Karangan

Kepentingan Sains Dan Teknologi Dalam Kehidupan Harian

Perhatian kepada pelajar yang mencari contoh penulisan karangan Bahasa Melayu. Tahukah anda dengan merujuk contoh secara atas talian, pelajar boleh menjumpai idea atau isi penting yang baharu dan berbeza dengan kelaziman yang anda gunakan. Tambahan pula, pelabagi tema dan tajuk yang boleh dibaca sebagai rujukan untuk menyiapkan kerja sekolah atau bersedia menghadapi peperiksaan. Berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan sains dan teknologi dalam kehidupan manusia untuk panduan semua.

Sains merupakan pembelajaran dan kajian tentang satu perkara manakala tekonolgi pula adalah ciptaan manusia untuk menyelesaikan sesuatu masalah berdasarkan fakta dan kajian saintifik. Oleh itu, kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain kerana ia memerlukan input dari kedua-dua pihak. Kita sebagai manusia yang bijak seharusnya menjadikannya sebagai agenda utama dalam mengcapi kemajuan pada hari ini kerana ia bakal membawa setiap sudut kehidupan manusia ke alaf yang baharu.

peta minda kepentingan sains dan teknologi dalam kehidupan manusia 1 Kepentingan Sains Dan Teknologi Dalam Kehidupan Harian

Manfaat Sains dan Teknologi Kepada Kehidupan Manusia

Isi-isi penting

  • Memudahkan komunikasi antara manusia
  • Menyumbang kepada perkembangan industri kesihatan
  • Meningkatkan sektor pendidikan
  • Memulihara dan memelihara alam sekitar
  • Memudahkan pergerakan manusia
  • Meningkatkan hasil pertanian dan agrikultur

Baca juga: Punca Remaja Melarikan Diri Dari Rumah

Contoh Karangan Kebaikan/ Pentingnya Sains dan Teknologi Dalam Kehidupan Manusia

Pendahuluan

Sains dan teknologi dilihat sebagai satu perkara yang prima dalam kehidupan manusia sejak memasuki abad ke 21. Perkembangannya dilihat tumbuh ibarat cendawan selepas hujan apabila kos menggunakan teknologi semakin berpatutan dan dikomersialkan sesuai dengan kehidupan manusia. Mungkin kehadiran teknologi pada zaman dahulu tidak mempunyai ekosistem yang seimbang untuk disokong. Kini, perkembangan yang pesat dirai malah menjadi perlumbaan antara negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun. Pelbagai manfaat  yang diperoleh kesan daripada perkembangan terhadap kehidupan manusia. Ada juga yang mendatangkan mudarat tetapi sebagai masyarakat yang berminda kelas pertama, kita perlu membuang yang keruh dan mengambil yang jernih. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan apakah kepentingan sains & teknologi dalam kehidupan manusia?

Isi 1

Antara kepentingannya adalah memudahkan komunikasi antara manusia. Dalam mendepani era globalisasi ini, kita dapat berhubung dengan semua manusia di segenap pelusuk dunia walaupun berbeza bahasa dengan adanya teknologi. Perbezaan bahasa yang sebelum ini perlu mengambil masa ynag lama untuk dipelajari boleh diselesaikan dalam beberapa saat sahaja. Impaknya, pelbagai ilmu, budaya dan juga perkara-perkara lain dapat dikongsi dan dimanfaatkan bersama-sama.  Selain itu, kita juga dapat berhubung antara satu sama lain tanpa mengira masa dan jarak pada hari ini dan kesannya bukan sahaja pada sektor ekonomi malah mengubah cara sosial masyarakat masa kini. Misalnya penggunaan aplikasi Whatsapp yang membolehkan kita menghantar mesej atau membuat panggilan video kepada kenalan kita hasil daripada ciptaan teknologi dan penggunaan sains yang difahami oleh manusia hari ini. Bak kata pepatah Melayu, lain dahulu lain sekarang. Intihannya, perkembangannyamembuka ruang komunikasi antara manusia yang tidak pernah dibayangkan pada zaman dahulu.

Isi 2

Di samping itu, hasil perkembangannya telah menyumbang kepada kemajuan industri kesihatan secara global. Pelbagai ubat dan rawatan baharu yang dapat dihasilkan bagi merawat pesakit-pesakit yang menghidapi pelbagai jenis penyakit. Ia juga membantu dalam mencegah penyakit-penyakit berjangkit daripada menular dan mengorbankan ribuan nyawa manusia seperti zaman dahulu. Kini, ianya telah menjadikan makmal perubatan sebuah institusi yang penting bagi manusia untuk mengkaji dan mencari penawar kepada penyakit-penyakit yang memudaratkan kehidupan manusia. Selain itu, kolaborasi antara sains & teknologi juga menyumbang kepada obeservasi kesihatan kendiri apabila jam tangan pintar berjaya dicipta. Pemakai jam tangan ini dapat melihat kadar degupan jantung yang memberi indikasi kepada tahap kesihatan seseorang individu. Sekiranya setiap individu dapat menggunakan jam ini dan menjaga kesihatan secara kendiri, ia pasti dapat melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera. Izharnya, pelabgai manfaat dari sudut kesihatan yang kita peroleh hasil daripada perkembangan sains & teknologi. Kita hendaklah menyediakan payung sebelum hujan supaya tidak kesal dikemudian hari.

Isi 3

Kepentingan lain yang ketara hasil daripada perkembangan sains & teknologi adalah meningkatkan sektor pendidikan. Sebelum ini, pendidikan khususnya di peringkat tertiari menggunakan kaedah yang mengambil masa yang lama kerana pelajar perlu menelaah dan mentafsir buku-buku yang berkaitan untuk menghasilkan laporan atau menyiapkan tugasan. Tetapi dengan kemudahan Internet, pelajar boleh menyediakan laporan atau menyiapkan tugasan dalam tempoh masa yang lebih pantas. manakal bagi pelajar di peringkat rendah, pendidikan secara interaktif semakin diketengahkan supaya dapat menarik minat pelajar. Ia bukan sahaja memberi kesan terhadap ilmu dan pengetahuan pelajar malah membantu mereka untuk berfikir secara kreatif dan inovatif. Pada masa akan datang, tiada lagi pembelajaran yang membosankan dan kanak-kanak dapat menikmati ilmu dan pengetahuan dalam bentuk yang mereka sukai. Justifikasinya, dengan adanya perkembangan sains & teknologi maka pendidikan dapat ditambah baik dan memberi kesan yang positif serta efisien kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana, laut yang ditimba tidak akan kering.

Isi 4

Pada waktu yang sama, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dapat direalisasikan dengan perkembangan sains & teknologi. Saban hari kita disiarkan dengan berita bencana alam yang menimpa kawasan tertentu seperti pembakaran hutan semulajadi, tanah runtuh, banjir kilat dan ribut yang luar biasa. Para saintis telah pun menyatakan sejak beberapa tahun dahulu bahawa ekosistem dunia menjadi tidak seimbang dek kerana ketamakan manusia mengejar pembangunan tanpa memikirkan kesannya. Perindustrian,  pembuangan sampah dan pelbagai lagi masalah yang menyumbang kepada pemanasan global serta efek rumah hijau yang menggangu ekosistem bumi. Maka, sains & teknologi adalah penyelamat kepada spesis manusia jika ingin terus menetap di muka bumi ini. Ciptaan teknologi yang mesra alam dan alternatif kepada sumber boleh diperbaharui perlu disokong supaya sumber alam yang tidak boleh diperbaharui, tidak dimusnahkan. Tamsilnya, penggunaan kereta elektrik yang mengurangkan penghasilan karbon serta menggunakan tenaga boleh diperbaharui. Tuntasnya, perkembangan sains & teknologi penting dalam mengekalkan khazanah alam yang kita miliki hari ini demi masa hadapan kerana generasi hari ini hanyalah menumpang sumber dan khazanah yang dimiliki generasi akan datang.

Penutup

Kesimpulan kepada perbincangan di atas, sains & teknologi adalah komponen yang mustahak dalam kehidupan manusia serta memainkan peranan yang penting dalam kelangsungan hidup manusia. Sinergi antara dua komponen ini dapat membawa ketamadunan manusia ke satu tahap yang lebih tinggi. Persis kata peribahasa Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Namun begitu, dalam mengejar kemajuan diharapkan usaha untuk memastikan ia dimanfaatkan oleh segenap pelusuk manusia tanpa mengira darjat atau latar belakang juga diberi perhatian. Masih banyak negara yang ketinggalan dari segi aplikasi sains & teknologi. Sekiranya sains & teknologi tersebut penting untuk kebajikan manusia seperti penghasilan air bersih dan pertanian yang efisien maka ia wajar disokong serta diberikan secara percuma atas dasar kemanusiaan. Semoga sains & teknologi menjadi komponen yang dimanfaatkan oleh manusia untuk kebaikan dan bukannya kemudaratan.

Related : sains teknologi dan inovasi datuk seri kuala lumpur dalam bidang dan matematik, sekolah menengah