Nota

Novel Justeru Impian Di Jaring : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran

Perhatian kepada pelajar Tingkatan 3, adakah anda ingin mengulangkaji mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya komponen sastera (KOMSAS)? Di bawah dikongsikan nota-nota untuk Novel Justeru Impian Di Jaring : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran sebagai rujukan untuk semua. Karya ini telah memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (ExxonMobil) tahun 2002 dan dipilih sebagai salah satu karya KOMSAS menengah rendah.

Novel ini merupakan karya Zaid Akhtar yang berasal daripada Mersing, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Teluk Lipat, Endau dan menengah di SMK Agama Segamat sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Bahasa Arab di Kulliyyah Adab, Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan. Zaid Akhtar mula menulis karya pada akhir 1993 dan cerpen sulungnya yang tersiar di majalah Dewan Siswa Januari 1994 berjudul Juara yang Tewas telah memenangi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat- DBP 1994.

Analisis Lengkap Novel Justeru Impian Di Jaring

Berikut dikongsikan nota berkaitan Novel Justeru Impian Di Jaring : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran. Turut disertakan nota berkenaan watak dan perwatakan, gaya bahasa dan nilai yang terkandung dalam novel tersebut.

Baca juga : Apa Itu Rukun Negara?

Sinopsis

Bab 1

Syahir menghabiskan sesi wawancara bersama seorang wartawan bernama Azmie. Sejak mengenali Azmie hubungan mereka menjadi akrab. Selepas menghantar Azmie ke kereta Syahir segera menyertai rakan-rakannya yang lain untuk mendengar taklimat daripada Engku Aiman. Dalam taklimatnya, Engku Aiman (ketua jurulatih) mengingatkan anak buahnya agar tidak mencampuradukkan hal peribadi ataupun publisiti semasa sesi latihan. Syahir terkesan dengan kata-kata tersebut.  Boon Lee memberitahu mereka perlu menyertai Terbuka Johor dan aspek pemilihan berdasarkan prestasi semasa dan bukannya ranking dunia. Wan Najhan mengiyakan kata-kata Boon Lee. Syahir sempat meminta maaf kepada Engku Aiman atas kelewatannya dalam sesi taklimat pada petang itu. Namun Syahir menerima sindiran daripada Engku Aiman dan Syed Amiri.

Bab 2

Syahir terleka ketika makan sambil menonton televisyen bersama emak dan Kak Uda Syahrizah. Kak Udanya antara insan yang paling rapat dalam keluarganya dan menyokong kariernya. Syahir perlu memenangi Terbuka Johor jika ingin ke perlawanan (Kejohanan Badminton Antarabangsa) di Jakarta. Emaknya risau Syahir menangguhkan pengajiannya di UPM Serdang hampir setahun dalam pengajian di Jabatan Sukan UPM. Syahir memohon doa kakaknya dan emaknya agar impiannya untuk mengharumkan nama negara. Syahir tidak melupakan amanat arwah bapanya menjadi anak yang berijazah dan berilmu serta memelihara syariat Islam dalam bersukan. Ayahnya pernah menentang penglibatannya dalam bidang sukan semasa di sekolah menengah. Namun kejayaannya dalam akademik dan sukan telah memadamkan kemarahan ayahnya. Arwah ayahnya meninggal dunia kerana barah prostat. Cikgu Kamaludin yang mengasah bakat Syahir semasa di sekolah menengah. Walaupun cemerlang dalam bidang akademik, Syahir pernah menolak tawaran ke sekolah berasrama penuh semata-mata kerana minatnya dalam sukan badminton.

Bab 3

Syahir menghampiri Haji Marzuki (jurulatih & bekas jaguh kebangsaan) yang sedang memantau latihan Bernard. Mengikut ranking rasmi badan dunia, Syahir, Bernard dan Kam Heng layak ke Jakarta. Namun perubahan drastik membenarkan negara memilih empat pemain terbaik sahaja menjadikan peluangnya samar-samar. Sebelum pulang Syahir dan Wan Najhan singgah makan tengah hari di Restoran 48 Jam. Mereka bertemu dengan Wan Najlah (adik Wan Najhan). Wan Najlah mengusik Syahir dengan meminta autograf Syahir kerana profil Syahir diterbitkan dalam Mingguan Riadah.

Bab 4

Syahir sayu dan simpati menonton paparan berita umat Islam yang ditindas di Palestin. Kemudian Syahir membaca artikel Mingguan Riadah tentang dirinya. Dalam wawancara tersebut Syahir diajukan beberapa soalan tentang penampilannya sewaktu bersukan. Syahir pernah dituduh mencari publisiti kerana penampilannya yang menutup aurat dalam bersukan sejak di tingkatan 4. Latar belakang keluarganya mempengaruhi penampilannya dan dia tidak berniat mencetuskan kontroversiti.

Bab 5

Syed Amiri memuji Syahir sebagai selebriti kerana artikel tentang dirinya dalam akhbar sukan tabloid itu tetapi Syahir kurang senang dengan gelaran tersebut. Haji Marzuki sempat memberitahu bahawa Syahir akan bertemu dengan Syed Amiri dalam kejohanan Terbuka Johor. Syahir kelihatan bimbang namun Haji Marzuki sering memberi motivasi kepadanya. Sejak dahulu lagi Syed Amiri tidak menyenanginya dan sering mengambil peluang menyakiti hatinya. Tetapi Syahir tetap bertahan kerana prinsipnya sukan wasilah memupuk semangat ukhwah. Haji Marzuki sedar akan kelebihan anak buahnya. Syahir mahir dalam pukulan pancungnya namun harus diperbaiki lagi. Syahir dan Bernard tersenarai dalam senarai 15 pemain terbaik dunia sepanjang 15 bulan mereka mendapat latihan Haji Marzuki.

Bab 6

Selepas membersihkan diri dan bersolat Syahir menonton Buletin Dunia. Pada ketika itu Wan Najlah menghubunginya lagi. Syahir bertanyakan sekiranya Wan Najlah mempunyai masalah. Wan Najlah memohon maaf kerana bersikap emosional tempoh hari. Wan Najlah terkesan dengan kata-kata Syahir tempoh hari tetapi mengakui kebenaran kata-kata Syahir. Wan Najlah memuji kehebatan Syahir mempertahankan prinsipnya dalam berpakaian semasa bersukan.

Bab 7

Tengah hari itu, Syahir bertemu dengan Azmie. Mereka mula mengenali semasa Kejohanan Terbuka Kelantan setahun yang lalu. Ketika berada di pejabat Azmie, Wan Najhan menghubunginya dan memberitahu bahawa adiknya Wan Najlah sudah bertudung dan menutup aurat ketika sesi latihan. Perkara ini mengejutkan semua warga kompleks sukan tersebut. Wan Najhan menuduh Syahir mempengaruhi adiknya. Namun Syahir menafikan dan menganggap itu adalah hidayah dari-Nya.

Bab 8

Engku Aiman sering mengkritik cara permainan Syahir dengan kata-kata yang menyakitkan hatinya. Rakan-rakannya juga menyedari sikap Engku Aiman terhadap Syahir. Engku Aiman sengaja memalukan dan melemahkan dirinya di hadapan Dr Asyraf (pengurus pasukan negara) dan semasa ketiadaan Haji Marzuki. Engku Aiman sering memuji Syed Amiri menyebabkan hatinya bertambah sakit. Syahir pulang ke rumah emaknya untuk meluangkan masa bersama keluarga sebelum dia berangkat ke Johor Bahru. Pada malam itu Syahir mendapati ibunya terlentang di atas katil dalam keadaan bertelekung. Hati Syahir bimbang kerana tubuh ibunya panas.

Bab 9

Perjalanannya ke Johor Bahru tengah hari itu diselubungi kebimbangan terhadap ibunya yang uzur. Haji Marzuki juga tidak dapat bersamanya kerana belum sembuh. Kejohanan Terbuka Johor bermula selepas solat Jumaat. Syahir berjaya menewaskan pihak lawannya. Syahir dan rakannya terkejut dengan prestasi baik Syed Amiri. Syed Amiri turut mendapat sokongan penonton kerana Syed Amiri berasal dari Johor. Syahir bangga dengan perubahan Wan Najlah ketika kejohanan tersebut. Dr Asyraf memanggilnya ketika Syahir ingin pulang ke hotel. Dr Asyraf menasihati supaya Syahir fokus kepada kariernya dan tidak mencari publisiti murahan sambil menunjukkan gambarnya bersama Ratna. Syahir terkejut kerana gambar tersebut telah diedit seseorang dan dimasukkan di dalam akhbar.

Bab 10

Syahir menentang Syed Amiri, namun konsentrasinya terganggu dengan gosip liar dan keputusan berat sebelah semasa pertandingan. Walaupun Syahir cuba membantah tetapi pengadil pertandingan tetap dengan keputusannya yang berat sebelah. Kekecewaannya menjadikan permainannya bertambah hambar dan Syed Amiri akhirnya berjaya menewaskan Syahir. Oleh itu, Syed Amiri layak ke Jakarta manakala Syahir sebaliknya.

Bab 11

Semua pemain utama skuad kebangsaan layak ke Jakarta kecuali Syahir. Hal ini menjadikannya tidak selesa ketika menjalani latihan biasa di kompleks sukan tersebut. Haji Marzuki berharap Syahir tidak patah semangat kerana kekalahan tersebut dan meminta Syahir bercuti untuk menenangkan fikiran. Selepas latihan petang itu, Syahir terus pulang ke rumah emaknya dan pergi ke rumah Mak Usu (Seremban) bersama emak dan Kak Uda. Ketika berada di rumah Mak Usu Syahir menerima panggilan Haji Marzuki yang memberitahu rakannya, Gopinath terlibat dalam kemalangan.

Bab 12

Rancangannya untuk bersama keluarga Mak Usu ke selatan terpaksa dibatalkan kerana terpaksa pulang ke Kuala Lumpur setelah diarahkan oleh Haji Marzuki. Walaupun kehairanan kerana diminta pulang dan menjalani latihan seperti biasa, namun Syahir menurut kata jurulatihnya itu. Haji Marzuki akhirnya memberitahu bahawa dia berkeras dengan pihak atasan untuk menggantikan Gopinath dengan Syahir untuk kejohanan di Jakarta. Syahir bersyukur kerana masih berpeluang ke Jakarta.

Bab 13

Hatinya cemas kerana mengetahui undian pencabar lawannya di Jakarta. Namun Haji Marzuki seolah-olah dapat membaca hatinya dan terus memberikan semangat dan nasihat kepadanya. Syahir mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi lawannya mengikut rentak permainannya. Namun Syahir mempunyai kelemahan kerana bermain mengikut mood dan sukar mengawal emosi. Syahir juga bertemu Dr Haikal (kaunselor untuk meningkatkan psikologi pemain) namun nasihat yang diterimanya tidak sehebat nasihat Haji Marzuki. Pada 10.15 malam itu, Syahir menerima panggilan daripada Kak Uda yang memberitahu emaknya pitam di rumah abang Long.

Bab 14

Emaknya terlantar di Hospital Universiti dan Syahir mendapat tentangan abang Long dan Kak Ngahnya untuk membenarkannya ke Jakarta. Selepas solat Istikharah Syahir menghubungi Kak Uda dan Kak Uda memaklumkan emaknya bertambah stabil. Kak Uda turut menasihati Syahir supaya meneruskan niatnya ke Jakarta demi negara. Syahir menyiapkan pakaian untuk seminggu berada di Jakarta. Sebelum berangkat Syahir, Wan Najhan dan Nik Shahnizam singgah ke hospital untuk mendapatkan restu emaknya. Walaupun emaknya tidak mampu berkata-kata namun Syahir seakan-akan mengerti restu emaknya untuk berjuang demi negara.

Bab 15

Sehari sebelum kejohanan bermula para pemain dibenarkan berlatih di Istora Senayan (Gelora Bung Karno). Syahir diletakkan sebagai pilihan ke-12. Syahir berjaya menentang lawannya dalam setiap perlawanan bertemu Korea Selatan, China dan Indonesia. Akhirnya dia, Kam Heng, Syed Amiri dan pasangan beregu Wan Najhan-Boon Lee berjaya ke suku akhir.

Bab 16 

Syahir berjaya ke peringkat penentuan juara lelaki perseorangan. Syed Amiri yang dicanang sebagai juara akhirnya tewas di peringkat separuh akhir. Laluan Syahir bertambah mudah setelah menang menentang pemain dari China, lawan seterusnya cedera selepas 5 minit perlawanan dan menarik diri. Akhirnya Syahir bakal bertemu lawan dari Indonesia, Andri Minarwan (26 tahun). Khabar emaknya bertambah sihat melegakan hati Syahir. Wan Najlah turut memberikan kata-kata semangat kepadanya. Haji Marzuki tiba-tiba memanggilnya ketika pegawai lain menyaksikan perlawanan akhir kategori wanita. Haji Marzuki ingin memberitahu sesuatu perkara sebelum Syahir menentang Andri Minarwan. Haji Marzuki memaklumkan bahawa dia berjanji akan meletak jawatan sekiranya Syahir gagal menjadi juara pada malam itu. Syahir terharu dengan kepercayaan dan keyakinan jurulatihnya terhadap dirinya itu.

Bab 17

Andri memulakan servis pertama. Pemain tangan kanan ini bijak mengawal gelanggang dan mendahului mata perlawanan. Namun Syahir menukar corak permainannya dan berjaya memenangi set pertama. Set kedua berlalu namun berlaku ketidakadilan pengadil gelanggang. Dalam masa yang sama Syahir mengalami sakit di bahagian abdomennya. Syahir tetap meneruskan perlawanan. Dia sering mengingati nasihat jurulatihnya supaya bersabar dan tidak mengikut emosi seperti yang berlaku di Johor Bahru. Akhirnya Syahir berjaya menentang pemain Indonesia itu dan dinobatkan sebagai juara kategori lelaki. Semasa sesi penyampaian pingat Syahir tidak dapat menahan kesakitannya dan rebah di atas podium tersebut.

Bab 18

Syahir terpaksa menjalani pembedahan Apendisitis dan terlantar di hospital Jakarta bebeapa hari. Selepas itu, dia pulang ke Malaysia. Syahir bersyukur kerana diberi nikmat untuk hidup lagi. Ketika tiba di hospital Universiti, keluarganya telah menunggunya. Syahir terus memeluk emaknya dan memberikan pingat kemenangan kepada emaknya. Abang Long menyatakan rasa bangganya kepada adik bongsunya itu.

Tema

Novel ini menunjukkan tema ketabahan seorang pemain badminton dalam menghadapi cabaran sebelum bergelar juara dunia.

Persoalan

  1. Persoalan berkaitan dengan dunia permainan badminton
  2. Persoalan kasih sayang terhadap ibu kandung
  3. Persoalan masyarakat yang bersikap patriotik terhadap negara

Watak Dan Perwatakan 

Syahir

  • Pemain badminton
  • Anak bongsu daripada lima orang adik beradik
  • Mahasiswa di Jabatan Pengajian Sukan, UPM Serdang
  • Tabah menghadapi dugaan hidup
  • Tetap pendiriannya

Kak Uda Syahrizah

  • Kakak kepada Syahir
  • Pegawai perubatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia
  • Bersikap penyayang dan memahami

Haji Marzuki

  • Jurulatih perseorangan skuad badminton kebangsaan
  • Berpandangan positif dan bertanggungjawab
  • Berani dalam mengambil keputusan

Syed Amiri

  • Pemain badminton skuad kebangsaan
  • Suka menyindir dan memandang rendah terhadap orang lain

Gaya Bahasa 

  • Personafikasi – ada keresahan mengintai dalam nubari
  • Sinkope – saya tak sedap hati nak pergi, kak
  • Metafora – Tidak semena-mena wajah arwah abah pula yang hadir di layar minda
  • Peribahasa – datang tidak bersambut, berpeluk tubuh
  • Simile – kadang-kadang terasa macam bola, disepak dilambung ke sana ke mari

Latar Masa

Waktu malam

  • Syahir meluangkan masa untuk makan malam bersama dengan emak dan Kak Uda Syahrizah di rumah mereka

Umur 15 tahun

  • Syahir dinobatkan sebagai johan di peringkat negeri bagi kategori perseorangan bawah 15 tahun ketika di Tingkatan 3. Ayahnya telah mematahkan raket serta menghempas piala yang dimenangi oleh Syahir kerana ingin mengendurkan semangatnya terhadap sukan badminton

Umur 18 tahun

  • Syahir berjaya menjuarai pertandingan badminton di peringkat kebangsaan di bawah kategori perseorangan dan bergelar juara remaja kebangsaan

Waktu pagi

  • Sesi latihan badminton diteruskan seperti biasa. Para pemain memanaskan badan, melakukan aktiviti senaman dan regangan badan sebelum meneruskan aktiviti lain. Pada masa yang sama, Syed Amiri menyindir tentang kelayakan Syahir untuk menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta

Selepas solat Maghrib

  • Syahir endapati ada tiga panggilan telefon yang tidak berjawab daripada Wan Najlah pada telefon bimbitnya. Syahir tidak berkesempatan untuk menghubunginy asemula kerana latihan sesi malam akan bermula.

Latar Tempat

Rumah Syahir di Bandar Baru Bangi

  • Syahir bersembang dengan emak berkenaan masa depannya dalam dunia badminton semasa di rumah. Emak berpesan supaya Syahir sentiasa mengingati amanat arwah ayahnya juga

Jabatan Pengajian Sukan, UPM Serdang

  • Syahir melanjutkan pelajaran di Jabatan Pengajian Sukan, UPM Serdang setelah menolak tawaran untuk menyambung pelajaran di Universiti Sains Malaysia

Gelanggang latihan badminton

  • Di bawah kendalian Haji Marzuki, Engku Aiman dan MAs Suparman, skuad kebangsaan menjalani latihan untuk kejohanan Terbuka Johor dan Kejohanan Bandminton Antarabangsa di Jakarta

Taman Shamelin Perkasa

  • Pejabat rakan Syahir iaitu Azmie yang merupakan seorang wartawan terletak di Taman Shamelin Perkasa. Di sana juga Syahir telah didatangi oleh empat orang gadis dan Ratna iaitu juara program Akademi Impiana

Stadium Badminton Istora Senayan/ Gelora Bung Karno

  • Gelanggang Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta yang menyaksikan Syahir melakar nama sebagai juara dunia setelah menewaskan Andri Minarwan

Latar Masyarakat

  1. Masyarakat yang tidak mudah berputus asa
    • Syahir tetap meneruskan latihan walaupun telah tersingkir daripada senarai pemain skuad kebangsaan yang akan menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta
  2. Masyarakat yang berani mengutarakan pendapat
    • Syahir mengemukakan pendapat tentang tindakan pihak PBSM yang tidak menggunakan sistem ranking dunia untuk menentukan kelayakan ke kejohanan di Jakarta sebaliknya bergantung kepada keputusan kejohanan Terbuka Johor
  3. Masyarakat yang pilih kasih
    • Engku Aiman selalu menyebelahi Syed Amiri yang dianggap sebagai anak emas beliau dalam melakukan apa-apa tindakan
  4. Masyarakat yang tetap pendirian
    • Syahir mempunyai pendirian yang tetap dengan memakai pakaian yang menutup aurat ketika bersukan supaya syariat agamanya terjaga
  5. Masyarakat yang mengamalkan sikap kasih sayang dalam kehidupan
    • Kak Uda Syahrizah sanggup mengambil cuti kerana mahu menjaga emaknya yang sakit akibat strok

Nilai

  1. Kegigihan – Nilai ini ditunjukkan oleh Syahir dan rakan sepasukannya dalam berlatih dengan gigih sebelum mengharungi kejohanan di peringkat antarabangsa
  2. Keredaan – Syahir menerima kekalahan kepada Syed Amiri di Kejohanan Terbuka Johor dengan reda. Syahir juga berdoa agar diberikan kesabaran daripada bertindak terhadap pegawai perlawanan yang bersekongkol untuk memenangkan Syed Amiri
  3. Keberanian – Wan Njlah bertindak memakai tudung dan seluar panjang semasa berlatih di kem latihan wanita membuktikan keberanian dia untuk berubah
  4. Rasional – Haji Marzuki menasihati Syahir agar sentiasa bersikap rasional dan tenang dalam memebuat persediaan sebelum menghadapi kejohanan. Haji Marzuki mahu Syahir mengenal pasti kelemahan dan kekuatan dirinya terlebih dahulu
  5. Kejujuran – Wan Najlah meminta maaf kepada Syahir atas sikapnya yang emosional lalu menyatakan hasratnya untuk menutup aurat semasa bersukan seperti Syahir

Pengajaran

  1. Kita hendaklah menjauhi sikap pilih kasih dalam kehidupan kerana inetegriti adalah lebih penting daripada kepentingan diri.
  2. Kita seharusnya sentiasa mengamalkan sikap rendah diri terhadap orang lain. Contohnya Engku Aiman dan Syed Amiri memandang rendah keupayaan Syahir untuk mara ke Kejohanan Badminton Kebangsaan di Jakarta
  3. Kita perlu bersikap berani apabila mengemukakan pendapat. Misalnya, Syahir yang menyatakan pendapatnya bahawa tidak bersetuju dengan tindakan pihak PBSM.
  4. Kita sewajarnya sentiasa mengingati pesanan atau nasihat baik yang disampaikan oleh seseorang seperti Syahir mengingati pesanan arwah ayahnya.
  5. Kita digalakkan untuk berfikiran positif terhadap sesuatu perkara. Contohnya Syahir yang dikritik oleh Engku Aiman berfikiran positif dan menerima kritikan tersebut.

Diharapkan perkongsian Novel di atas memberikan informasi yang bermanfaat kepada semua.

Related : untuk memberikan