Karangan

Kepentingan Teknologi Maklumat Kepada Golongan Remaja

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Perhatian kepada pelajar yang akan mengambil kertas peperiksaan bagi matapelajaran Bahasa Melayu. Tahukah anda, soalan penulisan karangan terdiri daripada pelbagai tajuk dan tema bagi menguji kemampuan pelajar? Oleh itu, pelajar dinasihatkan untuk melakukan latihan tambahan atau merujuk contoh karangan secara atas talian bagi mendedahkan diri terhadap tajuk atau tema yang lazimnya dijadikan soalan dalam peperiksaan. Sebagai panduan buat para pelajar, berikut adalah contoh karangan faedah-faedah menguasai teknologi maklumat kepada golongan remaja.

Tema atau tajuk persoalan karangan seperti di bawah seharusnya mudah untuk dihuraikan oleh para pelajar kerana ia berkait dengan kehidupan sebagai seoraang remaja hari ini. Pelajar hanya perlu menghuraikan isi-isi penting berdasarkan pengetahuan anda dan menggunakan frasa-frasa menarik tanpa ada kesalahan tatabahasa dan sebagainya. Selain itu, bimbingan daripada guru juga mustahak supaya penulisan karangan pelajar menepati kehendak soalan yang diberikan.

peta minda faedah menguasai teknologi maklumat

Faedah-Faedah Menguasai Teknologi Maklumat Kepada Golongan Remaja

Isi-isi penting

  • Meningkatkan pengetahuan am
  • Memperkasa kemahiran diri
  • Memudahkan komunikasi
  • Menambah pendapatan
  • Menjimatkan masa dalam pelbagai urusan
  • Membina jati diri yang unggul

Baca juga: Contoh-Contoh Karangan Berkaitan Remaja

Contoh Karangan Faedah-Faedah Menguasai Teknologi Maklumat Kepada Golongan Remaja

Pendahuluan

Dasawarsa ini, perkembangan teknologi telah mengubah cara hidup masyarakat konvensional untuk bergantung kepada kemudahan yang telah dicipta. Kelahiran gajet-gajet seperti komputer dan telefon pintar menerima impak yang besar daripada setiap golongan manusia sama ada untuk kegunaan peribadi atau organisasi syarikat. Teknologi maklumat boleh didefinisikan sebagai penggunaan sistem komputer dan telekomunikasi untuk menyimpan, mengambil, melindung, memproses, melihat dan menghantar maklumat tanpa batasan waktu dan tempat. Seperti semua ciptaan manusia, tiada apa yang sempurna. Begitu juga dengan teknologi maklumat dimana terdapat kesan yang negatif dan positif terhadap penggunaannya. Oleh itu, mustahak untuk kita mempelajari dan menguasai teknologi ini supaya dapat buang yang keruh dan ambil yang jernih. Golongan remaja yang merupakan tunjang masa hadapan nusa dan bangsa seharusnya menguasai teknologi maklumat selaras dengan perkembangannya agar faedah-faedah yang mampu diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Isi 1

Antara faedah dalam menguasai teknologi maklumat adalah meningkatkan pengetahuan am dalam kalangan para remaja. Mutakhir ini, generasi muda tidak gemar atau ambil peduli terhadap isu-isu semasa dek kerana lebih gemar bermain permainan video dan leka dengan rancangan-rancangan hiburan. Remaja seharusnya bersikap cakna dengan perkembangan isu-isu semasa yang berlaku secara domestik mahupun antarabangsa. Isu yang berat seperti perkembangan politik, pengurusan kewangan dan masalah kesihatan lazimnya tidak mendapat perhatian daripada golongan ini. Tetapi dengan perkembangan teknologi maklumat seperti media sosial, segala maklumat boleh diperoleh dengan pantas tanpa mengira sempadan waktu dan tempat. Penularan berita juga adalah lebih pantas sekiranya dimuat naik ke laman sosial yang menjadi lubuk informasi terkini. Pengetahuan am ini adalah penting supaya golongan remaja mengenali dan mengetahui hak mereka serta dapat memberikan pendapat atau solusi berkenaan isu-isu semasa yang membuatkan negara asing bergolak. Tambahan pula, mereka dapat mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di negara lain dan tidak mengulangi kesilapan yang sama di negara ini. Intihannya, dengan mempelajari teknologi maklumat, ia membantu melahirkan golongan remaja yang berpengetahuan luas dan tidak bersikap seperti katak di bawah tempurung.

Isi 2

Di samping itu, teknologi maklumat dapat membantu memperkasa kemahiran diri golongan remaja. Dalam mendepani arus modenisasi hari ini, kebanyakan di antara kita terutamanya para remaja harus menguasai lebih daripada satu kemahiran untuk kekal relevan dalam apa jua bidang pekerjaan. Hal ini demikian kerana skop pekerjaan yang ditawarkan pada masa kini memerlukan pekerja yang berkemahiran tinggi dan pelbagai. Misalnya, kemahiran berkomunikasi dan pembawaan imej diri telah menjadi kriteria utama bagi penilaian dalam perkembangan karier pada masa hadapan. Maka, golongan remaja boleh mempelajari kemahiran di luar bilik darjah melalui aplikasi penstriman video seperti Youtube. Selain itu, golongan remaja juga perlu membudayakan pengadaptasian penggunaan teknologi dalam kehidupan harian kerana segala aspek kehidupan pada masa akan datang akan dipenuhi dengan teknologi yang lebih mudah dan efisien untuk diuruskan. Sejajar dengan perkembangan teknologi yang pantas, remaja juga harus bijak menambah kemahiran lain supaya menjadi nilai tambah kepada diri apabila ingin memulakan karier pekerjaan.

Isi 3

Pada masa yang sama, penguasaan teknologi maklumat juga dapat memudahkan komunikasi sesama manusia tanpa batasan waktu dan tempat. Kewujudan aplikasi teknologi seperti Whatsapp telah mengubah cara komunikasi manusia di mana panggilan suara melalui telefon kini telah ditambah baik dengan panggilan video. Anda dapat bersua muka dalam masa sebenar dan berkomunikasi dengan lebih baik. Perhubungan jarak jauh telah menjadi kelaziman masyarakat dan ini membantu proses globalisasi yang perlu diterima dan dimanfaatkan oleh para remaja khususnya. Kelahiran aplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram telah membuka ruang kepada setiap penggunanya untuk meluaskan rakaian hubungan ke serata dunia. Tambahan pula, kemudahan komunikasi melalui teknologi maklumat adalah penting dalam aspek keselamatan diri. Hal ini kerana penggilan kecemasan dan perkongsian lokasi boleh dilakukan dengan mudah jika mangsa berada dalam situasi kecemasan atau diancam keselamatannya. Peribahasa Melayu berkata, lain dahulu lain sekarang yang bermaksud cara komunikasi dahulu berbeza jika dibandingkan dengan sekarang. Izharnya, penguasaan teknologi maklumat akan memudahkan komunikasi antara satu sama lain tanpa mengira jarak dan waktu.

Isi 4

Faedah lain yang akan diperoleh sekiranya golongan remaja menguasai teknologi maklumat adalah menambah pendapatan diri. Dalam kegawatan ekonomi yang tidak menentu penjanaan pendapatan sampingan menjadi suatu perkara yang lazim dilakukan oleh masyarakat hari ini. Dengan menguasai teknologi maklumat, golongan remaja boleh  menceburi bidang perniagaan secara atas talian dan membantu keluarga atau ibu bapa untuk menjana pendapatan sampingan. Sebagai contoh, keluarga anda memiliki perniagaan kek dan pastri. Anda boleh membantu perkembangan perniagaan tersebut dengan membuka laman sosial bagi tujuan promosi dan pemasaran. Selain itu, aplikasi penghantaran seperti FoodPanda dan GrabFood dapat digunakan sekiranya anda menguasai penggunaan teknologi maklumat dan mengadaptasi sistem tersebut dalam perniagaan milik keluarga. Secara tidak langsung, anda telah menguasai dua bidang dalam satu pekerjaan iaitu teknologi dan perniagaan. Persis kata peribahasa jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai faedah yang akan diperoleh sekiranya golongan remaja menguasai teknologi maklumat. Kini ia terserah kepada para remaja sama ada ingin memanfaat sebaik-baiknya atau tidak dalam perkembangan teknologi hari ini. Usaha ini juga wajar disokong oleh kerajaan dalam melaksanakan pendidikan berteraskan teknologi serta menggalakkan penceburan teknologi maklumat dalam setiap industri ekonomi dalam negara. Setiap pihak seharusnya bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dalam memanfaatkan teknologi maklumat dalam setiap segi kehidupan mahupun pekerjaan. Para remaja pula seharusnya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menguasai teknologi maklumat kerana laut yang ditimba tidak akan kering. Semoga generasi muda di negara ini menjadi generasi yang berjaya dalam memacu negara ke arah kemajuan dan progesif yang berkekalan di samping mengutamakan perkembangan teknologi dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.