Karangan

Faedah Masyarakat Dunia Tonton Filem Antarabangsa

Penulisan karangan Bahasa Melayu mencabar kemampuan pelajar dari segi penggunaan bahasa dan juga pengetahuan am. Justeru, pelajar digalakkan untuk membaca supaya dapat membantu memperluaskan pengetahuan serta menambah frasa-frasa kata yang menarik dan sesuai untuk digunakan dalam sebuah penulisan karangan. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan faedah masyarakat dunia menonton filem antarabangsa.

Filem merupakan satu hiburan yang lazim dengan kehidupan masyarakat hari ini. Hampir kebanyakan pusat membeli belah di bandar-bandar seluruh negara dilengkapi dengan panggung wayang kerana ia merupakan bentuk hiburan yang digemari oleh rakyat di Malaysia. Namun begitu, filem seharusnya tidak menjadi sekadar hiburan kerana pelbagai manfaat yang boleh disampaikan melalui filem kepada masyarakat yang menonton.

peta minda contoh karangan faedah masyarakat menonton filem antarabangsa Faedah Masyarakat Dunia Tonton Filem Antarabangsa

Dimensi Antarabangsa : Faedah Kepada Masyarakat Dunia Dalam Menonton Filem Antarabangsa

Isi-isi penting

  • mengenali budaya masyarakat asing
  • mempelajari teknik perfileman yang baru
  • terdedah kepada penggunaan bahasa asing
  • membuka dan menambah daya imaginasi
  • dapat melihat destinasi-destinasi terkemuka di dunia
  • memberi inspirasi kepada penggiat filem

Baca juga: Pendidikan Agama Dalam Mengatasi Gejala Sosial

Contoh Karangan Faedah Masyarakat Dunia Menonton Filem Antarabangsa

Pendahuluan 

Filem boleh didefinisikan sebagai dokumentari yang memaparkan sesuatu kisah, perkara atau peristiwa sama ada fiksyen atau tidak. Kebanyakan filem yang dihasilkan adalah merupakan adaptasi daripada penulisan buku atau novel kerana telah mendapat kejayaan menarik minat pembaca. Namun begitu,  terdapat juga filem yang dihasilkan secara terus ke wayang dan mampu menarik minat penonton. Kerancakan ciptaan teknologi dan gajet telah menjadikan filem sebagai satu hiburan yang gemar dinikmati oleh segnap lapisan masyarakat. Dahulunya, masyarakat perlu hadir ke panggung wayang untuk menonton filem tetapi kini, filem dapat ditonton di mana-mana sahaja asalkan mendapat capaian Internet dan telefon pintar. Kebanyakan masyarakat di Malaysia lebih gemar menonton filem antarabangsa berbanding filem tempatan kerana memberikan cerita yang lebih menarik dan menyeronokkan. Justeru itu, wajar untuk dibincangkan apakah faedah ahli masyarakat sama ada di Malaysia atau negara luar apabila menonton filem antarabangsa?

Isi 1

Antara faedah yang akan diterima oleh masyarakat apabila menonton filem antarabangsa adalah mengenali seni dan budaya masyarakat asing. Misalnya, filem di negara China kebanyakannya memasukkan elemen seni pertahanan diri mereka ke dalam filem yang bergenre aksi. Selain dapat menghiburkan penonton dengan cerita dan aksi yang menarik, filem tersebut juga dapat memasarkan keindahan seni dan budaya yang mereka miliki. Apabila seni dan budaya tempatan dapat memecah tembok antarabangsa dan digemari oleh bangsa lain, ia akan menambah nilai penghargaan kepada khazanah sesuatu bangsa. Kalau kita boleh lihat, seni pertahanan diri yang dimiliki di rantau Asia Tenggara seperti silat kurang diketengahkan dalam industri perfileman kerana tidak mendapat peluang atau olahan yang menarik. Tetapi silat mendapat tempat dalam bidang sukan dan dipertandingkan di peringkat antarabangsa. Kesannya, menonton filem antarabangsa membuka mata kita kepada seni atau budaya masyarakat lain yang wajar untuk dirai dan dihargai supaya tidak tenggelam dek ditelan zaman.

Isi 2

Sebagai masyarakat yang berminda kelas pertama, menonton filem antarabangsa dapat membantu kita mempelajari teknik perfileman yang baru. Umum mengetahui industri perfileman di Amerika Syarikat merupakan industri filem terbesar di dunia. Justeru, setiap aspek filem seperti pengolahan cerita, sinematografi dan teknologi yang digunakan adalah pada tahap yang terbaik. Bagi meningkatkan kebolehan industri perfileman tempatan, pembikin filem dan juga masyarakat sebagai penonton boleh mempelajari dan mengadaptasikannya ke layar perak secara domestik. Selain itu, filem antarabangsa juga mempunyai pelbagai variasi dan genre di mana jika diamati pada sudut pandang yang betul, ia dapat memberikan inspirasi yang baharu kepada pengarah dan penerbit filem tempatan. Tuntasnya, filem antarabangsa dapat membantu perkembangan filem tempatan secara teknikal dan masyarakat harus bertindak bijak dengan menyokong usaha dan inisiatif industri filem tempatan yang baik dan mampu bersaing dengan filem antarabangsa yang lain. Bak kata peeibahasa Melayu, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Isi 3

Faedah lain yang akan diperoleh masyarakat apabila menonton filem antarabangsa sama ada di panggung wayang atau ditonton melalui telefon pintar ialah penonton akan terdedah kepada penggunaan bahasa asing. Bahasa merupakan asas komunikasi antara manusia dan berbeza mengikut negara atau rantau di dunia. Apabila satu perbezaan dapat dipelajari dan difahami maka penerimaan pendapat dan juga penyatuan dapat dijalinkan. Dengan kemudahan sari kata yang lazimnya disediakan untuk setiap filem, kita dapat menonton dengan lebih baik dan memahami apa yang cuba disampaikan oleh filem tersebut. Jika ditelusuri, pelbagai filem yang menggunakan bahasa tempatan mereka dan bukannya Bahasa Inggeris mengandungi pelbagai elemen nilai-nilai murni yang tersemat dalam masyarakat tersebut. Misalnya, filem Indonesia yang mengenengahkan elemen puitis dan bahasa dalam bentuk sindiran, nasihat ataupun kata-kata cinta. Persis pepatah Melayu, tidak kenal maka tidak cinta. Intihannya, menonton filem antarabangsa mendedahkan penonton kepada penggunaan bahasa asing yang mempunyai maksud tersurat dan tersirat di mana memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat.

Isi 4

Menambah daya imaginasi seseorang juga antara manfaat yang diterima oleh masyarakat apabila menonton filem antarabangsa. Daya kreativiti dan imaginasi seseorang adalah berbeza dan jika nilai tersebut ditambah dengan bakat dalam membuat filem ia pastinya membuahkan hasil yang menarik. Pembikinan filem memerlukan daya imaginasi kerana pelbagai struktur dan proses perlu dirancang sebelum dilakonkan oleh pelakon dan kemudian direalisasikan dalam bentuk filem. Pada hemat saya, filem bukan sahaj bergantung kepada jalan cerita, pelakon mahupun pengarah. Tetapi ia juga hendaklah mempunyai sinematografi, lokasi penggambaran serta suntingan yang menarik. Bagi menerbitkan filem yang berbeza dan lain daripada filem yang telah sedia ada merupakan cabaran yang tinggi oleh pembikin filem. Maka dengan menonton filem antarabangsa, kita boleh terdedah dengan daya kreativiti pembuat filem di nagara lain dalam berimaginasi di samping menghasilkan kualiti yang tinggi supaya tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Natijahnya, menonton filem antarabangsa dapat membuka daya imaginasi masyarakat serta penggiat filem tempatan.

Penutup

Konklusinya, pelbagai faedah yang dapat digarap jika masyarakat dunia menonton filem antarabangsa yang berlainan bahasa dan bangsa. Perkara ini bukan sahaja memberi nilai kepada industri filem tetapi mampu mempengaruhi sosial masyarakat dunia yang bersatu dalam menikmati hiburan yang dikeluarkan dalam bentuk filem. Tambahan pula, era globalisasi ini merupakan satu kelebihan kepada pembikin filem kerana ia boleh dipasarkan ke seluruh dunia. Semoga industri filem tempatan serta masyarakat menjadi lebih inteligensia dalam pembikinan dan pemilihan filem dimana ia mampu menjadi kebanggaan negara di mata dunia. Jika dahulu kala kita mempunyai seniman agung, P Ramlee yang menghasilkan filem-filem yang malar hijau, sudah pasti satu hari nanti lebih ramai seniman dapat dilahirkan. Kini, kita dapat lihat filem animasi tempatan sebagai salah satu genre yang semakin mendapat perhatian masyarakat tempatan serta dunia. Semoga satu hari nanti semua filem diseluruh pelusuk dunia dapat ditonton dan disiarkan ke seluruh dunia untuk tatapan umum.