Karangan

Usaha Mempopularkan Puisi Tradisional Dalam Kalangan Masyarakat

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Ramai di antara pelajar yang mempunyai masalah atau kesukaran untuk menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu. Oleh itu, pelajar perlu membuat persiapan yang lebih seperti melakukan latihan tambahan atau merujuk contoh secara atas talian  sebelum menduduki peperiksaan. Sebagai rujukan buat para pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan usaha-usaha mempopularkan puisi tradisional dalam kalangan masyarakat.

Penulisan karangan yang berkaitan dengan tajuk di bawah seharusnya mudah bagi pelajar untuk menjawab. Hal ini demikian kerana ia melibatkan seni serta budaya masyarakat pelajar dan bukannya masyarakat asing. Maka, isi-isi penting yang bernas pasti dapat diberikan serta penggunaan frasa menarik seperti peribahasa dan penanda wacana yang berkaitan adalah digalakkan.

peta minda cara mempopularkan puisi tradisional

Usaha Dan Langkah Mempopularkan Puisi Tradisional Dalam Kalangan Masyarakat

Isi-isi penting

  • Pemerkasaan bidang sastera dalam pendidikan
  • Peranan media massa
  • Menganjurkan kempen yang lebih berkesan
  • Menyertai program pertukaran budaya
  • Membangunkan laman digital berkaitan sastera
  • Menghargai komuniti kesusateraan

Baca juga: Faedah Pembelajaran Menggunakan Komputer

Contoh Karangan Usaha- Usaha Mempopularkan Puisi Tradisional Dalam Kalangan Masyarakat

Pendahuluan

Marcapada ini, pascaperindustrian dan pascaglobalisasi telah membawa negara Malaysia ke persada antarabangsa. Pembangunan secara infrastruktur dan kemajuan masyarakat telah berjaya digerakkan dan telah mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Namun begitu, warisan bangsa seperti puisi tradisional semakin tenggelam dek ditelan zaman. Kemudahan segala bentuk hiburan terutamanya lagu dan filem daripada negara luar menembusi pasaran domestik telah meninggalkan kesan yang negatif kepada hasil kesusasteraan negara. Jika disoal kepada generasi muda hari ini, kebanyakan di antara mereka tidak tahu-menahu tentang puisi tradisional apatah lagi untuk menghargainya. Tindakan segera harus diambil dalam mengenal pasti usaha-usaha mempopularkan puisi tradisional dalam kalangan masyarakat supaya khazanah warisan bangsa ini tidak pupus begitu sahaja.

Isi 1

Prakarsa utama dalam memastikan puisi tradisional mendapat perhatian masyarakat adalah dengan memperkasa bidang sastera dalam pendidikan kebangsaan. Peribahasa Melayu berkata melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ia bermaksud jika kita ingin membentuk generasi yang menghargai karya-karya sastera seperti puisi tradisional, didikan di peringkat awal adalah amat mustahak. Jika diamati, subjek sastera merupakan mata pelajaran elektif dan sering kali tidak dipilih oleh pelajar kerana ia dianggap tiada kepentingan untuk masa hadapan mereka. Maka Kementerian Pendidikan Malaysia hendaklah meneliti sistem pendidikan yang lebih baik supaya warisan dan budaya negara pada masa dahulu tidak dipandang enteng dan disisihkan. Menambah topik berkaitan sastera dan puisi tradisional dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah cara yang efektif dan mampu meninggalkan kesan yang positif.  Hasilnya, murid-murid di peringkat menengah mahupun rendah tahu dan mampu memberikan contoh puisi tradisional dalam soalan peperiksaan dan juga dalam kehidupan seharian mereka.

Isi 2

Di samping itu, media massa juga memainkan peranan yang mustahak bagi mempopularkan puisi tradisional dalam kalangan masyarakat. Untuk pengetahuan semua, puisi tradisional yang merangkumi pantun, syair, gurindam, seloka dan cerita rakyat lazimnya menyentuh isu kemasyarakatan. Oleh itu, media massa merupakan pentas informasi yang membekalkan masyarakat dengan perkara yang mereka perlu dan inginkan. Sebagai contoh, media elektronik yang menerbitkan rancangan di televisyen mempunyai objektif untuk menghiburkan penonton. Alangkah bagusnya jika rancangan tersebut diselitkan dengan puisi-puisi tradisional sebagai rujukan dan pengajaran kepada penonton supaya sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Mutakhir ini, media massa telah dikembangkan dengan kehadiran media sosial yang menjadi kunjungan utama masyarakat konvensional tanpa mengira tempat dan waktu. Oleh itu, pihak berwajib seharusnya bekerjasama dengan industri kreatif negara supaya dapat membentuk kandungan digital yang mengetengahkan puisi tradisional supaya ia kekal relevan dengan komuniti madani ketika ini.

Isi 3

Pada masa yang sama, puisi tradisional akan mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat sekiranya kempen yang berkesan berjaya dianjurkan. Pelbagai agensi kerajaan yang ditubuhkan berkaitan dengan seni dan budaya tetapi kesan penubuhannya tidak memberikan impak yang besar terhadap penghargaan seni khususnya puisi tradisional. Anjakan paradigma perlulah diutarakan oleh pihak berkenaan dengan mengenalpasti cara untuk menghubungkan masyarakat dengan matlamat yang ingin disampaikan iaitu seni dan budaya kebangsaan. Sebelum menganjurkan kempen, pihak penganjur seharusnya mendekati komuniti yang terlibat dalam bidang kesusateraan seperti penulis puisi, penyajak dan sebagainya. Dengan mendapatkan input dan maklum balas daripada golongan yang betul-betul menghargai seni dan budaya ini, barulah kempen boleh diperluaskan kepada masyarakat umum. Pertandingan secara interaktif dan penghasilan iklan atau video yang berkualiti tinggi serta menepati kehendak semua pihak boleh dilaksanakan. Intihannya, strategi yang baik dapat memberikan kempen yang berkesan.

Isi 4

Seterusnya, cara yang boleh diusahakan demi mempopularkan puisi tradisional dalam kalangan masyarakat adalah dengan menyertai atau menganjurkan program pertukaran budaya di negara luar. Malaysia merupakan negara yang dikenali ramai oleh masyarakat dunia disebabkan beberapa faktor antaranya adalah pelajar yang mendapatkan pendidikan di universiti di negara luar. Hampir setiap tahun, terdapat kumpulan pelajar yang akan dihantar untuk menerima pendidikan di universiti-universiti terkemuka dunia. Kesempatan ini haruslah digunakan bagi memperluaskan keunikan seni dan budaya negara dengan menaja mereka untuk menyertai program pertukaran budaya. Program ini merupakan satu majlis yang menggabungkan semua budaya yang berasal daripada negara pelajar dan dipersembahkan untuk tontonan pelajar serta masyarakat di sana. Maka berlakulah proses pertukaran budaya yang sebelum ini kita tidak pernah kenal dan kini dikenali oleh masyarakat asing di negara luar. Bak kata peribahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta. Kesannya, keunikan seni dan budaya kita akan diperkenalkan diperingkat antarabangsa tanpa perlu mengeluarkan kos yang berjuta-juta.

Penutup

Konklusinya, banyak usaha yang boleh diatur supaya puisi tradisional menjadi popular dalam kalangan masyarakat. Setiap individu seharusnya mempunyai kesedaran dalam menghargai seni budaya dan warisan bangsa yang merupakan peninggalan nenek dan moyang kita. Adakah kita sudah melupai jasa dan pengorbanan mereka yang mencari kesenangan hidup untuk kita nikmati hari ini? Sesungguhnya peribahasa Melayu berkata hidup dikandung adat, mati dikandung tanah. Setiap perkara yang mempunyai nilai kebaikan seharusnya dihargai dan disemat dalam jiwa setiap anak bangsa. Ahli pemikir dan penguatkuasa perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam mencari formula terbaik agar puisi tradisional ini mendapat tempat di hati masyarakat serta tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.