Karangan

Usaha-Usaha Membantu Golongan OKU

Pelbagai jenis contoh-contoh karangan dapat dilihat secara online oleh pelajar-pelajar. Karangan yang merangkumi pelbagai tema dan soalan dapat membantu pelajar untuk mengetahui isi-isi penting yang berkait dengan soalan yang ingin dijawab dalam latihan atau peperiksaan. Berikut adalah contoh karangan usaha-usaha membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang boleh menjadi rujukan dan panduan pelajar.

Latihan tambahan amat digalakkan supaya pelajar terdedah dengan pelbagai jenis soalan dan mampu membuat penulisan karangan yang baik dan cemerlang. Selain itu, penggunaan frasa-frasa menarik seperti peribahasa dan penanda wacana akan membantu menambah daya penarik terhadap penulisan karangan pelajar. Justeru, isi-isi penting yang berkaitan dan seimbang akan menjadikan penulisan karangan pelajar berpotensi mendapat markah yang baik dan cemerlang.

Usaha-Usaha Membantu Golongan OKU (Orang Kurang Upaya)

peta minda usaha usaha bantu golongan oku Usaha-Usaha Membantu Golongan OKU

Isi-isi penting

  • membuka mata masyarakat akan keistimewaan golongan OKU
  • memberikan latihan kemahiran dan peluang pendidikan
  • menggalakkan pengambilan OKU dalam pekerjaan
  • menyediakan infrastuktur yang mesra OKU
  • memberikan pendidikan dan kempen tentang golongan OKU di setiap peringkat
  • menyediakan peruntukan khas bagi perkembangan dan kesejahteraan golongan OKU

Baca juga: Cara Kira Bilangan Patah Perkataan Dalam Karangan Bahasa Melayu

Contoh Karangan Usaha-Usaha Membantu Golongan OKU

Pendahuluan

Orang kurang upaya boleh didefinisikan sebagai seseorang yang mengalami kekurangan atau kecederaan kekal fizikal atau kecacatan mental yang mempunyai kesan jangka panjang ke atas keupayaannya untuk melakukan aktiviti seharian secara normal. Golongan ini mempunyai spektrum ataupun jenis yang besar dan terdapat kategori tertentu dalam menentukan kekurangan upaya mereka. Orang kurang upaya tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang mereka hadapi. Walaupun banyak kekurangan yang mereka hadapi, golongan kurang upaya ini tidak harus dipinggirkan kerana mereka juga turut mampu memberi sumbangan kepada kita khususnya dan negara amnya. Persis peribahasa, tidak memandang bulu, tidak melihat rupa dimana bersikap adil adalah nilai murni yang harus diterapkan oleh setiap ahli masyarakat. Oleh itu, wajar untuk kita mengenal pasti usaha-usaha yang dapat dikerahkan bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Isi 1

Prakarsa utama dalam membantu golongan OKU adalah dengan membuka mata masyarakat akan keistimewaan yang dimiliki oleh OKU. Kita harus mengubah stigma masyarakat yang berpendapat golongan OKU ini hanya menyusahkan dan tidak dapat menyumbang apa-apa ke arah kebaikan. Persepsi yang tirus ini harus diubah di mana golongan OKU memerlukan bimbingan yang betul dan sesuai dengan keadaan mereka sebelum mereka memahami sesuatu perkara dan mampu mempelajari susuatu yang dapat memeberi nilai kepada diri mereka. Tamsilnya, atlet pecut paralimpik negara Mohamad Ridzuan Puzi, yang berjaya mendapat pingat emas di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro 2016 adalah bukti kemampuan golongan ini yang mampu mengharumkan nama negara di mata dunia. Begitu juga atlet-atlet paralimpik negara yang lain seperti Mohamad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly yang berjaya memecahkan rekod dunia di kejohanan yang mereka sertai. Semoga kejayaan atelet paralimpik negara ini menjadi contoh terbaik kepada masyarakat bahawa golongan OKU ini mampu berdiri sama tinggi dengan manusia yang normal dan sempurna fizikal dan mental.

Isi 2

Usaha lain yang dapat dijakankan untuk membantu golongan OKU ini mendapat tempat dalam masyarakat adalah dengan memberikan peluang pendidikan serta latihan kemahiran yang sesuai dengan kemampuan mereka. Dewasa ini, terma autisme menjadi topik utama perbualan golongan ibu bapa kerana kadar golongan kanak-kanak yang menghadapi keistimewaan ini semakin bertambah. Kekurangan upaya yang berkaitan perkembangan mental boleh dirawat dan berpotensi untuk pulih dan mampu melakukan aktiviti-aktiviti normal seperti manusia biasa. Golongan ini hanya memerlukan pendidikan secara bersemuka pada tempoh yang tertentu mengikut tahap kemampuan mereka. Oleh itu, usaha pihak kerajaan dalam memperkenalkan jurusan yang khusus dalam pendidikan khas di institusi pengajian harus disokong sebagai langkah memebantu golongan ini. Pihak swasta juga boleh mengusahakan pusat-pusat terapi dan pembelajaran bagi golongan OKU ini dimana ia adalah keperluan masyarakat hari ini. Pihak koporat juga seharusnya menyumbang kepada inisiatif dalam memberi pendidikan kepada golongan OKU sebagai tanggungjawab sosial koporat mereka.

Isi 3

Selain itu, kerajaan juga boleh menggalakkan masyarakat dan agensi kerajaan untuk mengambil golongan OKU sebagai pekerja dalam syarikat dan agensi masing-masing. Misalnya, rantaian restoran makanan segera di Malaysia telah pun mengambil golongan OKU sebagai pekerja mereka di cawangan tertentu dan membuktikan golongan ini mampu bekerja untuk menyara kehidupan mereka sendiri. Pihak majikan perlu memberikan latihan kepada pekerja mereka dalam kemahiran bahasa isyarat supaya mereka dapat berkomunikasi dan mengambil pekerja daripada golongan yang bisu dan pekak. Rentetan itu, kita sebagai pelanggan juga harus mempunyai kemahiran dalam bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan pekerja di restoran tersebut supaya tidak menjadi seperti  Maka, sekarang adalah waktu yang sesuai untuk menjadikan bahasa isyarat satu topik yang wajib dipelajari dalam modul pendidikan negara kita agar masyarakat hari ini dan generasi akan datang menjadi masyarakat yang berkebolehan tinggi dalam komunikasi serta mampu menghargai dan mengangkat golongan OKU bersama-sama ke arah kemajuan sejagat.

Isi 4

Akhir sekali, dalam meraikan golongan OKU ini, pihak kerajaan terutamanya perlu menyediakan infrastruktur yang mesra OKU supaya mereka mudah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kemudahan seperti tempat duduk OKU, parkir khas OKU dan lif-lif di setiap bangunan samada bangunan awam mahupun bangunan persendirian dapat membantu memudahkan golonan OKU ini untuk bekerja ataupun memanfaatkan kemudahan awam. Justeru, masyarakat perlu peka dan cakna akan kehadiran golongan OKU di sekeliling mereka dan sentiasa menawarkan bantuan sekiranya mereka memerlukan. Sikap menggunakan lif di pusat membeli-belah yang semakin menjadi polemik masyarakat hari ini perlulah diutamakan untuk golongan OKU, warga tua dan mereka yang membawa anak-anak kecil. Kita sebagai manusia yang sempurna fizikal ini perlu mempunyai minda yang murni dan bersyukur atas nikmat yang kita peroleh dengan sentiasa memberikan keutamaan kapada kemudahan seperti parkir dan lif untuk kegunaan golongan seperti OKU terutamanya. Situasi ini harus menjadi contoh dan boleh dijadikan iklan di media massa dalam menerapkan nilai toleransi terhadap golongan yang memerlukan dalam minda masyarakat kita hari ini.

Penutup

Tuntasnya, pelbagai usaha boleh dimanifestasikan dalam membantu golongan OKU supaya mereka mampu berdiri di atas kaki sendiri dan duduk sama tinggi dengan setiap ahli masyarakat. Pada hemat saya, setiap kehidupan yang dilahirkan dimuka bumi ini mempunyai potensi dan tujuan yang mampu memberi kebaikan kepada sesiapa sahaja. Terpulang kepada kita untuk mencari cara dan fungsi yang sesuai untuk diterapkan dan diperkenalkan kepada golongan OKU ini terutamanya agar manfaat bersama dapat dicapai. Semua pihak memainkan peranan penting dalam membela nasib dan masa depan golongan OKU kerana mereka juga berhak untuk berjaya dan rasa dihargai oleh keluarga, masyarakat dan negara. Saya percaya rakyat Malaysia mengenali peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang bermaksud permuafakatan dalam mengerjakan sesuatu serta sama-sama menanggung susah dan senang.