Nota

Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa : Sinopsis, Tema, Persoalan

Adakah anda pelajar Tingkatan 4 atau Tingkatan 5 yang mencari rujukan kepada Novel berikut? Sekiranya ya, berikut adalah perkongsian nota-nota berkenaan Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran untuk rujukan semua. Pelajar juga boleh merujuk contoh-contoh soalan yang lazimnya diberikan dalam peperiksaan.

Novel ini merupakan karya penulisan Abdul Latip Talib yang berasal daripada Rembau, Negeri Sembilan. Beliau yang mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1990 telah menghasilkan pelbagai karya iaitu novel, puisi, cerpen dan juga skrip drama televisyen. Selain novel Leftenan Adnan, beliau juga menulis novel pahlawan Islam yang lain seperti Salahudin Ayubi dan Tariq Ziyad.

Nota Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran

Berikut dikongsikan nota berkaitan Novel diatas meliputi Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran. Selain itu, turut dirangkumkan adalah plot, teknik plot, watak dan perwatakan serta gaya bahasa.

Sinopsis

Karya penulisan ini mengisahkan tentang Adnan yang merupakan watak utama. Beliau yang dilahirkan di Sungai Ramal, Selangor, hidup di dalam suasana kemiskinan kampung. Kehidupan mereka bergantung kepada hasil sawah padi dan kebun getah yang cukup-cukup makan sahaja. Adnan dibesarkan oleh kedua ibu dan bapanya iaitu Pak Saidi dan Mak Milah. Adnan yang merupakan anak sulung mempunyai dua adik-beradik iaitu Ahmad dan Amarullah. Watak utama novel ini mempunyai nilai kerajinan dan taat kepada perintah orang tuanya. Sejak usia sepuluh tahun, beliau membantu orang tuanya di kebun getah setiap pagi.

Moyang kepada Pak Saidi adalah orang buruan Inggeris, maka beliau sengaja merahsiakan keturunan pahlawannya kerana khuatis diburu. Semangat patriotik itu dilihat diwarisi oleh Adnan. Pak Saidi tidak mahu anak-anaknya mewarisi pekerjaannya di kampung justeru beliau memiliki keazaman untuk memastikan masa depan anak-anaknya lebih baik. Pak Saidi sedar hanya dengan ilmu pengetahuan anak-anaknya boleh menabur bakti kepada agama, bangsa dan tanah air. Beliau berhasrat mahu menghantar anak-anaknya ke sekolah aliran Inggeris tetapi mendapat tentangan orang kampung kerana risau akan dipengaruhi anasir yang tidak diinginkan.

Adnan telah dihantar untuk bersekolah di sebuah sekolah aliran Inggeris dan menjadi seorang peljar yang disenangi oleh rakan-rakan serta guru kerana sikapnya yang rajin dan pintar. Setelah tamat persekolahan, beliau menjadi guru pelatih di Sekolah Melayu Sungai Ramal. Namun, bidang perguruan bukanlah minatnya, sebaliknya cita-cita Adnan adalah untuk menjadi seorang Askar. Tersebar berita tentera British ingin menubuhkan askar Melayu yang terdiri daripada anak-anak Melayu. Selepas mendapat restu ayah dan ibunya, Adanan serta beberapa pemuda kampungnya menyertai latihan ketenteraan di Port Dickson.

Dengan kesungguuhan menjalani latihan ketenteraan, Adnan berjaya direkrut ke dalam pasukan Askar Melayu. Beliau ditugaskan untuk ke Singapura, kemudian menerima kenaikan pangkat sebagai Sarjan seterusnya terpilih untuk menyertai upacara pertabalan King George VI di London. Tidak lama selepas itu, Adnan dinaikkan pangkat sebagai seorang Leftenan dan telah berkahwin dengan seorang guru di kampungnya bernama Sophia. Hasil perkahwinannya melahirkan tiga orang zuriat dan mereka menetap di Pasir Panjang, Singapura di Kem Rejimen Askar Melayu.

Apabila Perang Dunia kedua mula berlaku, terdapat ura-ura bahawa Jepun akan menyerang Singapura. Leftenan Adnan terpaksa menghantar isteri dan anak-anaknya pulang ke kampung mereka demi keselamatan keluarganya. Askar Jepun telah pun berjaya mendarat di Kelantan dan menyebabkan ramai Askar Melayu tumpas dan terkorban. British juga tidak berjaya untuk menghalang pergerakan Askar Jepun untuk mendarat di Tanah Melayu pada ketika itu kerana aset ketenteraan seperti kapal perang telah diserang terlebih dahulu. Pihak British ketika itu yakin kubu pertahanannya di Singapura kebal daripada serangan Askar Jepun. Namun, seramai 42 anggota Rejimen Askar Melayu telah terkorban termasuk Leftenan Adnan yang berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Jepun berjaya menakluki Singapura tetapi tidak lama setelah Amerika Syarikat mengebom pangkalan tentera Jepun di Hiroshima. British kembali memerintah Tanah Melayu.

Tema

Novel ini mengetengahkan tentang keberanian seorang anggota tentera berjuang mempertahankan negaranya daripada penjajahan orang asing

Persoalan

  1. Persoalan kasih dan sayang dalam keluarga
  2. Persoalan pendidikan menjamin masa hadapan
  3. Persoalan semangat cinta akan negara
  4. Persoalan pengorbanan seorang isteri
  5. Persoalan kebijaksanaan dalam peperangan

Watak Dan Perwatakan

Leftenan Adnan

  • Merupakan watak utama dalam novel
  • Anak sulung kepada Pak Saidi dan Mak Milah
  • Mendapat pendidikan di sekolah Inggeris dan menjadi guru sebelum menyertai askar
  • Berkahwin dengan Sophia dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mokhtar, Zainudin dan Fatimah
  • Seorang yang rajin, bijak dan bersikap patriotik
  • Seorang yang berani dan cerdas apabila menghadapi situasi genting dalam peperangan

Pak Saidi

  • Bapa kepada Adnan, Ahmad dan Amarullah
  • Suami kepada Mak Milah
  • Bekerja sebagai pesawah dan pekebun
  • Seorang yang berdarah pahlawan dan berpandangan jauh demi kemaslahatan anak-anaknya

Sophia Pakih Muda

  • Isteri kepada Adnan dan melahirkan 3 orang anak
  • Seorang guru di Sekolah Melayu Sungai Ramal
  • Seorang yang tabah dan bertanggungjawab

Mamat

  • Rakan baik kepada Adnan
  • Menyertai Askar Melayu bersama-sama Adnan
  • Seorang yang mempunyai semangat setiakawan yang kuat

Jeneral Tomoyuki Yamashita

  • Pegawai Pemerintah Tentera Jepun
  • Bersikap zalim dan tidak berperikemanusiaan
  • Bijak dalam menyusun strategi dan berpendirian tegas

Plot

Permulaan – Kehidupan semasa kecil Leftenan Adnan di kampung diceritakan oleh pengarang. Adnan mendapat pendidikan di sekolah Inggeris dan kemudian telah memilih untuk menyertai Askar Melayu di Port Dickson. Adnan kemudian berkahwin dengan Sophia dan mendapat tiga orang anak sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua

Perkembangan – Jepun ingin menyerang Tanah Melayu dan Singapura menjadi sasaran Jepun untuk menakluk. Leftenan Adnan yang ditugaskan di Singapura menghantar isteri dan anak-anaknya pulang ke kampung. Jepun mula mendarat di Kota Bharu, Kelantan. Leftenan Adnan serta pasukannya mempertahankan Pasir Panjang dan Bukit Candu yang merupakan laluan ke depot penyimpanan peluru dan juga hospital tentera. Berlaku pertempuran yang menyebabkan pasukan Jepun berundur tetapi merkea datang semula dengan bilangan tentera yang lebih ramai.

Klimaks – Pertempuran di Bukit Candu antara Askar Melayu dan Askar Jepun semakin merunsingkan apabila Askar Melayu kehabisan peluru. Tentera Jepun mara dan menumpaskan semua Askar Melayu manakala Leftenan Adnan yang cedera parah telah ditawan. Tentera Jepun menggantung Leftenan Adnan pada pokok ceri lalu ditikam bertubi-tubi oleh tentera-tentera Jepun dengan bayonet sehingga hancur mayatnya.

Peleraian – Setelah berlaku pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun, penjajahan mereka tamat apabila menyerah kalah untuk menamatkan Perang Dunia Kedua. Sophia yang merupakan isteri kepada Leftenan Adnan berkhidmat semula sebagai guru dan berkahwin dengan seorang Ustaz bernama Ridwan.

Teknik Plot

  1. Dialog – “Macam Mana belajar di sekolah orang putih? Seronok?”, Tanya Mamat ingin tahu
  2. Pemerian – Dia berlagak seperti Hang Tuah yang menikam musuhnya. Pak Saidi yang baru pulang dari kebun tersenyum melihat telatah anak sulungnya itu.
  3. Imbas Muka – Semasa berbual dengan Mamat, Adnan menyatakan keinginannya untuk menjadi seorang askar. Adnan membayangkan bagaimana rasanya apabila digigit kerengga
  4. Imbas Kembali – Adnan terkenang suasana meriah menyambut hari raya ketika zaman kanak-kanaknya.
  5. Monolog Dalaman – Inilah Tok Mudim yang akan mengkhatankan aku, bisik hati Adnan.
  6. Kejutan – Deris terkejut apabila mendapati lelaki disebalik topeng sebenarnya Samad

Latar

Latar Tempat

  • Alexandria – benteng terakhir tentera British yang diserang oleh tentera Jepun
  • Bukit Candu – lokasi Leftenan Adnan terkorban dan digantung mayatnya di sebuah pokok sebelum diseksa oleh tentera Jepun
  • Pasir panjang – lokasi Leftenan Adnan memimpin Kompeni C menghadapi tentera Jepun sehingga mereka berundur
  • Kem Latihan Haig Lines Port Dickson – tempat Adnan mendapatkan latihan ketenteraan
  • Sungai Ramal – tempat kelahiran Adnan dan dibesarkan

Latar Masa

  • Tahun 1937 – Adnan naik pangkat menjadi Sarjan dan telah dipilih untuk menyertai upacara pertabalan King George VI
  • Tahun 1941 – Jepun menjajah Tanah Melayu melalui jalan darat
  • Waktu petang – tentera Jepun melancarkan serangan dengan menyamar sebagai tentera India yang berturban
  • Waktu malam – Kompeni C telah menerima perintah untuk ke Bukit Candu
  • Waktu pagi – Setiap pagi Pak Saidi mengayuh basikal menghantar Adnan ke sekolah Inggeris di pekan Sungai Ramal sebelum pergi ke sawah

Latar Masyarakat

  • Masyarakat yang patriotik – Leftenan Adnan bersama Askar-Askar Melayu yang lain berjuang mati-matian mempertahankan negara
  • Masyarakat kampung – Pak Saidi dan penduduk kampung lain yang menjalani kehidupan di Sungai Ramal dengan bersawah atau berkebun sebagai pekerjaan
  • Masyarakat yang mengutamakan pendidikan – Pak Saidi menghantar Adnan masuk ke sekolah Inggeris untuk mendapatkan masa depan yang lebih cerah

Gaya Bahasa

  • Peribahasa – sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua
  • Personafikasi – fikirannya melayang-melayang mengenang kembali peristiwa dua hari yang lalu dan cuaca sejuk menusuk hingga ke tulang sum sum
  • Hiperbola – bahangnya terasa perit membakar kulit
  • Metafora – api kemarahan, menyentuh jiwa
  • Simile – seumpama ombak besar menghempas pantai

Nilai

  1. Nilai kebijaksanaan – Pak Saidi menghantar Adnan ke sekolah Inggeris untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik.
  2. Nilai patriotik – Adnan yang menyertai askar walaupun telah menjadi guru pelatih di kampungnya
  3. Nilai keberanian – Leftenan Adnan yang berjuang sehingga titisan darah terakhir menentang Tentera Jepun
  4. Nilai ketabahan – Sophia yang menjaga anak-anaknya setelah pulang ke kampung apabila Jepun ingin menyerang Singapura
  5. Nilai tanggungjawab – Leftenan Adnan yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi mempimpin KOmpeni C menentang askar Jepun

Pengajaran

  1. Kita hendaklah memastikan anak-anak mendapat pendidikan untuk menjamin masa hadapan mereka, bangsa dan negara
  2. Kita bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan tanah air daripada dijajah atau diserang negara asing
  3. Kita seharusnya taat kepada kedua ibu dan bapa serta memohon restu atas segala perkara yang ingin dilakukan di dunia ini
  4. Kita sewajarnya menggunakan akal fikiran dan keupayaan diri dengan baik dalam menghadapi situasi-situasi yang genting
  5. Kita perlu bersikap rajin untuk berjaya dalam melakukan apa sahaja dalam kehidupan

Contoh Soalan

A) Nyatakan dua persoalan kemasyarakatan yang terdapat di dalam novel di atas?

  1. Persoalan masyarakat yang bekerjasama apabila tentera Jepun mencari keluarga Leftenan Adnan dan masyarakat kampung tidak memberi maklumat
  2. Persoalan semangat juang yang tinggi dlam kalangan askar Melayu

B) Berdasarkan novel yang anda kaji, nyatakan dua latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut.

  1. Sekolah Inggeris di pekan Sungai Ramal
  2. Kem Latihan Haig Lines Port Dickson

C) Jelaskan dua peristiwa yang menjadi teladan kepada anda dalam Novel Ini

  1. Pak Saidi yang menghantar anaknya ke Sekolah Inggeris walaupun mendapat tentangan orang kampung
  2. Leftenan Adnan yang bermati-matian mempertahankan Bukit Candu daripada di tawan oleh tentera Jepun.

Sekian sahaja perkongsian Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran. Semoga dapat membantu pelajar mengulang kaji dan bersiap sedia menghadapi ujian atau peperiksaan.

Related : jepun askar melayu menunjukkan keberanian, anggota askar melayu termasuk, hebat di mana seramai, jeneral yamashita, seramai 152 anggota askar, keberanian dan keperwiraan askar, semangat keperwiraan yang hebat, leftenan adnan bin saidi, hujung nyawa, keberanian dan semangat keperwiraan, menunjukkan keberanian dan semangat, orang anggota, pertempuran dengan askar jepun,