Karangan

Punca-Punca Pengangguran Dan Cara Mengatasinya

Setiap mata pelajaran mempunyai kertas peperiksaan yang mencabar bagi para pelajar. Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, pelajar sering kali menghadapi masalah dalam penulisan karangan. Oleh itu, rujukan dan latihan tambahan daripada pelajar adalah digalakkan. Berikut dikongsikan contoh karangan punca wujudnya pengangguran dan cara mengatasinya sebagai rujukan kepada para pelajar.

Setiap penulisan karangan yang cemerlang mempunyai rangka karangan yang seimbang daripada pendahuluan, isi-isi penting dan penutup. Pelajar perlu mempelajari kaedah terbaik bagi memastikan penggunaan tatabahasa dan frasa-frasa menarik dalam penulisan karangan adalah betul dan tepat. Maka bimbingan dan panduan daripada guru adalah mustahak agar pelajar tidak lari daripda kehendak soalan yang diberikan.

peta minda punca pengangguran dan cara atasi Punca-Punca Pengangguran Dan Cara Mengatasinya

Punca-Punca Wujudnya Pengangguran Dan Cara Mengatasi

Isi-isi penting

  • Tiada keseimbangan antara keperluan industri dan graduan universiti
  • Kerelevanan kursus IPT
  • Kadar gaji yang rendah
  • Kerjasama antara IPT dengan pemain industri
  • Menarik pelabur asing dan membantu usahawan tempatan
  • Dasar kerajaan yang lebih berorientasikan keperluan rakyat

Baca juga: Jenis-Jenis Pengenalan Dalam Penulisan Karangan

Contoh Karangan Punca Wujudnya Pengangguran Dan Cara Mengatasinya

Pendahuluan

Mutakhir ini, polemik tentang pengangguran dalam kalangan belia terutamanya semakin meningkat dari tahun ke tahun. Isu ini bukan sahaja berlaku di dalam negara kita tetapi juga melibatkan hampir kebanyakan negara membangun di segenap dunia. Revolusi industri yang bertujuan untuk mengautomasikan sektor pembinaan dan industri lain telah menjejaskan kebergantungan terhadap tenaga kerja daripada manusia. Oleh itu, isu pengangguran bukan sahaja merunsingkan golongan siswazah tetapi ia secara langsung melibatkan golongan pekerja yang terkesan daripada perkembangan teknologi hari ini. Bagi menyelesaikan isu yang menjadi tunjang ekonomi sesebuah negara ini, wajar untuk kita mengenal pasti punca dan cara-cara untuk mengatasinya.

Isi 1

Punca utama bilangan pengangguran berlaku dalam kalangan siswazah khususnya adalah disebabkan tiada keseimbangan antara keperluan industri dan penghasilan graduan daripada institusi pengajian tinggi (IPT). Setiap tahun, lebih 100 000 graduan dihasilkan oleh IPT awam dan swasta dan menyebabkan lambakan graduan berlaku di dalam negara kita. Peluang pekerjaan yang dihasilkan hari ini pula terhad berbanding sedekad yang lalu dimana jumlah rakyat dalam negara telah bertambah berkali ganda tetapi struktur peluang kerja masih di tahap yang sama. Tambahan pula, kadar gaji yang tidak setara dengan kos kehidupan masa kini oleh industri telah menyebabkan graduan menganggur dan memilih dalam mencari pekerjaan.

Isi 2

Selain itu, punca yang menyebabkan berlakunya pengangguran adalah disebabkan kursus di IPT tidak relevan dengan keperluan industri. IPT terutamanya IPT swasta menjalankan operasi mereka dalam bentuk perniagaan, maka kuantiti pelajar yang ramai akan mendatangkan keuntungan berbanding memastikan kursus yang dijalankan relevan dengan kehendak industri. Pelajar-pelajar pula mudah termakan dengan janji peluang pekerjaan yang akan ditawarkan setelah tamat pengajian kelak. Situasi ini juga berlaku diperingkat industri. Sebagai contoh, pihak kilang ingin menggunakan teknologi baru yang memerlukan kemahiran pekerja yang lebih tinggi. Maka, pekerja yang tiada kemahiran tersebut terpaksa dihentikan. Jelaslah bahawa, setiap pihak berperanan dalam memastikan masalah pengangguran dapat diselesaikan.

Isi 3

Langkah yang pragmatik perlu dilaksanakan oleh semua pihak terutamanya kerajaan dalam memastikan kerjasama antara IPT dan keperluan industri. Inisiatif kerajaan dalam menambah bilangan IPT dari tahun ke tahun wajar dipuji tetapi permintaan yang sama dari segi peluang pekerjaan juga perlu dilaksanakan. Tamsilnya, syarikat petroleum terkemuka negara, Petronas telah membangunkan IPT mereka sendiri bagi menghasilkan graduan yang seiring dengan keperluan mereka. Justeru, kerajaan sewajarnya memberikan garis panduan kepada IPT dalam memastikan kursus yang ditawarkan dan kuantiti graduan seimbang dengan keperluan industri. Maka, kerajaan, IPT dan industri perlu menggembleng tenaga untuk memastikan aliran kehidupan rakyat daripada pengajian terus ke pekerjaan dan tidak tersangkut dengan isu pengangguran.

Isi 4

Di samping itu, kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan peluang pekerjaan sentiasa ada bagi setiap golongan bukan sahaja graduan IPT. Antara cara yang boleh dilaksanakan adalah menrik pelabur asing untuk melabur dalam negara. Kemudahan infrastruktur yang lengkap di Kuala Lumpur tamsilnya dapat menjamin keyakinan pelabur untuk berdagang dalam negara. Kerajaan juga perlu sentiasa membantu usahawan tempatan untuk berkembang secara domestik dan global agar tidak menjadi seperti peribahasa Melayu, kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan. Justeru kerajaan hari ini perlu melakukan anjakan paradigma dalam usaha menaikkan nama anak tempatan di samping menarik pelabur asing ke dalam negara. Dua inisiatif ini secara tidak langsung dapat memberikan peluang pekerjaan kepada setiap golongan pekerja dalam negara kita.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai faktor yang menyebabkan isu pengangguran berlaku dan banyak langkah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan bilangan tersebut berkurangan. Pengenalan peluang pekerjaan seperti penghantar makanan dan e-hailing adalah bersifat sementara dan tidak sihat bagi perkembangan ekonomi dalam jangka masa panjang. Oleh itu, kerajaan dan rakyat perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kedua-dua pihak bekerja demi membantu meningkatkan ekonomi diri dan negara. Pelbagai kerjasama secara domestik dan global diperlukan bagi membentuk model ekonomi terbaik agar Malaysia tidak ketinggalan dalam era revolusi industri yang kian mendatang.