Karangan

Kebaikan Dan Faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Tajuk soalan karangan Bahasa Melayu yang bertemakan pelajar sekolah sering kali menjadi pilihan pembuat soalan. Hal ini dapat membantu pelajar dalam memberikan penulisan karangan yang baik dan cemerlang serta mampu mengolah isi-isi penting yang bernas. Oleh itu, berikut adalah contoh karangan faedah menyertai aktiviti kokurikulum sebagai rujukan kepada para pelajar.

Sebelum memulakan penulisan karangan, pelajar hendaklah terlebih dahulu merangka pendahuluan, isi penting dan penutup yang ingin ditulis. Kaedah ini dapat membantu pelajar menyusun isi-isi penting yang lebih utama serta dapat menulis karangan dengan lebih lancar. Selain itu, bimbingan daripada guru-guru juga adalah mustahak bagi memastikan penulisan karangan anda mengikut kriteria soalan.

Baca juga: Koleksi Peribahasa Melayu Serta Maksud

peta minda faedah menyertai aktiviti kokurikulum

Faedah-Faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum

Isi-isi penting

  • mengisi masa lapang
  • menambah ilmu pengetahuan
  • membina jati diri
  • memupuk perpaduan
  • meningkatkan disiplin diri
  • menjaga kesihatan diri

Contoh Karangan Faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum

Pendahuluan

Aktiviti kokurikulum adalah apa-apa kegiatan yang dirancang selain daripada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Kegiatan ini memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di bilik darjah. Di Malaysia, kokurikulum merangkumi penyertaan dalam aktiviti sukan dan permainan, persatuan dan kelab serta penyertaan dalam pasukan pakaian seragam. Penyelarasan kegiatan kokurikulum di sekolah menunjukkan bahawa ia mampu memberikan manfaat yang banyak kepada pelajar-pelajar. Oleh itu, mari kita rungkaikan faedah-faedah yang diperoleh daripada penyertaan aktiviti kokurikulum.

Isi 1

Antara manfaat yang diperoleh para pelajar sekiranya mereka menyertai aktiviti kokurikulum adalah pengisian masa lapang dengan aktiviti berfaedah. Sebagai contoh, penyertaan dalam kelab sukan memerlukan pelajar menyertai latihan yang diadakan selepas waktu persekolahan. Perkara ini secara tidak langsung dapat membendung mereka daripada melakukan perkara tidak berfaedah seperti melepak dan gejala sosial yang semakin menjadi polemik dalam kalangan pelajar sekolah hari ini. Tambahan pula, ibu dan bapa hari ini yang sibuk dengan kerjaya masing-masing tidak perlu risau akan keberadaan anak-anak mereka sekiranya mereka terlibat dengan aktiviti kokurikulum di sekolah. Jelaslah bahawa aktiviti kokurikulum memberikan pengisian masa lapang yang sangat bermanfaat kepada pelajar-pelajar.

Isi 2

Selain itu, penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dapat menambah ilmu pengetahuan mereka. Hal ini demikian kerana jika mereka memberi perhatian dan tidak menyertai aktiviti kokurikulum secara sambil lewa seperti melepaskan batuk di tangga, pasti mereka sedar bahawa banyak perkara yang boleh dipelajari. Tamsilnya, aktiviti pasukan pakaian seragam seperti persatuan pengakap memberikan tunjuk ajar kepada pelajar tentang cara-cara untuk hidup di dalam hutan dan sebagainya. Pembelajaran seperti memasang khemah, menghidupkan api menggunakan kayu hutan dan ikatan-ikatan menggunakan tali tidak dipelajari dalam bilik darjah sebaliknya ia khusus kepada pelajar yang menyertai aktiviti-aktiviti pasukan seragam yang diminati oleh pelajar.

Isi 3

Di samping itu, pelajar yang menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah dapat membina kekuatan jati diri masing-masing. Pelajar akan menyertai aktiviti seperti kawad kaki yang memerlukan disiplin diri serta kekuatan mental dan fizikal bagi mendengar dan mengikuti arahan yang diberikan. Pada waktu yang sama, pelajar perlu bekerjasama dengan rakan-rakan lain bagi mendapatkan pergerakan yang seragam dan teratur. Tambahan pula, aktiviti kokurikulum memerlukan pelajar menjawat jawatan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa dalam persatuan dan kelab masing-masing. Secara tidak langsung, pelajar perlu mempelajari nilai yang diperlukan bagi menjawat jawatan yang penting dalam sesebuah organisasi. Kesannya, pelajar akan menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dan mempunyai pengalaman yang mampu meningkatkan jati diri masing-masing setelah menyertai aktiviti kokurikulum.

Isi 4

Akhir sekali, faedah yang diperoleh daripada menyertai aktiviti kokurikulum adalah mumupuk perpaduan antara pelajar. Sekolah merupakan alma mater dalam membentuk penyatuan sesebuah komuniti khusus bagi golongan orang-orang muda. Justeru, aktiviti kokurikulum akan melibatkan penyertaan daripada pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, bangsa dan agama. Sebagai contoh, aktiviti bersukan memerlukan persefahaman antara satu pasukan bagi mendapatkan kemenangan dalam pertandingan. Di sini, pelajar akan mempelajari cara untuk berkomunikasi antara satu sama lain serta memahami nilai seperti bertolak ansur dan menghormati rakan-rakan mereka. Dengan ini, sebarang perselisihan faham dapat dielakkan dan kehidupan yang harmoni dan humanis dapat dilahirkan. Natijahnya, penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum mampu mewujudkan perpaduan serta mengikis sentimen perkauman dalam diri generasi muda ini.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai faedah dan manfaat yang akan diperoleh daripada pelajar sekiranya mereka menyertai aktiviti-aktiviti di kokurikulum di sekolah. Ia bergantung kepada diri pelajar masing-masing samada untuk memberikan fokus dalam aktiviti tersebut atau melakukannya secara sambil lewa dan hanya membuangkan masa sahaja. Guru-guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan anak-anak di sekolah menyertai aktiviti kokurikulum secara sepenuh hati agar mereka berjaya mendapat nilai yang ingin diterapkan dalam inisiatif ini. Tanpa penerapan nilai-nilai murni dalam jiwa generasi muda hari ini sudah pasti usaha pembangunan negara akan terbantut. Hal ini demikian kerana mereka merupakan jentera penggerak kemajuan negara pada masa hadapan bak kata cogan kata, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.