Karangan

Faedah-Faedah Inovasi Dalam Kehidupan

Pelbagai jenis tajuk soalan yang diketengahkan dalam penulisan karangan Bahasa Melayu. Antaranya adalah soalan yang berkaitan pelajar sehingga soalan yang memerlukan pengetahuan am tentang isu semasa. Oleh itu, pelajar perlu bersedia untuk menjawab soalan yang terdiri daripada pelbagai tema dan latar belakang. Berikut dikongsikan contoh karangan faedah-faedah inovasi dalam kehidupan sebagai rujukan untuk semua.

Selain daripada membuat latihan yang diberikan oleh guru, pelajar juga boleh merujuk contoh karangan daripada sumber lain seperti di bawah. Pelajar dapat melihat isi-isi penting atau idea yang berbeza digunakan bagi mengolah karangan Bahasa Melayu. Tambahan pula, pelajar boleh merujuk cara pengolahan yang menarik dan menggunakannya dalam penulisan karangan masing-masing.

peta minda faedah inovasi dalam kehidupan Faedah-Faedah Inovasi Dalam Kehidupan

Faedah-Faedah Dan Kepentingan Inovasi Dalam Kehidupan

Isi-isi penting

  • Meningkatkan kualiti hidup
  • Mencipta pasaran baru
  • Memelihara ekosistem dan alam sekitar
  • Mengurangkan risiko kebergantungan terhadap sumber manusia
  • Selaras dengan sistem pendidikan
  • Meluaskan jangkauan produk

Baca juga: Koleksi Contoh Karangan SPM

Contoh Karangan Kepentingan Inovasi Dalam Kehidupan

Pendahuluan

Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, hampir setiap hari kita diperkenalkan dengan teknologi baharu hasil daripada inovasi yang dilakukan. Inovasi membawa maksud kepada idea atau kaedah baharu yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa. Selain itu, inovasi juga membawa maksud sebagai solusi yang diperkenalkan bagi menyelesaikan maslah yang timbul secara berkesan. Justifikasinya, inovasi adalah perkara yang penting dalam kehidupan kerana ia memberikan faedah yang sangat menguntungkan kepada kita.

Isi 1

Antara manfaat inovasi dalam kehidupan adalah ia membantu meningkatkan kualiti hidup manusia sejagat. Secara tidak sedar, kita telah hidup dikelilingi dengan hasil inovasi yang pelbagai dan memakan masa yang lama. Tamsilnya, pengangkutan yang kita nikmati hari ini memudahkan kita untuk pergi ke destinasi yang kita inginkan dalam tempoh masa yang singkat berbanding pada zaman dahulu. Persisi kata peribahasa Melayu berkata, masa itu emas. Maka, setiap inovasi yang kita nikmati hari ini telah membantu kita menjimatkan masa untuk menyelesaikan suatu pekerjaan. Oleh sebab itu, kualiti kehidupan akan bertambah baik kerana manusia dapat memberikan fokus untuk meluangkan masa pada perkara yang lebih mustahak. Kita tidak perlu memikirkan atau mengerahkan tenaga kepada pekerjaan yang remeh seperti membasuh pakaian dan menyapu lantai kerana hasil inovasi mesin basuh dan penyedut hampagas telah dicipta.

Isi 2

Selain itu, inovasi dapat membantu membuka pasaran baharu dalam ekonomi dunia. Kita boleh lihat sejak kebelakangan ini, kerancakan penggunaan sosial media telah melahirkan pasaran yang baru dan inovatif terhadap masyarakat kita. Pembelian atas talian lebih gemar digunakan oleh masyarakat kerana mereka tidak perlu keluar rumah dan hanya menunggu produk yang diinginkan dihantar ke rumah masing-masing. Tambahan pula, pasaran baru dapat memberikan pilihin kepada pengguna yang memerlukan produk yang sesuai dengan penggunaan mereka. Misalnya, pelbagai jenis hartanah dibangunkan seperti rumah teres dan pangsapuri bagi menampung kehendak penduduk yang mempunyai tahap keperluan berbeza. Golongan yang berkeluarga lebih gemar mendapatkan rumah teres berbanding pangsapuri yang lazimnya dihuni oleh golongan muda. Oleh hal yang demikian, inovasi membantu mencipta dan memberi keseimbangan kepada pasaran produk yang dihasilkan.

Isi 3

Manfaat lain yang diperoleh daripada inovasi adalah pemeliharaan alam sekitar yang semakin dijarah oleh kemodenan hari ini. Inovasi di masa dahulu tidak menitik beratkan kesannya terhadap alam sekitar. Akibatnya, pelbagai pencemaran berlaku seperti pencemaran air dan udara. Sisa toksik yang digunakan oleh sektor perkilangan dilepaskan ke laut dan mengakibatkan hidupan laut mati akibat keracunan toksik. Pembangunan yang tidak lestari juga menghasilkan pulau haba di kawasan bandar. Oleh itu, generasi hari ini perlu sedar dan mengambil pengajaran daripada perkara yang telah berlaku. Alam sekitar merupakan sumber utama kita untuk hidup di planet bumi. Malah, angkasawan dan para saintis tidak menjumpai planet lain yang mempunyai ciri-ciri yang sama untuk menampung kehidupan manusia seperti di bumi ini. Natijahnya, setiap inovasi hari ini adalah demi kebaikan kita dan juga generasi akan datang dimana ekologi bumi dapat berfungsi dengan baik dan mampu dihuni untuk selama yang mungkin.

Isi 4

Akhir sekali, inovasi memberikan manfaat dalam kehidupan kerana ia dapat mengurangkan risiko terhadap kebergantungan kepada tenaga kerja manusia. Kenyataan ini mungkin tidak dipersetujui oleh sesetengah pihak namun menguruskan mesin adalah lebih mudah daripada menguruskan manusia. Dengan revolusi industri yang kian menghampiri, inovasi untuk mengautomasi penghasilan produk-produk adalah wajar untuk dilaksanakan kerana kualiti produk menjadi lebih seragam dan kualiti akan bertambah baik. Manusia berisiko melakukan kecuaian dan kelekaan dalam penghasilan produk serta memerlukan tenaga yang lebih kompleks berbanding mesin. Penggunaan mesin hanya memerlukan tenaga elektrik dan boleh menghasilkan produk pada kuantiti yang lebih banyak.

Penutup

Secara tuntas, banyak faedah yang diperoleh dalam kehidupan hasil daripada inovasi. Oleh itu, setiap pihak perlu membudayakan amalan inovasi dalam kehidupan harian untuk bertambah maju serta kekal relevan. Kerancakan ekonomi dan globalisasi hari ini menjadi kayu pengukur kemampuan kita untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain. Pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan dasar-dasar yang diperkenalkan mempunyai unsur inovasi serta memberi manfaat yang efektif kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga inovasi yang kita kecapi hari ini membawa kita untuk mencapai kemajuan sejagat yang belum pernah ditulis dalam sejarah ketamadunan manusia.