Karangan

Langkah Mengatasi Masalah Pengabaian Warga Tua

Lazimnya karangan Bahasa Melayu akan mempersoalkan tema berkaitan kemasyarakatan. Hal ini supaya pelajar dapat mencari nilai atau isi-isi penting yang memanfaatkan diri mereka dalam topik yang dipersoalkan. Berikut dikongsikan contoh karangan langkah mengatasi masalah pengabaian warga tua untuk rujukan semua.

Setiap di antara kita pasti ada hubungan dengan warga tua samada ibu bapa kita atau datuk dan nenek kita. Golongan ini semakin hari semakin berusia dan hilang kekuatan fizikal dan keupayaan sewaktu mereka dewasa atau muda dahulu. Justeru, kebajikan diri mereka wajar diambil berat kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita dan juga negara. Dengan tajuk karangan seperti di bawah, ia dapat membantu pelajar untuk memahami dengan lebih baik akan kepentingan menjaga dan menghormati warga tua.

peta minda contoh karangan langkah atasi masalah pengabaian warga tua Langkah Mengatasi Masalah Pengabaian Warga Tua

Langkah Mengatasi Masalah Pengabaian Warga Tua

Isi-isi penting

  • Memperkasa institusi penjagaan warga tua
  • Menyediakan perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh dari aspek fizikal dan mental
  • Memberikan bantuan kewangan untuk saraan hidup
  • Menyediakan peluang pekerjaan untuk warga emas
  • Mendidik bangsa melalui kempen, rancangan hiburan dan pesanan khidmat masyarakat
  • Menganjurkan program sukarelawan kebajikan warga emas

Contoh Karangan Langkah Mengatasi Masalah Pengabaian Warga Tua

Pendahuluan

Menjelang tahun 2030, negara Malaysia bakal menghadapi status sebagai negara tua menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. Hal ini kerana jumlah individu warga emas atau mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas dijangka meningkat secara drastik kepada 5.3 juta orang berbanding 3.7 juta orang di negara ini. Namun demikian, terdapat segelintir golongan warga emas yang diabaikan kebajikan dan kehidupan mereka dek kerana hidup sebatang kara atau tidak dijaga oleh keluarga. Pelbagai faktor yang menyumbang kepada berlakunya situasi ini tidak mengira latar belakang masyarakat samada golongan kaya ataupun yang miskin. Anggota masyarakat perlu mengelak daripada menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana tanpa kewujudan golongan terdahulu ini, kita mungkin tidak dilahirkan dan dibesarkan dengan aman dan selesa pada ketika ini. Lantaran itu, mustahak untuk kita bincangkan langkah-langkah mengatasi masalah pengabaian warga tua di dalam Malaysia untuk manfaat bersama.

Isi 1

Langkah pertama untuk mengatasi polemik ini adalah dengan memperkasa institusi penjagaan warga tua. Situasi ekonomi yang menekan pada masa ini telah menyebabkan ramai golongan dewasa terpaksa menumpukan kerjaya mereka dan segelintir di antara mereka mengabaikan ibu bapa mereka. Kesannya, mereka akan dihantar ke pusat jagaan orang tua bagi yang berkemampuan. Sehingga hari ini, pusat penjagaan warga tua kebanyakannya adalah perusahaan swasta yang dibangunkan mengikut prosedur sendiri. Pihak Kementerian Wanita, Keluarga Dan Masyarakat seharusnya merencana sebuah garis panduan dalam perusahaan pusat penjagaan warga tua sebagai piawai yang wajib dipatuhi. Sebagai contoh, setiap pusat penjagaan hendaklah mempunyai bangunan atau infrastruktur yang selamat dari pelbagai aspek khususnya keselamatan. Selain itu, memastikan pekerja atau jururawat yang diupah mempunyai pengiktirafan atau latar belakang akademik yang menepati kehendak sebuah institusi penjagaan warga emas. Dengan memastikan pusat jagaan warga emas selesa, kondusif serta selamat untuk didiami, nescaya warga emas yang menghadapi pengabaian akan suka untuk tinggal di salah satu rumah warga tua.

Isi 2

Selaras dengan usaha di atas, penyediaan perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh dari aspek fizikal dan mental untuk warga tua adalah langkah yang harus dilaksanakan. Tidak dinafikan institusi kesihatan awam di Malaysia adalah sangat berpatutan dan wajar dipuji. Oleh sebab itu, Kementerian Kesihatan hendaklah sentiasa diberikan dana yang secukupnya untuk menambah baik program kesihatan warga tua. Sebagai contoh, inisiatif Peka B40 yang diperkenalkan oleh kerajaaan adalah langkah yang sangat baik dan membantu golongan warga emas yang kurang berkemampuan untuk mengesan sebarang masalah kesihatan. Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pertubuhan bukan kerajaan pula boleh menghantar sukarelawan untuk melakukan khidmat bantu di rumah warga-warga emas ini. Ia secara langsung dapat membantu keluarga yang memerlukan dan warga emas yang kurang upaya atau menghadapi masalah kesihatan. Perkhidmatan kaunseling juga mustahak untuk ditawarkan agar membantu golongan tua yang menghadapi trauma atau masalah psikologi. Tegasnya, dengan perkhidmatan kesihatan yang lengkap dan berpatutan ditawarkan kepada warga emas, pasti kebajikan mereka terjamin dengan baiknya.

Isi 3

Inisiatif lain yang boleh dilaksana diperingkat kerajaan untuk memastikan warga tua tidak diabaikan adalah dengan memberikan bantuan kewangan saraan hidup. Dengan data yang dimiliki oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi kerajaan yang lain, pihak kerajaan boleh menapis golongan yang terkesan dari segi kewangan dan bantu mereka dengan pemberian wang saraan hidup. Langkah ini dapat membantu golongan tua yang tiada waris atau tidak dijaga oleh anak dan keluarga mereka untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, penting untuk setiap anggota masyarakat mempunyai pengurusan kewangan yang baik kerana selepas berpencen atau tidak mampu bekerja lagi, kewangan adalah sumber yang sangat penting untuk meneruskan kehidupan. Dalam tempoh masa panjang, kerajaan seharusnya meningkatkan gaji dan taraf hidup masyarakat di Malaysia supaya menjelang tua nanti ia tidak menjadi satu isu yang menyebabkan ramai diantara rakyat terkesan. Persis kata peribahasa Melayu, sediakan payung sebelum hujan. Intihannya, bantuan kewangan untuk saraan hidup warga tua adalah penyelesaian jangka pendek dalam masalah pengabaian golongan ini.

Isi 4

Akhir sekali, isu pengabaian warga emas boleh dibantu dengan menyediakan peluang pekerjaan untuk warga emas. Perkara ini agak sukar untuk dilaksanakan tetapi di negara seperti Jepun dan Korea Selatan, pusat komuniti mereka banyak menawarkan pekerjaan kepada golongan tua. Antara pekerjaan yang ditawarkan adalah pekerjaan di institusi keagamaan, kedai runcit serta program-program pameran yang diadakan di dewan konvensyen dan sebagainya. Mereka akan dibimbing untuk melakukan skop pekerjaan yang mudah dan diberi upah yang cukup untuk menyara hidup mereka. Tetapi, kebanyakan golongan tua sudah tidak mempunyai kekuatan fizikal seperti waktu mereka muda. Jika kita mengambil faktor dan kesan ekonomi ketika ini, langkah ini merupakan salah satu penyelesaian jangka pendek. Baru-baru ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan hanya 3% pencarum yang mampu untuk menghadapi persaraan dengan simpanan yang mencukupi setelah pelaksanaan i-Citra dan i-Lestari. Pihak kerajaan bertanggungjawab dalam mencari jalan untuk memastikan semua anggota masyarakat mempunyai simpanan yang cukup untuk mereka menghadapi persaraaan mereka nanti.

Penutup

Kesimpulannya, masalah pengabaian warga tua ini boleh diselesaikan dengan melaksanakan langkah-langkah yang telah dibincangkan. Secara peribadi, kita sebagai seorang manusia tanpa mengira agama atau bangsa seharusnya menghormati setiap warga emas khususnya dalam keluarga kita dengan menjaga kebajikan mereka. Hal ini kerana tanpa kewujudan, usaha dan tindakan mereka dahulu, kita mungkin tidak berada dimana kita berdiri pada hari ini. Bak kata pepatah, hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati. Polemik ini bergantung kepada kemampuan dan matlamat diri masing-masing tetapi pihak kerajaan dan pemimpin negara hendaklah meletakkan satu visi dalam memastikan setiap golongan umur masyarakat di Malaysia mendapat hak untuk hidup dengan selasa dan selamat. Penyediaan infrastruktur yang sesuai untuk semua golongan umur perlu dilaksanakan. Semoga taraf kehidupan masyarakat dapat dibangunkan secara sama rata agar golongan tua tidak terabai dan kelak semua ahli masyarakat mampu menyara kehidupan yang selesa setelah menjelang umur warga emas.

Related : didikan agama, untuk menjaga, kasih sayang, lapisan masyarakat, menjaga ibu bapa, ahli keluarga, pihak swasta, untuk membantu,