Karangan
Kepentingan Disiplin Kepada Pelajar
Lazimnya, tajuk soalan karangan Bahasa Melayu terdiri daripada pelbagai jenis yang boleh dipilih oleh para pelajar. Namun begitu, adakah anda sebagai pelajar tahu tentang tema-tema yang berpotensi menjadi tajuk soalan penulisan karangan Bahasa Melayu? Sekiranya tidak, anda digalakkan untuk memperbanyakkan latihan dan mencari contoh-contoh karangan Bahasa Melayu secara atas talian. Sebagai rujukan kepada anda, berikut adalah contoh karangan kepentingan disiplin diri kepada murid-murid.
Untuk makluman anda, penulisan karangan yang cemerlang lazimnya menggunakan ungkapan dan kata-kata yang menarik seperti peribahasa dan penanda wacana. Tetapi pelajar perlu berhati-hati dan memahami frasa yang ingin digunakan dengan baik supaya ia menepati huraian yang ingain disampaikan. Selain itu, meminimumkan kesalahan lazim seperti kesalahan ejaan dan imbuhan dapat memberikan pemarkahan yang baik dan cemerlang sekiranya pelajar berjaya.
Isi Kandungan
Kepentingan Disiplin Diri Kepada Murid/ Pelajar
Isi-isi penting
- Membentuk tingkah laku yang baik
- Mengelakkan daripada perkara negatif
- Menentukan kejayaan murid
- Mengamalkan nilai-nilai murni
- Melahirkan ketrampilan diri yang tinggi
- Memberi kestabilan secara mentaliti kepada diri
Baca juga: Jenis-Jenis Pengenalan Dalam Penulisan Karangan
Contoh Karangan Kepentingan Disiplin Diri Kepada Murid-Murid
Pendahuluan
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pemesatan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang membelenggu masyarakat hari ini. Jika ditelusuri, golongan yang terjebak dengan perkara ini mempunyai masalah untuk bersikap disiplin sama ada di sekolah mahupun di rumah. Menurut kamus dewan, disiplin adalah latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib. Murid-murid mungkin tidak sedar bahawa dengan berdisiplin, pelbagai manfaat dan kepentingan yang akan mereka peroleh secara langsung dan tidak langsung. Persoalannya, apakah kepentingan sekiranya seseorang murid itu mengamalkan disiplin diri yang tinggi dalam kehidupan mereka?
Isi 1
Antara kepentingan disiplin diri dalam kalangan murid-murid adalah ia dapat membentuk tingkah laku yang baik. Peraturan-peraturan yang direncana bagi memudahkan pengurusan murid-murid di sekolah adalah garis panduan yang menentukan tahap disiplin mereka. Pihak sekolah pasti memberikan salinan buku peraturan kepada setiap murid tetapi lazimnya tidak diambil endah oleh mereka. Buku peraturan merupakan bimbingan dan panduan yang wajar dipatuhi oleh murid-murid seperti Al-Quran yang menjadi panduan hidup bagi umat Islam. Justeru, sekiranya murid-murid mematuhi setiap peraturan di sekolah masalah disiplin akan berkurangan dan sahsiah diri akan menjadi lebih baik. Orang yang bersabar pasti akan dikurniakan dengan anugerah yang baik sama seperti disiplin diri yang mencabar kemampuan mental kita untuk kekal melakukan sesuatu tugas secara istiqamah sebelum berjaya mendapatkan hasil yang dikehendaki.
Isi 2
Selain itu, disiplin diri adalah penting bagi murid-murid untuk mengelakkan daripada terjebak dengan perkara negatif. Pengaruh media massa dan media sosial hari ini telah membuatkan segelintir golongan muda terpengaruh dengan kehidupan maya yang tidak boleh dibezakan sama ada kaca atau gelas. Kebanyakan golongan muda hari ini gemar bermain permainan video dan menonton penstriman video sebagai hiburan. Namun, terdapat di antara murid-murid yang leka dan lalai berhibur sehingga tidak tidur di waktu malam dan mengganggu perhatian mereka semasa berada di dalam kelas. Perkara ini perlu dibendung dengan cara memberikan jadual waktu atau jangka masa kepada mereka untuk berhibur. Misalnya, ibu dan bapa boleh memastikan anak-anak mengulangkaji pelajaran dahulu selama dua hingga tiga jam dan memberikan masa dalam 30 minit hingga satu jam untuk mereka berehat atau berlibur. Penetapan masa ini adalah disiplin diri yang asas dan mampu menjadi nilai yang berguna kepada murid-murid apabila menjelang dewasa kelak.
Isi 3
Di samping itu, disiplin diri amat mustahak dalam kalangan murid-murid bagi menentukan tahap kejayaan mereka sama ada dari segi akademik, kokurikulum atau kedua-duanya. Kita sering kali dikaitkan apabila pelajar yang cemerlang dalam akademik pasti mempunyai disiplin diri yang tinggi. Tidak dinafikan bahawa usaha yang digarap oleh pelajar cemerlang didorong dengan disiplin dan komitmen yang tinggi. Pada hemat saya, pelajar yang cemerlang dalam bidang kokurikulum seperti sukan juga adalah hasil daripada disiplin yang tinggi. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan memerlukan tahap disiplin yang tinggi ketika berlatih dan apabila menyertai pertandingan. Malahan bukan sahaja kekuatan fizikal digunakan tetapi kecerdikan mental juga diguna pakai dalam membuat keputusan yang betul seterusnya dapat memberikan kemenangan dalam sukan yang disertai. Intihanya, disiplin adalah kunci kejayaan seseorang terutamanya dalam kalangan murid-murid hari ini yang perlu bersaing demi mendapatkan masa hadapan yang lebih baik.
Isi 4
Pada masa yang sama, disiplin diri merupakan elemen penting dalam diri murid-murid supaya nilai-nilai murni yang lain dapat dipupuk. Disiplin boleh diimaginasikan sebagai akar yang menyokong pokok untuk tegak berdiri walau dibadai angin dan ribut ketika waktu hujan melanda. Apabila seseorang murid itu kekal berdisiplin, secara tidak langsung mereka akan mengamalkan nilai-nilai murni yang lain. Contohnya tindakan seperti menepati masa, bersopan santun dan melaksanakan tugas dengan baik adalah disiplin diri yang cemerlang dan seharusnya dipraktikkan oleh murid-murid. Tambahan pula, nilai seperti rajin dan tidak berputus asa akan menjadi sesuatu perkara yang biasa dalam kalangan murid-murid dan ia adalah nilai yang penting bagi mereka menempuhi alam kedewasaan nanti. Oleh itu, disiplin diri adalah mustahak terutamanya kepada murid-murid di sekolah supaya kelak menjelang dewasa, mereka bersedia memikul tanggungjawab dan amanah yang lebih berat. Persis kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Penutup
Kesimpulannya, banyak kepentingan yang akan diperoleh sekiranya murid-murid mengamalkan disiplin diri yang tinggi. Pujangga arab ada mengatakan, “masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia akan memotong kamu”. Senario ini jelas menyatakan bahawa setia perkara yang baik perlu dilaksanakan dengan segera kerana apabila dewasa nanti sudah menjadi kesukaran untuk kita mendidik atau membentuk pemikiran seseorang. Kanak-kanak alaf baharu memerlukan bimbingan dan panduan yang sedikit berbeza dengan didikan yang diperoleh daripada ibu dan bapa. Semoga setiap pihak sedar dan mempelajari mekanisme terbaik dalam membentuk disiplin murid-murid bukan sahaja di sekolah tetapi di luar sekolah juga agar generasi yang berwawasan dapat dilahirkan dan bakal memacu negara ke arah kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.