Karangan
Cara-Cara Memanfaatkan Usia Remaja

Tahukah anda tajuk soalan karangan Bahasa Melayu terdiri daripada pelbagai jenis dan tema? Pelajar seharusnya peka dan meminta bimbingan daripada guru mata pelajaran khususnya dalam mempersiapkan diri untuk menulis karangan semasa peperiksaan nanti. Untuk rujukan pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan cara-cara memanfaatkan usia remaja.
Pelajar yang memilih untuk menjawab soalan yang berkaitan tema ini seharusnya memberikan isi dan huraian yang menarik bagi mendapatkan markah yang cemerlang. Anda boleh menggunakan penanda wacana, peribahasa atau frasa-frasa menarik yang sesuai di dalam penulisan supaya dapat meningkatkan potensi dan penggunaan bahasa masing-masing. Dengan latihan dan pembacaan yang banyak, pelajar mampu meluaskan perbendaharaan kata serta menghasilkan karya yang lebih baik.
Isi Kandungan
Cara Manfaatkan Usia Muda Dengan Perkara Yang Baik
Isi-isi penting
- Mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran hidup
- Meluangkan masa bersama ibu, bapa dan ahli keluarga
- Mengembara atau melancong ke kawasan asing bersama keluarga atau rakan
- Bergaul dan kelilingi diri dengan rakan yang baik
- Menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti sukarelawan dan gotong-royong
- Melakukan kerja sampingan untuk menimba pengalaman
Contoh Karangan Cara-Cara Memanfaatkan Usia Remaja
Pendahuluan
Masyarakat pada ketika ini mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang dari hari ke hari. Masa merupakan satu perkara yang sukar untuk diluangkan oleh sesetengah ahli masyarakat dek kerana sibuk mengejar kerjaya dan mencari rezeki demi sesuap nasi untuk keluarga. Persis kata mutiara, masa itu emas. Namun begitu, golongan remaja mempunyai kelebihan kerana masa yang mereka ada lebih banyak jika dibandingkan dengan golongan dewasa. Dengan tenaga dan semangat yang ada dalam diri para remaja, mereka seharusnya memanfaatkannya dengan pelbagai perkara yang berfaedah. Remaja lazimnya diingatkan untuk belajar bersungguh-sungguh dan menimba ilmu atau kemahiran pada masa terluang mereka. Tidak dinafikan, pembelajaran pada usia remaja adalah mustahak untuk masa hadapan mereka. Oleh itu, wajar kita bincangkan cara-cara memanfaatkan usia remaja untuk panduan semua.
Isi 1
Pada hemah saya, remaja perlu meluangkan masa bersama ibu, bapa dan ahli keluarga masing-masing ketika waktu lapang mereka. Hal ini kerana, apabila menjelang dewasa, mereka akan melanjutkan pelajaran ke universiti dan kemudian masuk ke alam pekerjaan. Tanpa sedar, mereka akan mendirikan rumah tangga dan sibuk dengan pekerjaan mereka. Justeru, golongan remaja seharusnya memanfaatkan usia remaja dengan meluangkan masa bersama ibu dan bapa khususnya. Di luar waktu pembelajaran, pastikan anda menolong ibu dalam melakukan kerja rumah sebagai tanda menghargai jasa mereka. Selain itu, luangkan masa bersama bapa untuk mempelajari cara menguruskan kewangan kerana setelah menjadi dewasa, perkara seperti itu tidak menjadi satu masalah. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati. Izharnya, meluangkan masa bersama keluarga, ibu dan bapa dapat memeberikan manfaat kepada remaja untuk masa hadapan mereka.
Isi 2
Lanjutan daripada huraian di atas, remaja boleh memanfaatkan usia muda mereka dengan pergi mengembara atau melancong ke kawasan asing bersama keluarga atau rakan-rakan. Bak kata pepatah yang popular, jauh perjalanan luas pemandangan. Aktiviti ini dapat membuka mata para remaja akan pelbagai perkara dalam kehidupan. Misalnya, melancong ke pulau dan menyertai aktiviti seperti selaman skuba dapat memberikan pengalaman yang menarik kepada mereka. Secara tidak langsung, ia dapat memberikan kesedaran tentang pentingnya menjaga kehidupan laut dan alam sekitar sambil mempelajari perkara baharu. Contoh lain adalah apabila remaja meminati sesuatu perkara, ibu dna bapa boleh memebawa mereka melihat perkara tersebut seperti menonton permainan bola sepak. Dengan membawa mereka ke stadium, remaja dapat melihat situasi perlawanan dan pemain bola sepak secara depan mata. Bukan sahaja ia dapat memberi semangat untuk mereka malah memberi sudut pandang tentang kerjaya yang boleh mereka ceburi pada masa hadapan. Intihannya, mengembara atau melancong pada usia remaja mampu memberikan banyak faedah.
Isi 3
Dari sudut pandang yang berlainan, remaja hendaklah bergaul dan mengelilingi diri dengan rakan atau teman yang baik. Mutakhir ini, pelbagai gejala sosial yang berlaku dalam kalangan remaja sehingga menyebabkan ada di antara mereka terbabit dengan salah laku jenayah. Sebagai seorang remaja yang mempunyai potensi masa hadapan yang cerah, mereka perlu dikelilingi dengan rakan-rakan yang mendorong ke arah kebaikan dan bukan sebaliknya. Ibu dan bapa juga memainkan peranan untuk memastikan anak-anak mereka bergaul dengan teman yang tidak terlibat dengan gejala sosial. Pepatah Arab pernah berkata, jika kita berkawan denagn penjual minyak wangi, maka wangilah bau-bauan kita dan jika kita berkawan dengan tukang besi, kita pasti akan terasa bahangnya. Tambahan pula, yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji, tetapi kawan adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan masing-masing. Jelasnya, remaja akan memanfaatkan usia mereka dengan berkawan dengan insan yang menggalakkan kita ke arah kebaikan.
Isi 4
Pada masa yang sama, cara untuk memanfaatkan usia remaja adalah dengan menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti sukarelawan atau bergotong-royong. Ramai remaja enggan untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan ini kerana tidak mahu bergaul atau berkomunikasi dengan ahli masyarakat yang lain. Stigma ini hendaklah dihapuskan kerana apabila mereka menyertai aktiviti kemasyarakatan, remaja dapat mengasah kemahiran berkomunikasi mereka. Tamsilnya, apabila mereka menjadi sukarelawan di pusat penjagaan warga tua, remaja akan belajar untuk bersikap prihatin terhadap orang tua dan mempelajari cara untuk berkomunikasi dengan pelbagai peringkat umur yang ada dalam masyarakat. Kemahiran ini bukan sahaja berguna pada masa tersebut tetapi penting untuk mereka berjaya dalam alam pekerjaan mereka nanti. Jika remaja mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi, nilai tersebut dapat membantu mereka berjaya dalam temuduga dan juga mudah untuk bergaul dengan pelbagai jenis masyarakat. Tuntasnya, remaja dapat memanfaatkan masa mereka dengan menyertai aktiviti kemasyarakatan.
Penutup
Sudah terang lagi bersuluh, terdapat banyak cara yang boleh dimanfaatkan oleh remaja sepanjang usia mereka. Suka untuk diingatkan bahawa pembelajaran bukan sahaja penting pada usi muda malah berterusan sehingga ke akhir hayat kita. Ibu dan bapa hendaklah memainkan peranan penting dalam memastikan remaja di dalam keluarga masing-masing bijak mengatur masa dan menggunakannya sebaik mungkin. Elakkan mereka melakukan perkara yang sia-sia dan memalukan nama keluarga, masyarakat ataupun negara. Ibarat kata pepatah Melayu, buang yang keruh, ambil yang jernih. Dengan membiasakan diri untuk berdisiplin serta melakukan kebaikan sejak usia mereka setahu jagung, pasti kelak keperibadian atau jati diri mereka kuat dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan. Semoga generasi muda pada hari ini mendapat perhatian dan dorongan yang secukupnya oleh keluarga, masyarakat dan pemimpin negara agar masa hadapan negara terjamin dan mampu mencapai kemakmuran bersama.
Ref : perubahan fizikal, perkembangan fizikal, anak remaja, kedua dua, anak perempuan, kata kata, umum mengetahui bahawa, untuk mengeratkan,