Karangan

Didikan Agama Dapat Membendung Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Umum mengetahuai bahawa penulisan karangan Bahasa Melayu selalunya mengeluarkan soalan yang menyentuh atau berkaitan dengan isu semasa. Pelajar perlu bersedia untuk menulis karangan berdasarkan fakta dan juga penggunaan bahasa yang betul dan tiada kesalahan. Berikut dikongsikan contoh karangan didikan agama dapat membendung gejala sosial dalam kalangan remaja untuk rujukan semua.

Gejala sosial lazimnya dikaitkan dengan golongan remaja kerana ia dilihat memberikan kesan buruk kepada diri dan juga masyarakat secara amnya. Aktiviti membuli, melepak sehingga lewat malam, pergaulan bebas dan juga lumba haram adalah antara contoh gejala sosial yang berlaku dalam kalangan remaja di negara ini.

peta minda karangan didikan agama membendung gejala sosial dalam kalangan remaja

Pendidikan Agama Dalam Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja

Isi-isi penting

  • Memberikan panduan dan bimbingan kepada kehidupan
  • Membentuk jiwa dan minda untuk berakhlak mulia
  • Tidak melakukan perkara yang sia-sia
  • Melahirkan keluarga dan masyarakat yang harmoni
  • Mengisi masa dengan menelaah ilmu dan beribadah
  • Takut kepada dosa dan maksiat jika terlibat dengan gejala sosial

Baca juga: Nota Padat Form 4 Pendidikan Islam

Contoh Karangan Didikan Agama Dapat Membendung Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja

Pendahuluan

Kebelakangan ini, pelbagai gejala sosial dalam kalangan remaja yang menjadi polemik masyarakat tempatan. Ia bukan sahaja mencetus kebimbangan ibu dan bapa malah juga seluruh warga Malaysia kerana golongan ini merupakan pemegang taruh masa hadapan negara. Jika buruk akhlak dan sifat generasi ini, nescaya burukllah padahnya kepada negara nanti. Persoalannya, apakah solusi yang mampan dapat dilaksanakan di setiap peringkat agar gejala seperti membuli, pergaulan bebas dan sebagainya dapat dibendung? Selaras dengan peribahasa Melayu, berbuat baik berpada-pada,berbuat jahat jangan sesekali, para remaja harus diberi kesedaran supaya mereka tidak mensia-siakan usia emas dalam kehidupan mereka. Justeru, antara solusi yang ingin dibincangkan adalah didikan agama dapat membendung gejala sosial dalam kalangan remaja.

Isi 1

Didikan agama adalah penting kerana agama dari segi istilah bahasa arab adalah Ad-Din yang bermaksud cara hidup, cara berfikir, berideologi dan bertindak. Sebagai manusia yang lemah dan sering melakukan kesilapan, kita memerlukan bimbingan dan panduan untuk menjalani kehidupan sebagai seorang khalifah di muka bumi ini. Bagi yang beragama Islam, kita telah diturunkan Al-Quran dan sunnah daripada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan untuk menjalani kehidupan seharian. Begitu juga agama lain yang mempunyai kepercayaan dan kitab sebagai garis panduan kepada penganutnya untuk menghadapi liku-liku kehidupan. Dengan didikan agama, pastinya moral seseorang individu terutamanya golongan remaja yang berusia setahun jagung dapat dibentuk ke arah yang baik ibarat lilin yang menerangi suasana kegelapan. Tegasnya, didikan agama adalah mustahak dalam membina asas kepada keperibadian mulia seseorang individu.

Isi 2

Gejala sosial dalam kalangan remaja juga boleh dibendung dengan didikan agama kerana ia dapat membentuk jiwa dan minda seseorang individu supaya berakhlak mulia. Umum sedia maklum bahawa setiap agama mempunyai amal ibadah dan juga perintah untuk diikuti serta larangan tertentu. Maka, jika pegangan dan didikan agama individu tersebut kukuh pastinya mereka akan bertanggungjawab untuk melakukan amal ibadah pada waktunya dan menjauhi segala larangan agama masing-masing. Misalnya, apabila seorang muslim menunaikan solat fardu lima waktu, waktu mereka akan terisi dengan melakukan amalan ibadah berbanding menyertai gejala-gejala sosial yang jelas memberikan keburukan. Bagi golongan remaja pula, ibu dan bapa digalakkan menghantar mereka ke kelas mengaji atau menyertai kuliah agama di suarau mahupun di masjid sebagai aktiviti harian mereka. Ini membuktikan dengan didikan agama, golongan remaja dapat menghindari daripada terjebak dengan gejala sosial.

Isi 3

Selain itu, mereka yang mempunyai didikan agama serta keimanan yang teguh, tidak akan sewenang-wenangnya melibatkan diri dengan gejala sosial. Ibu dan bapa serta masyarakat seharusnya memainkan peranan supaya golongan remaja tidak mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan juga media sosial hari ini. Dalam agama Islam, kita digalakkan untuk bersifat mahmudah dan menjauhi sifat mazmumah. Sifat mahmudah adalah sifat terpuji seperti amanah, jujur, sabar dan pemurah yang dapat menjamin keselamatan, keamanan kebahagiaan serta ketenangan kepada mereka yang mengamalkannya. Manakala sifat mazmumah seperti sombong, dengki, berdusta dan bakhil akan membawa kepada kerosakan diri, perpecahan keluarga atau masyarakat serta pertelingkahan dalam komuniti. Ibarat peribahasa, buang yang keruh ambil yang jernih. Izharnya, didikan agama menggalakkan setiap individu untuk elak daripada melakukan perkara yang sia-sia dalam hidup yang singkat ini.

Isi 4

Sekiranya didikan agama disemat dalam setiap lapisan masyarakat dalam negara, nescaya gejala sosial sedikit sebanyak dapat dibendung. Hal ini kerana agama menggalakkan serta mampu melahirkan institusi keluarga dan masyarakat yang harmoni. Apabila keluarga dan masyarakat sentiasa menunjukkan sikap penyayang dan positif, golongan remaja akan menjadi lebih produktif tak tidak mudah terjerumus ke dalam lembah gejala sosial yang sia-sia. Sebagai contoh, keluarga yang baik akan memastikan anak-anak khusunya golongan remaja menyertai aktiviti yang bermanfaat seperti bersukan dan sebagainya. Selain dapat mengisi masa lapang mereka, ia berpotensi menjadi hobi dan juga kerjaya mereka di masa hadapan. Keluarga dan masyarakat juga berperanan untuk berfikiran terbuka kepada golongan remaja yang telah terjerumus dalam gejala sosial dan ingin berubah ke arah yang lebih baik. persis peribahasa berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Natijahnya, didikan agama yang menyeluruh akan membantu usaha ke arah membendung gejala sosial dalam kalangan remaja dan juga masyarakat.

Penutup

Konklusinya, pelbagai asbab yang menunjukkan didikan agama merupakan elemen penting dalam mencegah gejala-gejala sosial dalam kalangan remaja. Pada kebiasaannya kegiatan ini berlaku adalah disebabkan oleh beberapa faktor misalnya seperti kurangnya perhatian ibu bapa, pengaruh rakan sebaya dan sifat remaja yang inginkan untuk mencuba sesuatu yang baru. Oleh itu, sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab dan beriltizam untuk melahirkan masyarakat berminda kelas pertama kita hendaklah memastikan mekanisme terbaik dididik kepada golongan remaja dan kanak-kanak. Sesungguhnya dengan pendidikan yang efektif dan menyeluruh dapat melahirkan masyarakat yang inteligensia seterusnya menjauhi penglibatan dalam gejala-gejala sosial yang tidak mendatangkan sebarang manfaat.

Related : Kasih sayang