Tips

Jenis-Jenis Pengenalan Dalam Penulisan Karangan

Umpama struktur badan manusia, pendahuluan karangan boleh diibaratkan sebagai kepala yang merupakan pusat kepada seluruh fungsi badan. Begitu juga dengan pendahuluan di mana ia merupakan komponen penting dalam struktur karangan daripada pendahuluan kepada isi-isi penting dan kemudian penutup. Berikut dikongsikan jenis-jenis pendahuluan dalam penulisan karangan Bahasa Melayu sebagai panduan semua.

Pendahuluan atau pengenalan adalah berfungsi untuk menjelaskan tema karangan secara ringkas bertepatan dengan kehendak soalan. Selain itu, pendahuluan dapat menunjukkan arah kepada pembaca tentang persoalan yang akan disentuh dalam isi karangan serta menarik perhatian dan minat pembaca. Ciri-ciri pendahulan yang baik adalah tepat dengan kehendak soalan, jelas dan sesuai dengan kehendak soalan. Tambahan pula, menggunakan bahasa yang tepat dan jelas, ada perkaitan dengan isu yang dibincangkan dalam isi karangan ditulis dalam satu perenggan dan tidak memasukkan isi karangan dalam pendahuluan.

Baca juga: Kesalahan Bahasa Yang Lazim Dalam Penulisan Karangan Bahasa Melayu (BM)

peta minda jenis pendahuluan dalam karangan Jenis-Jenis Pengenalan Dalam Penulisan Karangan

10 Jenis Pendahuluan Dalam Penulisan Karangan

Berikut akan dikongsikan jenis-jenis pendahuluan yang boleh diguna pakai oleh pelajar dalam penulisan karangan masing-masing. Terdapat 10 jenis pendahuluan yang boleh dikenal pasti iaitu:

1) Definisi

Pendahuluan definisi akan dimulakan dengan memberikan makna atau takrif terhadap isu atau topik yang menjadi tajuk karangan. Ia adalah sesuai untuk karangan jenis diskriptif dan perbahasan. Pemberian definisi terus daripada kamus juga digalakkan di mana sumber penulisan pelajar dipercayai dan tepat.

Contoh:

Jenayah ditakrifkan sebagai perbuatan yang melanggar undang-undang atau peraturan. Jenayah bukan sahaja membabitkan orang dewasa malahan golongan remaja juga. Menurut kajian polis, jumlah kes jenayah telah bertambah daripada 40 021 kes pada tahun 2000 kepada 43 210 kes pada tahun 2003. Di samping itu, kesalahan yang dilakukan juga semakin serius dari semasa ke semasa. Usaha-usaha pelbagai pihak amat diperlukan untuk membendung jenayah

2) Pendapat Tokoh

Pendahuluan bagi pendapat tokoh lazimnya digunakan apabila pendapat tokoh tersebut berkait dengan soalan karangan yang diberikan. Tokoh tersebut hendaklah yang dikenali oleh kebanyakan orang. Pendapat ini ditulis dalam bentuk prosa atau dalam bentuk dialog, yakni dalam pengikat kata. Pendahuluan jenis ini sesuai untuk karangan jenis deskriptif, syarahan, ceramah, ucapan, rencana dan perbahasan.

Contoh:

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Malaysia 9USM), Tan Sri Ani Arope mengatakan bahawa rakyat Malaysia belum bersedia menjadikan amalan membaca sebagai tabiat harian mereka untuk menggantikan tabiat lain, terutamanya makan. Beliau mengatakan bahawa membaca ialah tabiat yang amat mustahak berbanding makan kerana setiap bahan bacaan berupaya mendatangkan pelbagai idea untuk kegunaan manusia. Ketika berucap merasmikan pelancaran buku penerbit USM di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia pada 27 Mac 2004, beliau berkata “Jadual makanan boleh ubah. Cuba jangan lupa membaca. Tabiat membaca rakyat negara ini amat kurang berbanding dengan penduduk di negara Asia lain seperti Jepun, Korea dan China.

3) Suasana atau Gambaran

Bagi pendahuluan suasan atau gambaran, pelajar boleh menggambarkan sesuatu melalui suasan atau situasi yang sesuai. Ia adalah sesuai digunakan dalam penulisan karangan jenis cerita dan deskriptif.

Contoh:

Bas yang berhawa dingin terus berlalu menyusur jalan yang bengkang-bengkok dengan perlahan sekali. Rasa mual dan mengantuk hilang apabila kami dihiburkan oleh abang-abang yang memandu kami . Sepanjang perjalanan ke puncak Bukit Fraser, sepasang anak mataku sempat mengintai hutan rimba yang kami lalui nanti. Semakin banyak pokok dan tanah ditebang dan ditarah bagi membuka tanah pertanian atau dijadikan hotel bagi pelancong menginap di kawasan tanah tinggi ini.

4) Persoalan

Pendahuluan jenis persoalan digunakan apabila pelajar ingin menyatakan persoalan terhadap tajuk karangan yang diberikan. Pelajar perlu mengemukakan beberapa ayat pertanyaan yang berkaitan dengan tajuk karangan. Ia sesuai untuk karangan jenis perbahasan, syarahan, ceramah, ucapan dan deskriptif.

Contoh:

Setiap orang memerlukan kecemerlangan untuk menjamin kejayaan bagi diri mereka. Apakah yang dikatakan kecemerlangan? Apakah dengan kecemerlangan boleh membuatkan seseorang itu berjaya? Apakah dengan berdiam diri sahaja tanpa sebarang usaha seseorang itu boleh mencapai kecemerlangan? Soalnya , apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan diri seorang individu?

5) Peribahasa/ Pepatah/ Cogan Kata

Seterusnya, pendahuluan jenis peribahasa, pepatah atau cogan kata memerlukan pelajar betul-betul memahami maksud peribahasa yang ingin digunakan dan berkaitan dengan tajuk. Ia adalah sesuai untuk digunakan dalam karangan jenis perbahasan, ucapan, ceramah, syarahan, dan deskriptif.

Contoh:

Peribahasa Melayu “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul” dan “seperti aur dengan tebing” amat sesuai ke arah mewujudkan masyarakat penyayang dimana anggota-anggotanya mengamalkan sifat-sifat yang mengambarkan wujudnya hubungan kasih sayang dalam sesebuah komuniti. Namun semangat berkerjasama dalam masyarakat semakin hari semakin terhakis terutama di kawasan bandar. Punca-punca permasalahan ini perlu dibincangkan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab.

6) Latar Belakang Sejarah

Bagi pendahuluan latar belakang sejarah, pelajar perlu menyatakan sejarah yang tepat dalam mengaitkan peristiwa sejarah tersebut dengan tajuk karangan pelajar.

Contoh:

Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai Sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kira setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?

7) Fakta

Selain itu, pendahuluan jenis fakta adalah mudah dan kerap digunakan oleh pelajar. Ia sesuai untuk karangan jenis perbahasan, syarahan, ceramah, ucapan dan deskriptif.

Contoh:

Gejala ponteng sekolah yang berlaku sejak akhir-akhir ini kian menjadi-jadi dan sukar dibendung. Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perdana Menteri membuktikan bahawa masalah ini boleh dikatakan berlaku di seluruh sekolah di dunia. Lebih malang lagi peratusan kes ponteng sekolah di negara kita dikatakan meningkat setiap tahun. Statistik Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 membuktikan bahawa gejala ponteng sekolah telah meningkat kepada 11 peratus berbanding hanya 9 peratus pada tahun 2010. Gejala ponteng sekolah ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Semua pihak sama ada ibu bapa, guru sekolah dan juga masyarakat perlu seia dan sekata serta sederap melangkah bagi menangani masalah ini.

8) Tajuk Berita

Pendahuluan tajuk berita digunakan apabila pelajar ingin menarik minat pembaca dengan meletakkan tajuk berita yang berkaitan dengan tajuk karangan yang ingin dijawab. Pelajar perlu memetik tajuk berita atau keratan akhbar dengan betul dan tepat agar tidak terpesong daripada kehendak soalan.

Contoh:

‘Kerajaan galak mohon permit teksi eksekutif’. Demikian tajuk berita yang terpapar di muka 11 akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 17 Jun 2007 yang lalu. Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selepas beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Berjasa Negeri Sembilan Berhad kali ke-9 di Seremban. Teksi eksekutif merupakan sistem pengangkutan awam yang menggunakan teksi yang lebih besar dan selesa, tetapi tambangnya lebih tinggi berbanding dengan teksi bajet. Penggunaan teksi eksekutif dicadangkan apabila usia kenderaan sedia ada mencapai tempoh tujuh tahun. Selain teksi eksekutif, terdapat beberapa jenis sistem pengangkutan moden di negara ini, termasuklah monorel, keretapi, LRT dan lain-lain lagi.

9) Puisi/ Sajak/ Syair/ Lagu/ Pantun

Pendahuluan jenis puisi, sajak, syair, lagu atau pantun hendaklah berkaitan dengan tema atau tajuk karangan yang diberikan. Bimbingan daripada guru dalam penggunaan bahasa yang agak berat adalah perlu oleh pelajar supaya pelajar memahami puisi, sajak, syair, lagu atau pantunyang ingin digunakan dengan tepat.

Contoh:

Tikar pucuk tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.

Pantun warisan di atas mengingatkan kita supaya tidak membuang ikan yang sudah busuk. Sebaliknya, suri rumah yang kreatif seharusnya memanfaatkan ikan busuk itu untuk dijadikan hidangan yang istimewa. Dengan sentuhan yang bijak, ditambah pula dengan pelbagai ramuan termasuk ulam-ulaman, ikan busuk itu akan menjadi makanan yang enak untuk dinikmati. Demikian, maksud secara literal pantun empat kerat di atas. Secara tersiratnya, pantun tersebut mengingatkan kita agar sentiasa berjimat-cermat dalam kehidupan amnya, dan perbelanjaan seharian khususnya. Tambahan pula, agama Islam sendiri melarang umatnya bersikap boros lantaran pemboros ialah sahabat syaitan.

10) Gabungan

Akhir sekali, pendahuluan jenis gabungan adalah pendahuluan yang menggabungkan dua atau lebih jenis pendahuluan. Sebagai contoh, pendahuluan definisi digabungkan dengan pendahuluan persoalan.

Contoh:

Menurut kamus, kegiatan vandalisme boleh didefinasikan sebagai kegiatan laku musnah yang berkaitan dengan tidakan merosakkan atau memusnahkan harta benda termasuk kemudahan awam. Gejala memusnahkan kemudahan awam seperti pondok menunggu bas, telefon awam, kemudahan di sekolah dan sebagainya. Persoalannya mengapakah gejala vandalisme ini sering berlaku dalam kalangan remaja? Apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk membendung gejala ini?

Semoga perkongsian jenis-jenis pendahuluan dalam penulisan karangan membantu semua. Selamat membuat latihan dan berjaya dalam peperiksaan yang akan diduduki pelajar.