Karangan

Langkah-Langkah Mengurangkan Kesan Pemanasan Global

Adakah anda mencari contoh-contoh karangan Bahasa Melayu  bagi membuat rujukan dan latihan tambahan? Sekiranya ya, anda boleh melihat contoh seperti di bawah yang merangkumi pendahuluan, isi-isi penting dan penutup. Sebagai rujukan pelajar, berikut adalah contoh karangan langkah-langkah mengatasi kesan pemanasan global.

Contoh karangan yang dikongsikan di bawah memerlukan pemikiran yang kreatif dan kritis pelajar bagi menghasilkan penulisan yang cemerlang. Pelajar juga digalakkan untuk menambah simpulan bahasa atau peribahasa yang menarik dan tepat dengan maksud huraian yang ingin disampaikan oleh pelajar. Ia merupakan antara teknik atau kaedah untuk mendapatkan penulisan karangan Bahasa Melayu yang cemerlang serta mendapat perhatian daripada guru masing-masing.

peta minda langkah mengurangkan kesan pemanasan global Langkah-Langkah Mengurangkan Kesan Pemanasan Global

Langkah-Langkah Mengatasi Kesan Pemanasan Global

Isi-isi penting

  • Menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui
  • Pembangunan lestari
  • Menanam pokok dengan lebih banyak
  • Mengamalkan kitar semula
  • Mendidik tentang kesan pemanasan global
  • Penguatkuasaan undang-undang

Baca juga: Kesan-Kesan Akibat Peningkatan Cuaca Kepada Alam Sekitar

Contoh Karangan Langkah-Langkah Mengurangkan Kesan Pemanasan Global

Pendahuluan

Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin melangkaui kemampuan akal fikiran manusia dalam mendepani teknologi hari ini. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat. Pertumbuhan pembangunan, perindustrian dan ketamadunan bagai cendawan tumbuh selepas hujan telah meninggalkan kesan-kesan yang negatif kepada alam yang kita huni. Antaranya adalah kejadian pemanasan global yang mengancam alam sekitar dimana berlaku pembakaran hutan, pencairan litupan salji dan glasier serta kenaikan suhu dunia. Oleh itu, semua pihak perlu melakukan anjakan paradigma bagi melaksanakan langkah-langkah untuk mengurangkan kesan pemanasan global hari ini.

Isi 1

Prakarsa utama yang perlu dilaksanakan secara menyeluruh adalah penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Kebanyakan sumber tenaga yang digunakan untuk menjana tenaga elektrik hari ini adalah berasaskan arang batu dimana penghasilannya memerlukan penggunaan haba yang banyak. Disebabkan kosnya yang rendah, kebanyakan negara masih lagi bergantung kepada sumber tenaga yang menyumbang kepada pemanasa global ini. Justeru, pelbagai kajian dan perkembangan telah dilakukan oleh ahli pemikir dan pucuk pangkalnya, perlaksanaan menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui di sesebuah negara bergantung kepada pembuat polisi negara tersebut. Sumber tenaga baharu seperti tenaga solar, angin dan hidro-elektrik adalah sumber yang kekal dan mampu untuk digunakan sepanjang masa tanpa menghasilkan sisa-sisa yang mencemar alam sekitar. Kesannya, pemanasan global dapat dikurangkan dalam kadar yang drastik jika kebanyakan negara mengubah sistem sumber tenaga mereka kepada sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Isi 2

Selain itu, setiap pembangunan yang bakal atau sedang dilaksanakan hendaklah dibangunkan secara lestari. Pembangunan lestari adalah prinsip penganjuran untuk memenuhi matlamat pembangunan manusia pada masa yang sama mengekalkan keupayaan sistem semula jadi untuk menyediakan sumber asli dan perkhidmatan ekosistem berdasarkan ekonomi dan masyarakat. Hal ini bersangkut-paut dengan pemanasan global yang semakin kritikal jika kita tidak bertindak. Persis kata mutiara, mencegah lebih baik daripada merawat.  Sebagai contoh, pemaju dan agensi pembinaan perlu mengetengahkan bahan binaan yang menggunakan bahan organik dan kitar semula. Tambahan pula, binaan bangunan baharu harus dibina dengan pengudaraan yang semula jadi serta memperuntukkan kawasan atau tempat untuk menanam pokok atau menjalankan pertanian bandar. Langkah-langkah yang dianggap remeh ini adalah penting bagi menyumbang kepada mengurangkan kesan pemanasan global terhadap alam sekitar yang kita nikmati dini hari.

Isi 3

Seterusnya, langkah bagi mengurangkan kesan pemanasan global adalah dengan menanam pokok dengan lebih banyak. Sejak dua tiga dekad yang lepas, kerakusan manusia menebang pokok dan menjarah bukit-bukau tanpa memikirkan kesannya pada masa kini. Sebagai manusia, kita perlu sentiasa maju ke hadapan tetapi pada alaf baharu ini kita perlu sedar dan menitik beratkan pelbagai aspek terutamanya alam sekitar. Justeru, sekiranya sesebuah pembangunan itu berlaku sehingga memerlukan pembalakan dan penghapusan hutan, langkah alternatif perlu dilaksanakan bagi mengganti sumber alam yang dimusnahkan. Oleh itu, penanaman semula di hutan-hutan yang terlibat dengan pembalakan perlu dijalankan dengan optimum dan berkesan. Bagi penduduk kawasan bandar pula, pelbagai alternatif seperti pertanian bandar yang membolehkan anda bercucuk tanam di halaman rumah sendiri. Pokok merupakan ciptaan tuhan yang bernilai dan kita tidak mampu menciptakan hasil yang sama sepertimana pokok berfungsi. Oleh itu, kempen penanaman pokok perlu diperluas dan dilaksanakan dengan lebih kerap.

Isi 4

Akhir sekali, kesan pemanasan global dapat dikurangkan sekiranya kita mengamalkan kitar semula. Pertumbuhan penduduk dan pengguna yang semakin menambah permintaan pengeluaran produk baharu dari hari ke hari perlu dibendung. Hampir keseluruhan produk yang kita gunakan hari ini seperti pakaian, gajet dan sumber tenaga menyumbang kepada pemanasan global dalam proses pembuatan. Amalan kitar semula dapat menyelamatkan sumber seperti pokok yang dibazirkan semata-mata untuk menghasilkan pakaian yang dipakai setahun sekali. Pelbagai jenama besar seperti pengeluar jenama kasut antarabangsa, Adidas dan Nike telah pun menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan kasut dan produk mereka daripada barangan kitar semula. Langkah ini secara tidak langsung membuka mata masyarakat yang berpandangan sarwa terhadap isu pemanasan global dan alam sekitar.

Penutup

Sebagai penutup bicara, pelbagai langkah-langkah yang signifikan perlu diambil oleh semua pihak bagi membendung pemanasan global. Isu ini bukan lagi merupakan satu isu yang ringan kerana ia banyak mendatangkan mudarat kepada semua hidupan di muka bumi ini dan manusia adalah tidak terkecuali. Sebaliknya, kita perlu ingat bahawa isu ini semuanya berpunca daripada perbuatan kita sendiri yang lebih mementingkan keuntungan, keseronokan dan keselesaan duniawi yang berlebihan dan sebagainya. Intihannya, setiap pihak perlu menggembleng tenaga bagi menjalankan mekanisme terbaik dalam mengekalkan simbiosis antara pemeliharaan alam sekitar dan kemajuan dalam pembangunan ketamadunan manusia sejagat.