Karangan
Langkah-Langkah Mengelakkan Keracunan Makanan
Pelbagai topik dan isu yang boleh menjadi soalan dalam penulisan karangan Bahasa Melayu. Penulisan karangan menguji kemahiran pelajar-pelajar dalam memberikan idea berkenaan soalan dan daya kreatif pelajar dalam menghuraikan isi yang telah mereka berikan. Penulisan karangan yang cemerlang memerlukan latihan yang banyak dan bimbingan yang baik daripada guru.
Keracunan makanan adalah antara topik yang sering dibincangkan dan menjadi tajuk soalan dalam karangan Bahasa Melayu. Hal ini kerana ia berkait dengan para pelajar dan mungkin mereka pernah hadapi di sekolah. Berikut adalah contoh karangan mengenai langkah-langkah mencegah keracunan makanan sebagai panduan dan rujukan untuk para pelajar.
Isi Kandungan
Langkah-Langkah Mencegah Keracunan Makanan
Isi-isi penting
- mendidik cara mengenal pasti ciri-ciri makanan yang tidak boleh dimakan
- memastikan penyediaan makanan bersih
- membawa bekalan dari rumah
- pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa
- kebersihan diri sebelum menjamu selera
- melancarkan kempen kesedaran tentang keracunan makanan
Contoh Karangan Langkah-Langkah Mencegah Keracunan Makanan
Pendahuluan
Kebelakangan ini, kes keracunan makanan dalam kalangan pelajar di sekolah mendapat liputan yang luas di media dan televisyen. Keracunan makanan bukan sahaja berlaku di sekolah malahan di rumah juga. Pelbagai punca yang menyebabkan keracunan makanan berlaku antaranya berpunca daripada makanan itu sendiri, sumber luaran atau daripada orang yang memakan makanan tersebut. Peribahasa Melayu berkata, hanya jauhari mengenal manikam yang bermaksud hanya orang yang bijaksana arif tentang sesuatu perkara. Maka, marilah kita mengenali langkah-langkah dalam mencegah keracunan makanan agar terhindar daripada padahnya.
Isi 1
Langkah pertama adalah dengan mengenal pasti makanan yang ingin kita makan melalui rupa, bau dan rasa. Langkah ini adalah mustahak terutamanya untuk kanak-kanak kecil yang berselingah dalam bab keracunan makanan. Dari segi rupa, apabila membeli makanan mentah seperti ikan, kita perlu pastikan kulitnya bersinar dan berwarna terang dan tidak diselaputi oleh lendir yang tebal Matanya pula cerah dan tidak tenggelam. Makanan yang berbau hamis dan meloyakan sewajarnya tidak dimakan dan mempunyai risiko tinggi jika dimakan juga. Ibu bapa juga boleh mengajar anak-anak bagaimana rasa sesuatu makanan atau minuman yang telah basi kerana sebagai contoh di sekolah terdapat program susu percuma dan ia bergantung kepada celik akal anak-anak kecil ini untuk mengelakkan diri mereka daripada keracunan makanan.
Isi 2
Seterusnya adalah dari segi penyediaan makanan dimana kebersihan dapur, pengusaha kantin atau restoran dan tukang masak berperanan dalam mengelak daripada keracunan makanan berlaku. Makanan yang dijamu atau dijual hendaklah dimasak sempurna seperti daging akan berwarna perang di bahagian dalamnya dan ikan yang telah dimasak mesti mudah dipisahkan isi dari tulang serta tidak berwarna merah jambu. Alatan memasak juga hendaklah sentiasa dibersihkan sebelum memasak dan selepas memasak. Cara menyimpan makanan mentah juga perlu mengikut cara penstoran yang tepat sepertiĀ ikan dan daging disimpan pada suhu yang rendah dan menutup atau membungkus bahan makanan yang ingin disimpan dengan baik. Intihannya banyak perkara perlu diambil serius dalam penyediaan makanan agar ia tidak tercemar daripada keracunan.
Isi 3
Selain itu, tindakan yang boleh diambil bagi mengelakkan keracunan makanan adalah dengan menyediakan makanan kita sendiri di rumah dan membawanya ke sekolah atau tempat kerja sebagai bekalan. Ramai di antara kita hari ini sibuk dalam pekerjaan sehinggakan hal pemakanan ini diambil mudah dengan membeli makanan di restoran kerana kekangan masa. Apabila terkena keracunan makanan atau jatuh sakit barulah kita sedar dan mula mengambil tahu tentang pemakanan yang merupakan lumrah kehidupan seorang manusia. Bak kata peribahasa Melayu, sediakan payung sebelum hujan yang bermaksud kita seeloknya bersedia dalam segala perkara sebelum terkena kejadian yang tidak kita ingini. Dengan menyediakan makanan dari rumah kita dapat memastikan makanan kita bersih, disimpan dan dimasak dengan sempurna dan bebas daripada unsur-unsur keracunan.
Isi 4
Seterusnya, langkah dalam mencegah keracunan makanan adalah dengan pemerkasaan pemantauan dan penguatkuasa daripada pihak berkuasa. Kementerian Kesihatan Malaysia telah pun mempunyai Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) yang berperanan untuk memastikan keselamatan makanan dan mempertingkatkan keselamatan dan kualiti makanan melalui tanggungjawab dan akauntabiliti bersama berasaskan sistem pengurusan yang berkesan. BKKM akan memantau dan meletakkan gred kepada pengusaha makanan dalam tahap kebersihan dan kualiti penyediaan makanan mereka. Sistem pengredan ini mampu menjadi medium utama dalam mengelak keracunan itu berlaku. Jadi, ia bergantung kepada kita sebagai pelanggan untuk memastikan restoran atau kantin di sekolah mendapat gred yang terbaik agar kita terhindar daripada keracunan makanan. Kekerapan pemantauan dan penegasan dalam tindakan dan denda kepada pengusaha yang gagal mematuhi arahan hendaklah diperkasakan dengan lebih lagi supaya rakyat mendapat manfaat daripada tindakan tersebut.
Penutup
Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu menggembleng ilmu dan tenaga dalam mengatur langkah holistik bagi mencegah keracunan makanan. Usaha ini hendaklah dilaksana secara berterusan seperti pahat dengan penukul yang bermaksud setiap pihak saling bantu membantu dalam merealisasikan sesuatu perkara. Lumrah manusia dalam melakukan kesilapan atau kecuaian tetapi kita hendaklah sentiasa memastikan diri kita menjalankan tugas dengan betul agar kecuaian atau kesalahan itu dapat diminimakan. Dengan mengurangkan kes-kes keracunan makanan, kita dapat melahirkan masyarakat yang cakna dalam kebersihan bukan sahaja pada makanan malah kebersihan secara menyeluruh. Persekitaran yang bersih menjamin kesihatan yang mapan dan rakyat dapat hidup sejahtera dan harmoni.