Karangan

Tanggungjawab Masyarakat Dalam Membanteras Jenayah Negara

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Pelbagai variasi tajuk soalan yang boleh diberikan kepada pelajar dalam menjawab soalan karangan bahasa Melayu. Soalan yang bertemakan masyarakat sering kali digunakan dalam latihan kerana isu atau topik tersebut boleh dikaitkan dengan kehidupan para pelajar.  Hal ini membantu mereka untuk memberikan isi atau idea yang menarik. Maka berikut dikongsikan contoh karangan peranan masyarakat dalam membendung jenayah negara yang kini semakin berleluasa.

Para pelajar boleh merujuk isi dan cara penghuraian yang dikongsikan dan menafsirkannya dalam bentuk penulisan karangan masing-masing. Panduan dan bimbingan daripada guru-guru pelajar adalah mustahak agar penulisan karangan pelajar tidak terpesong daripada kehendak soalan dan peroleh markah yang baik dan cemerlang. Selain itu, penggunaan tatabahasa dan frasa-frasa yang baik akan menarik perhatian pembaca atau penanda kertas.

Peranan Masyarakat Dalam Membendung Dan Membanteras Jenayah Negara

peta minda membendung jenayah negara

Isi-isi penting

  • melaporkan kegiatan jenayah
  • menunjukkan teladan yang baik
  • menganjurkan acara kemasyarakatan
  • memperkasa pendidikan sivik
  • membentuk jawatankuasa keselamatan
  • mempelajari seni mempertahankan diri

Baca juga: Koleksi Peribahasa Melayu Serta Maksudnya

Contoh Karangan Tanggungjawab Masyarakat Dalam Membendung Jenayah Negara

Pendahuluan

Dalam meniti arus kemodenan ini, kita sering kali digemparkan dengan berita perlakuan jenayah-jenayah yang berlaku dalam negara sehingga membuatkan kita bimbang akan keselamatan diri dan orang yang tersayang. Peningkatan kes-kes jenayah yang semakin hari semakin banyak amat merunsingkan kita sebagai penduduk tanah air ini. Jenayah seperti gengsterisme, vandalisme, bunuh, rogol, ragut, pengedaran dadah, rasuah, pelacuran dan sebagainya kerap menghiasi dada-dada akhbar, dan media massa yang lain. Pelbagai mekanisme yang telah diusahakan oleh pihak kerajaan untuk membantu mengurangkan kadar jenayah yang berlaku dalam negara namun perlakuan negatif ini sentiasa menemui jalan untuk dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, kita sebagai masyarakat haruslah memainkan peranan dalam membendung perlakuan jenayah yang merosakkan keharmonian negara yang kita cintai.

Isi 1

Masyarakat sebenarnya merupakan mata-mata kepada semua pihak berkuasa yang menjadi badan pelaksana undang-undang negara. Keupayaan pegawai polis untuk memastikan tiada sebarang jenayah berlaku adalah mustahil. Namun, kita sebagai warganegara yang prihatin sewajarnya melaporkan setiap perlakuan yang mencurigakan dan mempunyai unsur jenayah kepada pihak berkuasa seperti polis dan sebagainya. Kecanggihan teknologi hari ini memberikan kelebihan kepada kita untuk merakam atau mengambil gambar sebagai bukti perlakuan jenayah berlaku dalam pemerhatian kita. Pemasangan kamera di kereta telah menunjukkan contoh terbaik penggunaan teknologi masa kini untuk mencekup pelaku jenayah trafik. Justeru, tindakan melaporkan perlakuan jenayah adalah tanggungjawab utama masyarakat dalam membanteras perlakuan jenayah dalam negara.

Isi 2

Pada masa yang sama, kita sebagai ahli masyarakat seharusnya sentiasa menunjukkan teladan yang baik kepada orang sekeliling kita. Pengaruh orang sekeliling seperti rakan sekerja, keluarga atau rakan sekolah memberi impak kepada perlakuan seseorang individu itu. Jika baik pengaruh sekelilingnya maka baiklah tingkah laku mereka dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Tetapi jika orang sekeliling kita memberi pengaruh negatif maka buruklah implikasinya kelak kepada diri dan masyarakat terutamanya. Persis kata mutiara, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Maka, masyarakat konvensional ini perlu berubah menjadi inteligensia dalam memastikan nilai kehidupan kita bertambah baik dan membuang perlakuan negatif dalam diri dan masyarakat. Prakarsa ini boleh dijayakan juga dengan input daripada media massa dan kerajaan kerana pengaruh mereka dalam membuka mata dan pandangan hati setiap ahli masyarakat.

Isi 3

Selain itu, bagi mengelakkan aktiviti-aktiviti jenayah ini sering berlaku, kita boleh menganjurkan acara kemasyarakatan yang melibatkan semua orang tanpa ada had umur dan latar belakang. Dewasa ini, pelbagai syarikat-syarikat koporat yang semakin berjaya dan mereka seharusnya  melaksana tanggungjawab sosial korporat mereka dengan lebih berkesan. Aktiviti seperti gotong-royong dan pembersihan kawasan perumahan atau tempat-tempat awam dengan penyertaan setiap ahli masyarakat akan memastikan masa terluang yang ada digunakan untuk faedah bersama. Tambahan pula, aktiviti sukan seperti futsal, larian maraton dan berbasikal yang semakin mendapat perhatian belia terutamanya perlulah disemarakkan agar mereka dapat manfaat yang berguna untuk diri dan masa santai mereka digunakan sebaiknya serta membendung perlakuan jenayah. Secara tidak langsung, masyarakat bersukan akan melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Isi 4

Seterusnya, pendidikan sivik dan moral dalam kalangan pelajar wajar untuk diperkasakan supaya masyarakat mendapat manfaat dalam mencegah perlakuan jenayah. Bak kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang bermaksud kita seharusnya mendidik anak bangsa kita dari kecil dengan nilai-nilai sivik dan murni yang kita inginkan supaya kelak membuahkan hasil yang baik. Pemerkasaan pendidikan sivik ini akan membantu golongan pelajar untuk lebih berfikiran terbuka dan kritis dalam menilai sesuatu situasi yang berlaku dalam kehidupan. Penayangan atau pertunjukkan senario yang sering berlaku dalam masyarakat kemudiannya dijelaskan dan ditelusuri bersama oleh guru dan pelajar dalam pendidikan sivik akan membantu mereka menjadi lebih waras dan bertoleransi dalam masyarakat kita yang majmuk ini. Sikap keterbukaan dan toleransi akan membantu kita menambah kesepaduan kaum dan menyemarakkan kehidupan bermasyarakat tanpa ancaman jenayah.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai peranan yang penting harus dilaksana oleh setiap ahli masyarakat dalam membendung jenayah negara. Kita perlu berganding bahu bagi memastikan langkah yang proaktif diambil supaya kadar jenayah yang membawa virus epidimik ini dan akan menjatuhkan imej negara di mata dunia dapat dikurangkan. Seterusnya, ia dapat menjamin keselamatan diri dan keluarga kita serta memberikan harapan yang tinggi untuk generasi masa hadapan berasa selamat dan hidup aman sentosa. Tindakan tegas pihak berkuasa dan keprihatinan masyarakat akan memastikan kita diri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain yang selamat untuk didiami dan cemerlang dalam pelaksanaan aktiviti ekonomi mereka. Negara yang selamat akan menarik perhatian seantero dunia dalam menjadi contoh sekaligus dapat membantu dunia mencegah jenayah antarabangsa.