Karangan

Kepentingan Keluarga Yang Bahagia Dan Harmoni

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Setiap orang mengidamkan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini kerana keluarga merupakan orang yang bernilai dalam hidup kita yang dapat membantu menjamin kestabilan emosi dan mental kita. Memperoleh keluarga yang bahagia adalah satu perkara yang sangat penting kerana pembinaan dan pembangunan satu masyarakat dan negara bermula dari pembentukan satu keluarga yang mulia. Berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan memiliki keluarga bahagia buat rujukan pelajar.

Pelbagai masalah yang wujud di negara ini sering dikaitkan dengan kegagalan sebuah institusi keluarga. Kebelakangan ini, hubungan kekeluargaan terutama di kawasan bandar dilihat tidak erat berbanding dengan keluarga yang tinggal di kawasan pedalaman. Hal ini disebabkan oleh sikap ibu bapa yang tidak endahkan anak-anak mereka kerana jarang meluangkan masa bersama mereka. Kehidupan yang serba moden turut merenggangkan lagi hubungan kekeluargaan. Oleh itu, amat penting bagi masyarakat kita didedahkan dengan manfaat-manfaat mewujudkan perasaan kekeluargaan.

Kepentingan Memiliki Keluarga Yang Bahagia Dan Harmoni

peta minda kepentingan miliki keluarga bahagia

Isi-Isi Penting

Antara kepentingan-kepentingan mewujudkan perasaan kekeluargaan dalam kehidupan masyarakat dalam era globalisasi ini adalah seperti berikut:

  1. Melahirkan satu generasi muda yang berketerampilan
  2. Mengelakkan berlakunya masalah sosial dalam keluarga
  3. Mengurangkan kes jenayah
  4. Mampu meningkatkan produktiviti masyarakat
  5. Mampu menjamin keamanan negara
  6. Menyumbang kepada pembangunan negara

Contoh Karangan Kepentingan Memiliki Keluarga Bahagia

1) Melahirkan satu generasi muda yang berketerampilan

Umum mengetahui, dalam satu keluarga wujudnya ayah dan ibu yang berperanan membantu anak untuk memahami erti kehidupan terutama sekali aspek kesopanan yang mesti diamalkan oleh seseorang anak. Sekiranya ibu bapa gagal melakukannya, datuk dan nenek pula menjadi sandaran untuk mendidik anak tersebut untuk menjadi lebih baik. Sehubungan itu, ibu bapa bertanggungjawab dalam menyemai kesedaran mengenai pentingnya kehidupan beretika. Antara caranya ialah dengan mencurahkan kasih sayang kepada anak bagai menatang minyak yang penuh sejak mereka kecil lagi. Sebagai contoh, ibu bapa sepatutnya meluangkan masa bersama anak-anak agar dapat memahami tentang kehidupan mereka khususnya pelajaran mereka serta hobi dan pergaulan mereka dengan kawan-kawan. Tamsilnya, ibu bapa juga boleh bercerita kepada anak-anak yang masih kecil sebelum mereka tidur serta bergembira sesama anak-anak semasa sambutan hari jadi mereka atau semasa mereka memperoleh kejayaan.

Intihanya, anak-anak akan membesar dan menjadi manusia yang beradab sopan, ceria serta berkeyakinan diri. Mereka tidak akan melibatkan diri dengan masalah sosial kerana sedar bahawa perbuatan tersebut akan menyakiti hati ibu bapa. Sebaliknya, mereka menjadi orang yang mempunyai sahsiah yang baik, serta menghormati ibu bapa, bersopan santun, dan mendengar nasihat ibu bapa.

Selain itu, ibu bapa sepatutnya memberikan didikan agama kepada anak-anak. Ibu bapa patut membawa anak-anak ke tempat beribadat untuk bersembahyang secara berjemaah atau menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti bergotong-royong. Walaupun anak-anak juga seringkali berhadapan dengan cabaran dan pancaroba globalisasi, mudah-mudahan mereka dapat mengawal diri dan tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif seperti memeras ugut, berlumba haram, merokok dan mencuri.

Apabila anak-anak sibuk mendalami ajaran kitab berdasarkan agama masing-masing, mereka akan memperoleh panduan hidup yang baik serta akan berusaha mengamalkan nilai-nilai murni kerana sedar bahawa kesudahan yang baik menanti diri mereka. Tambahan pula, pendidikan agama akan menjadi bimbingan kepada mereka agar membesar sebagai insan bijaksana dan beretika.

2) Mengelakkan berlakunya masalah sosial dalam keluarga

Remaja masa kini memerlukan seseorang yang lebih tua untuk menasihati serta memberitahu mereka sekiranya mereka melakukan sebarang kesilapan terutama dalam gejala yang tidak sihat. Pengawasan ketat mesti dilakukan oleh keluarga agar dapat memastikan remaja tidak melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan imej remaja tersebut kelak. Kita perlu memastikan gejala sosial tidak mudah mempengaruhi minda mereka. Remaja yang kurang perasaan kekeluargaan dan kasih sayang akan mudah terjebak dengan budaya kuning seperti merokok dan melepak di pusat beli-belah jika mereka tidak mempunyai panduan hidup yang jelas. Lantaran itu, mereka akan menjadi mudah memberontak dengan melakukan perkara yang tidak sihat untuk mendapat perhatian orang ramai.

Sebuah institusi keluarga yang bahagia akan dapat membendung masalah sosial dalam kalangan remaja ini. Hal ini kerana, jika keluarga itu kucar-kacir, selalu bertengkar, dan tiada lagi kasih sayang, sudah pasti akan melahirkan generasi yang bermasalah dan cenderung terlibat dengan masalah sosial yang sering menyebabkan kesejahteraan negara tergugat. Namun begitu, keadaan sebaliknya akan berlaku jika sesebuah keluarga berjaya mengekalkan kebahagiaan dan keharmonian. Oleh itu, sesebuah keluarga pasti akan melahirkan generasi yang bertanggungjawab, memiliki sifat dan sikap yang terpuji dan penuh kasih sayang kerana mendapat didikan serta mencontohi teladan yang baik daripada ibu bapa mereka.

Dengan adanya keluarga yang harmoni, anak-anak tidak akan terlibat dengan kancah negatif seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme dan gengsterisme. Perkara ini akan menjamin golongan yang baru berdarah setampuk pinang ini dapat melalui jalan yang benar bagi menjadi individu yang berkualiti dan mengharumkan nama keluarga.

3) Mengurangkan kes jenayah

Kes jenayah sering dilakukan oleh individu yang mempunyai masalah dengan keluarganya. Kebanyakan kajian membuktikan pencetus utama penjenayah melakukan kesalahan undang-undang seperti membunuh dan merogol adalah disebabkan masalah kekeluargaan. Mereka hilang pertimbangan sehingga melakukan jenayah kerana tertekan dan cuba mencari jalan penyelesaian bagi masalah mereka. Ketiadaan keluarga untuk menjadi tempat mereka meluahkan masalah menjurus isu ini berlaku. Fenomena negatif ini mampu dibendung jika semua keluarga berupaya memainkan peranan mereka dengan begitu baik untuk mendidik dengan sebaik mungkin. Setiap orang perlu ingat bahawa keluarga yang menjadi penentu kelakuan seseorang anggota masyarakat itu.

Didikan dan asuhan ibu bapa amat penting supaya anak-anak menjadi golongan berkualiti serta dihormati dan tidak menjadi golongan agen perosak terhadap pembangunan negara. Dalam hal ini, ibu bapa yang merupakan tulang belakang keluarga dapat mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga dengan memperingati hari jadi ahli keluarga, mengadakan hari keluarga, melancong dan sebagainya. Apabila wujudnya suasana yang harmoni di rumah, anak-anak akan berasa lebih selamat dan selesa untuk berada di rumah daripada membazirkan masa dengan berpeleseran di luar rumah.

Secara tidak langsung, negara kita akan sentiasa dalam keadaan aman damai apabila masalah gejala sosial dan kadar jenayah berkurangan. Negara yang harmoni dan tiada masalah dalaman mahupun luaran mampu melahirkan masyarakat yang tinggi nilai kekeluargaan. Hal ini demikian kerana, mereka bebas melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga tanpa memikirkan masalah-masalah yang menimpa negara mereka.

4) Mampu meningkatkan produktiviti masyarakat

Kewujudan keluarga bahagia mampu meningkatkan produktiviti masyarakat terutamanya dalam aspek kerjaya kerana setiap keluarga merupakan alat keseimbangan kehidupan seseorang. Tekanan di tempat kerja yang dialami oleh seseorang individu akan hilang jika dikelilingi oleh keluarga mereka. Dengan ini, akan timbul perasaan ceria dalam kalangan ahli keluarga.

Untuk itu, keluarga secara langsung ataupun tidak turut mempengaruhi jatidiri sesebuah masyarakat. Dari keluarga munculnya generasi manusia yang bermartabat, memiliki perasaan kasih sayang, dan saling tolong-menolong di antara mereka. Dengan itu, akan tercipta satu aturan kehidupan masyarakat yang kuat, yang disokong oleh keluarga-keluarga yang harmoni dan berkasih sayang.

Produktiviti rakyat juga turut akan bertambah kerana mereka berasa gembira melihat keluarga yang bahagia dan keadaan negara yang aman dan makmur. Rakyat negara yang harmoni pasti berwawasan dan mempunyai modal insan yang tinggi. Justeru, mereka dapat menjaga kebajikan keluarga seterusnya meningkatkan taraf hidup keluarga, bangsa dan negara mereka. Pertumbuhan ekonomi negara juga turut akan berkembang dengan pesat. Oleh itu, nilai positif ini perlu diwujudkan supaya kebahagiaan sesebuah keluarga dapat dikekalkan.

5) Mampu menjamin keamanan negara

Semua masalah yang berlaku dalam kehidupan berupaya diselesaikan dengan wujudnya institusi keluarga yang sihat dalam sesebuah negara itu. Setiap lapisan masyarakat mempunyai keluarga yang boleh menjadi sandaran dan harapan buat mereka untuk mengharungi cabaran kehidupan terutama yang sukar diselesaikan secara bersendirian. Ia sangat jelas bahawa keluarga mampu menjamin keamanan negara serta memastikan ia terus berada dalam keadaan aman sekiranya berfungsi dengan baik.

Tambahan pula, imej negara di mata masyarakat dunia akan juga terus bersinar. Keluarga yang bahagia menghasilkan semua impak yang positif. Masyarakat luar akan melihat kejayaan ini dan cuba menyebarkan kejayaan itu di negara mereka. Tindakan ini akan menyebabkan semua masyarakat luar akan mengenali rahsia kejayaan Malaysia ialah kekuatan sistem keluarga mereka. Maka, rakyat negara ini boleh berbangga dengan pencapaian ini kerana mereka dipandang tinggi oleh masyarakat luar.

6) Menyumbang kepada pembangunan negara

Institusi keluarga yang bahagia penting kepada pembangunan negara kerana keluarga bahagia menjamin kesinambungan generasi masa depan negara. Keluarga bahagia menjadi kunci kepada pembangunan negara kerana dapat melahirkan modal insan yang berkualiti. Hal ini, menerusi kekukuhan ikatan kekeluargaan dapat melahirkan generasi berkualiti yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. Selain itu, institusi keluarga yang bahagia juga dapat melahirkan pemimpin masa depan yang berkaliber. Ibu bapa akan memastikan anak-anak diberi pendidikan yang sempurna dan sebaik mungkin. Mereka sentiasa menerapkan nilai-nilai moral. Modal insan yang dilahirkan oleh keluarga bahagia turut menjadi pemimpin pelapis dan penyumbang tenaga dalam proses pembinaan negara yang maju. Oleh itu, jelas bahawa institusi keluarga yang bahagia mampu membentuk sebuah negara yang sejahtera.

Kesimpulannya, terdapat banyak manfaat yang kita mampu peroleh apabila mempraktikkan nilai kekeluargaan dalam kehidupan seharian. Situasi ini dapat memastikan kehidupan yang kita jalani pada masa hadapan lebih berkualiti dan bermakna kerana kita mempunyai keluarga yang menjadi penyebab seseorang itu meneruskan kehidupannya. Justeru, masyarakat tidak boleh bersikap acuh tak acuh dengan nilai-nilai murni ini agar mereka dapat melahirkan sebuah keluarga yang sempurna. Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang signifikan dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada ribuan batu-bata. Tanpa keluarga bahagia, sudah pasti kemakmuran negara akan terjejas. Banyak anak muda akan terlibat dalam kegiatan sosial yang sekali gus akan menjahanamkan agenda pembangunan negara sama ada dari aspek politik, ekonomi dan sosial.

Selain daripada itu, keluarga yang harmoni dan bahagia akan dapat diwujudkan dengan mudah jika setiap ahlinya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Komitmen yang jitu daripada semua pihak ini sudah pasti dapat merealisasikan impian negara untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dan terbilang agar dapat digapai dengan mudah.