Karangan
Cara-Cara Menghargai Jasa Guru (Contoh Karangan)
Bagi menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu, pelajar digalakkan untuk melakukan latihan yang diberikan oleh guru serta merujuk sumber tambahan secara atas talian. Kaedah ini dapat membantu pelajar supaya didedahkan kepada pelbagai topik dan tema yang berpotensi menjadi soalan pilihan karangan Bahasa Melayu. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan cara-cara menghargai jasa guru sebagai rujukan pelajar.
Soalan yang bertemakan guru boleh dianggap mudah kepada pelajar kerana mereka mampu memberikan idea dan isi-isi penting yang berkaitan. Maka, untuk menjadikan penulisan karangan pelajar menarik dan cemerlang, anda digalakkan untuk menggunakan frasa-frasa menarik seperti peribahasa dan penanda wacana. Selain itu, pelajar juga boleh merujuk cara penghuraian yang menarik dan penggunaan tatabahasa yang betul seperti di bawah.
Isi Kandungan
Cara-Cara Menghargai Jasa Guru
Isi-isi penting
- Berbudi bahasa
- Menunjukkan kesungguhan dalam pembelajaran
- Berdisiplin dan mematuhi peraturan
- Amalan ziarah-menziarahi
- Kekal berhubung dan bertanya khabar
- Memberikan kejayaan dan mengharumkan nama sekolah
Baca juga: Kesalahan Bahasa Yang Lazim Dalam Penulisan Karangan Bahasa Melayu (BM)
Contoh Karangan Cara-Cara Menghargai Jasa Dan Pengorbanan Guru
Pendahuluan
Datuk Usman Awang, Sasterawan Negara pernah berkata bahawa lahirnya seorang Perdana Menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah hasil titik peluh daripada seorang guru biasa yang mengajarnya membaca, menulis dan mengira. Ungkapan yang cukup untuk membuktikan ketinggian martabat seorang guru wajar menjadi peringatan kepada setiap anak bangsa. Guru merupakan insan yang berkorban masa, jiwa dan raga mendidik setiap ahli masyarakat untuk menjadi penyumbang kemajuan nusa bangsa di masa hadapan. Persis kata mutiara, guru ibarat lilin yang membakar diri demi memberi cahaya atau petunjuk kepada anak-anak muridnya dalam kehidupan. Lantaran itu, setiap di antara kita wajar untuk menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru yang telah mendidik kita dari kecil sehinggalah kita dewasa.
Isi 1
Antara cara untuk menghargai jasa guru-guru adalah dengan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka. Seperti yang terkandung dalam Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan merupakan nilai yang perlu diterapkan dalam diri setiap warganegara Malaysia. Sebagai pelajar, nilai tersebut haruslah diamalkan terutamanya apabila berkomunikasi dengan guru. Misalnya, penggunaan tutur kata yang sopan dan nada kata yang rendah serta bermuka manis merupakan amalan yang pasti membuatkan para guru senang hati dengan tingkah laku pelajarnya. Nilai ini bersangkut-paut dengan nilai hormat menghormati. Oleh itu, sekiranya pelajar ingin menghargai jasa dan pengorbanan guru nilai hormat-menghormati dan berbudi bahasa adalah amalan yang wajar diaplikasikan ketika berada di sekolah mahupun di luar sekolah.
Isi 2
Selain itu, para pelajar seharusnya menunjukkan kesungguhan dalam pembelajaran sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan guru. Tugas seorang guru adalah untuk menyampaikan dan mendidik pelajar akan sesuatu perkara yang baharu serta memastikan mereka memahami dengan jelas tentang perkara tersebut. Justeru, jika pelajar bersungguh-sungguh menyiapkan kerja sekolah atau latihan yang diberikan oleh guru sudah tentu mereka akan berasa lega kerana mencapai objektif tugasnya. Tambahan pula, pelajar yang memberikan fokus dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga dapat membantu guru dalam melaksanakan tugas mereka apabila kita memahami apa yang cuba disampaikan oleh mereka. Andai kata pelajar tidak dapat memahami apa yang dipelajari di bilik darjah, anda digalakkan untuk bersua muka dengan guru tersebut. Hal ini demikian kerana, para guru pasti akan membantu anda memahami pengajaran terbabit sehingga berjaya. Ini membuktikan bahawa jasa dan pengorbanan guru seharusnya dihargai dan dirai.
Isi 3
Seterusnya, cara menghargai jasa guru adalah dengan sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan ketika berada di sekolah. Pelajar yang berdisiplin adalah pelajar yang menepati masa dengan hadir awal ke sekolah, berpakaian kemas mengikut peraturan serta tidak terlibat dengan gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Pada hemat saya, guru-guru sudah pun mempunyai tugas yang banyak dan berat untuk dilaksanakan di dalam kelas. Maka, sekiranya pelajar-pelajar berdisiplin dan pandai mengurus diri ketika di luar bilik darjah, ia pasti dapat meringankan beban dan tugas para guru. Mereka dapat mengalihkan tumpuan mereka untuk memberikan sepenuh tenaga dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Intihannya, pelajar yang berdisiplin, mematuhi peraturan sekolah dan arahan yang betul daripada guru akan menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah para pelajar.
Isi 4
Di samping itu, bagi pelajar yang telah menamatkan zaman persekolahan seharusnya terus kekal menghargai jasa guru dengan melakukan amalan ziarah-menziarahi. Mutakhir ini, kecanggihan teknologi tanpa sempadan pasti dapat membantu kita untuk berhubung dengan guru-guru selepas tamat zaman persekolahan. Apabila usia menjelang tua, ramai guru yang ditimpa penyakit dan sebagainya. Sebagai seorang pelajar atau pun bekas pelajar, kita perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit paha kanan paha kiri terasa sakitnya. Pemberian buah tangan ketika berziarah untuk menggembirakan hati dan nurani mereka sekali gus mengurangkan beban kesakitan yang ditanggung. Selain itu, kita juga boleh mengumpul derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Hal ini amat bertepatan dengan peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Penutup
Tuntasnya, pelbagai cara yang wajar dan mudah untuk dilaksakan oleh pelajar dalam menghargai jasa dan pengorbanan guru masing-masing. Guru yang merupakan insan yang sama seperti kita tetapi merupakan lubuk akal lautan ilmu juga mempunyai hati dan perasaan. Alangkah seronok dan gembiranya hati mereka jika mendapat penghargaan daripada para pelajar setelah berhempas-pulas memanifestasi fikiran bagi membentuk nusa bangsa yang berguna untuk masa hadapan. Ucapan “terima kasih cikgu” yang acapkali dilaungkan setelah tamat persekolahan pasti lebih bermakna sekiranya kita berjaya menjadi insan yang berguna kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan pengorbanan guru tiada bandingnya walau dengan segunung intan. Semoga setiap di antara kita sedar dan mula menghargai guru-guru di sekeliling kita dengan penuh hemah dan hikmah.