Karangan

Peranan Unit Bimbingan Dan Kaunseling Di Sekolah (Karangan)

Dalam menguji kemampuan pelajar dalam sesuatu penguasaan bahasa adalah dengan penilaian penulisan karangan ataupun esei. Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, pelajar perlu menulis karangan berdasarkan soalan yang diberikan yang terdiri daripada pelbagai tema dan tajuk. Di bawah adalah contoh karangan peranan unit bimbingan dan kaunseling di sekolah sebagai panduan buat pelajar.

Topik penulisan karangan seperti di bawah menguji kebolehan pelajar untuk memberikan isi-isi penting yang bernas dan menarik. Sebagai seorang pelajar di sekolah, anda tentunya pernah mendapatkan sesi kaunseling bersama guru kaunseling anda. Maka, cuba kaitkan pengalaman anda ke dalam penulisan karangan tersebut dan huraikan dengan fakta atau contoh yang berkaitan.

peta minda peranan unit bimbingan dan kaunseling Peranan Unit Bimbingan Dan Kaunseling Di Sekolah (Karangan)

Kepentingan Bimbingan Dan Kaunseling Di Sekolah

Isi-isi penting

  • Menyediakan khidmat nasihat kepada pelajar
  • Membantu murid meningkatkan nilai dalam diri
  • Membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi murid di sekolah
  • Memberikan bimbingan kerjaya

Baca juga: Kenapa Malaysia Adalah Sebuah Lokasi Pelancongan Terbaik?

Contoh Karangan Peranan Unit Bimbingan Dan Kaunseling Di Sekolah

Pendahuluan

Setiap institusi pendidikan di dalam negara mempunyai unit bimbingan dan kaunseling. Pada hemah saya, unit ini adalah penting untuk diwujudkan di setiap sektor kerana kita memerlukan bimbingan dan kaunseling tanpa mengira usia. Apatah lagi di institusi pendidikan seperti sekolah yang menjadi alma mater kepada ahli masyarakat yang muda-mudi. Dengan peningkatan permasalahan sosial dalam kalangan pelajar pada masa ini, unit bimbingan dan kaunseling di setiap sekolah mempunyai obligasi yang ulung agar generasi muda dapat dibentuk dengan keperibadian yang baik. Saya menegaskan kita perlu memegang kepada peribahasa Melayu, ingat antara belum kena, hemat antara belum habis. Oleh itu, wajar untuk kita kupas satu per satu akan tanggungjawab unit bimbingan dan kaunseling di sekolah supaya memberi faedah kepada semua.

Isi 1

Fungsi utama unit bimbingan dan kaunseling di sekolah adalah untuk menyediakan khidmat nasihat kepada pelajar. Guru-guru merupakan golongan manusia yang lebih tua berbanding kumpulan pelajar dan sudah lama makan garam. Disebabkan itu, pelajar memerlukan nasihat yang bermanfaat daripada guru yang mempunyai pengalaman hidup lebih lama berbanding pelajar mereka. Tetapi ia tidak membawa maksud bahawa setiap nasihat guru adalah betul dan perlu diikuti oleh pelajar. Mereka hanya perlu membimbing dan memberikan contoh atau senario yang bakal berlaku sekiranya pelajar membuat pilihan untuk melakukan sesuatu. Pelajar pula perlu bersikap terbuka dalam menerima nasihat guru dengan membuang keruh dan mengambil yang jernih. Misalnya pelajar mempunyai masalah untuk memakai pakaian sekolah dengan kemas, guru hendaklah menasihati mereka bahawa pakaian beruniform perlu dibiasakan sejak sekolah kerana kelak apabila bekerja kita sudah biasa kelihatan kemas dan selesa dengan pemakaian tersebut. Intihannya, penjelasan dan kata-kata hikmah daripada guru dapat membantu murid.

Isi 2

Selain itu, fungsi unit bimbingan dan kaunseling di sekolah adalah untuk membantu murid meningkatkan nilai dalam diri masing-masing. Pelajar yang berumur setahun jagung mungkin tidak mengetahui potensi diri mereka. Maka guru-guru dan ibu bapa seharusnya berperanan dalam mencungkil setiap potensi yang dimiliki oleh pelajar supaya mereka dapat bersedia demi masa hadapan mereka. Nilai tambah pada diri pula boleh dipupuk oleh unit bimbingan dan kaunseling sekolah dengan menganjurkan kem motivasi atau program-program yang berkaitan. Perkara ini dapat membantu membina disiplin dan jati diri pelajar supaya cekal dan kekal berusaha untuk mencapai kejayaan dalam apa bidang sekali pun. Situasi ini perlu dikaitkan dengan pelajar yang tidak gemar dalam bidang akademik kerana mereka menganggap diri mereka gagal. Sebaliknya, pelbagai perkara yang mereka boleh ceburi seperti bidang sukan untuk berjaya dan mendapat karier kerjaya yang stabil pada masa hadapan. Persis kata peribahasa belakang parang pun kalau diasah nescaya tajam.

Isi 3

Fungsi lain unit bimbingan dan kaunseling di sekolah ialah membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid di sekolah. Antara situasi yang sering berlaku adalah tidak dapat fokus ketika belajar atau tidak selesa bergaul dengan rakan sekelas. Justeru, guru yang berkhidmat di bahagian bimbingan dan kaunseling hendaklah mudah didekati oleh pelajar supaya mereka dapat meluahkan masalah yang dihadapi. Setelah menerima aduan pelajar, maka guru boleh menyiasat dan melaksanakan tindakan yang terbaik bagi setiap pihak tanpa perlu sebarang pergaduhan antara anak murid dan juga melibatkan pihak pentadbiran sekolah. Selain itu, terdapat pelajar yang mempunyai masalah keluarga sehingga menjejaskan prestasi di sekolah. Tetapi dengan bimbingan dan kaunseling yang bersesuaian oleh guru, pelajar tersebut mampu untuk mencapai kecemerlangan di sekolah walaupun tanpa sokongan keluarga. Permasalahan murid mungkin membebankan sesetengah guru dan di sinilah unit bimbingan dan kaunseling di sekolah perlu memainkan peranan yang penting.

Isi 4

Akhir sekali, unit bimbingan dan kaunseling di sekolah mempunyai obligasi dalam memberikan bimbingan kerjaya kepada murid-murid. Dalam mendepani zaman yang penuh daya saing ini, ramai pelajar yang mempunyai tekanan serta bingung dengan laluan kerjaya yang bakal mereka ambil. Dengan masalah ekonomi dan pandemik yang melanda dunia, mereka seolah-olah seperti layang-layang yang terputus talinya. Guru kaunseling boleh membimbing pelajar dengan menyesuaikan minat pelajar dengan peluang kerjaya yang ada pada masa kini. Pelajar juga harus diingatkan bahawa tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan seperti yang dimomok-momokan di media arus perdana atau media sosial. Bak kata peribahasa Melayu, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Dengan bimbingan yang betul, pelajar dapat memastikan mereka fokus kepada bidnag pengajian yang akan digunakan kelak dalam  kerjaya mereka.

Penutup

Sebagai kesimpulan, unit bimbingan dan kaunseling di sekolah memainkan peranan yang penting buka sahaja dari aspek pelajar di sekolah malah dalam membentuk anggota masyarakat. Kita seharusnya menghormati dan meraikan para guru yang banyak berkorban dan melayan kita seperti anak-anak mereka sendiri. Ibarat kata-kata cendiakawan, guru merupakan lilin kepada murid-murid yang menyuluhkan cahaya kepada jalan yang bakal dilalui oleh pelajar. Pihak berkuasa seharusnya memantapkan lagi unit bimbingan dan kaunseling bukan sahaja pada sektor pendidikan tetapi kepada semua sektor di dalam negara supaya kita dapat membantu individu yang memerlukan motivasi dalam mendepani dugaan atau cabaran yang menguji kehidupan masing-masing. Sekiranya setiap di antara kita dibekalkan dengan motivasi dan iltizam yang tinggi, pastinya masyarakat berminda kelas pertama dapat dihasilkan seterusnya membawa negara ke arah kemajuan sejagat.

Related : untuk menghadapi mengecap kemaslahatan yang dibawa bermain main dalam gawang main dalam gawang minda dibincangkan secara terperinci pelajar dapat mengubah kaunseling di sekolah mestilah sekolah mestilah para pelajar menghuraikan peranan unit bimbingan dibawa oleh unit persoalan ini akan dibincangkan terperinci hingga ke akar persoalan yang bermain main akar umbi sebentar guru bimbingan dan kaunseling pelajar dapat mengecap kemaslahatan, pelajar yang bakal smk seri untuk memastikan jawapan soalan spm 2017