Karangan

Langkah Mengatasi Masalah Jenayah Siber

Karangan yang bertemakan global boleh menjadi tajuk yang mencabar pelajar-pelajar dalam penulisan karangan bahasa Melayu. Hal ini kerana mereka perlu mengetahui tentang isu tersebut untuk memberikan isi dan membuat huraian yang berkait dengan tajuk yang diberikan. Oleh itu, pelajar perlu sentiasa peka dan ambil tahu akan isu-isu terkini sebagai persiapan menghadapi soalan yang berkaitan.

Di bawah dikongsikan contoh karangan berkenaan langkah-langkah mengatasi jenayah siber. Penggunaan isi-isi yang menarik dan seimbang akan menambah daya penarik kepada penulisan karangan pelajar. Peribahasa dan penanda wacana yang berkait dengan huraian pelajar wajar digunakan supaya karangan anda mendapat markah yang baik dan cemerlang.

Langkah-Langkah Mengatasi Jenayah Siber Di Kalangan Remaja Dan Masyarakat

 peta minda langkah mengatasi jenayah siber Langkah Mengatasi Masalah Jenayah Siber

Isi-isi penting

  • memberikan kesedaran melalui kempen dan iklan
  • mengkaji dan mewujudkan undang-undang siber
  • memperkenalkan pendidikan etika dalam penggunaan siber
  • bekerjasama secara multilateral dalam membanteras jenayah siber
  • menggunakan perisian antivirus terkini
  • meningkatkan keselamatan siber negara

Contoh Karangan Langkah-Langkah Mengatasi Jenayah Siber (Cara Menangani)

Pendahuluan 

Sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu jenayah siber yang kian membarah hari ini. Kes penipuan wang dan kecurian data peribadi merupakan antara kejadian yang diklasifikasikan sebagai jenayah siber. Ia adalah kerana kejadian jenayah tersebut dilakukan menerusi penggunaan gajet elektronik dan internet tersebut. Kita boleh lihat di kaca televisyen dan dada-dada akhbar tentang kerugian mangsa jenayah siber telah mengakibatkan mereka kerugian beratus-ribu ringgit. Sikap tidak beretika dan jahat golongan pelaku jenayah siber ini sewajarnya dibendung sebelum ia meruntuhkan institusi teknologi yang menjadi kegunaan harian yang wajib oleh segenap manusia. Oleh itu, kita seharusnya kenal pasti langkah-langkah yang boleh dijalankan untuk mengatasi jenayah siber daripada terus menular dan merugikan kita.

1. Memberikan kesedaran melalui kempen dan iklan

Langkah pertama untuk menangani jenayah siber adalah dengan memberikan kesedaran kepada masyarakat akan ancaman sebenar jenayah siber yang boleh memudaratkan kehidupan mangsa. Kempen melalui iklan di media cetak mahupun digital perlu diperluaskan dan mencapai seluruh ahli masyarakat terutamanya yang mempunyai pengetahuan cetek akan penggunaan teknologi hari ini. Pelbagai taktik yang licik digunakan penjenayah siber untuk memerangkap mangsa oleh itu, pengasimilasi dalam iklan dan kempen yang dijalankan adalah perlu supaya masyarakat betul-betul memahami dan mengambil serius akan langkah keselamatan apabila menggunakan aplikasi-aplikasi di telefon pintar masing-masing. Masyarakat juga perlu bersikap inteligensia dan madani dalam menggunakan aplikasi teknologi hari ini dan peka akan taktik-taktik baru yang digunakan penjenayah siber. Setiap input atau masalah yang berkaitan dengan jenayah siber hendaklah dikongsikan agar ia menjadi rujukan kepada golongan yang pakar dalam memastikan perkara yang telah berlaku tidak berulang serta mengenal pasti potensi ancaman keselamatan siber.

2. Mengkaji dan mewujudkan undang-undang siber

Langkah seterusnya adalah pihak berkuasa seharusnya mengkaji dan memperkenalkan undang-undang yang mampu menghalang jenayah siber ini berlaku dalam negara kita. Isu keselamatan siber semakin menjadi topik tumpuan dalam konfederasi malah perbincangan antara masyarakat dalam media sosial. Maka, pihak kerajaan seharusnya mengumpulkan pakar-pakar teknologi dalam memanifestasikan fikiran agar sebuah rangka undang-undang dapat diwujudkan dalam mencegah jenayah siber. Ahli masyarakat pula harus melakukan laporan kepada pihak yang berkenaan sekiranya terbabit atau melihat sebarang kegiatan yang meragukan dan melibatkan jenayah siber agar penjenayah tersebut boleh didakwa dan dikenakan tindakan yang tegas. Tambahan pula, laman-laman sesawang kerajaan menghadapi ancaman yang besar daripada perlakuan jenayah siber ini dan pihak kerajaan seharusnya sedar dan menjadi organisasi utama yang membina laman sesawang atau aplikasi teknologi yang selamat untuk digunakan dan bebas daripada risiko jenayah. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang ditubuhkan pada 1998 perlu diperkasakan agar keselamatan siber dalam negara dapat dijamin sekaligus menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara dan menarik pelabur asing yang berasa selamat untuk menggunakan infrastuktur yang berteknologi tinggi yang kita tawarkan.

3. Memperkenalkan pendidikan etika dalam penggunaan siber

Selain itu, kita juga sepatutnya memperkenalkan pendidikan etika dalam penggunaan teknologi pada setiap institusi pendidikan hari ini. Hampir setiap golongan masyarakat mempunyai gajet atau telefon pintar sebagai kegunaan harian tetapi etika dan cara penggunaannya tidak dididik dengan betul. Justeru, institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti adalah tempat permulaan dalam membentuk generasi yang berilmu pengetahuan dan mampu menjadi pengubah masayarakat. Pengetahuan seperti tidak membuka emel atau pautan yang meragukan dan tidak sahih serta tidak tertipu dengan panggilan telefon yang menyuruh kita memindahkan wang tanpa hitam putih perlu diajar kepada kanak-kanak dan golongan remaja. Hal ini kerana mereka mudah dipengaruh dan digunakan oleh penjenayah siber dalam mencari keuntungan. Bak kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sekiranya pendidikan etika ini berjaya dilaksanakan, pihak kerajaan pula perlu membuat pendidikan atau modul pembelajaran kepada setiap agensi kerajaan seterusnya menjadi model kepada sektor swasta dalam mendidik setiap pekerja akan kepentingan keselamatan siber supaya terhindar daripada sebarang jenayah.

4. Bekerjasama secara multilateral dalam membanteras jenayah siber

Akhir sekali, isu jenayah siber merupakan polemik antarabangsa kerana ia melibatkan banyak negara. Mustahak untuk pihak kerajaan mengukuhkan hubungan multilateral dengan negara-negara lain dalam mengatasi masalah jenayah siber ini. Hal ini akan membantu kerajaan untuk meningkatkan keupayaan dalam memastikan keselamatan siber dalam negara setanding dengan negara maju yang lain. Kerjasama dalam perkongsian maklumat dan pakar teknologi juga boleh direalisasikan agar kita sentiasa bersiap sedia menghadapi ancaman musuh jenayah siber. Misalnya, berlaku transaksi wang yang meragukan di luar negara dan negara tersebut bertindak melaporkan kepada negara yang terkesan maka, penggubahan wang haram dapat dikesan dan seterusnya menangkap penjenayah yang melakukan korupsi di luar negara bagi mengelak tindakan pihak berkuasa tempatan. Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yeng boleh didefinisikan apabila kita bermuafakat dalam menyelesaikan sesuatu perkara sudah pasti kebaikan bersama akan diperoleh tetapi jikasebliknya hanya kerugian akan kita dapat.

Penutup

Konklusinya, pelbagai langkah boleh dilaksanakan setiap pihak bagi mengatasi kes-kes jenayah siber hari ini. Tiada jalan pintas dalam menangani ancaman jenayah siber. Tindakan yang terbaik ialah setiap individu memainkan peranan masing-masing dalam lingkungan kuasa dan kemampuan yang ada. Pihak pengurusan atasan syarikat atau organisasi perlulah menangani risiko ancaman siber dari perspektif yang menyeluruh serta mengeluarkan polisi-polisi yang berkesan untuk diikuti oleh pekerja syarikat. Maasyarakat juga perlu cakna terhadap segala inisiatif yang akan memastikan keselamatan siber diaplikasikan di setiap sudut penggunaan teknologi harian kita. Elakkan sikap apati dan tidak peduli apabila seseorang individu menegur atau menasihati kita akan kesalahan yang kita lakukan. Semoga masyarakat kita terhindar daripada salah laku siber dan bebas daripada jenayah siber sekaligus menjamin keselamatan dan keamanan negara yang telah kita kecapi hari ini.