Karangan

Cara-Cara Mengelakkan Penipuan Internet

Penulisan karangan Bahasa Melayu sering kali menguji kemampuan dan penguasaan Bahasa Melayu pelajar. Selain itu, ia juga mencabar pengetahuan pelajar berkenaan tajuk atau persoalan yang diberikan sama ada tentang fakta, isu semasa atau tema-tama yang berkaitan. Di bawah dikongsikan contoh karangan cara-cara mengelakkan penipuan Internet sebagai rujukan.

Penipuan Internet semakin menjadi-jadi pada hari ini sehingga menyebabkan pelbagai kerugian kepada mangsa. Isu ini wajar dibincangkan supaya pelajar lebih cakna dan mengambil iktibar daripada hasil penulisan masing-masing. Seterusnya dapat membantu orang sekeliling mereka tentang kepentingan menjaga keselamatan data peribadi yang dikongsikan secara atas talian.

peta minda contoh karangan cara mengelakkan penipuan internet Cara-Cara Mengelakkan Penipuan Internet

Tips/ Petua Mengelakkan Penipuan Internet

Isi- Isi Penting

  • Mengambil langkah-langkah keselamatan
  • Semak dan siasat kesahihan terlebih dahulu
  • Mendapatkan khidmat nasihat daripada orang yang berkelayakan
  • Melihat maklum balas daripada perkhidmatan yang disediakan
  • Sentiasa bersikap waspada dan berhati-hati
  • Tidak panik dan bertindak pantas sekiranya menjadi mangsa

Baca juga: Cara Memohon Bantuan Pinjaman Pengajian Tinggi

Contoh Karangan Cara-Cara Mengelakkan Penipuan Internet

Pendahuluan

Saban hari, keratan akhbar dan siaran televisyen memaparkan kes-kes penipuan di Internet yang melibatkan masyarakat umum. Semakin ramai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa kepada penipuan Internet dan mengalami kerugian wang ringgit sehingga ratusan ribu. Warga tua menjadi sasaran kepada kes penipuan ini kerana mereka mudah terpengaruh dan kurang celik dengan penggunaan gajet atau teknologi masa kini. Justeru, polemik ini wajar menjadi pengajaran kepada kita supaya tidak menjadi mangsa dan belajar daripada kesilapan orang lain. Kita seharusnya menjauhi situasi seperti salah satu peribahasa melayu, sudah terhantuk baru terngadah. Maksudnya apabila sudah ditipu dan menanggung rugi baru hendak mengambil langkah berjaga-jaga. Oleh itu, mari kita bincangkan, cara-cara mengelakkan penipuan internet yang boleh kita usahakan bersama-sama.

Isi 1

Cara pertama yang boleh dilakukan adalah dengan sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan apabila menggunakan gajet atau komputer. Apabila menggunakan Internet di komputer, kita terdedah kepada pelbagai ancaman siber khususnya sewaktu kita melayari laman perbankan atau melakukan transaksi dalam talian. Langkah keselamatan yang boleh diambil adalah dengan memuat turun dan memasang aplikasi perisian antivirus yang boleh menghalang ancaman siber daripada menyerang gajet yang kita gunakan setiap hari. Kita juga hendaklah memastikan laman yang dilayari khususnya laman perbankan adalah laman yang betul dan tepat. Selain itu, bagi mengelakkan penipuan Internet yang menggunakan panggilan telefon, terdapat pelbagai aplikasi yang membantu untuk mengenal pasti nombor pemanggil adalah sah atau merupakan pelaku salah yang sudah mempunyai rekod. Dengan mengambil langkah-langkah keselamatan ini, kita dapat membanteras pelaku-pelaku penipuan Internet ini daripada berleluasa dan melakukan jenayah.

Isi 2

Langkah seterusnya adalah kita perlu sentiasa semak dan siasat kesahihan sesebuah perkara di Internet terlebih dahulu sebelum membuat tindakan. Kebanyakan kes penipuan Internet bermula dengan iklan atau pautan yang tidak sahih. Mangsa -mangsa terpedaya dengan gambar, nilai habuan atau video yang digunakan hanya untuk menipu mereka dengan helah secara maya. Kita digalakkan untuk mengelak daripada membuka SMS atau mesej daripada mana-mana sosial media yang diterima dariapda bukan kenalan kita. Sekiranya pelaku menyamar sebagai ahli kerajaan atau mana-mana agensi swasta, kita boleh minta kepada pelaku tersebut untuk membuktikan kesahihan diri mereka atau semak dengan pihak berkuasa. Untuk makluman, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah menyediakan sebuah laman web untuk masyarakat Malaysia menyemak kesahihan nombor telefon atau nombor akaun bank yang mempunyai rekod penipuan atau tidak. Inisiatif oleh PDRM ini wajar dipuji kerana dapat membantu mengekalkan keselamatan rakyat Malaysia daripada dimanipulasi oleh pelaku yang bersikap seperti ada udang di sebalik batu.

Isi 3

Di samping itu, kita hendaklah selalu mendapatkan khidmat nasihat daripada orang yang berkelayakan bagi mengelakkan daripada terlibat dengan penipuan Internet. Setiap di antara kita mempunyai ilmu dan kemahiran yang tidak dipunyai oleh orang lain. Maka, dengan sikap rendah diri kita hendaklah sentiasa bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman dalam perkara yang kita hadapi. Jika kita mempunyai masalah kesihatan, kita akan berjumpa dan menerima nasihat daripada seorang doktor  manakala jika kita mempunyai masalah kewangan, kita minta pendapat daripada penasihat kewangan kerana hanya jauhari mengenal manikam. Golongan tua khususnya ibu dan bapa hendaklah sentiasa merujuk dengan anak-anak dalam menggunakan gajet atau teknologi yang dapat mendedahkan mereka kepada ancaman penipuan atas talian. Intihannya, mendapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dalam bidang masing-masing mampu membantu kita dalam mendapatkan informasi yang betul dan tepat.

Isi 4

Tindakan lain yang boleh kita usahakan untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan Internet adalah dengan melihat maklum balas daripada perkhidmatan yang ingin kita gunakan. Kebangkitan industri jual beli secara atas talian telah membuka banyak peluang kepada usahawan dan masyarakat dalam meningkat ekonomi masing-masing. Namun begitu, peluang ini disalah guna oleh pelaku penipuan Internet dengan menjual atau menyediakan perkhidmatan yang tidak seperti apa yang dipamerkan. Justeru, kita sebagai pengguna yang bijak hendaklah menyemak maklum balas yang diberikan oleh pengguna atau pembeli daripada syarikat, kedai atau individu tersebut samada ia betul atau tidak. Jika maklum balas adalah baik maka kita akan lebih yakin dan percaya untuk membeli tetapi jika tiada maklum balas, kita akan timbul rasa ragu-ragu. Begitu juga apabila kita sudah membeli barang atau menggunakan perkhidmatan secara atas talian, kita digalakkan untuk meninggalkan maklum balas supaya dapat menjadi panduan kepada pengguna lain. Hasilnya kelak, pelaku penipu Internet tidak lagi dapat menyembunyikan helah dan tindakan licik mereka.

Penutup

Konklusinya, pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk mengelak daripada menjadi mangsa kepada penipuan internet. Pihak berkuasa harus bertindak melakukan kempen kesedaran secara meluas berkenaan isu ini supaya ia tidak memudaratkan kemaslahatan masyarakat di Malaysia. Kita pula sebagai pengguna Internet harus sentiasa bijak dalam menjaga keselamatan data yang kita kongsi dan simpan agar tidak dimanipulasi oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab. Tambahan pula, terdapat agensi kerajaan iaitu Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang berperanan untuk menjaga industri komunikasi dan multimedia di Malaysia yang berkait dengan penggunaan Internet di Malaysia. Semoga setiap usaha yang dilaksanakan untuk membanteras kes penipuan Internet memeberikan hasil yang positif kerana pepatah Melayu ada berkata, pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk.

Related : cash on delivery, secara online, e mel, ramai orang, maklumat peribadi, kad kredit, penipuan dalam talian, membeli belah