Nota

Sajak Gelanggang : Tema, Persoalan, Bentuk, Gaya Bahasa, Nilai, Pengajaran

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Panduan buat pelajar Tingkatan 4 yang wajib untuk mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu. Adakah anda bersedia untuk menjawab soalan dalam peperiksaan khusus pada bahagian Komponen Sastera Bahasa Melayu? Bagi memudahkan persiapan persiapan pelajar, berikut dikongsikan nota Sajak Gelanggang: Tema, Persoalan, Bentuk, Gaya Bahasa, Nilai, Pengajaran.

Karya sastera ini merupakan hasil penulisan Onn Malini atau nama sebenarnya Haji Othman Mahali. Beliau juga telah menerbitkan karya dalam Antalogi Cerpen Peluru Cintai Victoria (Bersama) Rantau Utara, Puisi Antalogi bersama penulis-penulis PERWILA dan penulis luar. Walaupun tajuk sajak ini hanya satu patah perkataan, tetapi pelajar akan diuji dengan kemahiran untuk berfikir secara kreatif dan kritis dalam memberikan isi-isi penting dalam karya tersebut.

Nota Sajak Gelanggang

Nota-nota berkaitan Sajak Gelanggang: Tema, Persoalan, Bentuk, Gaya Bahasa, Nilai, Pengajaran boleh dirujuk dibawah. Selain itu, terdapat juga contoh soalan yang pernah dikeluarkan dalam peperiksaan untuk panduan pelajar.

Maksud Rangkap

Ini gelanggang kita
yang diwariskan oleh pendekar-pendekar datuk moyang lebih
lima dekad yang lalu
satu persepakatan kaum untuk diturunkan kepada anak cucu
di kemudian hari.

Hari ini kitalah pewaris gelanggang yang terbina dari keringat
dan air mata
dengan gelanggang inilah negara aman makmur rakyat berpadu
kita pelihara gelanggang ini dengan kejap sepenuh hati
kita mempertahankan kedaulatan watan dari anasir jahat
kerana telah terbukti dapat menyatupadukan pelbagai
keturunan.

Para pendekar kita harus berani berjuang menangkis tohmahan
demi mempertahankan maruah gelanggang keramat suci ini
suara-suara momokan sumbang memperlekehkan menyentuh
hati nurani
kita sanggah nyah tanpa kompromi dari menggugah
gelanggang
jangan sekali bermain api kelak membinasakan diri sendiri.

Marilah pahlawan setia kita kukuhkan ukhuwah
elakkan pertelingkahan sesama sendiri.

Kitalah pewaris abadi yang menjunjung amanah ini
agar kecemerlangan tercerna di persada arena
terus memacu kejayaan demi maruah harga jati diri
membina sebuah negara bangsa yang harmoni dan dihormati
kita junjung dan taat hingga ke akhir hayat.

Rangkap Pertama

Dinyatakan oleh penyajak bahawa Malaysia adlah negara yang dibentuk hasil perpaduan setiap kaum demi masa depan generasi seterusnya dan ditubuhkan kira-kira 50 tahun yang lalu.

Rangkap Kedua

Seterusnya penyajak menyatakan kita adalah generasi yang mewarisi Malaysia. Segala perjuangan generasi terdahulu yang bekerja keras dan bersusah payah mendapatkan kemerdekaan negara wajar diteruskan. Apabila rakyat bersatu padu, kemakmuran negara dapat dinikmati. Seruan supaya rakyat memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab daripada pihak asing yang cuba memusnahkan negara.

Rangkap Ketiga

Pada rangkap ini, pemimpin negara diseru untuk menjadi berani melawan tuduhan atau ancaman demi mempertahankan kedaulatan negara. Segala pendapat atau perkara yang cuba menjatuhkan Malaysia harus ditentang tanpa tolak ansur. Pihak berkenaan tidak seharusnya mencabar kemampuan Malaysia kerana ia akan menyusahkan diri mereka.

Rangkap Keempat

Rakyat diseru untuk mencintai negara dengan sebaiknya agar tali persaudaraan antara kita dikukuhkan dan pertelingkahan dapat dihindari

Rangkap Kelima

Rangkap ini memeberitahu kita sebagai rakyat Malaysia bertanggungjawab memikul amanah yang diberi untuk memastikan kecemerlangan negara di pentas antarabangsa terus dicapai. Kejayaan yang dikecapi melambangkan maruah dan jati diri masyarakat kita. Masyarakat bertanggungjawab untuk menyambung kesinambungan Malaysia sebagai negara yang harmoni dan dihormati. Kita perlu harigai, hormati dan sanjungi negara sehingga akhir hayat kita.

Tema

Penulisan sajak ini mengutarakan tema kepentingan untuk mempertahankan kedaulatan dan keharmonian tanah air.

Persoalan

  1. Persoalan perjuangan generasi atau masyarakat dahulu dalam mencapai kemerdekaan negara
  2. Persoalan amanah dan tanggungjawab sebagai rakyat untuk memelihara kedaulatan negara.
  3. Persoalan kepentingan perpaduan antara satu sama lain demi keamanan dan keharmonian negara.

Bentuk

  • Sajak ini terdiri daripada lima rangkap
  • Terdapat dua hingga lapan baris dalam satu rangkap
  • Terdiri daripada satu hingga sembilan perkataan dalam satu baris
  • Rima akhir berbentuk bebas, tidak terikat
  • Terdiri daripada tiga hingga 22 suku kata dalam satu baris

Gaya Bahasa

  • Personafikasi – demi mempertahankan maruah gelanggang keramat suci ini
  • Kata ganda – pendekar-pendekar, suara-suara
  • Inversi – jangan sekali bermain api
  • Hiperbola – Hari ini kitalah pewaris gelanggang yang terbina dari keringat
  • Anafora – Kita pelihara gelanggang ini, Kita mempertahankan kedaulatan
  • Asonansi – Kita sanggah nyah tanpa kompromi dari menggugah
  • Aliterasi – elakkan pertelingkahan sesama sendiri

Nilai

  1. Hargai – Penyajak mengingatkan kita untuk menghargai perjuangan generasi dahulu
  2. Berani – Pemimpin diseru untuk berani menegakkan maruah dan kedaulatan negara
  3. Perpaduan – Generasi terdahulu telah membuktikan bahawa dengan perpaduan, keamanan dan kejayaan dapat dicapai
  4. Tanggungjawab – Semua rakyat diseru untuk bertanggungjawab memelihara kedaulatan negara
  5. Patriotik – Rakyat seharusnya menzahirkan rasa sayang dan hormat kepada negara

Pengajaran

  1. Sebagai warganegara kita hendaklah memahami sejarah dan berjuang untuk mempertahankan kejayaan yang telah dikecapi generasi terdahulu
  2. Kita juga hendaklah mencari kesepakatan dan perpaduan antara satu sama lain untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian negara
  3. Kita seharusnya bertanggungjawab memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara dengan penuh tanggungjawab
  4. Kita perlu berani dalam mempertahankan jati diri serta maruah bangsa kita daripada dimusnahkan oleh anasir asing
  5. Kita sewajarnya menyayangi negara yang kita diami supaya tidak berlaku peperangan dan kehancuran.

Contoh Soalan

A) Jelaskan satu persoalan, nilai dan pengajaran yang terdapat dalam petikan – “kita mempertahankan kedaulatan watan dari anasir jahat”

  • Nilai bertanggungjawab
  • Persoalan mengenai tanggungjawab menjaga kedaulatan negara
  • Kita seharusnya melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara untuk menjaga kedaulatan negara daripada sebarang ancaman

B) Berdasarkan rangkap akhir sajak tersebut, mengapakah generasi muda perlu memikul amanah mempertahankan negara?

  • Generasi muda perlu memikul amanah untuk mempertahankan negara agar kecemerlangan negara terus dipacu di peringkat antarabangsa. Selain itu, negara yang harmoni dan dihormati dapat dibina.

C) Pada pendapat anda apakah usaha yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mempertahankan kemerdekaan negara?

  • Pihak kerajaan boleh memastikan modul pendidikan negara membentuk masyarakat yang patriotik dan berjati diri teguh
  • Media massa pula mampu mempengaruhi masyarakat dengan menyiarkan kandungan atau rancangan yang memberikan intipati terhadap kepentingan kedaulatan negara
  • Masyarakat pula perlu saling hormat dan memahami antara satu sama lain agar kedaulatan dan kemerdekaan negara dapat dipertahankan dengan baiknya

Semoga perkongsian nota berkaitan Sajak Gelanggang: Tema, Persoalan, Bentuk, Gaya Bahasa, Nilai, Pengajaran membantu pelajar untuk mengulangkaji dengan lebih baik.

Related : pihak luar yang cuba,