Karangan

Ciri-Ciri Bandar Pintar/ Bandar Satelit/ Bandar Raya Moden Di Malaysia

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Sebagai rujukan pelajar, di bawah dikongsikan contoh karangan serta isi-isi penting berkaitan ciri-ciri bandar pintar/ bandar satelit/ bandar raya moden. Anda boleh melihat contoh sebagai ilham untuk penulisan karangan anda dan menjadikan isi penting yang dikongsikan sebagai idea tambahan kepada huraian anda. Pastikan penggunaan bahasa dan peribahasa sesuai dan tepat dengan karangan

Tema ini memerlukan pelajar mengetahui sedikit sebanyak fakta yang tepat sebelum anda menulis karangan anda. Oleh itu, pelajar dinasihatkan untuk banyak membaca buku, majalah, artikel atau menonton video berilmiah di Internet supaya anda mendapat idea kepada penulisan karangan anda. Selain itu, mengambil tahu isu-isu semasa juga penting kerana ia dapat memberikan impresi yang menarik kepada pembaca karanagan anda.

peta minda ciri ciri bandar pintar bandar moden

Ciri-Ciri Bandar Pintar Malaysia (Bandar Lestari)

Isi isi penting

  • Pengangkutan awam yang lengkap
  • Menyediakan capaian Internet terbaik
  • Mempunyai ciri-ciri kelestarian alam
  • Kemudahan awam yang lengkap
  • Memiliki pusat penyelidikan dan pembangunan
  • Ditadbir secara efisien dan baik

Contoh Karangan Bandar Terancang : Ciri-Ciri Bandar Pintar/ Bandar Satelit/ Bandar Raya Moden

Pendahuluan

Mutakhir ini, banyak bandar di negara-negara maju yang mengiktiraf bandar mereka sebagai bandar pintar. Hal ini kerana mereka ingin menarik pelabur dan juga golongan professional untuk melabur dan bekerja di dalam negara mereka. Persis peribahasa Melayu, di mana ada gula, di situ pasti ada semut. Perkembangan ini seharusnya dirancang dan dilaksanakan juga di Malaysia supaya kita tidak ketinggalan dalam mengecapi kemajuan sejagat. Kita boleh lihat semakin banyak bangunan pencakar langit yang sedang dibina di kawasan Kuala Lumpur seperti Menara Merdeka 118 dan Menara Tun Razak Exchange. Jika kawasan Bandar Kuala Lumpur diiktiraf sebagai bandar raya yang moden dan pintar maka pasti banyak pelabur asing yang tertarik dan memberi peluang juga kepada pelabur tempatan untuk berkembang. Justeru, berikut adalah ciri – ciri Bandar Pintar atau Bandar Raya Moden pada hemat saya.

Isi 1

Karekter utama sebuah bandar pintar adalah dilengkapi dengan jaringan pengangkutan awam yang terbaik. Umum mengetahui bahawa bandar merupakan satu kawasan yang dipenuhi dengan populasi manusia tetapi kurang dari segi ruang untuk sesuatu perkara contohnya kenderaan. Kita dapat lihat seperti di Jakarta yang merupakan ibu negeri Indonesia, kesesakan lalu lintas menjadi satu isu yang membebankan. Penduduk akan membuang masa menghadapi kesesakan dan tidak membantu dari segi pertumbuhan ekonomi yang lancar. Sekiranya penduduk di kawasan bandar dapat bergerak ke lokasi yang mereka inginkan pada masa yang singkat, ia pasti dapat membantu mereka untuk menjalankan kehidupan yang lebih baik. Misalnya, apabila pulang ke rumah selepas waktu bekerja, mereka boleh ke restoran untuk makan, seterusnya ke gimnasium untuk beriadah dan menonton wayang sebagai hiburan sebelum pulang ke rumah tanpa perlu merisaukan soal pengangkutan. Ciri ini penting untuk mewujudkan komuniti yang menikmati kehidupan di bandar yang pintar.

Isi 2

Ciri kedua yang perlu ada disebuah bandar yang pintar adalah mempunyai capaian Internet terbaik. Setiap anggota masyarakat pada hari ini pasti memiliki sekurang-kurangnya sebuah gajet pintar. Hampir semua aktiviti yang dilakukan oleh manusia pada hari ini memerlukan capaian Internet seperti bersosial, melakukan tranksaksi kewangan, menghantar emel dan macam-macam lagi. Justeru itu, infrastruktur komunikasi perlu berada pada tahap terbaik bagi menyediakan liputan Internet kepada seluruh penduduk di bandar dan yang paling mustahak adalah untuk memudahkan urusan perniagaan atau perkhidmatan pelabur-pelabur yang melabur di negara tersebut. Tambahan pula, perkembangan 5G yang semakin dikomersialkan bakal membentuk sebuah corak komunikasi yang tidak pernah dibanyangkan oleh kita sebelum ini. Izharnya, menyediakan liputan Internet yang bitara dapat meyakinkan pelabur dan menjadikan sebuah bandar tersebut bandar yang moden

Isi 3

Dari sudut pandang yang lain, sebuah bandar pintar seharusnya mempunyai ciri-ciri kelestarian alam. Masyarakat sebelum ini tidak sedar bahawa tindakan urbanisasi dan membina bandar-bandar untuk perkembangan manusia dan ekonomi merosakkan habitat kita iaitu Bumi. Kesannya telah kita hadapi pada hari ini di mana suhu global bumi meningkat dari tahun ke tahun, kenaikan paras air laut dan pelbagai bencana alam lain yang berlaku. Oleh itu, bagi mengekalkan kelestarian alam, bandar pintar harus dibina dengan perancangan yang teliti. Sebagai contoh, penggunaan tenaga solar sebagai punca tenaga elektrik di bangunan atau perumahan di mana pembakaran arang dapat dikurangkan. Selain itu, pengurusan sampah yang lebih baik oleh masyarakat dengan mengamalkan kitar semula dapat menyumbang kepada kelestarian bandar yang didiami oleh mereka. Intihannya, bandar yang pintar juga perlu menitik beratkan kesannya kepada kawasan sekeliling dan juga sumber semula jadi.

Isi 4

Kriteria lain yang perlu ada di sebuah bandar yang pintar adalah memiliki universiti atau pusat penyelidikan dan pembangunan. Bagi mengecapi kemajuan pada hari ini, manusia banyak menjalankan penyelidikan dan pembangunan melalui pembelajaran. Pelbagai kemudahan dan teknologi yang berjaya dicipta bukan sahaja untuk memastikan kelangsungan hidup tamadun manusia tetapi juga menyelamatkan kita daripada kemusnahan yang boleh dielakkan. Negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat yang memiliki pelbagai pusat penyelidikan adalah contoh terbaik untuk mewujudkan sebuah bandar pintar. Dengan melahirkan golongan yang berkemahiran tinggi hasil daripada pusat pengajian yang didirikan, pastinya melahirkan peluang pekerjaan yang banyak untuk anak watan serta membantu perkembangan syarikat tempatan. Apabila permintaan graduan dan pekerjaan dapat dicapai pada tahap yang seimbang, pastinya bandar tersebut boleh diiktiraf sebagai bandar pintar dan moden.

Penutup

Terdapat banyak lagi ciri-ciri yang boleh dibincangkan bagi membina sebuah bandar yang pintar dan moden. Berdasarkan intipati yang dibincangkan di atas, tidak mustahil untuk negara Malaysia mengaplikasikan ciri tersebut di bandar-bandar seluruh negeri. Pemerintah negara hendaklah memanifestasikan fikiran dan melakukan anjakan paradigma untuk memastikan Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain. Namun, setiap pembangunan bandar hendaklah seimbang dengan pembangunan di kawasan luar bandar dan tidak bersikap sepertiĀ anak pangkuan dibiarkan, kera dihutan disusui. Bandar pintar merupakan sebuah tahap yang akan menjadi kelaziman pada masa hadapan justeru setiap pihak harus bekerjasama memainkan peranan masing-masing agar generasi akan datang mampu hidup dengan selesa dan harmoni seiring dengan masyarakat global.