Karangan
Peranan Ibu Bapa Dalam Mengatasi Masalah Gejala Sosial
Antara isu-isu yang menjadi soalan kegemaran untuk menjadi tajuk soalan karangan adalah isu sosial. Topik ini seringkali menjadi perbincangan antara guru dan murid di sekolah supaya mereka mengambil iktibar daripada latihan yang dilakukan dan tidak terjebak dalam kancah masalah sosial. Itulah pendidikan secara tersirat yang dipraktikkan dalam modul pendidikan negara. Maka di bawah dikongsikan contoh isi dan karangan berkaitan dengan peranan ahli keluarga dalam menangani masalah sosial.
Pelajar mempunyai kebebasan untuk menulis dalam penulisan karangan mengikut tahap kreatif dan kritis yang dimiliki oleh pelajar. Namun begitu, pelajar dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada guru di sekolah masing-masing supaya penulisan karangan pelajar menepati kehendak soalan. Latihan tambahan secara konsisten akan membantu pelajar untuk mendapatkan gaya penulisan yang baik seterusnya cemerlang dalam peperiksaan.
Isi Kandungan
Peranan Ibu Bapa Dan Keluarga Dalam Mengatasi Dan Menangani Masalah Sosial
Isi-isi penting
- Menjadi contoh tauladan terbaik sesama ahli keluarga
- Sentiasa berkongsi masalah dan membantu mencari jalan penyelesaian bersama
- Memberikan didikan agama dan sokongan moral
- Berziarah atau berkunjung ahli keluarga
- Mengawasi antara satu sama lain dari segi perilaku dan pergaulan
- Meluangkan masa bersama dengan beriadah dan sebagainya
Baca juga: Cara Mengamalkan Gaya Hidup Yang Sihat
Contoh Karangan Peranan Ahli Keluarga Dalam Menangani Masalah Sosial/ Keruntuhan Moral
Pendahuluan
Dewasa ini, sering terpampang di dada-dada akhbar melaporkan tentang anak-anak muda yang terjerumus ke dalam masalah sosial seperti ketagihan dadah dan pergaulan bebas yang merencat perkembangan yang baik untuk generasi masa hadapan. Ramai di antara pelaku sebenarnya berasal daripada keluarga yang mempunyai masalah dan gagal dalm membimbing mereka ke jalan yang benar. Jelaslah bahawa keluarga memainkan peranan yang utama sekali dalam memastikan ahli keluarga tidak terjebak dengan sebarang masalah sosial yang membelenggu masyarakat kita hari ini.
Isi 1
Bapa borek, anak rintik, itulah peribahasa Melayu yang sesuai sekali dalam menunjukkan tanggungjawab menjadi seorang ibu atau bapa. Anak-anak dalam keluarga akan melihat dan melakukan apa yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka. Jika baik sikap ibu bapa maka baiklah anak-anak mereka. Jika buruk sikap ibu bapa maka tunggu dan lihatlah bagaimana anak-anak itu membesar kelak. Oleh itu, Ibu dan bapa serta ahli keluarga seharusnya menjadi tauladan yang terbaik kepada anak-anak supaya mereka sedar dan lihat manfaat dalam menjaga perilaku dan bersikap baik hati atau ringan tulang dalam kehidupan seharian. Penerapan nilai-nilai murni yang di ajarkan di sekolah dalam subjek pendidikan sivik tidak cukup sekiranya tidak dipraktikkan di rumah oleh seluruh ahli keluarga. Keluarga yang harmoni, menjamin kebahagiaan setiap ahli dan sekaligus melahirkan insan yang terbaik serta akan menyumbang sesuatu yang berharga kepada masyarakat dan negara.
Isi 2
Selain itu, kesibukan dalam mengejar karier seringkali menjadi batu penghalang dalam memastikan hubungan dalam ahli keluarga itu kekal dalam kasih sayang yang cukup. Ibu bapa atau anak-anak yang telah bekerjaya haruslah meluangkan masa untuk bersama-sama ahli keluarga sekurang-kurangnya dengan panggilan telefon. Perbualan pertanyaan khabar akan membawa kepada perkongsian masalah atau luahan hati oleh ahli keluarga yang memerlukan sekiranya mereka menghadapi masalah dalam kehidupan mereka. Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya maka, ibu bapa atau ahli keluarga yang lebih tua mampu menasihati mereka yang lebih muda dalam menghadapi kesulitan. Terdapat kes yang membuktikan tiada perkongsian dalam keluarga menjadi punca kepada mereka untuk melakukan gejala-gejala sosial yang mendatangkan keburukan bukan sahaja kepada mereka malah keluarga dan orang sekeliling mereka.
Isi 3
Dalam pada itu, didikan agama dan insaniah dalam keluarga amat penting bagi menghalang masalah sosial ini. Penerapan ilmu agama dapat membantu membentuk sahsiah yang baik dan menangkis anasir-anasir negatif yang membawa kepada gejala sosial. Setiap agama sudah pasti mengutamakan disiplin diri yang baik dalam mencapai tahap kerohanian yang baik. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, didikan anak-anak sejak dari kecil menjamin hasil yang berbaloi pada masa hadapan sekaligus memberi kita kejayaan dalam membesarkan amanh yang dikurniakan Tuhan. Sokongan moral juga penting dalam memastikan ahli-ahli keluarga kekal mempunyai matlamat diri yang jelas dan ke arah yang positif. Sokongan ini adlah bentuk kasih sayang yang perlu bagi anak-anak terutamanya dalam mengejar cita-cita mereka supaya terus bermotivasi tinggi dan rasa dihargai oleh ahli keluarga mereka sendiri.
Isi 4
Usaha lain dalam memastikan peranan ahli keluarga untuk menangani masalah sosial adalah dengan kerap berziarah dan berkunjung ke rumah ahli keluarga yang tinggal berjauhan dengan kita. Hal ini kerana, kita boleh lihat dengan mata kita sendiri samada ahli keluarga kita itu dalam keadaan yang baik atau memerlukan bantuan. Kita sebagai darah daging dan orang yang rapat dengan mereka hendaklah menghulurkan segala bantuan yang kita mampu kepada ahli keluarga kita sekiranya mereka menghadapi masalah. Situasi ini, sering berlaku kepada golongan muda yang masih berjinak dengan bidang pekerjaan dan terdedah kepada gejala sosial yang akan meruntuhkan harapan keluarga dan diri mereka juga.
Penutup
Konklusinya, ahli keluarga berperanan penting dalam memastikan ahli keluarga yang lain tidak terjebak dalam masalah sosial. Pengaruh-pengaruh rakan sebaya atau media massa dapat ditangkis sekiranya langkah-langkah di atas dapat dilaksanakan. Semoga masalah yang membelenggu masyarakat kita ini dapat diselesaikan dengan inisiatif dari pelbagai pihak supaya generasi modal insan kelas pertama akan terhasil. Masa depan negara bergantung kepada tahap sosial rakyatnya maka kita seeharusnya berganding bahu memastikan orang sekeliling kita bersosial secara sihat serta dapat menjalani kehidupan yang harmoni aman dan sentosa.