Karangan

Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya (Maksud)

Menghasilkan penulisan karangan Bahasa Melayu yang cemerlang memerlukan teknik dan pengetahuan yang betul. Setiap guru pastinya mempunyai formula yang baik sebagai panduan kepada murid-murid dalam menjawab soalan berkaitan penulisan karangan. Pelajar hanya perlu bertanya dan meminta nasihat daripada guru atau merujuk contoh di atas talian. Di bawah dikongsikan contoh karangan bangsa membaca, bangsa berjaya.

Berdasarkan tajuk di atas, pelajar perlu memberikan idea atau isi-isi penting yang berkaitan serta menarik dari segi penghuraiannya. Skop perbincangan yang terbuka seperti ini juga memerlukan pelajar menerangkan perincian penulisan karangan pelajar tentang apa yang ingin disampaikan pada isi-isi penting dalam perenggan pendahuluan. Seterusnya memberikan penutup yang konklusif dan menyeluruh serta kaitkan dengan tajuk yang diberikan.

peta minda contoh karangan bangsa membaca bangsa berjaya Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya (Maksud)

Contoh Karangan Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya

Isi-isi penting

  • Menambah ilmu pengetahuan
  • Meningkatkan kepakaran atau kemahiran diri
  • Mempelajari prosa kata atau perkataan baharu
  • Membuka minda kepada perkara-perkara lain
  • Menambah baik kebolehan menulis
  • Meningkatkan kesihatan seperti mengurangkan stress dan merendahkan tekanan darah

Baca juga: Pentingnya Teknologi Kepada Manusia

Pendahuluan

Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi pada hari ini, ilmu pengetahuan menjadi senjata utama kepada bangsa yang berjaya. Lihatlah di negara-negara yang maju seperti Jepun dan Jerman di mana kekayaan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh rakyatnya menjadikan mereka negara yang membangun dan dipandang tinggi oleh negara lain. Sekiranya kita ingin mengecapi kejayaan seperti negara-negara tersebut, bangsa kita perlu melakukan anjakan paradigma dengan menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya kerana bangsa yang membaca adalah bangsa yang berjaya. Membaca memberikan pelbagai manfaat kepada kita kerana dari segi definisi oleh Smith dan Johnson (1980:4) ia adalah proses komunikasi antara pembaca dengan penulis. Proses tersebut juga membolehkan pembaca mendapat idea untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dalam kehidupan masing-masing. Oleh itu, mari kita senaraikan, manfaat-manfaat amalan membaca kepada nusa bangsa.

Isi 1

Melalui amalan membaca, masyarakat dapat menambah ilmu pengetahuan yang memanfaatkan pelbagai pihak. Sebagai contoh, tokoh-tokoh ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibnu Sina, Al Khawarizmi dan ramai lagi yang berjaya meneroka pelbagai bidang keilmuan dan seterusnya menghasilkan penemuan baharu untuk ketamadunan manusia. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan melalui institusi-institusi pendidikan di negara pada setiap peringkat sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa. Maka ia bergantung kepada kita sebagai ahli masyarakat untuk memanfaatkan sepenuhnya institusi pendidikan tersebut dalam mendapatkan bahan bacaan dan seterusnya menghasilkan perkara yang bermanfaat bukan sahaja kepada diri malah kepada keluarga, masyarakat dan juga negara. Pelbagai kejayaan yang dapat dikecapi sekiranya ramai ilmuwan dapat dilahirkan dan diberi peluang dalam setiap bidang yang mereka ceburi tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama kerana hasilnya bakal memberi faedah sejagat. Tegasnya, ilmu pengetahuan merupakan nadi kemajuan seorang manusia dan membaca merupakan salah satu cara untuk kita mempelajari dan memahami ilmu-ilmu yang tidak pernah habis ibarat laut yang ditimba tidak akan kering.

Isi 2

Membaca juga dapat membantu meningkatkan kepakaran atau kemahiran diri setiap di antara kita yang membaca. Era globalisasi masa kini merupakan era di mana memberikan nilai tambah kepada diri merupakan elemen yang penting untuk kekal relevan. Persaingan yang semakin meningkat dari hari ke hari membuatkan peluang untuk berjaya menjadi kecil. Tetapi dengan sentiasa menambah nilai kepada diri sama ada kemahiran berkomunikasi atau kemahiran bekerja, nescaya kejayaan dapat dicapai. Dunia menongkah ke masa hadapan pada waktu yang pantas dan kita tidak boleh menjadi seperti katak di bawah tempurung supaya kita tidak kekal berada di takuk yang lama. Apabila nilai tambah dapat diberikan kepada diri, tahap kepakaran kita dalam sesuatu perkara juga akan dipertingkat. Seterusnya bakal membuka peluang-peluang baharu dari segi pekerjaan dan karier masing-masing di mana kemajuan dan perkara baharu dapat diterokai. Intihannya, membaca merupakan amalan yang dapat membantu kita untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan juga negara.

Isi 3

Dari sudut pandang yang lain, amalan membaca dapat mendedahkan kita kepada prosa kata atau perkataan-perkataan yang baharu. Bahan bacaan mempunyai variasi penggunaan bahasa dan perkataan. Misalnya, bacaan akademik banyak menggunakan perkataan fakta dan saintifik manakala bahan bacaan sastera menggunakan perkataan yang puitis. Oleh itu, kita secara langsung dapat sentiasa menambah baik penguasaan bahasa kita kerana kalau bukan kita, siapa lagi yang akan kenali, hargai dan menggunakannya untuk kehidupan hari ini. Bahasa budaya bangsa, ungkapan ini menunjukkan betapa mustahaknya untuk kita mengekalkan penggunaan bahasa kita supaya tidak tenggelam dek zaman. Tambahan pula, Bahasa Melayu pernah menjadi Lingua Franca iaitu bahasa pertuturan utama masyarakat di dunia.  Oleh itu, sebagai masyarakat nusantara yang membesar dengan Bahasa Melayu, kita seharusnya menghargai dan merai bahan-bahan bacaan dalam Bahasa Melayu supaya menjadi ikutan kepada generasi-generasi akan datang di samping mendapat manfaat daripada membaca. Izharnya, membaca meningkatkan kemampuan kita dalam menguasai sesuatu bahasa kerana tanpa bahasa, kita tidak akan memahami apa yang ingin disampaikan oleh seseorang yang asalnya berbeza daripada kita.

Isi 4

Manfaat lain apabila bangsa kita membudayakan amalan membaca pastinya dapat membuka minda mereka kepada pelbagai perkara-perkara yang lain. Masyarakat yang berpengetahuan luas dalam sesebuah negara mampu mencetuskan ideologi dan buah fikiran yang bernas dalam memacu proses pembangunan negara ke arah yang lebih baik. Semakin banyak kita membaca semakin banyak yang akan kita pelajari. Bak kata pepatah Melayu, jauh perjalanan luas pemandangan. Begitu juga dengan membaca di mana ia merupakan satu perjalanan apabila kita mula membaca sebuah buku dan setelah menghabiskan bacaannya, pelabagai pengajaran yang dapat kita peroleh. Hasilnya, ia dapat mengubah diri kita menjadi seseorang yang lebih baik. Dengan membacalah kita menjadi tahu dan faham, sekali gus memperoleh wawasan mahupun pengetahuan baru tentang pelbagai perkara yang menyebabkan kita termotivasi untuk terus melakukan perubahan. Tuntasnya, membaca juga dapat menjadikan bangsa kita lebih bersikap terbuka di dalam memahami antara satu sama lain.

Penutup

Konklusinya, pelbagai manfaat yang akan diperoleh bangsa yang mengamalkan budaya membaca. Ibarat kata-kata pujangga, membaca adalah jambatan ilmu di mana dengan membaca kita akan mendapat pelbagai jenis ilmu.  Sebagai bangsa yang masih  baharu, rakyat Malaysia masih jauh untuk bersaing dengan negara-negara maju, namun jikalau amalan membaca terus diperkasakan, nescaya kita mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan rakyat di negara lain. Tambahan pula ibarat peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya di mana amalan ini wajar dipupuk sejak kecil lagi. Hasilnya kelak generasi masa hadapan akan menjadi generasi yang berjaya memacu negara ke arah yang lebih progesif dan berjaya.

Related : membaca boleh mengisi masa untuk membaca bangsa berjaya membawa maksud masa lapang yang terluang idea idea berjaya membawa maksud orang terluang tidak terbuang masa suka membaca salah satu amalan