, guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Tegasnya, setiap warga sekolah berperanan dalam membentuk disiplin pelajar khususnya para pengawas.

Isi 3

Di samping itu, memantau hal ehwal kebajikan pelajar dan sekolah juga antara peranan penting bagi seorang pengawas. Jika kita ingin melahirkan pemimpin yang prihatin, kita perlu sematkan nilai tanggungjawab dan mengambil berat dalam kalangan pengawas. Sebagai contoh, pelajar kurang selesa dengan kebersihan tandas di kawasan sekolah. Maka perkara tersebut boleh dilaporkan kepada pengawas dan dibawa ke perhatian guru dan juga pentadbir sekolah. Hubungan yang baik antara pelajar dengan pangawas dan pengawas dengan guru-guru pasti dapat membentuk sinergi terbaik dalam memastikan kebajikan sekolah terjamin. Ibarat peribahasa yang elok itu budi, yang indah itu bahasa. Secara tidak langsung, kemahiran komunikasi dalam kalangan pengawas dapat diasah dan melahirkan pelajar yang mampu berkomunikasi dengan berkesan dan penuh hikmah. Jelasnya, kebajikan pelajar terjamin dengan kerjasama dan peranan yang dimainkan oleh pengawas sekolah

Isi 4

Akhir sekali, peranan penting pengawas sekolah yang dilantik adalah untuk menjayakan program atau aktiviti sekolah. Seperti sedia maklum, aktiviti luar bilik darjah juga merupakan medan pendidikan yang baik untuk perkembangan para pelajar. Pihak sekolah pastinya merancang pelbagai aktiviti seperti Bulan Kemerdekaan bagi menyambut kemerdekaan negara pada bulan Ogos dan Hari Sukan sebagai kemuncak pertandingan sukan antara pelajar. Bagi melancarkan program-program ini, guru memerlukan tenaga bantuan daripada pengawas untuk menjadi ahli jawatankuasa tertentu. Contohnya, pada bulan kemerdekaan, pengawas akan ditugaskan untuk melihat setiap bilik darjah bagi menilai pertandingan menghias kelas bertemakan kemerdekaan negara. Selain itu, pada perhimpunan rasmi persekolahan juga, lazimnya pengawas akan dipertanggungjawabkan untuk menjadi juruacara, menaikkan bendera-bendera dan membacakan ikrar serta Rukun Negara. Peranan ini bukan sahaja memudahkan tugas para guru tetapi membantu pelajar untuk lebih berani dan berpengalaman dalam memikul tugas yang perlu dilaksanakan. Intihannya, pengawas sekolah membantu pentadbiran sekolah dalam pelbagai aspek khususnya berkenaan hal ehwal pelajar.

Penutup

Sudah terang lagi bersuluh, banyak peranan yang perlu dimainkan oleh pengawas sekolah sebagai seorang pemimpin kepada pelajar-pelajar lain. Peranan tersebut dapat memudahkan tugas guru di sekoah serta mempengaruhi pelajar lain untuk mempunyai jati diri serta ketrampilan diri yang terbaik. Dengan kerjasama dan tauladan daripada semua warga sekolah serta dorongan daripada ibu dan bapa, pelajar yang dipilih untuk menjadi pengawas pasti dapat menjalankan peranan mereka dengan penuh dedikasi dan komited. Kesannya, kita dapat melihat generasi yang mampu memimpin sesebuah organisasi malah negara yang kita cintai dengan penuh intergriti dan berkaliber. Semoga usaha ini dapat mengubah corak kepimpinan yang melanda arena politik pada hari ini yang telah banyak merugikan potensi negara untuk berkembang lebih maju. Ibarat pepatah Melayu, harapkan pagar, pagar makan padi.