Karangan

Ciri-Ciri Untuk Menjadi Pengguna Yang Bijak

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Isu pengguna yang bijak adalah antara isu yang diketengahkan oleh sekolah dalam memberi latihan penulisan karangan kepada pelajar. Pelbagai simpulan bahasa, peribahasa dan penanda wacana yang menarik serta berkaitan dengan ciri-ciri pengguna yang bijak. Berikut adalah contoh isi dan karangan berkaitan dengan ciri-ciri pengguna yang bijak.

Karangan berkaitan pengguna bijak boleh dikarang oleh pelajar dengan mengaitkan pengalaman diri dalam menghadapi situasi menjadi seorang pengguna bijak. Beberapa isi yang penting dan jelas serta mudah untuk dihuraikan telah disenaraikan.  Ianya terdiri daripada pendahuluan, empat isi penting dan penutup.

Baca juga: Cara Mengira Bilangan Patah Perkataan Dalam Karangan Bahasa Melayu

Ciri-Ciri Menjadi Pengguna Yang Bijak

peta minda ciri pengguna bijak

Isi-isi penting

  • membeli keperluan, kurangkan kehendak
  • membandingkan harga
  • elakkan berhutang
  • membeli barang yang berkualiti
  • menyokong barangan tempatan
  • membuat aduan sekiranya berlaku kesalahan oleh penjual, peruncit atau pembekal

Contoh Karangan Ciri-Ciri Pengguna Yang Bijak

Pendahuluan

Dalam meniti arus kemodenan hari ini, ekonomi negara amat bergantung kepada kemampuan pengguna untuk membeli barangan di pasaran. Namun begitu, kerancakkan pembangunan dalam negara tidak sejajar dengan dapatan yang diperoleh oleh rakyat secara purata. Maka timbul kempen untuk menjadi pengguna yang bijak bagi mengelakkan pengguna tidak berbelanja terhadap pasaran negara. Pengguna yang bijak bermaksud menjadi konsumer yang mengamalkan beberapa langkah sebelum mendapatkan atau membeli barangan yang diperlukan tanpa mengakibatkan kerugian atau masalah kepada diri di masa hadapan. Bak kata peribahasa Melayu, sediakan payung sebelum hujan, dimana persediaan adalah mustahak dalam menghadapi segala situasi

Isi 1

Antara ciri pengguna yang bijak adalah mengutamakan keperluan berbanding kehendak. Perkara ini amat lazim dengan masyarakat kita terutamanya golongan muda yang mudah terpedaya atau terpikat dengan promosi serta iklan barangan yang dipasarkan. Media sosial juga menjadi medan kepada penjual untuk menarik perhatian pengguna-pengguna dengan taktik yang licik sehingga mereka tidak sedar bahawa barang yang mereka telah beli adalah di luar kemampuan mereka. Maka sebagai pengguna bijak, individu itu perlu berfikir secara rasional dalam berbelanja dan tidak mudah tertarik dengan anasir yang membawa mereka untuk berbelanja lebih dari kemampuan mereka.

Isi 2

Selain itu, pasaran yang besar memberikan pilihan kepada pengguna untuk membuat pilihan yang terbaik dengan melakukan perbandingan harga. Amalan perbandingan harga sebelum berbelanja seharusnya diamalkan supaya kita dapat berjimat-cermat. Pengguna yang berhemat dalam berbelanja dapat menggunakan kos penjimatan yang mereka peroleh untuk simpanan masa hadapan serta mengelak daripada peniaga yang bersifat lintah darat. Amalan ini juga dapat membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam membanteras sikap penjual yang tidak mematuhi arahan dan peraturan yang digariskan oleh pihak kerajaan.

Isi 3

Di samping itu, pengguna yang bijak seharusnya mengelakkan untuk berhutang dalam berbelanja. Berbeza dengan pembelian kenderaan dan rumah, pengguna sewajarnya berbelanja sekiranya mereka mampu membeli barang tersebut sebanyak dua kuantiti. Nisbah ini adalah antara tips mengira kemampuan diri kita dalam memiliki sesuatu barang. Sekiranya tidak mampu adalah wajar untuk kita tidak berbelanja ataupun mencari sumber kewangan yang kukuh sebelum membeli apa yang diperlukan, bukan dengan menggunakan jalan pintas seperti penggunaan kad kredit dan sebagainya. Seperti peribahasa Melayu, mengukur baju di badan sendiri, berbelanjalah mengikut kemampuan kita sendiri.

Isi 4

Pengguna yang bijak juga seharusnya membeli barangan yang berkualiti. Barangan berkualiti dapat menjamin kepuasan pengguna serta mempunyai daya tahan yang lebih lama berbanding barang yang rendah kualitinya. Hal ini sering kali berlaku apabial melibatkan pembelian secara atas talian kerana gambar dan barang yang diterima adalah berbeza dan berkemungkinan barangan tiruan. Pengguna yang bijak akan menyiasat serta memastikan bahawa barang dan penjual membekalkan barangan yang tulen dan berbaloi. Secara peribadi, berbelanja secara zahir adalah lebih memuaskan berbanding berbelanja secara maya dimana kita dapat menilai barang yang kita perlu tersebut berbanding membuat andaian dan mempercayai penjual di atas talian.

Penutup

Tuntasnya, banyak ciri pengguna yang bijak wajar dipraktikkan oleh seluruh rakyat Malaysia seperti huraian di atas. pucuk pangkalnya adalah pengurusan kewangan kita yang menjadi pemangkin dalam menjadi pengguna yang bijak. Pengurusan kewangan adalah suatu yang wajib dalam kehidupan setiap individu dan pihak kerajaan sewajarnya memulakan pembelajaran pengurusan kewangan dan pengguna bijak sejak dibangku sekolah lagi dek kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan pengguna yang bijak membelanja dengan arif maka ekonomi negara juga dapat berkembang dengan lebih baik dan menguntungkan semua pihak.