Karangan

Kelebihan Amalan Gotong-Royong Kepada Masyarakat

Tahukah anda bahawa penulisan karangan Bahasa Melayu memerlukan pelajar memiliki pengetahuan am yang baik? Sekiranya tidak, pelajar perlu memperbanyakkan bacaan serta menonton berita untuk mendapatkan informasi terkini yang mendatangkan manfaat kepada pelajar. Sebagai rujukan kepada semua, di bawah dikongsikan contoh karangan kelebihan amalan gotong-royong dalam masyarakat

Tema atau tajuk soalan berkaitan kemasyarakatan sering menjadi soalan pilihan guru-guru. Objektif disebalik persoalan berkaitan masyarakat adalah pelajar mudah memberikan isi-isi penting serta mengambil pengajaran atau iktibar daripada hasil penulisan yang dikarang. Selain itu, pelajar juga dapat menghuraikan perbezaan antara masyarakat kita dengan masyarakat asing dari negara lain.

peta minda kelebihan amalan gotong royong dalam masyarakat Kelebihan Amalan Gotong-Royong Kepada Masyarakat

Kepentingan Dan Kebaikan Amalan Gotong-Royong Dalam Masyarakat

Isi-isi penting

  • Memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain
  • Memudahkan tugasan atau kerja
  • Menjamin kebersihan persekitaran
  • Mewujudkan persekitaran yang cantik dan teratur
  • Melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab
  • Menjimatkan perbelanjaan dan kos penyelenggaraan

Baca juga: Ciri-Ciri Pekerja Cemerlang Idaman Para Majikan

Contoh Karangan Kelebihan Amalan Gotong-Royong Dalam Masyarakat

Pendahuluan

Gotong-royong merupakan tradisi turun-temurun yang diamalkan oleh masyarakat terdahulu. Amalan ini lazimnya dibuat untuk menjalankan majlis seperti kenduri perkahwinan atau majlis keramaian yang melibatkan komuniti setempat. Namun, dalam meniti arus kemodenan hari ini, amalan gotong royong semakin dilupakan oleh masyarakat konvensional di mana pelbagai manfaat yang mampu diperoleh menjadi kerugian. Tidak dinafikan, perkembangan corak kehidupan masyarakat masa kini lebih ke arah menjana pendapatan tetapi ia tidak menghalang kita untuk tetap mengamalkan gotong-royong di peringkat kecil seperti di taman perumahan dan blok pangsapuri yang kita huni. Peribahasa Melayu berkata, tak basah dek hujan, tak lekang dek panas yang bermaksud warisan tradisi kita seharusnya sentiasa relevan dan diingati oleh masyarakat kita. Oleh hal yang demikian, penting untuk kita mengenali kelebihan amalan bergotong-royong dalam masyarakat.

Isi 1

Antara manfaat prima yang akan diperoleh apabila kita bergotong-royong adalah ia dapat memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain. Umum sedia maklum, Malaysia merupakan negara yang unik di mana pelbagai kaum, bangsa dan agama duduk di bawah satu negara sejak mencapai kemerdekaan. Kemajmukan masyarakat ini perlu diperkukuh dari semasa ke semasa kerana terdapat segelintir daripadanya yang cuba menjadikan perbezaan perkauman dan sebagainya sebagai satu isu tetapi disebaliknya hanya ingin mendapatkan kepentingan diri. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong, kita dapat mengenali jiran tetangga kita dengan lebih baik. Hubungan silaturahim akan terjalin di samping bersama-sama menyiapkan tugasan yang telah diberikan. Persis lagu nukilan artis tempatan, ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bikin muafakat. Intihannya, bergotong-royong dapat mengukuhkan nilai perpaduan antara masyarakat supaya kesejahteraan dan keamanan yang kita kecapi hari ini berkekalan sampai bila-bila.

Isi 2

Di samping itu, amalan bergotong-royong memberikan kelebihan kepada setiap ahli masyarakat kerana ia akan memudahkan tugasan atau objektif yang ingin dicapai. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan untuk membersihkan kawasan persekitaran dewan serbaguna komuniti setempat. Jika setiap diantara ahli komuniti terbabit melibatkan diri bersama-sama melakukan aktiviti pembersihan seperti mengutip sampah dan menyapu dedaun kering, ia pasti dapat diselesaikan dalam masa yang singkat. Maka, secara tidak langsung kita dapat meluangkan masa yang lebih untuk melakukan aktiviti bermanfaat yang lain. Jika dipandang daripada sudut yang lain, kita juga dapat menjimatkan kos perbelanjaan yang digunakan untuk menyelenggara kebersihan kemudahan awam. Ibarat sambil menyelam minum air. Peruntukan yang dijimatkan dapat disalurkan ke arah yang lebih baik seperti pembinaan lorong berbasikal di kawasan tertentu dan juga kemudahan gimnasium di pasang di taman rekreasi untuk penggunaan awam. Kesannya, pelbagai kerja dan manfaat lain yang akan kita peroleh sekiranya sentiasa mengamalkan aktiviti bergotong-royong.

Isi 3

Pada masa yang sama, kebersihan kawasan persekitaran dapat dijamin jika kita kerap menjalankan aktiviti gotong-royong. Endemik denggi semakin hari semakin merunsing fikiran dan ketenteraman masyarakat kita. Nyamuk aedes yang membawa penyakit denggi lazimnya membiak di kawasan takungan air yang lama dan tidak terusik. Dengan adanya aktiviti bergotong-royong, kita dapat bersama-sama pihak berkuasa dalam membanteras pembiakan nyamuk-nyamuk yang menyebabkan berlakunya penularan wabak denggi. Setiap di antara kita perlu sedar bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Janganlah kita bersikap seperti sudah terhantuk baru terngadah di mana apabila sesuatu perkara itu menimpa kita barulah timbul kesedaran untuk melakukan sesuatu tindakan. Justeru, setiap komuniti atau organisasi seperti Rukun Tetangga seharusnya menganjurkan aktiviti gotong-royong di kawasan masing-masing sebagai langkah mengawal dan membanteras segala bentuk ancaman kesihatan kepada masyarakat. Sesungguhnya, mencegah sesuatu perkara adalah lebih baik daripada merawat perkara tersebut.

Isi 4

Melalui kegiatan yang mulia ini, kita juga dapat mewujudkan kawasan persekitaran yang indah, kemas dan teratur. Rumahku syurgaku merupakan satu perumpamaan yang menunjukkan bahawa rumah adalah tempat dimana segala perkara yang bermakna berlaku dan memberi memori yang indah buat kita yang mendiaminya. Sejajar dengan itu, kita seharusnya berusaha sebaik mungkin untuk memelihara kebersihan dan keindahan kawasan persekitarannya dengan mengajak jiran tetangga untuk bergotong-royong. Rumah merupakan keperluan asas setiap manusia dan sudah pasti bagi menjamin keindahan dalam hidup yang kita jalani setiap hari hendaklah bermula daripada rumah kita. Kaajian menyatakan bahawa kejiranan yang berada dalam keadaan bersih, kemas dan teratur melahirkan komuniti yang bahagia dan sejahtera. Tambahan pula, kita sebagai penghuni kediaman akan berasa lebih selamat untuk kekal menetap di kawasan tersebut kerana jiran tetangga kita mempunyai kesedaran atas tanggungjawab yang sama iaitu menjamin kesejahteraan semua. Natijahnya, bergotong-royong dapat memperindahkan lagi kawasan persekitaran kita kerana pemandangan yang indah melahirkan sifat bahagia dan tenteram.

Penutup

Secara tuntas, amalan bergotong-royong sudah semsetinya akan memberikan pelbagai kelebihan kepada masyarakat yang menyertainya dengan aktif. Amalan tradisi nenek dan moyang kita pastinya memeberi seribu satu manfaat kepada kita secara umumnya. Kalau tidak, mengapa mereka mengamalkan pada ketika dahulu. Kini ia terletak kepada kesedaran setiap individu sama ada untuk melibatkan diri dalam aktiviti komuniti atau bersikap endah tak endah. Kita telah simpulkan bahawa dengan aktiviti bergotong-royong yang melibatkan setiap ahli komuniti dapat menjadi agen penyatu antara satu sama lain di samping faedah-faedah lain. Saranan dan galakan daripada pihak seperti Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat seharusnya lebih giat dan menggunakan semua media yang menjadi sasluran informasi masyarakat masa kini. Semoga Masayarakat yang madani dan inteligensia dapat dilahirkan hasil daripada penglibatan dalam aktiviti gotong royong dalam membantu meringankan ujian atau musibah yang melanda negara kita. Bak kata pepatah ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.