Karangan
Kebaikan Membawa Bekal Ke Sekolah Kepada Pelajar
Tahukah anda, soalan penulisan karangan Bahasa Melayu terdiri daripada pelbagai tema dan tajuk yang boleh menguji kemampuan para pelajar? Demi mempersiapkan diri sebelum menduduki peperiksaan, anda digalakkan untuk merujuk contoh-contoh karangan secara atas talian atau melakukan latihan secara sendirian bagi memantapkan gaya penulisan anda. Berikut dikongsikan contoh karangan faedah membawa bekal ke sekolah sebagai rujukan kepada semua.
Pelajar seharusnya mempunyai idea atau isi penting yang menarik serta berkaitan dengan contoh tajuk soalan di bawah. Selain itu, pelajar pastinya mempunyai contoh-contoh yang boleh digunakan sebagai huraian serta penggunaan frasa-frasa menarik yang bertepatan pasti menambah daya menarik pembaca terhadap penulisan karangan masing-masing.
Isi Kandungan
Kebaikan-Kebaikan Membawa Bekal Makanan Ke Sekolah
Isi-isi penting
- Memastikan makanan berkhasiat
- Keselamatan makanan terjamin
- Memupuk amalan berjimat-cermat
- Menjimatkan masa rehat
- Mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga
- Memberi peluang anak-anak untuk menabung
Baca juga: Kebaikan Aktiviti Gotong Royong Kepada Masyarakat
Contoh Karangan Faedah Membawa Bekal Ke Sekolah
Pendahuluan
Mutakhir ini, kebanyakan ibu dan bapa mempunyai kerjaya masing-masing demi menampung kos kehidupan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Tekanan ekonomi yang tidak menentu telah menyebabkan golongan ibu dan bapa untuk bekerja supaya rumah yang selesa dapat didiami di samping keperluan asas dalam keluarga seperti makanan, minuman dan pakaian terjamin dengan baik. Pengorbanan ini telah menyebabkan kekangan masa bagi mereka untuk menjaga kebajikan anak-anak ke sekolah. Akibatnya, mereka menggunakan khidmat penjagaan kanak-kanak untuk menjaga anak-anak mereka di luar waktu sekolah dan juga perkhidmatan van dan bas sekolah untuk pengangkutan. Manakala duit belanja diberi kepada anak-anak untuk membeli makanan di kantin atau kafeteria sekolah. Bagi mereka yang berkelapangan, bekalan makanan akan disiapkan di rumah untuk anak-anak membawanya ke sekolah. Persoalannya, apakah faedah membawa bekal ke sekolah bagi anak-anak?
Isi 1
Antara manfaat yang akan diperoleh sekiranya ibu dan bapa menyediakan bekalan makanan kepada anak-anak untuk ke sekolah adalah dapat memastikan makanan yang dimakan oleh mereka berkhasiat tinggi. Umum sedia maklum, kita digalakkan untuk mengamalkan pemakanan seimbang demi menjaga kesihatan diri dan mengelakkan daripada ancaman penyakit berbahaya. Ibu dan bapa bertanggungjawab memastikan setiap ahli dalam keluarga mengamalkan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat tinggi. Lebih-lebih lagi dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka dalam fasa pertumbuhan fizikal yang optimum. Jika mereka dibekalkan pemakanan yang sihat dan cukup dari segi nutrien dan zatnya, pasti anak-anak menikmati tumbesaran yang sihat. Kita tidak boleh memastikan makanan yang dijual di kantin sekolah berkhasiat tinggi makan tindakan terbaik yang boleh dilakukan oleh ibu dan bapa adalah dengan menyediakan bekalan makanan dari rumah. Natijahnya, makanan yang berkhasiat akan melahirkan badan yang sihat seterusnya otak akan menjadi cerdas.
Isi 2
Di samping itu, membawa bekal ke sekolah dapat menjamin keselamatan makanan anak-anak. Jika ditelusuri, aspek penyediaan makanan merupakan perkara yang penting di mana sumber-sumber bahan mentah dan cara masakan dapat dipastikan jika kita melakukannya sendiri. Maka, adakah anda yakin dengan cara penyediaan makanan yang dilakukan oleh pengusaha kantin di sekolah anak-anak anda? Sekiranya tidak, ibu dan bapa seharusnya meluangkan masa menyediakan bekalan makanan kepada anak-anak untuk di bawa ke sekolah. Saban tahun kita diwar-warkan dengan kes keracunan makanan yang dialami oleh para pelajar di sekolah kerana keselamatan makanan yang dimakan oleh mereka terjejas. Tidak dinafikan punca berlakunya keracunan makanan mungkin disebabkan kecuaian manusia tetapi kita boleh mengelakkannya dengan memastikan diri kita sentiasa bersih dan mendapatkan sumber makanan yang dipercayai kebersihan serta khasiatnya. Tegasnya, membawa bekal ke sekolah dapat memastikan anak-anak menikmati hidangan yang selamat dan tidak terdedah kepada sebarang keracunan makanan kerana mencegah lebih baik daripada merawat.
Isi 3
Pada masa yang sama, jika anak-anak membawa bekal dari rumah ke sekolah mereka, amalan berjimat-cermat dapat dipupuk dalam diri mereka. Anak-anak tidak memerlukan duit belanja untuk membeli makanan di kantin sekiranya ibu dan bapa telah membekalkan makanan kepada mereka. Bukan sahaja duit perbelanjaan anak-anak boleh dijimatkan tetapi juga duit perbelanjaan bagi ibu dan bapa. Justifikasinya, ibu dan bapa boleh merancang menu makanan yang ingin disediakan pada minggu tersebut dan membeli bahan-bahan masakan di kedai atau pasaraya yang menawarkan harga yang berpatutan di samping kualiti yang baik. Perancangan perbelanjaan adalah perkara yang perlu dilazimi masyarakat hari ini demi menjamin pengurusan kewangan yang cekap. Kalau dibandingkan dengan membeli makanan yang telah siap di restoran, harga makanan adalah lebih tinggi kerana pengusaha restoran perlu memasukkan kos-kos lain seperti sewaan kedai dan upah tukang masak ke dalam harga yang perlu dibayar oleh pengunjung restoran tersebut. Izharnya, amalan cermat semasa banyak, jimat semasa sedikit dapat dipupuk kepada anak-anak dan juga ibu bapa jika menyediakan bekalan makanan ke sekolah mahupun ke pejabat.
Isi 4
Faedah lain yang diperoleh apabila ibu dan bapa menyediakan bekalan makanan kepada anak-anak adalah dapat menjimatkan masa. Untuk makluman semua, pelajar hanya diperuntukkan masa yang singkat untuk berehat iaitu antara 25 hingga 30 minit sahaja. Seandainya murid-murid tidak membawa bekal makanan ke sekolah, mereka perlu beratur dan menunggu giliran bersama-sama murid yang lain untuk membeli makanan di kantin. Proses ini akan memakan masa yang banyak dan mereka akan terburu-buru untuk menikmati hidangan yang dibeli mereka kerana waktu rehat hampir tamat. Oleh itu, pelajar yang mempunyai bekalan makanan dari rumah dapat menjimatkan masa mereka dengan menikmati makanan di dalam kelas atau di kantin tanpa perlu menunggu giliran. Tambahan pula, mereka dapat membuat persiapan awal sebelum kelas yang bermula selepas waktu rehat pada waktu terluang. Selain itu, pelajar juga dapat melakukan tugasan harian di kelas mengikut jadual yang telah ditetapkan. Misalnya, menyapu sampah, membuang sampah dan menghantar kerja-kerja sekolah ke meja guru di bilik guru. Intihannya, anak-anak akan mempelajari cara untuk menghargai masa kerana masa itu emas.
Penutup
Sudah terang lagi bersuluh bahawa membawa bekal ke sekolah memberikan pelbagai faedah terutamanya kepada anak-anak. Ibu dan bapa sewajarnya memberikan perhatian dan tenaga sepenuhnya dalam memastikan kebajikan anak-anak berada dalam tahap yang terbaik. Anak-anak merupakan khazanah yang diamanahkan daripada Tuhan kepada ibu dan bapa untuk menjadi tauladan terbaik kepada diri sendiri dan juga anak-anak mereka. Persis peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tanggungjawab serta peranan ibu dan bapa perlu dilunaskan sehabis baik agar keluarga yang bahagia dapat dilahirkan seterusnya memacu masayarakat supaya menjadi lebih prihatin. Pihak kerajaan menerusi agensi-agensinya harus menggalakkan ibu dan bapa dalam menyediakan makanan untuk anak-anak ke sekolah serta memberikan panduan penyediaan makanan yang seimbang dan bernutrisi tinggi. Semoga segala inisiatif untuk menjadikan masyarakat konvensional menjadi lebih madani dan inteligensia disokong dan dilaksanakan secara holistik agar manfaatnya dinikmati bersama.