Karangan
Cadangan Dan Langkah Memperbaiki Pengangkutan Awam
Topik berkenaan pengangkutan awam merupakan antara topik yang selalu ditanyakan sebagai tajuk soalan karangan bahasa Melayu. Topik ini berkaitan dengan perkembangan negara di mana ia menguji pengetahuan pelajar dan memberikan ruang kepada mereka untuk merencana idea baru dalam penulisan karangan mereka. Berikut adalah contoh karangan langkah-langkah memperbaiki pengangkutan awam di Malaysia sebagai panduan pelajar.
Bagi mendapat markah yang baik dan cemerlang dalam penulisan karangan, para pelajar harus tahu mengimbangkan isi, cara penggunaan tatabahasa dan mengurangkan kesalahan tatabahasa. Topik seperti pengangkutan awam ini boleh dikaitkan dengan nilai masyarakat seperti mengutamakan orang kurang upaya dan juga warga emas. Terpulang kepada pelajar untuk mengolah penulisan karangan masing-masing tetapi perlu menjawab kehendak soalan.
Isi Kandungan
Langkah-Langkah Memperbaiki Sistem Pengangkutan Awam
Isi-isi penting
- mengkaji dan mengenal pasti kawasan yang memerlukan pengangkutan awam
- menguatkuasa undang-undang
- menggunakan tenaga alternatif pada pengangkutan awam
- melancarkan aplikasi pengangkutan awam
- memudahkan cara pembayaran tiket
- mesra orang kurang upaya (OKU) dan warga tua
Baca juga: Kaedah Mengatasi Kemalangan Jalan Raya
Contoh Karangan Langkah-Langkah Memperbaiki Pengangkutan Awam
Pendahuluan
Dalam meniti arus kemodenan ini, perkhidmatan pengangkutan awam negara adalah penting dalam meransang ekonomi negara. Pengangkutan awam boleh didefinisikan sebagai sistem pengangkutan untuk penumpang secara berkumpulan yang tersedia untuk digunakan oleh orang awam. Kebiasaannya dikendalikan mengikut jadual, laluan yang telah ditetapkan dan bayaran akan dikenakan untuk setiap perjalanan. Perkhidmatan pengangkutan awam yang baik bakal memberi manfaat yang banyak kepada rakyat mahupun pelancong asing untuk mengakses destinasi yang ingin dikunjungi dengan mudah. Maka, kita sewajarnya mengenal pasti langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk memperbaiki pengangkutan awam.
Isi 1
Sebagai langkah pertama, pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengurus pengangkutan awam di bandar mahupun negeri hendaklah mengenal pasti dan mengkaji secara berkala kawasan yang betul-betul memerlukan pengangkutan awam. Pembancian dan pengumpulan data maklumat terkini tidak lagi dilihat sebagai cara yang kolot kerana dengan kecanggihan teknologi ia mampu memudahkan proses tersebut dari segi masa dan tahap keberkesanan pembancian. Bak kata peribahasa Melayu, lain dahulu lain sekarang. Kerjasama dengan pegawai perancang bandar dan desa juga hendaklah diperlukan agar laluan pengangkutan awam yang terbaik dapat dirancang dan dilaksanakan. Tahap ketersampaian kawasan awam seperti pasar, sekolah, terminal bas dan bangunan kerajaan akan memudahkan rakyat sekaligus menambah pengguna perkhidmatan pengangkutan awam.
Isi 2
Pada waktu yang sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hendaklah memperketat penguatkuasaan undang-undang ke atas kenderaan pengangkutan awam. Pengangkutan awam di Malaysia tidak terhad kepada inisiatif kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, polisi membuka peluang untuk pengusaha tempatan membina rangkaian pengangkutan awam swasta telah membantu memajukan pengangkutan awam tetapi longgar dari segi peraturan dan pelaksanaan. Misalnya, pengusaha swasta menggunakan kenderaan yang melebihi usia 10 hingga 20 tahun untuk operasi mereka. Tindakan yang tegas hendaklah dilakukan seperti menamatkan permit perusahaan pengangkutan awam. Selain dapat menjaga keselamatan pengguna, langkah ini penting untuk memberikan keselesaan kepada pengguna perkhidmatan pengangkutan awam. Maka, pemberian lesen perusahaan pengangkutan awam sewajarnya diperketatkan dan pemantauan yang kerap daripada pihak berkuasa menjamin kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.
Isi 3
Selain itu, langkah yang boleh dilaksanakan bagi memperbaiki pengangkutan awam adalah dengan menggunakan tenaga alternatif seperti elektrik di setiap kenderaan pengangkutan awam. Hal ini dapat mengelakkan penggunaan petrol yang harganya berdasarkan pasaran dunia dan semakin meningkat dari hari ke hari. Maka, pendekatan alternatif yang menggunakan sumber tenaga lain dan murah adalah langkah terbaik dalam mengurangkan kos perkhidmatan pengangkutan awam. Tambahan pula, terdapat sebuah syarikat tempatan, Eletrik Bas Inovasi Malaysia (EBIM) yang telah berjaya menghasilkan produk bus eletrik menggunakan 100 peratus tenaga kerja mahir tempatan. Mereka hanya memerlukan pelabur dan sumber kewangan yang kukuh untuk melaksanakan produksi berskala besar agar dapat menyumbang kepada pengangkutan awam negara sekaligus mempromosi kemahiran tenaga kerja tempatan ke peringkat global.
Isi 4
Langkah seterusnya adalah dengan melihat kepada golongan yang disasarkan untuk menggunakan perkhidmatan ini iaitu orang awam. Semua orang awam sudah pasti ada telefon pintar masing masing dan ini merupakan kelebihan yang perlu dimanfaatkan pengusaha-pengusaha pengangkutan awam dengan membangunkan aplikasi pengangkutan awam. Sebagai contoh, kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan aplikasi Smart Selangor di mana pengguna aplikasi tersebut dapat menjejaki lokasi sebenar bas percuma yang disediakan. Perkara ini dapat membantu pengguna merancang perjalanan mereka dengan merujuk masa yang dikongsikan oleh aplikasi tersebut waktu jangkaan bas awam akan tiba di perhentian yang diinginkan. Teknologi ini akan menambah keberkesanan perkhidmatan awam serta menyaingi perkhidmatan e-hailing.
Penutup
Kesimpulannya, pelbagai langkah boleh diatur untuk menaik taraf perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini. Sikap yang mementingkan keuntungan dan monopoli dalam perkhidmatan pengangkutan awam hendaklah dielakkan kerana ia merupakan tanggungjawab sosial dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan negara khususnya. Sekiranya perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan lebih berkualiti, kondusif dan konsisten, ia mampu menarik kepercayaan orang awam dan pelancong secara tidak langsung untuk menuju ke destinasi yang mereka rancang. Langkah yang holistik perlu disusun supaya perkhidmatan pengangkutan awam dapat memberi manfaat kepada rakyat dan menjadi model terbaik untuk negara-negara lain.