Karangan

Punca Dan Kesan Rasuah Kepada Negara

Topik yang menjadi pilihan guru-guru dalam soalan penulisan karangan Bahasa Melayu selalunya berkait rapat dengan isu semasa. Perubahan pucuk pentadbiran negara telah mendedahkan pelbagai kes-kes rasuah dan pecah amanah yang berlaku ketika pentadbiran terdahulu. Isu yang menjadi bualan ramai boleh dikaitkan kepada para pelajar agar mengambil iktibar daripada perkara yang dipelajari. Maka berikut dikongsikan contoh karangan kesan-kesan rasuah kepada negara.

Para pelajar boleh merujuk isi-isi penting dan contoh karangan di bawah sebagai panduan dalam menghuraikan penulisan karangan yang berkait dengan isu rasuah. Gaya penulisan yang kritis dan kreatif dalam penggunaan bahasa serta keseimbangan isi adalah faktor untuk mendapatkan penulisan karangan yang cemerlang. Pelajar boleh menggunakan penanda wacana dan peribahasa yang sesuai bagi menambah daya tarikan pembaca dalam penulisan karangan masing-masing.

Kesan Buruk Gejala Rasuah Kepada Negara

peta minda kesan kesan rasuah kepada negara Punca Dan Kesan Rasuah Kepada Negara

Isi-isi penting

  • melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi
  • menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi lemah dan huru-hara
  • menjejaskan imej dan kredibiliti negara
  • menjejaskan kualiti infrastruktur atau program
  • pembangunan tidak seimbang dan saksama
  • melahirkan pegawai yang tidak amanah dan gagal dalam pelaksanaan

Baca juga: Cara Kira Bilangan Patah Perkataan Dalam Karangan Bahasa Melayu

Contoh Karangan Kesan-Kesan Rasuah Kepada Negara

Pendahuluan

Dalam meniti kehidupan pada marcapada, kekayaan harta benda semakin menjadi kegilaan manusia sehinggakan sanggup menerima rasuah sebagai pemudah cara dalam mencapai impian mereka. Sifat cemburu dalam manusia adalah fitrah yang tidak dapat kita elakkan tapi kita dianugerahkan dengan fikiran yang waras untuk membezakan sesuatu perkara itu memberikan kebaikan atau keburukan. Gejala rasuah ialah tindakan satu pihak memberikan hadiah atau wang sebagai jaminan kepada apa yang mereka inginkan daripada pihak yang lain tanpa melalui prosedur atau cara yang mengikut peraturan. Duit kopi, simpulan bahasa yang membawa maksud wang sogokan atau memberikan wang secara tidak rasmi kepada seseorang sebagai imbuhan. Oleh itu, duit kopi memberi kesan-kesan negatif kepada negara.

Isi 1

Rasuah mampu melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi kerana timbul unsur penipuan dalam urusan. Sebagai contoh, Pegawai kastam yang bertugas di persempadanan negara menerima wang sogokan untuk melepaskan seludupan rokok murah. Situasi ini berlaku kerana mereka inginkan imbuhan yang lebih dek kerana gaji yang rendah serta mereka juga pembeli rokok murah. Maka kita boleh lihat bahawa organisasi yang sepatutnya menghalang seludupan rokok ini telah merugikan negara sebenarnya kerana ia terlepas dari terkena cukai yang menjadi sumber pendapatan negara. Bak kata peribahasa Melayu, harapkan pegar, pegar yang memakan padi di mana seseorang yang kita berikan amanah telah mengkhianati tanggungjawabnya dalam melaksanakan amanah tersebut.

Isi 2

Selain itu, sekiranya gejala rasuah semakin berleluasa, pentadbiran negara secara keseluruhannya akan terjejas. Segala dasar atau penguatkuasaan menjadi lemah. Pelaksaanaan undang-undang tidak dapat dijalankan secara adil dan boleh menumbangkan ekonomi negara secara amnya. Misalnya, industri pembekalan elektrik negara yang hanya dimonopoli oleh satu entiti separa kerajaan dimana tiada rasuah terlibat tetapi berlaku kepentingan yang kurang baik. Setiap industri hendaklah dibuka kepada semua pemain industri agar berlaku daya saing yang kompetitif sekaligus melahirkan peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi negara. Oleh itu, pembuat polisi negara seharusnya melihat pelaksaan bebas rasuah bukan sahaja di peringkat bawahan malahan di peringkat pemain industri dan syarikat-syarikat multinasional agar pentadbiran negara dapat diuruskan dengan adil dan saksama.

Isi 3

Pada waktu yang sama, rasuah akan menjathkan imej negara di mata dunia. Kemajuan media massa dalam mendapatkan maklumat mengenai segala perkara atau isu yang berlaku dalam sesebuah negara mampu menjadi punca kejatuhan ekonomi negara tersebut. Maka, kita hendaklah sentiasa memastikan tiada kes-kes rasuah agar tidak menjadi bahan berita kepada media internasional dalam melaporkan berita kepada penonton mereka di seluruh dunia. Sekiranya kita terpalit dengan isu rasuah, negara akan kehilangan minat daripada pelabur-pelabur asing kerana mereka tidak percaya akan sistem pentadbiran kita. Apabila kehilangan pelabur maka ekonomi negara akan merosot dan lembap. Dengan itu, pihak kerajaan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memastikan setiap anggota kerja kerajaan menjalankan tigas dengan penuh amanah dan terhindar daripada terlibat dalam gejala rasuah.

Isi 4

Di samping itu, amalan rasuah yang mengaburi mata hati seseorang ini akan membawa kepada kualiti satu infrastruktur atau program terjejas. Contohnya, dalam projek pembinaan jalan raya di mana berlaku rasuah yang melibatkan kontraktor. Mereka hanya mengejar keuntungan dengan menerima projek daripada kerajaan pada nilai pelaksanaan tertinggi tetapi hakikatnya mereka membina jalan raya pada kos yang paling minima demi mengaut keuntungan. Perkara seperti ini yang menyebabkan jalan raya rosak hanya setahun atau kurang daripada tarikh ia dibina dan menjejaskan pengguna serta berlaku pembaziran diperingkat pihak berkuasa tempatan keran terpaksa membaik pulih jalan raya. Hal seperti ini hendaklah di elakkan oleh semua pihak kerana ketulusan dalam pekerjaan kita akan memberi keuntungan bukan pada kita tetapi kepada orang lain yang memanfaatkannya.

Penutup

Akhir kalam, pelbagai kesan negatif yang bakal dihadapi oleh negara yang kita cintai sekiranya gejala rasuah tidak dibendung. Rasuah diibaratkan sebagai anai-anai yang boleh menumbangkan sebuah kerana kerjanya tidak nyata tetapi mampu melumpuhkan sebuah negara. SPRM haruslah menyusun inisiatif dalam mencapai sifar kes rasuah dalam negara kita agar ia menjadi bual berita dunia tentang negara kita. Pihak kerajaan pula sewajarnya mencari cara untuk memperkasa ekonomi dan daya sara diri rakyat agar mereka tidak terpesona dengan rasuah kerana kemampuan mereka dalam mencapai apa yang dikehendaki. Rakyat yang sejahtera dalam ekonomi negara yang sihat akan melahirkan negara yang berdaya saing dan terjaga imejnya di mata dunia.