Karangan

Cara-Cara Mengatasi Masalah Keselamatan Kanak-Kanak

Tajuk soalan karangan Bahasa Melayu selalunya berkaitan dengan isu-isu semasa. Isu tersebut tidak semestinya hanya berlaku dalam negara tetapi juga berlaku di luar negara secara global. Pelajar-pelajar harus peka akan isu yang berlaku di sekeliling mereka sebagai persediaan menjawab karangan Bahasa Melayu. Contohnya, isu berkaitan keselamatan kanak-kanak. Berikut dikongsikan contoh karangan cara-cara mengatasi masalah dan langkah menjaga keselamatan kanak-kanak untuk panduan semua.

Di bawah terdapat isi-isi penting yang boleh membantu pelajar-pelajar dalam menjawab soalan berkaitan cara-cara mengatasi masalah kanak-kanak. Pengolahan yang menarik terdiri daripada isi yang tepat, penggunaan tatabahasa yang betul dan penggunaan peribahasa Melayu. Bimbingan dan panduan oleh guru juga penting agar penulisan karangan pelajar mendapat markah yang baik dan menepati kehendak soalan.

Langkah Menjaga Keselamatan Kanak-Kanak Tanggungjawab Bersama

peta minda cara atasi masalah keselamatan kanak kanak Cara-Cara Mengatasi Masalah Keselamatan Kanak-Kanak

Isi-isi penting

  • Sentiasa mengawasi dan memberi perhatian kepada kanak-kanak
  • Memberi pelajaran seni mempertahankan diri
  • Peranan media massa dalam menyedarkan masyarakat tentang isu ini
  • Memakai alat penjejak pada kanak-kanak
  • Menguatkuasakan undang-undang kepada pesalah laku terhadap kanak-kanak
  • Memastikan kanak-kanak bermain secara berkumpulan

Baca juga: Kesalahan Lazim Dalam Karangan Bahasa Melayu

Contoh Karangan Langkah-Langkah Menjaga Keselamatan Kanak-Kanak

Pendahuluan

Sejak akhir-akhir ini, acap kali kita melihat berita di televisyen dan dada-dada akhbar tentang kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa. Isu ini amat membimbangkan semua pihak kerana kanak-kanak merupakan anugerah kurniaan tuhan yang diamanahkan kepada pasangan ibu bapa untuk membentuk mereka menjadi seorang yang berguna kepada keluarga dan negara. Akibat terlalu banyak kes jenayah terhadap kanak-kanak, badan kehakiman negara telah mewujudkan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman, Putrajaya. Oleh itu, kita perlu mengenal pasti cara-cara terbaik dalam mengatasi masalah keselamatan kanak-kanak supaya mereka terjamin daripada sebarang jenayah.

Isi 1

Prakarsa utama dalam mendepani isu ini adalah peranan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Kebanyakan kes jenayah yang berlaku melibatkan kanak-kanak yang belum tahu menilai situasi mereka samada selamat atau tidak. Justeru, ibu dan bapa bertanggungjawab mengawasi dan memberi perhatian kepada kanak-kanak sepanjang mereka berada bersama-sama. Kecuaian dan peralihan perhatian dek kerana melihat telefon pintar dan sebagainya haruslah dielakkan kerana pelaku jenayah semakin cilik dan bijak demi mencapai matlamat jijik mereka. Ibu bapa mestilah sentiasa memimpin tangan anak-anak ketika berada di luar rumah dan sentiasa menemani mereka kemana sahaja yang mereka kehendaki. Bak kata peribahasa Melayu, umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang yang bermaksud kanak-kanak masih muda, kurang berakal dan belum berpendapat maka ibu bapa berperanan penting membimbing dan mengawasi mereka.

Isi 2

Cara lain dalam memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin adalah dengan mendedahkan mereka kepada seni mempertahankan diri. Dewasa ini, pelbagai jenis seni mempertahankan diri boleh dipelajari dan terdapat banyak kelas yang menawarkan pembelajaran untuk kanak-kanak. Berbekalkan ilmu mempertahankan diri yang kanak-kanak pelajari, mereka boleh mempraktikkan apa yang dipelajari sekiranya berasa terancam dan dalam situasi bahaya. Tambahan pula, kanak-kanak bukan sahaja dapat mempelajari teknik mempertahankan diri malahan mereka boleh menghargai dan meneruskan tradisi seni tersebut seperti seni silat dan taekwondo. Bimbingan yang tepat dan mendalam oleh pengajar akan membentuk kanak-kanak yang lebih berdisiplin dan siap siaga dalam menghadapi ancaman keselamatan.

Isi 3

Di samping itu, media massa juga berperanan penting dalam menyedarkan masyarakat tentang keselamatan kanak-kanak yang kian terancam hari ini. Media massa sewajarnya menyiarkan iklan atau rancangan yang berkaitan supaya masyarakat kita, khasnya pengusaha tabika dan ibu bapa sedar dan mengambil tindakan yang drastik untuk mengelakkan kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah. Siaran daripada media massa dapat memancing perhatian dan kerjasama masyarakat untuk menghulurkan bantuan demi menyelamatkan kanak-kanak yang hilang atau diculik. Tapisan rancangan ganas yang dapat mempengaruhi orang ramai sehingga menbangkitkan nafsu manusia yang jelik hendaklah dilaksanakan. Bahan lucah yang berkaitan dengan seksual kanak-kanak harus dilarang sama sekali.  Natijahnya, semua media perlu menghalang rancangan yang berunsur ganas dan berusaha menginsafkan masyarakat kita untuk menyelamatkan kanak-kanak daripada menjadi mangsa.

Isi 4

Selain itu, ibu dan bapa seharusnya mengambil kesempatan atas kecanggihan teknologi masa kini dengan memakai alat penjejak pada anak-anak mereka. Sekiranya kita sanggup melaburkan wang untuk memakai telefon pintar yang terkini kita juga sepatutnya melaburkan wang untuk membeli gajet keselamatan kepada anak-anak kita. Gajet atau alat penjejak kanak-kanak direka dalam pelbagai bentuk dan mesra kanak-kanak seperti jam tangan, gelang ataupun rantai. Ibu bapa boleh memantau setiap pergerakan anak menerusi aplikasi yang disambungkan melalui telefon pintar lalu perasaan selamat muncul dalam jiwa ibu bapa dan anak kerana sedar pergerakan mereka sedang diawasi oleh orang tersayang. Maka, pemasangan alat penjejak ini boleh memberikan satu perasaan selamat dalam jiwa setiap ahli keluarga serta sebagai satu langkah bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai cara boleh dilaksana demi mengatasi masalah keselamatan kanak-kanak. Seisi masyarakat kita bertanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak yang akan mewarnai masyarakat, nusa dan bangsa kita supaya mereka berpeluang membesar dengan aman dan sentosa. Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni sudah terhantuk, baru terngadah yang memberi definisi apabila kita ditimpa musibah barulah hendak bertindak. Maka, polisi kerajaan harus dirangka bagi membendung masalah yang kian mengancam masa hadapan negara kita dan segera mencari penyelesaian yang berkesan dan berkekalan.