Karangan

Usaha Dan Cara Membentuk Jati Diri Pelajar

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Mata pelajaran Bahasa Melayu mempunyai soalan berkaitan penulisan karangan. Ianya terdiri daripada pelbagai tema dan tajuk yang berpotensi menjadi soalan bagi para pelajar. Oleh itu, pelajar digalakkan untuk mencari contoh-contoh karangan yang terdiri daripada pelbagai tema dan tajuk sebagai persediaan sebelum menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu. Sebagai panduan untuk pelajar, berikut adalah contoh karangan cara-cara membentuk jati diri pelajar.

Untuk makluman pelajar, penulisan karangan yang baik lazimnya mempunyai struktur yang seimbang daripada bahagian pendahuluan, isi-isi penting dan juga penutup. Huraian yang tepat berkenaan isi yang diutarakan serta penggunaan frasa menarik seperti peribahasa dan penanda wacana membantu dalam mendapatkan pemarkahan yang cemerlang. Anda juga dinasihatkan untuk sentiasa mendapatkan bimbingan daripada guru-guru supaya tidak lari daripda kehendak soalan yang diberikan.

peta minda cara cara membentuk jati diri pelajar

Usaha-Usaha Dan Cara-Cara Membentuk Jati Diri Pelajar

Isi-isi penting

  • Peranan ibu dan bapa dalam menunjukkan tauladan terbaik
  • Peranan guru dalam memastikan pematuhan disiplin dan peraturan
  • Peranan kerajaan dalam melaksanakan dasar pendidikan yang berkesan
  • Peranan media massa membudayakan nilai-nilai murni
  • Kepentingan didikan agama dan moral
  • Menghargai pencapaian pelajar

Baca juga: Contoh-Contoh Karangan SPM Bahasa Melayu Terbaik

Contoh Karangan Cara-Cara Membentuk Jati Diri Pelajar

Pendahuluan

Jati diri adalah sifat atau ciri yg unik dan istimewa yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu. Ia dibentuk berdasarkan pengaruh keluarga, agama dan budaya masyarakat setempat yang didiami oleh individu tersebut. Menurut peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang bermaksud bagi membentuk sesuatu hendaklah bermula sebelum umurnya mencapai kematangan. Oleh sebab itu, para pelajar terutamanya murid di sekolah rendah merupakan kumpulan sasar dalam membentuk jati diri supaya menjadi insan yang berguna pada diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Jika diamati, pelajar adalah khazanah yang berharga kepada negara secara amnya kerana merekalah yang akan menggantikan pemimpin negara dan menjadi penentu kejayaan negara dalam era yang serba mencabar akal dan minda ini. Justeru, kita seharusnya mengkaji dan melaksanakan cara-cara membentuk jati diri pelajar supaya menjadi generasi yang lebih baik daripada generasi hari ini.

Isi 1

Antara cara yang sepatutnya diamalkan bagi membentuk jati diri pelajar bermula dengan ibu dan bapa yang menunjukkan tauladan terbaik kepada anak-anak. Pendidikan bermula dari rumah adalah frasa yang menjadi polemik golongan ibu dan bapa hari ini kerana anak-anak merupakan cerminan sifat dan ragam ibu dan bapa di rumah. Bak kata peribahasa, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Oleh itu, ibu dan bapa telah dipertangggungjawabkan dengan amanah dari Tuhan apabila mereka dikurniakan zuriat untuk mendidik anak-anak dengan tauladan terbaik. Misalnya, anak-anak melihat ibu dan bapa menghormati datuk dan nenek mereka, pasti anak-anak akan mengikut jejak langkah ibu dan bapa mereka untuk menghormati orang yang lebih tua daripada mereka. Nilai ini adalah mustahak kerana tempiasnya akan diterima oleh para guru di sekolah dan mereka akan berasa tenang untuk mengajar anak murid yang pandai menghormati guru-gurunya. Intihannya, segala nilai murni dan tauladan yang ditunjukkan oleh ibu dan bapa ketika bersama anak-anak akan membentuk jati diri mereka bagi menghadapi rutin harian mereka sama ada di sekolah mahupun di tempat lain.

Isi 2

Di samping itu, pembentukan jati diri pelajar boleh dilaksanakan dengan guru memainkan peranan dalam memastikan pelajar mematuhi peraturan di sekolah. Institusi pendidikan seperti sekolah merupakan tunas pembentukan masyarakat kerana asas kemahiran manusia seperti membaca, mengira dan menulis dipraktikkan dengan ilmu-ilmu lain. Justeru, sekolah memerlukan peraturan supaya para pelajar patuh dan mudah untuk diuruskan kerana jumlah murid lebih ramai berbanding guru. Dengan arahan yang mudah difahami dan penegasan yang tepat, anak-anak murid pasti akan mendengar dan patuh kepada setiap arahan yang diberikan oleh guru. Sebagai contoh, guru memberikan arahan supaya menyiapkan tugasan yang diberi dalam tempoh masa tertentu dan pelajar berjaya mengikut arahan untuk menyelesaikan ugasan yang diberi. Senario ini akan membentuk pelajar yang menepati masa disamping mendengar arahan dengan baik dalam menyelesaikan sesuatu tugasan atau kerja sekolah. Izharnya, pelajar akan didedahkan dengan nilai akhlak baik dan budi pekerti yang mulia untuk disemat dalam diri supaya digunakan apabila menjelang dewasa nanti.

Isi 3

Pada waktu yang sama, jati diri pelajar dapat dibentuk dengan memperkenalkan dasar pendidikan yang berkesan. Perkara ini merupakan peranan Kementerian Pendidikan dalam mengatur kurikulum yang efektif dengan perkembangan pelajar hari ini. Generasi muda mutakhir ini merupakan generasi yang celik teknologi dan banyak bergantung pada gajet dalam aktiviti harian mereka. Demi membina negara yang progesif, setiap industri yang menunjangi ekonomi negara terutamanya sektor pendidikan seharusnya menerima perkembangan teknonolgi seiring dengan perkembangan kebolehan manusia. Maka, pendidikan yang seimbang diantara kurikulum di dalam bilik darjah dan luar bilik darjah perlu dilaksanakan agar pelajar lebih bersedia dalam mendepani cabaran di masa hadapan. Sekiranya pelajar menikmati sistem pendidikan yang ditawarkan, secara tidak langsung jati diri mereka akan bertambah baik kerana ingin mencapai kemuncak pencapaian akademik yang mampu diperoleh. Dengan peluang yang baik ditawarkan di dalam negara, pasti para pelajar akan bersungguh-sungguh untuk memiliki ijazah tertinggi. Kesannya, negara akan mendapat para graduan professional yang ingin menyumbang dan berkhidmat kepada pertumbuhan ekonomi serta kemajuan dalam negara.

Isi 4

Akhir sekali, cara yang boleh diusahakan dalam membentuk jati diri pelajar adalah dengan membudayakan nilai-nilai murni oleh media massa. Kita tidak boleh nafikan bahawa pengaruh media massa memainkan peranan yang besar dalam mencorak budaya masyarakat hari ini. Jika diamati, industri hiburan seperti drama dan filem tempatan kurang menarik perhatian masyarakat kerana menggunakan naratif penceritaan yang hampir sama iaitu berkaitan percintaan dan elemen mistik. Namun, kebangkitan industri animasi tempatan seperti Upin-Ipin dan Ejen Ali memberikan impak yang baik kepada industri hiburan sejak kebelakangan ini. Asimilasi penceritaan yang menerapkan elemen dan budaya tempatan telah menarik perhatian bukan sahaja golongan kanak-kanak malah golongan dewasa menikmati filem dan siri episod yang ditayangkan. Selain itu, selingan iklan atau pesanan khidmat masyarakat juga wajar digalakkan lagi di televisyen dan juga siaran radio. Hal ini demikian kerana ia memberikan peringatan kepada masyarakat tentang nilai-nilai murni yang seharusnya diamalkan oleh semua ahli masyarakat terutamanya para pelajar bagi membentuk jati diri yang kukuh. Persis kata peribahasa Melayu, ingat antara belum kena, hemat antara belum habis.

Penutup

Konklusinya, pelbagai cara perlu digarap bagi membentuk jati diri para pelajar. Pembentukan jati diri adalah penting supaya personaliti terbaik dapat dihasilkan dalam kalangan generasi muda yang akan memacu negara di masa hadapan. Bagi menjana kemajuan negara ke arah pembangunan yang berterusan dan merealisasikan aspirasi kejayaan negara, jati diri generasi muda iaitu para pelajar perlu dibentuk dengan baik. Penglibatan dalam gejala sosial yang semakin merunsing seharusnya dikurangkan dan dibanteras dengan berkesan. Semoga setiap pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjadi tauladan dan para pelajar mendapat inspirasi untuk menjadi insan yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Masyarakat pula harus memberikan ruang dan menyokong aspirasi anak muda yang mampu melestarikan perpaduan dan keharmonian yang berkekalan dalam negara. Kelak pemimpin yang berintegriti dan mempunyai jati diri yang tinggi akan terhasil.