Karangan

Kejayaan Malaysia Di Peringkat Antarabangsa Dalam Pelbagai Bidang

Untuk menguji tahap penguasaan bahasa para pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, ujian penulisan karangan telah diadakan. Selain dapat menguji tatabahasa pelajar, penulisan karangan juga dapat menguji pengetahuan am pelajar berkenaan isu semasa dan informasi yang berkaitan. Sebagai rujukan kepada pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Umum mengetahui bahawa Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan dalam bidang-bidang tertentu sehingga menjadi bualan masyarakat dunia. Berkenaan tajuk ini, pelajar hendaklah menyatakan contoh yang tepat dengan isi penting yang diberikan kerana ia merupakan fakta dan tiada tokok tambah diperlukan. Tambahan pula, pelajar pasti dapat menyenaraikan ikon-ikon yang sinonim dengan kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa.

peta minda kejayaan malaysia di peringkat antarabangsa Kejayaan Malaysia Di Peringkat Antarabangsa Dalam Pelbagai Bidang

Kejayaan Yang Dicapai Oleh Malaysia Dalam Pelbagai Bidang Di Peringkat Antarabangsa

Isi-isi penting

  • Kejayaan atlet-atlet negara bertanding di peringkat dunia
  • Kemampuan industri automotif tempatan bersaing di peringkat antarabangsa
  • Pencapaian pelajar dan ahli akademik negara
  • Kejayaan syarikat penerbangan tambang murah
  • Diiktiraf antara pusat pelancong dunia
  • Menghantar angkasawan ke Pusat Aeroangkasa Antarabangsa

Baca juga: Cara Menangani Masalah Mat Rempit

Contoh Karangan Kejayaan Malaysia Di Peringkat Antarabangsa

Pendahuluan

Sejak mengecapi kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia telah berkembang maju dan pesat disamping mengekalkan kemakmuran rakyat yang berbilang kaum dan agama. Kemajmukan masyarakat yang dimiliki oleh kita menjadi keraguan kepada segelintir masyarakat dunia untuk melihat kita mencapai kemajuan seperti negara-negara asing yang lain. Namun setelah enam dekad melaungkan kata keramat merdeka pada hari kebangsaan, Malaysia telah berjaya mencapai pelbagai kemajuan dalam pelbagai industri yang diceburi. Semuanya adalah hasil usaha anak tempatan yang tidak mengenal erti putus asa dan penat lelah demi mengharumkan nama negara di mata dunia. Situasi ini juga membuktikan bahawa anak watan mempunyai potensi yang baik dalam menggamit kejayaan di peringkat antarabangsa sekiranya dibimbing dan mendapat sokongan yang sebaiknya daripada keluarga, masyarakat dan juga negara. Bagi menyokong kenyataan bahawa Malaysia dikenali oleh segenap masyarakat di dunia, mari kita bincangkan kejayaan-kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Isi 1

Antara kejayaan yang berjaya menaikkan nama Malaysia di persada dunia adalah, kejayaan atlet-atlet negara bertanding dan memenangi kejohanan di peringkat dunia. Tamsilnya, Dato’ Lee Chong Wei dan Dato’ Nicol Ann David telah menjadi juara dunia di dalam sukan yang disertai oleh mereka iaitu sukan badminton dan skuasy. Kebolehan anak tempatan dan juga jurulatih yang berwibawa merangkul kejuraan dunia dan mengekalkan pencapaian tersebut dalam tempoh masa yang lama menjadi bualan dan polemik masyarakat dunia. Semangat dan konsistensi yang ditunjukkan oleh mereka dalam setiap kejohanan yang disertai menjadi pendorong kepada atlet lain untuk berjaya. Pemerhati sukan di serata dunia turut membincangkan formula yang digunakan untuk melahirkan atlet juara dunia yang berjaya dilahirkan di tanah air ini. Sehingga hari ini, kita mempunyai atlet-atlet yang bertanding di peringkat dunia hasil usaha yang dijalankan di peringkat akar umbi dalam mencari bakat dan memberi bimbingan yang tepat kepada mereka. Kesannya, industri sukan negara semakin berkembang maju dan memberikan impak yang positif kepada masyarakat tempatan malahan menaikkan mutu sukan negara.

Isi 2

Di samping itu, Malaysia juga dikenali di seluruh dunia kerana kemampuan industri automotif tempatan bersaing di peringkat antarabangsa. Menerusi syarikat minyak dan gas multinasional negara iaitu Petronas, negara Malaysia telah berjaya menguruskan dan menjadikan sumber mentah yang dimiliki oleh negara sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara. Petronas telah menceburi bidang permotoran dengan menaja sebuah pasukan Formula Satu untuk bertanding di perlumbaan permotoran utama di dunia. Hasilnya, jentera yang mempunyai logo Petronas telah menjadi juara dunia sebanyak enam kali berturut-turut. Selain itu, syarikat pengeluar kereta tempatan Proton dan Perodua juga berupaya menghasilkan kereta-kereta dengan spesifikasi yang menandingi kereta keluaran asing. Kejayaan ini dibuktikan dengan jumlah jualan yang sangat memberansangkan secara domestik di samping hasil eksport yang meningkat dari tahun ke tahun. Natijahnya, industri automotif negara bukan sahaja mengharumkan nama negara malah menyumbang kepada unjuran ekonomi negara secara konsisten.

Isi 3

Kejayaan lain yang dicapai oleh warganegara Malaysia di peringkat antarabangsa adalah kejayaan para pelajar serta ahli akademik negara dalam bidang yang mereka ceburi. Tidak dinafikan bahawa anak watan kita mempunyai kepintaran dan kebijaksana yang sama seperti masyarakat lain di dunia jika diberi peluang dan sokongan yang betul. Penawaran biasiswa kepada anak-anak muda yang berpotensi tinggi untuk mengikuti program pengajian di universiti terkemuka dunia membuahkan hasil yang bermanfaat kepada negara. Hal ini demikian kerana seteleh mereka menamatkan pengajian, golongan cendiakawan ini akan menjadi tenaga kerja mahir yang sangat bernilai kepada negara. Manakala sebahagian daripada mereka menempa nama di peringkat antarabangsa dengan kejayaan dalam bidang akademik. Misalnya, Dr Magaret Sivapragasam yang merupakan saintis pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Kimia Dunia dan Muhamad Saiful Hakimi Daud yang merupakan pemegang biasiswa Jabatan Pekhidmatan Awam (JPA) di mana beliau mendapat anugerah pelajar terbaik dalam bidangnya di Pennsylvania State University. Izharnya, ramai lagi ahli akademik kita yang mengharum nama negara di persada antarabangsa dan setiap pihak harus menghargai serta memberi perhatian yang lebih berbanding ahli politik dan selebriti.

Isi 4

Akhir sekali, kejayaan yang meletakkan nama Malaysia sebaris dengan negara-negara asing yang lain di dunia adalah kemunculan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia. Penjenamaan semula syarikat tersebut telah mengubah industri penerbangan dan landskap pelancongan bukan sahaja di Malaysia malah di serata Asia. Keupayaan syarikat tersebut menggunakan strategi pemasaran yang berkesan telah membuatkan masyarakat tempatan untuk melancong ke kawasan-kawasan tumpuan pelancong di serata Asia. Hasilnya, syarikat penerbangan tersebut telah memenangi anugerah syarikat penerbangan tambang murah terbaik di dunia selama 11 tahun berturut-turut. Industri pelancongan tempatan juga mendapat tempias yang sangat membanggakan kepada mereka. Hal ini disebabkan oleh harga penerbangan yang murah telah meningkatkan kadar pelancong berkunjung ke kawasan-kawasan yang sukar mendapat pelancong sebelum ini. Ibarat pepatah Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Intihannya, kita perlu bersikap berani untuk mencuba sesuatu yang baharu jika kita yakin ia dapat memberikan pulangan yang berharga kepada diri, masyarakat dan juga negara.

Penutup

Sebagai kesimpulan daripada perbincangan di atas, pelbagai kejayaan yang telah digapai oleh anak-anak tempatan dalam bidang yang mereka ceburi. Hasil usaha mereka seharusnya dihargai dan mendapat perhatian yang secukupnya oleh masyarakat tempatan supaya menjadi pengajaran dan pembakar semangat untuk menjadi seorang yang lebih berjaya. Persis peribahasa Melayu, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Pencapaian luar biasa dalam industri sukan, permotoran, akademik serta pengangkutan yang ditunjukkan telah menaikkan imej negara di persada dunia seperti ungkapan pepatah, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Oleh itu, setiap pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam memastikan masyarakat di Malaysia mendapat pendidikan dan kebajikan yang terbaik supaya pelbagai lagi kejayaan lain yang mampu dicapai oleh anak watan demi mengharumkan nama ibu pertiwi.