Informasi

Maksud Prinsip Rukun Negara & Kepentingan

Bagaimana sebuah negara yang memiliki rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama berjaya mengekalkan keamanan sehingga ke hari ini? Antara sebabnya adalah kerana wujudnya Rukun Negara di Malaysia sebagai sebuah pendukung kepada penyatuan rakyat demi negara. Sebagai perkongsian untuk anda, di bawah dikongsikan maksud prinsip Rukun Negara & kepentingannya kepada setiap warganegara Malaysia.

Akibat daripada peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969, Yang Di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan darurat pada 16 Mei 1969. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan bagi menjalankan pentadbiran negara kerana fungsi Parlimen telah digantung. Sebuah Majlis Perundingan Negara ditubuhkan sebagai pemikir untuk merangka perpaduan negara dan lahirlah satu ideologi kebangsaan. Falsafah ini telah diisytiharkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970 oleh Yang Di-Pertuan Agong

Maksud Prinsip Rukun Negara & Kepentingannya

Berikut dikongsikan Maksud & Kepentingannya sebagai rujukan dan panduan untuk semua:

Baca juga: Punca Remaja Terjebak Dengan Penyalahgunaan Najis Dadah

Rukun Negara

Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:

Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
Memelihara cara hidup demokratik;
Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;
Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;
Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

  1. Kepercayaan Kepada Tuhan
  2. Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara
  3. Keluhuran Perlembagaan
  4. Kedaulatan Undang-Undang
  5. Kesopanan dan Kesusilaan

Maksud 5 Prinsip

1) Kepercayaan Kepada Tuhan

  • Rakyat Malaysia menjadikan agama sebagai pegangan utama
  • Pegangan yang kukuh terhadap agama dapat membentuk peribadi yang penuh nilai murni dan tidak melakukan jenayah atau kejahatan yang lain
  • Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa agama Islam ialah agama rasmi Persekutuan tetapi agama dan kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman.
  • Prinsip ini dipilih sebagai prinsip pertama kerana ketiadaan agama atau kepercayaan kukuh terhadapnya akan meruntuhkan keperibadian seseorang serta sesuatu bangsa dan negara

2) Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

  • Berdasarkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
  • Sistem beraja juga di amalkan di setiap negeri dan Yang Dipertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja.
  • Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di pertua Negeri merupakan lambang perpaduan rakyat
  • Setiap warganegara hendaklah menumpukan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

3) Keluhuran Perlembagaan

  • Perlembagaan Negara merupakan sumber perundangan negara yang tertinggi dan ia berfungsi untuk melindungi hak dan keistimewaan setiap warganegara
  • Prinsip ini menekankan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara.

4) Kedaulatan Undang-Undang

  • Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan dan kedaulatannya perlu diterima serta dipertahankan
  • Setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara.
  • Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil
  • Prinsip ini menuntut kita sama-sama menghormati undang-undang dan berusaha menyokong penguatkuasaannya serta memelihara kedaulatannya

5) Kesopanan Dan Kesusilaan

  • Dalam masyarakat yang pelbagai kaum di Malaysia, kesopanan dan kesusilaan adalah penting untuk hubungan antara satu sama lain.
  • Ia dapat memelihara periaku masyarakat dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Kepentingan Rukun Negara

1) Ianya sebagai ideologi kebangsaan

Dengan pelbagai perbezaan di antara masyarakat yang tinggal di Malaysia, sebuah ideologi kebangsaan diperlukan supaya dapat menyatukan pemikiran dan melahirkan semangat cinta akan negara.

2) Mewujudkan perpaduan kaum.

Setiap warganegara perlu mendukung cita-cita dalam membentuk satu negara yang bersatu tanpa mengira perbezaan kaum dan kepercayaan masing-masing. Sikap hormat-menghormati harus diamalkan dalam masyarakat.

3) Memelihara cara hidup demokratik.

Seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Negara yang menjamin kebebasan hak asasi warganegara asalkan tidak melanggar undang-undang negara serta batasan agama.

4) Keadilan menjadi tunjang.

Setiap anggota masyarakat mempunyai peluang dan ruang yang sama untuk menikmati perolehan dan kekayaan negara. Begitu juga dengan hukuman yang sama rata terhadap pelaku jenayah yang melanggar undang-undang negara.

5) Membentuk sikap liberal dalam masyarakat.

Rakyat Malaysia bebas mengamalkan agama, adat resam serta kebudayaan masing-masing selari dengan matlamat perpaduan negara. Justeru, kita perlu mempelajari agama, adat resam dan kebudayaan yang dimiliki supaya dapat memahami dan menghormati antara satu sama lain.

6) Membina masyarakat progresif.

Demi mengecapi kemajuan sejagat dan bersaing di peringkat global, masyarakat perlu bersikap terbuka dan meraikan perbezaan untuk berjaya. Dengan keperibadian yang utuh serta nilai-nilai pekerti yang baik, masyarakat pasti dapat menghasilkan kejayaan-kejayaan untuk negara.

Kesimpulan

Mutakhir ini, rukun ini hanya dilihat sebagai prinsip dan dilafazkan serta ikrar tanpa penghayatan yang kukuh dalam peribadi setiap warganegara Malaysia. Oleh itu, setiap di antara kita berperanan mengamalkan lima prinsip agar orang sekeliling kita juga terpengaruh dan turut mengamalkan prinsip murni tersebut. Masyarakat yang bersatu padu, hidup muhibbah tanpa mengira kaun dan bangsa akan dilahirkan. Seterusnya perpaduan ini dapat memacu ekonomi negara ke peringkat yang lebih baik dan mewujudkan kestabilan politik dalam pemerintahan negara.

Semoga perkongsian di atas dapat membantu anda yang memerlukan infomasi yang berkaitan.

Related : untuk mengawal, untuk membentuk, penting dalam konteks perhubungan, pelbagai kaum di negara, bahawa islam