Karangan

Aktiviti Berfaedah Untuk Mengisi Masa Lapang

Mata pelajaran Bahasa Melayu lazimnya menggunakan penulisan karangan sebagai ujian kepada pelajar-pelajar. Hal ini adalah kerana ia dapat membantu guru-guru dalam menilai kebolehan pelajar untuk menulis serta tahap penguaaan bahasa mereka. Sebagai panduan buat pelajar, berikut adalah contoh karangan aktiviti-aktiviti berfaedah bagi mengisi masa lapang.

Pelajar mungkin sudah melazimi tema atau tajuk soalan seperti yang dikongsikan. Namun begitu, anda boleh menambah idea-idea yang lebih menarik serta huraian yang tepat dalam memantapkan penulisan karangan masing-masing. Pengolahan idea yang berlainan pasti dapat membantu pelajar dalam menonjolkan hasil penulisan anda daripada rakan-rakan lain serta mendapatkan markah yang lebih baik.

peta minda aktiviti berfaedah untuk mengisi masa lapang Aktiviti Berfaedah Untuk Mengisi Masa Lapang

Cara-Cara Menggunakan Masa Lapang Dengan Aktiviti Berfaedah

Isi-isi penting

  • Melakukan aktiviti berfaedah dan menyihatkan seperti bersukan dan bersenam
  • Membaca buku atau artikel bermanfaat
  • Menziarahi keluarga dan saudara
  • Bercucuk tanam
  • Menyertai aktiviti komuniti setempat
  • Membantu ibu dan bapa menguruskan kerja-kerja rumah

Baca juga: Faedah Menjaga Alam Sekitar Agar Terus Terpelihara

Contoh Karangan Aktiviti-Aktiviti Berfaedah Bagi Mengisi Masa Lapang

Pendahuluan

Marcapada ini, Malaysia telah mencapai kemajuan yang lebih baik berbanding sebelum kemerdekaan. Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi telah membawa negara ke arah pembangunan yang seiring dengan negara asing yang lain. Sejak sedekad kebelakangan ini, pelbagai infrastruktur telah dibangunkan dan dinaik taraf bagi memberikan fungsi terbaik kepada masyarakat untuk menggunakannya. Tetapi, terdapat segelintir individu yang berfikiran sempit dan terpengaruh untuk melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat buat diri dan juga masyarakat. Contohnya, aktiviti lumba haram di waktu malam masih lagi berlaku dalam kalangan masyarakat sehingga menyebabkan nyawa yang tidak bersalah terkorban kerana dilanggar oleh perosak nusa bangsa. Pihak berwajib terutamanya ibu dan bapa perlu lebih bertanggungjawab dan memastikan anak-anak tidak terlibat dalam aktiviti yang tidak bermanfaat. Persoalan yang timbul adalah apakah aktiviti-aktiviti yang berfaedah bagi mengisi masa lapang.

Isi 1

Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh setiap ahli masyarakat tanpa mengira umur adalah melakukan aktiviti seperti bersukan dan bersenam bagi mengisi masa lapang. Masyarakat kita sebenarnya mempunyai minat yang besar dalam aktiviti bersukan kerana kini negara telah berjaya melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia. Dengan penglibatan aktif oleh pihak kerajaan dalam memastikan pembangunan sukan negara, komuniti tempatan mendapat tempias yang menguntungkan di mana kemudahan dan gelanggang sukan giat dibangunkan. Hampir setiap negeri mempunyai kemudahan sukan yang lengkap seperti stadium, kompleks renang, gelanggang badminton dan sebagainya. Aktiviti ini memberikan faedah yang pelbagai kepada pengamalnya terutamanya dari sudut kesihatan. Bersukan juga dapat membantu pergaulan sosial yang sihat serta meningkatkan disiplin atau jati diri setiap individu yang komited dan aktif dalam aktiviti yang disertai. Natijahnya, masa yang terluang dapat dipenuhi dan pelbagai manfaat tersirat lain yang akan didapati oleh semua.

Isi 2

Jika kita mempunyai batasan untuk menyertai aktiviti di luar rumah, kita juga boleh meluangkan masa lapang dengan membaca buku atau artikel secara atas talian yang bermanfaat. Mutakhir ini, budaya membaca dilihat semakin pudar dalam masyarakat konvensional. Hal ini disebabkan oleh ledakan teknologi mudah alih seperti telefon pintar dan Internet yang telah mencuri perhatian generasi muda. Kemudahan untuk mendapatkan hiburan dan bermain permainan video yang menarik telah menyebabkan sebahagian generasi muda hari ini lalai dan leka. Akibatnya, ramai di antara mereka yang keciciran pelajaran dan tidak berminat untuk menceburi bidang professional seperti jurutera dan saintis. Situasi ini harus diselesaikan dan ibu serta bapa perlu menjadi tauladan terbaik kepada anak-anak supaya masa lapang mereka dipenuhi dengan aktiviti membaca di rumah. Bahan bacaan pula tidak semestinya berbentuk ilmiah kerana ia akan mengundang kebosanan anak yang baru berumur setahun jagung. Bacaan artikel seperti perkembangan dunia sukan adalah contoh mudah untuk dibaca oleh golongan muda. Izharnya, membaca dapat memberikan pelbagai manfaat sekiranya dilakukan pada masa lapang seseorang.

Isi 3

Aktiviti lain yang boleh dilakukan bagi mengisi masa lapang adalah menziarahi keluarga atau saudara-mara masing-masing. Kesibukan ibu dan bapa bekerja telah menyebabkan anak-anak hari ini tidak mengenali saudara atau sepupu mereka yang mempunyai pertalian darah dengan diri mereka. Jika diimbau kembali, hubungan saudara sama ada jauh atau rapat adalah kukuh dan kenal antara satu sama lain pada masa dahulu. Hal ini demikian kerana merak meluangkan masa bersama bermain di halaman kampung pada waktu senggang. Oleh itu, sekiranya kita mempunyai kesempatan masa dan wang untuk berziarah ahli keluarga atau saudara mara kita, wajar untuk kita bawa anak-anak terutamanya untuk mengenali dengan lebih baik susur galur asal dan usul mereka. Aktiviti ziarah juga membolehkan kita mengetahui sekiranya ahli keluarga atau saudara kita menghadapi masalah seterusnya menghulurkan bantuan pada kemampuan kita kepada mereka. Intihannya, dengan menziarahi ahli keluarga dan saudara di masa lapang, kita dapat mewujudkan keluarga yang bahagia. Persis peribahasa Melayu, Air yang dicincang tidak akan putus

Isi 4

Masa lapang juga boleh dimanfaatkan dengan melakukan aktiviti bercucuk tanam. Golongan muda kebanyakannya tidak terdedah kepada aktiviti menanam pokok sepertimana generasi terdahulu yang mendiami kawasan perkampungan. Maka, mereka tidak tahu menahu tentang cara menanam, menjaga dan menuai. Dengan kemudahan mendapatkan informasi di hujung jari, aktiviti bercucuk tanam boleh dilakukan tanpa mengira batas waktu dan tempat. Kini, terdapat konsep pertanian bandar yang memberikan peluang kepada komuniti urban untuk bercucuk tanam dalam kawasan yang terhad. Tambahan pula, konsep tanaman hiasan semakin mendapat perhatian masyarakat dalam menggunakannya untuk menambah keceriaan rumah ataupun tempat kerja masing-masing. Kesedaran yang timbul untuk berbakti kepada tanah dan menambahkan elemen kehijauan tumbuhan dalam kawasan yang kita diami adalah bagus kerana kita semakin diancam pemanasan global. Justeru, kita seharusnya mendokong segala inisiatif yang akan menyumbang ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar untuk mengelakkan kejadian bencana alam berlaku kepada kita dan generasi seterusnya.

Penutup

Sebagai konklusi, terdapat seribu satu manfaat yang akan diperoleh sekiranya kita melakukan aktiviti seperti membaca, berziarah dan bercucuk tanam. Menurut Saidina Ali, masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka pedang itu akan memotong kita. Perumpamaan yang diberikan menunjukkan bahawa pentingnya kita untuk menghargai masa yang kita ada dengan perkara bermanfaat. Golongan dewasa seharusnya menjadi tauladan terbaik dalam melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah di masa lapang agar menjadi ikutan generasi muda. Semoga setiap pihak memainkan peranan masing-masing dalam membawa negara ke arah yang lebih baik serta menjadi model kepada masyarakat dunia. Komuniti yang bijak mengurus masa pasti menghasilkan produktiviti yang tinggi dan membawa hasil yang terbaik kepada diri sendiri, masyarakat dan juga negara.