Karangan

Aktiviti Badan Beruniform Serta Faedahnya (Karangan)

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Perhatian kepada pelajar yang mencari contoh-contoh penulisan karangan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Tahukah anda bahawa terdapat pelbagai tema dan tajuk yang berpotensi untuk menjadi soalan pilihan karangan Bahasa Melayu? Jika tidak, anda digalakkan untuk melakukan latihan tambahan atau rujukan secara atas talian bagi membuat persiapan sebelum menduduki peperiksaan. Sebagai panduan buat pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan aktiviti badan beruniform serta faedahnya.

Penulisan karangan yang baik perlulah mempunyai pemerengganan yang seimbang dan berkesan daripada pendahuluan, isi-isi penting dan penutup. Oleh itu, pelajar harus bijak mengatur idea yang baik dalam menghuraikan penulisan karangan supaya ia mampu menarik perhatian pembaca. Penggunaan frasa-frasa menarik seperti peribahasa dan penanda wacana juga menambah elemen penguasan Bahasa Melayu para pelajar.

peta minda faedah aktiviti badan beruniform

Faedah-Faedah Menyertai Aktiviti Badan Beruniform

Isi-isi penting

  • melahirkan jati diri yang unggul
  • mengasah kemahiran berkomunikasi dan sosial
  • menjalinkan kerjasama antara satu sama lain
  • memberi kecergasan fizikal dan mental
  • menambah ilmu dan kemahiran di luar bilik darjah
  • membentuk disiplin terbaik

Baca juga: Usaha Memajukan Industri Pelancongan Malaysia

Contoh Karangan Aktiviti Badan Beruniform Serta Faedahnya

Pendahuluan

Badan Beruniform adalah kumpulan yang terdiri daripada gabungan keahlian dan mempunyai dasar tertentu untuk dipatuhi. Berdasarkan Warta kerajaan bertarikh 31 Disember 1997, murid di sekolah wajib untuk menyertai mana-mana pasukan badan beruniform seperti Kadet Remaja Sekolah, Kadet Bomba, Kadet Polis dan Pertubuhan Pengakap sebagai aktiviti kokurikulum. Inisiatif ini adalah sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin membentuk murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah. Kini, penglibatan aktif generasi muda dalam badan beruniform daripada peringkat sekolah telah berkembang sehingga ke peringkat universiti. Persoalannya, apakah faedah yang akan diperoleh sekiranya seseorang murid menyertai badan beruniform?

Isi 1

Apabila murid menyertai badan beruniform, mereka akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti di luar bilik darjah seperti berkawad dan mempelajari asas pertolongan cemas. Aktiviti seperti ini secara tidak langsung akan melahirkan jati diri yang unggul dalam kalangan murid. Perkara ini berlaku disebabkan setiap badan beruniform memerlukan penglibatan yang aktif dalam kalangan murid. Mereka akan diamanahkan dengan jawatan atau kedudukan yang mempunyai fungsi bagi menggerakkan aktiviti badan beruniform terbabit. Sebagai contoh, dalam setiap organisasi pasti akan dilantik pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan juga bendahari. Situasi ini akan mendedahkan pelajar kepada amanah dan tanggungjawab yang harus dipikul apabila mereka sudah dewasa kelak dan cakna akan perkara yang seharusnya dilakukan. Persis kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Intihannya, pelajar yang berjati diri unggul dan mempunyai sahsiah yang mantap akan terhasil dengan penyertaan aktif dalam badan beruniform.

Isi 2

Antara faedah lain yang akan diperoleh murid-murid apabila menyertai aktiviti badan beruniform adalah meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan sosial mereka. Mutakhir ini, ledakan teknologi mudah alih dan gajet pintar telah menyebabkan generasi muda cenderung ke arah komunikasi yang pasif. Selebriti dan golongan kaya-raya yang menguasai dunia media sosial telah menjadikan mereka cemburu dan berasa tidak adil sehingga menyebabkan kemurungan. Tambahan pula, perkembangan hiburan dan permainan secara maya telah menjadikan murid-murid untuk tidak bergaul dengan masyarakat secara realiti. Justeru, aktiviti badan beruniform yang melibatkan kumpulan yang ramai antara murid dapat membantu mereka mengasah dan memperbaiki kemahiran berkomunikasi antara satu sama lain. Tamsilnya, aktiviti badan beruniform mencampurkan murid tanpa perbezaan umur atau kelas dan di sinilah di mana mereka akan mengenali dan mempelajari cara bergaul demi menyelesaikan tugas atau objektif aktiviti yang dijalankan. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Isi 3

Seterusnya, penglibatan yang aktif dalam badan beruniform dapat memupuk semangat kerjasama antara murid-murid. Kenyataan ini selaras dengan huraian di atas kerana kebanyakan aktiviti badan beruniform melibatkan kumpulan yang ramai dan dalam mencapai sasaran aktiviti yang dianjurkan, murid perlu bekerjasama dengan rakan sepasukan bagi menempa kejayaan. Misalnya, apabila berkawad, murid yang berada dalam barisan perlu mendengar dan mematuhi arahan yang diberikan oleh ketua masing-masing. Aktiviti yang memerlukan disiplin yang tinggi dalam kalangan murid akan mencabar kebolehan mereka untuk bekerjasama bagi menghasilkan kawad yang teratur dan kemas. Maka, murid perlu membantu antara satu sama lain bagai aur dengan tebing dalam memperbetulkan kesalahan yang dibuat oleh rakan-rakan supaya hasil yang terbaik dapat dipersembahkan. Jelaslah bahawa penyertaan murid dalam badan beruniform dapat membentuk sinergi antara mereka dalam apa sahaja perkara yang bakal mereka lalui pada masa hadapan.

Isi 4

Pada masa yang sama, murid-murid yang menyertai badan beruniform dapat memperkuatkan kebolehan fizikal dan mental mereka. Hal ini demikian kerana, terdapat aktiviti badan beruniform yang menguji kemampuan fizikal dan mental murid-murid. Contohnya, badan beruniform seperti pengakap dan kadet remaja sekolah akan menjalankan aktiviti perkhemahan di dalam hutan. Murid-murid akan belajar cara-cara kelangsungan hidup di dalam hutan seperti membina kawasan berteduh, menghidupkan api dan membaca peta untuk navigasi ke sessebuah lokasi. Kemahiran dan ilmu diluar bilik darjah ini bukan sahaja mencabar minda pelajar malah menguji ketahanan fizikal murid-murid terhadap aktiviti yang disertai. Bak kata pepatah, alah bisa, tegal biasa. Pembelajaran ini penting bagi murid dimana mereka sedang berada dalam fasa pertumbuhan fizikal yang rancak dan akan memberikan kecergasan rohani dan jasmani. Kesannya, generasi muda dan masyarakat yang sihat tubuh badan dapat dilahirkan seterusnya menjamin kesejahteraan hidup komuniti sejagat.

Penutup

Konklusinya, banyak faedah yang akan diperoleh murid-murid apabila mereka menyertai aktiviti badan beruniform di sekolah. Dasawarsa ini, pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan mempunyai pencapaian aktif dalam kokurikulum akan mendapat perhatian yang lebih disebabkan kebolehan mereka mengimbangi kedua aspek pendidikan tersebut. Oleh itu, jika pelajar ingin berjaya di peringkat kehidupan yang seterusnya, wajar untuk mereka menyertai dengan aktif dalam badan-badan beruniform di sekolah. Badan beruniform juga merupakan formula pendidikan yang berkesan bagi mengelakkan gejala sosial di samping mencambah minda anak watan. Tambahan pula, ia merupakan wadah yang efektif dalam memupuk perpaduan antara murid persis kata peribahasa ikan di laut, asam di darat, dalam periuk, bikin muafakat.