Karangan

Usaha-Usaha Untuk Memupuk Perpaduan Kaum

Negara yang mempunyai berbilang kaum sangat memerlukan usaha-usaha untuk memupuk perpaduan kaum bagi membina negara yang harmoni.Langkah-langkah mengeratkan perpaduan di antara pelbagai kaum yang ada di Malaysia ini sangat penting bagi mengelakkan berlakunya rusuhan antara kaum. Justeru itu, kepelbagaian kaum ini haruslah diraikan dan sebagai rakyat Malaysia, kita perlu saling tolong menolong antara kaum “bagai aur dengan tebing” untuk sama-sama hidup dalam persekitaran hidup yang sihat dan aman makmur. Menurut kata Perdana Menteri yang ke-6, hubungan yang baik lagi erat serta rencaman sesama kaum merupakan penawar yang paling mujarab bagi menyemarakkan keakraban kaum bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat”.

Selain daripada itu, kekuatan atau sinergi daripada semua belah pihak diperlukan dalam berganding bahu melakukan usaha-usaha yang efektif dan proaktif bagi merealisasikan aspirasi rakyat di segenap Malaysia. Persoalannya di sini, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan serta dilaksanakan bagi memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia?

Usaha-Usaha Untuk Memupuk Perpaduan Kaum Di Malaysia (Karangan)

peta minda usaha usaha memupuk perpaduan Usaha-Usaha Untuk Memupuk Perpaduan Kaum

Dalam menelusuri arus pemodenan, usaha yang lebih efisien haruslah dilakukan demi membentuk perpaduan kaum di negara Malaysia ini. Pihak kerajaan mahupun rakyat juga mempunyai peranan masing-masing di dalam merealisasikan perpaduan kaum. Usaha kerajaan dengan mengadakan Majlis Rumah Terbuka peringkat kebangsaan untuk menyambut perayaan kaum utama Malaysia adalah salah satu tindakan yang amat dialu-alukan. Menurut mantan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini, konsep 1 Malaysia (perpaduan kaum) dapat dijayakan melalui majlis-majlis sebegini.

1. Menganjurkan majlis rumah terbuka

Semasa kerajaan mengadakan majlis rumah terbuka, seluruh rakyat negara Malaysia yang tediri daripada pelbagai kaum memberi komitmen yang tinggi. Mereka menghadirkan diri dan berhubung dengan satu sama lain dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang. Interaksi antara kaum dalam majlis sebegini dapat memperkasakan hubungan antara kaum di Malaysia. Tuntasnya, kemajuan negara kita bergantung kepada perpaduan kaum seperti kata pepatah “bersatu teguh, bercerai roboh”. Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Cara ini dapat memupuk semangat kerjasama dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain di dalam masyarakat Malaysia. Keharmonian seperti ini senang terhapus melalui sikap mementingkan diri sendiri yang dilihat kian tertanam di dalam jiwa masyarakat kini.

Namun demikian, sikap negatif seperti inilah yang ada di dalam masyarakat terutamanya yang duduk di bandar. Mereka ini yang hanya melakukan kerja sendiri tanpa mengendahkan persekitaran mereka. Ini menyebabkan usaha di dalam memupuk semangat perpaduan sukar untuk dipraktikkan dan diterapkan di dalam diri masing-masing. Aktiviti-aktiviti yang boleh memperteguh jalinan kemesraan sesama kita harus diadakan seperti aktiviti gotong-royong yang memerlukan kerjasama setiap pihak dalam masyarakat. Ianya agar semangat perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan di dalam diri rakyat Malaysia. Semestinya, aktiviti kemasyarakatan sebegini dapat memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap rakyat. Ianya juga boleh menjadi wadah yang terbaik seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu biarpun berlainan bangsa mahupun agama.

Agenda Program

Dengan menganjurkan program-program yang bermanfaat sesama masyarakat, semangat muhibah antara kaum yang berbeza di Malaysia dapat disemarakkan. Inisiatif tabungan kawasan setempat juga boleh diperkenalkan bagi memudahkan program ini dijalankan. Antara agenda program tersebut dijalankan adalah bertujuan:-

  • Membendung sikap diskriminasi anatara kaum dan mewujudkan nilai keakraban di dalam masyarakat yang pelbagai kaum.
  • Pelbagai lapisan masyarakat yang hadir dapat berkomunikasi serta bertukar-tukar pendapat dan idea-idea berkaitan dengan sesuatu isu semasa mahupun global atau hal kemasyarakatan.

Contoh-contoh program yang boleh dijalankan adalah seperti:-

  • Sambutan Hari Keluarga
  • Sambutan Hari Ibu
  • Sambutan Hari Bapa
  • Sambutan Hari Perayaan

Jelaslah bahawa usaha-usaha dalam membentuk perpaduan kaum di Malaysia boleh direalisasikan dengan pelbagai program yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan dan masyarakat setempat yang berpotensi untuk memperkasakan hubungan antara kaum di negara kita ini.

2. Melaksanakan sekolah wawasan

Sehubungan dengan itu, sistem pendidikan merupakan satu jalan komunikasi yang mudah untuk merealisasikan hasrat ini. Dengan pengenalan satu sistem pendidikan yang sama oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ianya telah mewujudkan perpaduan kaum secara tidak langsung. Selain itu, terdapat sekolah wawasan yang menempatkan tiga jenis sekolah iaitu:-

  1. Sekolah Kebangsaan
  2. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
  3. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil

Melalui pelaksanaan sekolah wawasan ini, ianya juga dapat mempercepatkan proses perpaduan kaum. Sebagai contoh:-

  • Aktiviti berkumpulan sekolah yang dijalankan secara teratur bersama murid-murid dapat memperkasa hubungan kaum di peringkat antara sekolah.
  • Penggunaan serta penerapan bahasa rasmi negara kita iaitu bahasa Malaysia sebagai bahasa perantaraan di sekolah-sekolah kebangsaan turut membolehkan pelbagai kaum berinteraksi antara satu sama lain.

Sewajarnya, memang tidak boleh kita nafikan bahawa sistem pendidikan negara kita merupakan pemangkin dalam proses memperkasa hubungan sesama kaum. Dari perspektif yang lain, penerapan nilai-nilai budaya dan warisan juga merupakan salah satu langkah dalam mendekati matlamat dan harapan para pemimpin kita untuk mencapai perpaduan kaum.

3. Penerapan nilai-nilai budaya dan warisan dalam aktiviti harian

Negara kita terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India yang merupakan kaum utama di Malaysia. Dengan itu, rakyat boleh mengaplikasikan dan berkongsi budaya kaum mereka itu sendiri dengan kaum lain dari aspek seperti:-

  1. Pemakanan
  2. Pemakaian
  3. Peradaban

Sebagai contoh yang kita boleh lihat telah pun dijalankan oleh rakyat Malaysia antaranya adalah seperti:-

  1. Semakin ramai wanita bukan Melayu yang memakai baju tradisional orang Melayu iaitu baju kurung ke majlis-majlis mahupun ke kuliah di universiti.
  2. Makanan India seperti roti canai dan tosei juga semakin diminati oleh kaum-kaum yang lain.
  3. Memperkenalkan adab-adab orang Melayu kepada kaum Cina dan India atau sebaliknya di antara kaum-kaum tersebut iaitu dengan lebih jelas melalui perkongsian peradaban di sambutan hari perayaan kaum masing-masing.

Oleh itu, penerapan nilai-nilai budaya dan warisan berbilang kaum ini dapat menimbulkan rasa hormat antara satu sama lain dan seterusnya mengeratkan lagi perpaduan kaum dalam negara.

4. Program Kenegaraan seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

Jika perkara ini diteliti dengan lebih lanjut, sebelum ini kerajaan telah mewajibkan remaja yang berumur 17 tahun ke atas untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang bakal menjadi pemimpin negara satu masa nanti. Selaras dengan modul kenegaraan yang dijalankan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk bekerjasama dalam pelbagai aktiviti seperti peribahasa “bagai aur dengan tebing”. Justeru, perpaduan dapat disemai melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan tersebut. Sememangnya, tidak dapat disangkal lagi bahawa PLKN turut memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk perpaduan kaum.

Sebagai konklusinya, dapatlah disimpulkan bahawa keamanan dan kemakmuran sesebuah negara perlulah bergantung kepada perpaduan kaum seluruh rakyatnya. Pelbagai pihak harus bergerak sekali seia sekata bersama iltizam mencapai hasrat keharmonian dan perpaduan negara seperti kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Perpaduan kaum merupakan suatu misi yang amat penting agar Malaysia dapat mengorak langkah menuju ke arah pembentukan negara bangsa dan menjadi sebuah negara yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Oleh yang demikian, rakyat itu sendiri adalah aset negara yang paling penting lagi bernilai dalam pembinaan negara yang berbilang kaum demi visi ke arah Wawasan 2020.